الله اكبر الله اكبر

اشهد أن لا اله الّا الله

اشهد أنّ محمّد رسول الله

حيّ على الصلاة

حيّ على الفلاح

الله اكبر الله اكبر

لا اله الّا الله


Maghrib masuk lagi..
Seperti semalam dan hari-hari sebelumnya..
Menyempurnakan* umur hari-hari yang tiba..

Kirmizi yang kemerahan di ufuk tetap setia..
Menaungi manusia yang masih sibuk dengan urusan dunia..
Seolah-olah menyeru mereka dengan katanya :

"..Pulanglah..sucikanlah dirimu untuk bertemu denganNya!"

Menyeru bani Adam..
Yang seperti biasa tidak mempedulikan,
Walaupun Rejab yang mulia baru berlabuh..

Dari tingkap kereta ini Ana mendongak ke langit..
Memerhatikan ciptaanNya,
Untuk menghadirkan hati dalam memujiNya,
Lantas akur pada kekerdilan diri yang Faqir ini..

Indah!
Hebat!
Hanya pada DIA pujian ini,
Yang sentiasa mengurniakan..
Tidak putus-putus..Subhanallah..

"..Bertambah lagiii umur hari ini..." Bisik Ana, sayu.

Apatah lagi apabila mengingatkan kata-kata Sayyidina Uthman R.A :

"..Aku menangis setiap kali tibanya maghrib kerana aku sedar bertambahnya umurku sedang amalanku tetap kurang.."

Sungguh benar kata-katamu Ya Amiirul Mukminin..


* Di dalam Islam, Maghrib merupakan tanda masuknya hari yang baru. Sebab itu kalau kita melihat kepada Ramadhan, selepas dapat pengumuman esok akan puasa, malam tu juga kita akan menunaikan solat terawih. Hari raya pun begitu. Malam sebelum raya, kita tak solat terawih lagi, sebaliknya bertakbir, bertahmid memuji Zat Yang Maha Sempurna.
......................................

ما بين بيتي و منبري روضة من رياض الجنّة

Maksudnya : Antara rumahku dan mimbarku ini, adalah salah satu taman dari taman-taman Syurga..


Ana mempercepatkan langkah.
Seberapa boleh ingin mengambil tempat.
Dari tengah-tengah masjid, Ana berlari-lari anak menuju ke depan.

Depan lagi..

Dari jauh pagar-pagar tembaga kekuningan menanti Ana. Indah!
Mushaf-mushaf suci tersusun cantik.Kemas!

Ana melangkah ke depan..mencari ruang..

"..Lau Samah Ya Amm.. Fafsahu..yafsahillah.." (Maaf Pakcik..berilah ruang..nescaya Allah melapangkan kamu..).Bisik Ana pada jemaah.
Memohon diberikan sedikit ruang untuk bersolat.

"..Tafaddhol..". (Silakan) Balasnya.

Alhamdulillah!
Allah mempermudahkan.

Ana sempurnakan solat 2 rakaat..
Memohon keampunan terhadap diri dan insan-insan tercinta.

Kemudian pelan-pelan Ana tenggelam..
Tenggelam dalam cahaya Zikrullah..
Di Taman Syurga..
Raudhah yang mulia..
............................

Wahai Kekasih yang Pemaaf..

Ummatul Mukminin Sayyidatuna A'isyah R.A memasang telinga.
Ingin benar dia mendengar bisikan-bisikan kasih dari suaminya Rasulullah SAW yang mulia. Bertahajjud mengabdikan diri pada Zat Yang Maha Sempurna serta merintih dan merayu memohon keredhaan.

Seperti semalam dan malam-malam yang sudah, Baginda tetap saja bermunajat. Tidak putus-putus. Seolah kesuntukan masa kerana maut menunggu sedetik lagi..

Ummatul Mukminin tahu yang bukannya ummat ini tidak tahu yang Baginda ma'sum. Terpelihara dari dosa-dosa yang akan menggelapkan sarang cinta iaitu hati. Namun Baginda tetap saja berdiri menghadap kekasihnya Yang Maha Pemaaf.

Pernah Baginda ditanya :

"..Ya Rasulullah..Bukankah anda telah terpelihara dari kemurkaanNya..mengapa anda masih terus menerus merayu redhaNya sehingga bengkaklah kakimu yang mulia..?"

Sambil tersenyum Baginda menjawab : "..Tidak bolehkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur..?"

Subhanallah! Tulus.Qudus.
Meresap ke dalam jiwa para Muttaqin yang sentiasa merinduiNya.

Dan malam ini pun, Baginda masih lagi berdiri. Bermunajat.
Membisikkan cinta dan pengharapan yang tidak putus-putus pada Pemberi Harapan bagi segala harapan.

Berdiri lurus berserta hati yang lurus.

Berdirinya seorang kekasih buat Kekasih..

Sambil Baginda berdoa :

"..Ya Allah, ampunkanlah Aisyah. Yang zahir, yang batin, yang lepas, dan yang akan datang. Ampunkanlah dia Ya Allah.."

( Sedang Aisyah mendengar-dengar doa qudus itu .)

Berkata Aisyah : "..Demi Allah aku sangat gembira dengan doamu Ya Rasulullah.." .

Lantas bersabda Rasulullah SAW :

"..Demi Allah Ya Aisyah..sebagaimana gembiranya kamu terhadap doa ini..beginilah doaku buat ummatku..setiap malam..beginilah doaku pada ummatku setiap malam.."

(SUNGGUH! BETAPA SUCINYA CINTAMU PADA KAMI YA RASULULLAH.. )
.....................

Tingkap kecil Kekasih

Resah!

Bimbang!

Dukacita!

Kalau itulah kalimat-kalimat yang boleh menggambarkan perasaan para sahabat sewaktu menerima berita kegeringan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW gering!

Rasulullah SAW gering!

Sahut sahabat menyampaikan pada yang lain.

Sungguh kecintaan mereka yang tulus dan kecintaan yang lebih tulus yang dibalas oleh Baginda benar-benar mengikat mereka.

Jiwa mereka bersama Rasulullah!

Hati mereka pada Rasulullah!

Dan cinta mereka hanya dimiliki oleh Rasulullah yang membawa pada Allah!

Tapi kali ini, berita kegeringan Baginda benar-benar meresahkan jiwa. Apatah lagi mengingatkan beberapa kebiasaan Baginda turut berubah. Tengok sahajalah pada Ramadhan yang lalu (10 Hjrah). Baginda telah beriktikaf selama 20 hari tidak seperti Ramadhan-Ramadhan sebelumnya yang hanya 10 hari.

Ramadhan yang lalu jugalah Jibril A.S telah datang bertadarus dengan Baginda sebanyak 2 kali. Tidak seperti Ramadhan-Ramadhan yang lalu hanya sekali sahaja.

Apatah lagi sabda Baginda sendiri pada Haji Wada' yang lalu :

"..Sesungguhnya aku tidak pasti, apakah aku akan bertemu kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini buat selama-lamanya.."

Bahkan ketika di Jamrah Al-Aqabah pun, Baginda sekali lagi menyatakan :

"..Pelajarilah daripadaku ibadat-ibadat Haji kamu, kerana boleh jadi aku tidak akan berhaji lagi selepas tahun ini.."

Itu semua mereka ingat!
Sentiasa bermain dalam fikiran mereka.
Seakan-akan apa yang diucapkan oleh Baginda itu seperti akan sampai pada penghujungnya..

Apakah kali ini...?
Tidak mahu!
Untuk berfikir lebih dari itu kami tidak mahu!

"Kami masih memerlukan Rasulullah! " Itu yang tersemat dalam hati mereka.
Penuh dengan cinta!

Kalau diingat-ingat kembali..
Semuanya berlaku sebulan yang lalu..iaitu ketika Rasulullah SAW sedang dalam perjalanan kembali dari menguruskan jenazah di Baqi', tiba-tiba Baginda mengadu ditimpa sakit kepala. Kepanasannya dapat dirasakan dari atas serban Baginda.

Bahkan hari-hari sebelum hari ini pun benar-benar meresahkan :

4 hari sebelum :

Baginda pengsan setelah bersiap-siap hendak ke Masjid bagi mengimami solat.Ini berikutan para Sahabat menunggu-nunggu ketibaan Baginda untuk berjemaah.

2 Hari (atau sehari) sebelum :

Baginda telah keluar menuju ke masjid sambil dipapah oleh 2 Sahabat setelah merasa sedikit kelegaan dari sakit Baginda. Dan sempat pula Baginda mengimami solat pada hari itu dalam keadaan uzur.

1 Hari sebelum :

Rasulullah telah memerdekakan kesemua hamba miliknya dan Baginda bersedeqah sebanyak 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda juga memberikan senjata-senjatanya untuk kegunaan Islam. Baju besi Baginda pula pada hari inilah telah digadaikan kepada seorang Yahudi dengan kadar 30 gantang gandum. Pada malamnya pula, Aisyah ada meminjam minyak pelita dari jirannya.


Dan pagi tadi..
Mereka dikejutkan apabila Baginda menyingkap tabir bilik Aisyah untuk memandang serta tersenyum pada mereka. Sungguh wajah itu seperti purnama yang menerangi kegelapan..

Mereka gembira!
Mereka bahagia!

Bahagia apabila melihat wajah mulia Baginda itu memandang mereka dari tingkap kecilnya di Raudhah!

Pandangan penuh kasih!

Cinta!

Rindu!

Tulus dan qudus..
Sesejuk Kauthar yang menghilangkan dahaga Muttaqin selamanya..
.....
.....
Tapi..itu semua seketika cuma..
Cuma pagi tadi..
Sekarang..
Rasulullah sedang gering kembali..
Dah berapa waktu solat ni diimami oleh Sayyidina Abu Bakar.

( YA ALLAH..SELAMATKANLAH BAGINDA! )
...............................

Tanda buat ummat

وما محمّد الّا رسول قد خلت من قبله الرّسل أفاين مّات أو قتل انقلبتم على أعقبكم ومن ينقلب على عقبيه فلن يضرّ الله شيئا وسيجزى الله الشّكرين

Maksudnya : Dan tiadalah Muhammad itu melainkan hanyalah seorang Rasul yang sebelumnya telah berlalu beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atapun dibunuh maka kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, sesungguhnya hal itu tidak merugikan Allah sedikit pun. (Ketahuilah ) Dan sesungguhnya Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. ( Surah Al-Imran : 144 )


Sebulan sebelum itu ( awal atau pertengahan Safar ) :

Dua kakinya yang mulia dilangkahinya menuju Baqi'.
Semata untuk menziarahi dan memohon keampunan buat penghuninya.

Lantas 2 tangan suci itu diangkat.
Memohon dalam bisikan harapan pada Pemberi Harapan:

"..Assalamualaikum wahai ahli Baqi'. Semoga kamu mendapat kerehatan dengan nikmat yang kamu kecapi di dalamnya berbanding orang lain yang menghadapi keadaannya. Sesungguhnya wahai ahli Baqi' telah datang fitnah-fitnah (ujian-ujian) seumpama sebahagian malam yang gelap gelita. Fitnah yang kemudian akan menyusuli selepas yang awal. Sedangkan yang kemudian itu adalah lebih buruk dari yang awal.

Wahai Ahli Baqi'..sesungguhnya kami akan menyusuli kamu.."

(WAHAI KEKASIH KAMI YA RASULULLAH..SUNGGUH ENGKAU TELAH MENINGGALKAN TANDA PEMERGIAANMU INI BUAT KAMI..)
........................................

Teman Yang Tertinggi

Selepas Rasulullah SAW menyampaikan bisikannya buat Fatimah Az-Zahra Al-Batul ( yang mengikat perut kerana lebih mencintai fuqara dan masaakin memperolehi makanan ), Fatimah menangis pilu. Melihat keadaan Fatimah, Rasulullah SAW lantas membisikkan sesuatu sekali lagi buat anakndanya itu dan kali ini membuatkan Fatimah ketawa.

Begitulah Rasulullah SAW..sentiasa menghiburkan..

Kemudian Baginda memanggil buah hatinya Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussein lantas berpesan dan mendoakan kebaikan buat keduanya. Dikucupnya Hassan dan Hussein serta dirangkulnya penuh cinta. Baginda turut memanggil isteri-isterinya lalu menyampaikan peringatan dan wasiat.


Tidak lama untuk Allah melaksanakan apa yang telah ditaqdirkannya buat Nabinya itu..

Baginda mula merasakan bisa kesan racun daging kambing yang sempat dikunyah oleh Baginda di Khaibar. perlahan-lahan menjalar ke dalam tubuhnya yang mulia. Baginda lantas berpesan berulang kali pada orang ramai :

"..Jagalah solat..jagalah solat..serta hamba-hamba yang kamu miliki.."

Perlahan Baginda disandarkan Aisayah pada ribaannya.
Lalu Abdul Rahman bin Abu Bakar masuk mengadap Baginda sambil membawa kayu sugi. Ketika itu Ummatul Mukminin Aisyah melihat Baginda memandang kepada Abdul Rahman. Lantas Aisyah bertanya pada Baginda :

"..Mahukah jika aku mengambil kayu sugi ini buatmu Ya Rasulullah ?.."

Baginda mengisyaratkan dengan kepalanya pada Aisyah tanda setuju. Lalu Aisyah menghulurkan kayu sugi itu pada Rasulullah tetapi Baginda merasakan kayu sugi itu keras.

Lalu Aisyah bertanya : "..Mahukah sekiranya aku melembutkannya buatmu ya Rasulullah?.."

Baginda lantas mengisyaratkan dengan kepalanya sebagai tanda setuju.
Maka dilembutkan sugi itu oleh Aisyah dan diberikan pada Baginda.

Lalu bersugilah Baginda. *(Setengah riwayat menyebut Baginda disugi oleh Aisyah atau Abdullah)

Kemudian, perlahan Baginda mencelupkan tangannya yang mulia ke dalam bekas kecil berisi air di hadapan lantas menyapukannya ke wajahnya.

Sambil Baginda bersabda : "..Tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya bagi kematian itu ada sakaratnya.."

Selesai bersugi, dengan lemah Baginda mengangkat (tangan atau jarinya) serta mendongak pandangannya ke atas .Lalu Baginda mengucapkan ( dimana Aisyah mendekatkan telinganya ke bibir Baginda ) :

"..Bersama orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat di kalangan mereka dari Nabi-Nabi, Siddiqin, Syuhadaa', dan Solihiin. Ya Allah, ampunkanlah daku serta rahmatilah daku, serta pertemukanlah daku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Teman Yang Tertinggi.."

Diulang-ulang oleh Baginda sebanyak 3 kali.
Kemudian..tangan Baginda yang mulia terkulai layu.
Layu..

Lalu..menujulah kekasih..kepada kekasihnya..
Teman Yang Tertinggi.

انّا لله وانّا اليه رجعون
.......................


Kedukaan Teragung


Tepat pada hari Isnin, 12 Rabiulawwal tahun 11 Hijrah, wafatlah Baginda SAW setelah genap usia Baginda 63 tahun 4 hari. Kewafatan Baginda diratapi dan diterima dengan linangan air mata oleh para Sahabat. Kecintaan mereka pada Baginda menyebabkan mereka benar-benar berduka dengan kehilangan ini.

Sayyidina Ali, di dalam menghadapi kehilangan ini meratap :

" Ya Rasulullah, demi Allah aku amat menyintaimu melebihi kedua ibu bapaku. Tiadalah kegembiraan yang melupakan aku terhadap kegembiraan yang lain melainkan kegembiraan mengenalimu. Dan tiadalah kedukaan yang melupakan aku terhadap kedukaan yang lain melainkan kedukaan berpisah denganmu.."

Sayyidina Abbas menyebut : :. ".Demi Allah, aku melihat apabila Abu Bakar membacakan kalamullah yang memberitakan bahawa Baginda telah wafat..aku melihat manusia seolah-olah tidak pernah mendengar ayat ini sebelumnya.."

Bahkan Ibnu Al-Musayyab telah memberitakan bahawa Umar menyebut : "..Demi Allah sebaik sahaja aku mendengar Abu bakar membaca ayat ini maka aku menjadi lemah longlai sehingga tidak mampu berdiri lagi. Akhirnya aku rebah ke bumi dan yakinlah aku bahawa Baginda telah wafat.."

Bergilir-gilirlah para sahabat masuk ke bilik kecil Baginda untuk melihat buat kali terakhir wajah yang mulia itu. Wajah yang sentiasa menghilangkan kedukaan manusia, pembela anak-anak yatim, sahabat Fuqaraa' wa Masaakiin, pembela kaum wanita dan segala kesempurnaan yang terkumpul padanya.

Bergilirlah mereka seramai sepuluh-sepuluh orang yang masuk untuk bersolat padanya tanpa diimami oleh seorang pun. Yang mana kaum keluarga Bagindalah yang mula-mula bersolat padanya kemudian diikuti kaum Muhajirin kemudian kaum Ansar. Kaum wanita bersolat selepas kaum lelaki dan selepas itu disusuli kanak-kanak pula yang bersolat ke atas Baginda.

Di dalam menghadapi musibah kedukaan yang dicatat oleh sejarah sebagai kedukaan teragung dan terbesar ini..Sayyidatuna Aisyah sendiri menyatakan :

" ..Demi Allah, aku sendiri tidak tahu (kerana kedukaannya menghadapi perpisahan ini ) saat bilakah Rasulullah SAW dikebumikan sebenarnya..( sedar-sedar ) aku mendengar bunyi penyodok tanah maqam Baginda di saat tengah malam rabu.."

Dan katanya lagi :

"..Dan di antara nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah kepadaku ialah Rasulullah SAW wafat di dalam rumahku, di dalam giliranku, dan di dalam rangkulan antara leher dan dadaku.."

(YA HABIBALLAH..SUNGGUH KAMI AMAT MENYINTAIMU SEKALIPUN CINTAMU ITU SENTIASA MENGATASI. SELAWAT SERTA SALAM BUATMU DUHAI KEKASIH..MUDAHAN ALLAH MENGIZINKAN LAGI KAMI BERTEMU DENGANMU KEKASIH DI RAUDHAH YANG MULIA..)

Semalam Ana berkesempatan minum, berbicara panjang dengan guru Ana. Mendengar bicaranya disamping mengutip mutiara-mutiara ilmu dan hikmah yang melaut luasnya. Subhanallah.

"..Ana sedayanya ingin menterjemahkan, mensyarahkan karya-karya agung Islam yang meliputi pelbagai disiplin ilmu untuk rujukan dan kegunaan umat Islam di masa akan datang. Kita berdoa agar semuanya dapat disempurnakan sebelum mati.." Ujar Guru Ana.

"..Subhanallah.." Hanya itu yang termampu Ana ucapkan.

Kagum!

Betapa kesungguhan dan khidmatnya pada Islam benar-benar diterjemahkan. Benar-benar beliau menjadi khadim di dalam menyebarkan ilmu Allah yang luas ini.

Dan yang selebihnya Ana kagum dengan sifatnya.

Zuhud.

Wara'.

Beradab di dalam khilaf.

Sentiasa merendah diri dan..

seorang yang sangat biasa..

Dan sifat biasanya itu telah menyembunyikan luar biasa yang dimilikinya.

Subhanallah...
..........................

Bagaimana ingin menjadi luar biasa?

Pernah Ana dihubungi menerusi email oleh warga blog yang bertanya dan ingin meminta pandangan dari Ana bagaimana caranya untuk menjadi insan yang luar biasa dan dapat memberi manfaat pada saudara kita yang lain?

Sejujurnya Ana merasa insaf dengan pertanyaan beliau.
Dengan segera Ana mendoakan kebaikan padanya sebagaimana doa Baginda Rasulullah SAW buat At-Thufail Ibnu Amr Ad-Dausi. Doa Rasulullah SAW :

أللهمّ اجعل له آية تعينه على ما ينوي من الخير

Maksudnya : "..Ya Allah, jadikanlah baginya tanda yang akan membantunya mengerjakan apa yang dia niatkan.."

Besar harapan Ana agar beliau dikurniakan hikmah yang dapat membantunya dalam menyebarkan manfaat pada saudara Islam yang lain.

Ana balas emailnya dengan menyatakan pandangan Ana yang faqir ini :

Pada pandangan Ana seseorang yang biasa yang tetap nampak biasa tanpa bercita-cita ingin luar biasa adalah insan yang luar biasa sebenarnya.

Ia sentiasa mengingati Rabbnya dan mentaatiNya dengan segenap upaya.Itulah orang biasa yang sentiasa meletakkan Allah dan RasulNya di dalam kehidupannya.Ia membiasakan diri menjadi orang biasa agar luar biasanya tidak disebut. Ia tahu dan sedar kalaulah keperibadiaannya dianggap luar biasa oleh manusia, maka itu semua adalah hasil hidayah Allah semata dan bukan usahanya yang luar biasa.

Di dalam hal ini, Guru Tasauf yang masyur menyebut :

لا تفرحك الطاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك

Maksudnya : Jangan kamu merasa gembira kerana kamu merasakan telah berjaya membuat taat, tetapi gembiralah kerana Allah mengurniakan hidayah sehingga kamu dapat membuat taat.

Apabila orang biasa sentiasa di dalam ketaatan maka ia dianggap luar biasa bagi mereka yang tidak biasa dengan ketaatan.

Oleh itu, mohonlah pada Allah agar kita menjadi orang-orang yang sentiasa diampunkanNya dan dibimbingNya kepada RedhaNya..

...................................

Pernah Junaid Al-Baghdadi ditanya oleh seorang Guru Tasauf yang terkenal di zamannya iaitu Assariy Assaqothi sedang Junaid ketika itu baru berusia 7 tahun.

Bertanya Assary : "...Apakah erti syukur wahai Junaid?.."

Maka Junaid Al-Baghdadi menjawab : "..Syukur itu ialah tidak menggunakan nikmat yang diberi ke arah maksiat pada Allah!.."

Mendengar jawapan tersebut, Assaray Assaqothi menyatakan kebimbangannya dengan berkata :

"..Wahai Junaid..sesungguhnya aku khuatir dan bimbang sekiranya apa yang kamu ucapkan itu hanyalah sekadar di lidahmu sahaja.."

Sejak itu kata Junaid..:

"..Aku selalu mengalirkan air mata mengingatkan kata-kata Assary kerana bimbang kalau-kalau benar apa yang telah diucapkannya kepadaku.."

Subhanallah!

Betapa biasanya Junaid.
Sentiasa membiasakan diri dengan ingatan-ingatan agama demi mengharapkan redhaNya semata. Dan berusaha menghilangkan pandangan makhluk padanya kerana mengutamakan pandangan Allah SWT semata. Dan kerana kebiasaan inilah akhirnya Junaid Al-Baghdadi diingati sepanjang zaman secara luar biasa.

Bukankah Ibnu Athaillah telah menyebut :

غيّب نظر ألخلق اليك بنظر الله اليك وغب عن اقبالهم عليك بشهود اقباله عليك

Maksudnya : Hilangkanlah pandangan makhluk kepadamu ( kerana merasai memadai) dengan pandangan Allah dan lupakanlah perhatian (tumpuan) manusia kepadamu sebaliknya melihat (menyedari) bahawa cukuplah Allah memerhatikanmu.

Oleh itu..jadilah yang biasa-biasa sahaja..- Sufifaqir.

Sekali lagi

Untuk menunaikan permintaan sahabat-sahabat yang inginkan artikel 'Kisah Ana' dan "Tangan itu telah menyuapmu "disiarkan kembali, Ana dengan rendah hati mempersembahkan kembali link artikel ini yang pernah disiarkan pada tahun 2008 buat sahabat-sahabat tercinta sekalian. Ana turut memuatkan kembali sebahagian link-link artikel yang paling banyak medapat komen dari sahabat-sahabat yang dimuliakan sekalian.
Kisah-kisah ini turut dimuatkan dalam novel Tribute buat Nenda yang telah terjual hampir 2000 naskah dalam masa sebulan. Alhamdulillah. Selamat membacanya kembali..

link :

Ana bukak tingkap bilik ni luas-luas. Angin lembut menerpa masuk menerusi jaring-jaring sederhana besar.

"..Emmm.nyaman.." Bisik Ana.

Dari tingkap ni, pandangan Ana terus ke kubur yang hanya 2 depa sahaja dari rumah. Memutih nisan-nisan tegak. Sepi sekali...

Kilat yang sesekali memancar membantu pandangan yang terpaku pada kubah masjid.
Masjid pun hanya di depan rumah. Sebelah kubur..

Masjid Kampung Buluh, Kuala Berang..
.................................

Tangga Masjid, 14 Jun 2009, Selepas Isya'.

"..Sekarang ning mung awang*..kene pikir care lagu mane mung nok tarik orang mude mari masjid.." ( Sekarang ni kamu kena fikir awang, bagaimana caranya nak menarik orang-orang muda agar datang ke masjid) Kata Isu* Razak pada Ana sambil menjentik-jentik abu daun rokoknya.

"..Sebenornye Isu suke bile mung balik kampung. Bulehla kami ni tupang-tupang dengor mung ngajor sepatoh selidoh.." (Sebenarnya Isu gembira bila tiap kali kamu balik kampung, bolehlah kami warga kampung tumpang-tumpang dengar kamu mengajar sepatah selidah ) Sambungnya lagi. Dijentik-jetiknya lagi abu daun rokok itu sekali lagi.

Mengangguk-angguk Ana.
Setuju benar Ana dengan pandangan Isu Razak.
Terasa berat tanggungjawab..
Tanggungjawab mengajak anak-anak muda kami agar kembali ke masjid..

*Isu- Ayah Su.
*Awang- Panggilan manja pada anak atau golongan muda yang amat dikasihi.
........................................

Sekarang ni Ana kat kampung tercinta.
Mengambil kekuatan sebelum kembali semula ke kota.
Kekuatan berupa nasihat-wasiat orang-orang tua kami di sini.

Selain Nenda dan ahli keluarga,
sungguh hidup Ana dikelilingi orang-orang tua yang mulia..

Mak Mandak,
Mak Nah,
Mak Nda,
Abang Banun,
Cik Kari,
Cik Yah,
Icik Saih,
Bat Che Harun,
Ingoh Pa,
Ide Jusoh dan lain-lain..
Ramaii..

Ada yang telah pergi..dan ada yang makin dimamah usia..
sungguh Ana cintakan mereka..

Disinilah,
Ana sentiasa :

Menghirup angin kampung,
Mendengar cengkerik dan belalang kunyit berbicara,
Melihat kejernihan sungai yang sejuk, segar, nyaman..
Menghidu bunga-bunga kampung yang seakan dah terlupa namanya..

Bunga Tanjung kah?
Bunga Cina Putar kah?
Atau Bunga Keluduk?
Mungkin Pulai?

Semuanya kekuatan ini Ana perlukan,
Buat peneman anak kampung yang faqir ini..
Di rantau orang..

Sungguh Ana cintakan kampung halaman.
Cintakan orang-orang tua yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan pedoman,
Wasiat dan azimat perjalanan,
Agar tak kekok berbudi di tempat orang.
...........................

Dulu-dulu,
Waktu kecil..
Bersarung pelikat petak-petak berkilas besar..
Berbaju Melayu warna pudar..
Berketayap putih serinya jeragat hitam..
Menuju ke masjid.
Bersila bersimpuh.

Kalau petang-petang balik sekolah,
kami belajar tulisan jawi dan mengaji Al-Quran dengan Iteh* Deraman.
Mendengar cerita-cerita Nabi.

Nabi Sulaiman dan semut.
Nabi Nuh dan banjir..
Nabi Muhammad anak yatim..

Kalau puyan* hujan,
Jambatan kat kampung ni apuh sokmo*,
Bergotong-royonglah orang kampung ganti dengan jambatan sementara,
Jambatan papan dua keping yang dilapik tong derang*.

Kadang-kadang kami naik bot penambang,
15 sen tambangnya.

Kalau letrik putus,
Walaupun masih diterangi gasoling*
Kami gembira..
Dapatlah cuti dari mengaji Al-Quran,
Terlepas sekejap dari cerlung* dan jerkah guru Al-Quran,

Kami ganti dengan main ton nusup*,
Dalam kepuk padi huma,
padi merah..

Kalau ada kematian..geduk/beduk dipalu.
Bukan palu sebarang..
Palu ada isyarat..

Yang panjang, Yang pendek,
Yang kuat, Yang pelan..
Membawa isyarat si mati itu :

Dewasa atau kecil atau lelaki atau perempuan!

Sungguh terlalu indah saat-saat itu!

Sampai sekarang ini pun, setiap kali berpeluang balik dan mengajar ringkas di masjid, Ana sebolehnya menyebut nama orang-orang tua kami yang telah pergi dan mendahului.
Sekurangnya ingatan itu akan berpanjangan dan menjadi ajaran generasi muda yang akan datang.

Dulu..
Kalau jemaah Tabligh datang ke kampung, cepat-cepat kami ke masjid. Dapatlah minum air warna-warni sambil dengar-dengar cerita Nabi. Belajar lilit serban di kepala. Ekornya dua.

Kalau musim kemarau, kami main wau di tanjung belakang kedai Icik Saih*.
Wau Bulan, Wau lidi, Wau Ular dan macam-macam lagi.
Semuanya buat sendiri.
Raut* buluh, ikat-ikat dengan tali putih buat lembek* dan kemudian gamkan kertas warna atas rangka wau. Gam kanji atau nasi lecek buat gam..

Buat tajur/teraju dan ikat dengan benang sepanjang mungkin. Bila wau dah naik tinggi..ikat punca benang di kayu.
Sambil duduik atas tanah, kepala dongak ke langit...
Melihat wau yang semakin kecil..kecil..kecill..kerana dah naik tinggi..

Belum lagi cerita tentang tunggu binjai luruh..
kemudian potong halus-halus buat jeruk dalam tempayang..
Bergayut pada akar kayu pepohon Ara di tepi sungai..
Mandi air sejuk yang mengalir tenang..

Sungguh kecintaan kepada kampung halaman adalah sunnah..
Bukankah Nabi SAW bersabda :

أللهمّ حبّب الينا المدينة كحبّنا مكّة أوأشدّ

Maksudnya : Ya Allah, cintakanlah kami kepada Madinah ini sebagaimana cintanya kami kepada Makkah ataupun melebihi dari itu.

Ya Allah,
Selamatkanlah orang-orang tua kami yang mulia,
Berkatilah umur mereka,
Kurniakanlah kesihatan dan ketenangan buat mereka,
Agar kami dapat pulang lagi,
Mencari kekuatan,
Pada ajaran dan wasiat mereka,
Yang semuanya datang dari kalamMu,
Serta sabda Rasul junjungan..
Amin..

*Puyan- Bahasa hulu yang bermaksud musim
*Apus Sokmo- Tenggelam sentiasa
*Tong Derang- Tong besar Minyak yang dah tak digunakan lagi.Dilapik di bawak papan jambatan sementara sebagai penimbul.
*Gasoling - Ana tak pasti istilah di bandar. Tapi lampu ini menggunakan minyak tanah, di pam beberapa kali untuk menghasilkan cahaya.Terang cahayanya.
*Cerlung- Loghat Terengganu lama yang bermaksud menjengilkan mata
*Ton Nusup - Main sembunyi-sembunyi.
*Iteh- Ayah Teh
*Icik Saih- Tok Sepupu Ana (Mat Sharif Kasim)
*Raut- Nipiskan
*Lembek- Tilam

وعباد الرحمن الّذين يمشون على الأرض هونا واذا خاطبهم الجهلون قالوا سلما

Maksudnya : “Dan Ibadur Rahman (hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang) itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan dan membalasnya dengan kata-kata yang baik.”
(Surah al-Furqan : 63)



Assalamualaikum Wbr. Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian.

Di dalam kesempatan ini Ana cuba meluangkan masa untuk menulis buat anda. Namun kesihatan yang agak tidak mengizinkan membantutkan penulisan yang memerlukan rujukan-rujukan ilmiah buat sementara waktu. Alhamdulillah Ana sedang berehat di kampung buat seketika waktu.

Sahabat-sahabat sekalian, buat sementara waktu ini ruangan bersila di lambur untuk sahabat-sahabat dan pengunjung-pengunjung blog yang dimuliakan sekalian akan ditangguhkan. Ini adalah kerana terdapat beberapa pengunjung yang rasanya telah menggunakan medan tersebut yang sepatutnya untuk berforum secara ilmiah dan bertukar-tukar pandangan dengan menaip perkara-perkara personal yang tidak menepati tujuan chatbox itu diwujudkan.

Buat anda yang ingin menyampaikan apa jua luahan rasa buat Ana samaada positif atau negatif, bolehlah menghubungi Ana di mail : sufifaqir@yahoo.com.

Dan Ana sendiri amat terbuka untuk apa-apa pandangan dan luahan. Malah berterima kasih jika disampaikan dalam suasana harmoni dan penuh adab. Ana mendoakan agar Allah mengurniakan rahmat dan ketenangan buat anda. Ana menanti anda di email.

Wassalam.

قل ياعبادي الذين أسرفوا على أنفسهم لاتقنطوا من رحمة الله إن الله يغفر الذنوب جميعاً إنه هو الغفور الرحيم

Maksudnya : Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni kesemua dosa-dosa. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar : 53)


Pagi tadi Ana ke IJN.Menyempurnakan temujanji sebelum temujanji berikutnya selasa depan ni. Terima kasihlah kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan Ana kat sini. Hanya Allah sahajalah yang dapat membalasnya. Dengan sebaik-baik balasan.

Masa kat IJN ni, macam-macam orang Ana jumpa.

Yang bertongkat..

Yang berpimpin..

Yang beroda..

Dan macam-macam lagi.


Macam-macam keluhan yang Ana dengar :

"..Ya Allaaahh...Ya Allaaahhh.."

Ada juga yang:

"..Hmmpphhhh...Hmmpphhh..." Melepaskan helaan nafas mereka yang panjang-panjang.

Sepanjang harapan agar mereka disembuhkan oleh Allah yang telah menurunkan penyakit.

Dan Nurse pulak..pandai..

"...Pakcik..sikit saja nii..jangan bimbang okey?.."

"..Pakcik rehaaaatt betul-betuull..nanti kita jumpa lagi appointment berikutnya yee.."


Mengangguk-angguk Ana dengar Nurse cakap macam tu. Walaupun Nurse tak tuju kat Ana, Ana angguk jugak. Angguk tanda setuju.

Setuju yang Nurse tu dah laksanakan satu sunnah agama yang dituntut buat saudara Muslimnya. Sunnah sentiasa memberi harapan dan penenang!
...............................................

Ting!..Tong..! No : 5708.

Cepat-cepat Ana masuk ke dalam Lab. Nak amik darah katanya. Itulah yang Ana difahamkan untuk temujanji kali ini.

Seorang lelaki dan seorang gadis berkot putih tersenyum pada Ana. Menenangkan perasaan agaknya. Mungkin juga tersenyum pada kepala Ana yang masih baru nak ditumbuhi rambut selepas bertahallul di tanah suci hari tu. Apa-pun, mereka sedayanya menghidupkan sunnah.

"...Emm sila duduk Encikk.." Katanya beradab. Sopan.

"..Nurse..boleh tak saya nak rakam?.." Tanya Ana.

Angguk kepala!

".Tahaaan..sakit sikit je.." Katanya memberi harapan.

Ana senyum je.
Sebabnya..amik darah ni dah biasa sangat dah.
........................................

Dendam Ikrimah

Ikrimah mengetap bibir! Berkali-kali ia meludah.

Marah!

Kecewa!

Dendam!

Sebati dalam dirinya. Semuanya kerana Muhammad!

"..Ye Muhammad! "

"Dia telah membunuh bapamu hai Ikrimah!" Sahut Iblis. Mengapi-apikan.

Bukan setakat mengapi-apikan, Iblis menyertakannya dengan ingatan :

Masih jelas di mata Ikrimah saat dia mengutip tangan bapanya, Abu Jahal, yang terpotong dalam peperangan Badar.

Berbekalkan laungan : " Wa Latta..Wa Uzza..! " bersusah payah bapanya yang kudung meneruskan serangan terhadap Muhammad. Musuh bapanya dan jua musuhnya.

Namun Latta dan Uzza tidak pernah menyahut doa bapanya itu. Kerana Latta dan Uzza pekak! Tuli! Bisu!

Akhirnya Ikrimah pulang ke Mekah setelah bapanya terbunuh dan mayatnya dihumbankan ke dalam Qalib*.

Sejak itu dendam Ikrimah tidak pernah surut. Berjanji dia pada dirinya agar Muhammad mesti dihumbankan ke dalam Qalib!
Mesti!

*Qalib - Telaga tempat mayat-mayat Kafirin dihumbankan ketika mereka tewas di dalam peperangan Badar.
....................................


Uhud oh Uhud

Tentera berkuda yang dipimpin oleh Khalid Ibnu Walid dan Ikrimah Abu Jahal telah berjaya menggempur tentera Rasulullah SAW! Tusukan demi tusukan mengenai tubuh tentera muslimin.

Mereka dipanah!

Ditusuk!

Dilembing! Bertalu-talu..

Akhirnya..Mereka tenggelam di dalam tawa Ikrimah..

Tenggelam..

Tenggelam..

Dan bumi Uhud menyaksikan Rasulullah SAW pulang membawa kekalahan..
...................................

Debu-debu Harapan

Debu-debu pasir berkepul di udara. Yang kemudiannya hilang dihembus angin padang pasir.

Dia memecut! Memecut! Memecut.. Laju!

Semata untuk sampai ke Madinah yang suci..
Untuk betemu dengan sebaik-baik pemberi maaf..Rasulullah SAW.

Di saat lelaki itu turun dari kuda..
Dia berjalan menuju lelaki Quraish yang mulia..
Terfikir dia apakah dia akan diterima?

Di saat itu juga Rasululah SAW bersabda padanya sambil tersenyum :

" Selamat datang wahai penunggang kuda yang telah berhijrah!"

Tergamam dia! Betapa dia diterima!

Lantas Rasulullah memeluk dia. Menghilangkan duka. Memberi harapan dan penenang buatnya.

Sedang dia menitiskan air mata gembira.

Dia telah diterima Allah dan RasulNya! Alhamdulillah...

(Sebelum berlakunya peristiwa bersejarah ini, Rasulullah SAW telah bersabda dengan suara yang lembut, tenang, memberi harapan kepada para Sahabat:

سيأتيكم عكرمة مؤمنا مهاجرا فلا تسبّوا أباه فانّ سبّ الميّت يؤذي الحيّ ولا يبلغ الميّت

Maksudnya : " Sesungguhnya Ikrimah akan datang kepada kamu sebagai Mukmin yang telah berhijrah. Maka janganlah kamu mencela bapanya. Kerana mencela mayat akan menyedihkan dan menyakitkan ahli keluarganya sekalipun tidak menyakiti mayat.")


Di saat pertama kali beliau bertemu Rasulullah SAW, beliau menyatakan kepada Rasulullah SAW :

" Ya Rasulullah! Aku ingin engkau memohonkan keampunan buatku di atas dendam dan kebencianku padamu selama ini."

Rasulullah SAW telah mengangkat kedua tangannya yang mulia sambil berdoa :

"..Ya Allah, ampunilah Ikrimah di atas segala dendamnya, perjalanannya selama ini yang bertujuan memadamkan cahayaMu. Ampunilah dia di atas segala apa yang telah dilakukannya untuk merosakkan kehormatanku sama ada di hadapanku mahupun di belakangku!"

Terharu Ikrimah! Betapa pemaafnya Baginda.Sejak itu, Ikrimah benar-benar membuktikan kecintaannya buat Allah dan RasulNya sehinggalah beliau menemui syahid di dalam peperangan Yarmuk. Subhanallah..)
.........................................

Jangan menghukum berpanjangan

Ada yang bertanya pada Ana :

"..Ustaz, anak-anak muda hari ni liar. Apakah masih ada agama dalam diri mereka?"

Dan ada yang mengkritik ahli maksiat dengan katanya :

"..Ni comfirm masuk neraka!.."

Dan katanya lagi :

"..Pakai je serban..tapi buat maksiat jugak!.."

Subhanallah..!

Sahabat-sahabat sekalian. Berfikirlah sejenak!
Islam adalah agama harapan.
Pemberi harapan.
Penenang jiwa dan kehidupan.

"..Meskipun kepada mereka yang bermaksiat?" Tanya seorang yang Ana tak kenal menerusi email.

"Ye.." Jawab Ana ringkas.

Kita akui,
kesilapan demi kesilapan sentiasa berlaku di dalam hidup kita ini.
Terkadang kita kuat. Terkadang kita tergelincir ke lembah hitam.
Tak kira ahli agama mahupun orang biasa.
Dosa dan pahala silih berganti dilakukan oleh anggota yang sama.

Namun untuk berterusan menghukum mereka bukanlah ajaran agama. Sebaliknya agamalah yang memberi harapan dan penenang kembali buat kita.

Tahukah sahabat-sahabat sekalian, Allah SWT berbangga setiap kali para hambaNya bertaubat padaNya. Menyesali dosa dan noda yang telah dilakukan.
Dan Allah menerimanya sekalipun dosa itu menggunung tidak terhitung!
Bukankah Pengampunan Allah itu lebih besar dari kemaksiatan yang telah dilakukan oleh hambaNya?

Berkata Imam Syafie di dalam syairnya:

فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث

وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا

Maksudnya : Dosaku adalah besar sejak dulu dan kini. Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih besar dan lebih mulia.

Tidak cukupkah dengan harapan dan penenang yang akan diperolehi oleh mereka yang berdosa apabila menatap bait-bait syair yang mulia ini?

Bahkan Ibnu Abbas meriwayatkan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Ketika bertaubatnya seorang hamba, Allah terus menerimanya dan melupakan Malaikat Hafazah akan keburukan yang telah ditulis,melupakan anggota badannya dari kesalahan yang telah dibuat serta melupakan bumi dan langit sebagai pentas dosanya agar dia datang di hari Kiamat nanti tanpa ada seorang makhluk pun yang menyaksikan apa yang telah dilakukannya."

Subhanallah!..
Berusahalah agar kita menjauhi sangkaan yang berpanjangan.
Sebaliknya, berilah harapan dan penenang buat diri dan jua mereka.

Bukankah Syeikh Ibnu A'thoillah telah menyebut di dalam Alhikamnya :

معصية أورست ذلاّ وافتقارا خير من طاعة أورست عزّا واستكبارا

Maksudnya : Maksiat yang akhirnya menimbulkan rasa hina diri dan memerlukan Rahmat Allah adalah jauh lebih baik dari taat yang membangkitkan kesombongan, ujub dan takabbur.

Oleh itu..berilah harapan dan jadilah penenang. Ia adalah sunnah yang mula dilupakan...

نحن قوم اعزنا الله بالاسلام فمهما ابتغينا العزة بغير ماعزنا الله به اذلنا الله

Maksudnya : Kami adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain dari kemuliaan yang telah dijanjikan Allah (Islam), kami pasti akan dihina Allah. ( Sayyidina Umar Ibnu Al-Khattab)

2 tangan anak muda itu seakan melekat. Erat sekali. Sesekali rambut panjang yang terhurai menutup muka gadisnya itu, disela-sela dengan jarinya. Sayang benar dia pada wajah manis itu.
sekejap dipeluknya bahu, sekejap dipeluknya pinggang.

Ada tawa yang meletus antara mereka. Tak lama pinggang pejal itu dipeluk, si gadis menampar-nampar manja bahu romeonya itu. Kegelian agaknya dirangkul sebegitu rupa.

Huh!..
Mengeleng kepala Ana. Jengkel melihat drama romantik di tempat terbuka seperti itu.

Sedang Syaitan ketawa melihat kejengkelan Ana..
...................................................

Dari gear N, Ana alihkan ke D.
Pelan-pelan kereta mula bergerak. Dari traffic light seksyen 3, terus Ana masuk parking Petronas. Hajat hati nak beli air crysantemun atau Ana panggil air bunga matahari.

Tiba-tiba pemandangan seperti tadi sekali lagi tersaji. 2 mempelai tidak rasmi melekat-lekat seperti diikat oleh perompak. Perompak bernama Syaitan. Yang telah berhasil merompak iman dan khauf mereka ..

.Emmm..mengeluh!

Serba salah Ana. Nak tegur dan tak..sama banyak.
Iman menuntut agar dihalang setakat mampu..sedang Syaitan pula memberi alasan :

"...Alahh..hadis Nabi pun kata kalau tak mampu, cukuplah sekadar dengan hati. Lagipun nak tegur ni..kena tengok keadaan jugak. Ni kan tempat terbuka. Bukan sunyi.."

Perompak membisikkan. Yakin benar dia alasan itu tepat!

Dan Ana seakan boleh menerima dengan logik tersebut. Tapi masih berfikir lagi..
Syaitan memandang Ana dari celah-celah tubuh pasangan yang melekat itu dengan penuh kebimbangan. Bimbang kalau-kalau Ana merubah fikiran!

Akhirnya..

" Assalamualaikum. Dik..abg nak tanya ni..dah kawin?"

Syaitan tewas!
Bertambah permusuhannya dengan manusia yang memandu akal dengan syariat.
Moga Islam terus mulia..
Di tangan pemuda-pemuda Islam!


Kemana arahmu?

Usamah bimbang!
Berita tentang kesihatan Rasulullah SAW yang begitu membimbangkan telah sampai kepadanya. Bagaimana dia akan menerajui misi keamanan ke Balqa' dan Darum jika hatinya gundah dan hiba?

Ye..Usamah bin Zaid Al-Haritsah hiba kerana Rasulullah SAW gering!

"..Ada apa-apa berita tentang kesihatan Rasulullah?" Tanya Usamah kepada tentera yang diutusnya.

"..Rasulullah masih gering dan bertambah tenat.." Jawab mereka.

Menangis Usamah!
Ingin saja Usamah pulang mendapatkan Rasulullah SAW.
Menjaga lelaki Quraish yang sentiasa meribanya sewaktu kecil di atas peha kiri sedang Hasan di peha kanannya yang mulia.
Amat mendalam cintanya pada Nabi terakhir itu. Sedang cinta Nabi Allah itu sentiasa melebihi padanya.

Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengetahui tentang Usamah!
Anak muda yang amat dicintai oleh Baginda SAW. Lihat sajalah ketika kelahirannya. Betapa Rasulullah SAW diberitakan amat bahagia dengan kehadiran putera berbangsa Habsyi ini. Sedang ibunya, Ummu Aiman adalah bekas sahaya bonda Rasulullah SAW dan pengasuh Baginda setelah kewafatan Bonda Nabi kita ini.

Betapa Nabi mencintainya..
Betapa Nabi bahagia dengan kelahirannya.
Dan Usamah jua begitu..
Cintanya pada Nabi amat mendalam..

Bahkan ketika perlatikannya sebagai Panglima seakan diragui kemampuannya oleh orang ramai, Rasulullah SAW mempertahankannya dengan bersabda :

"..Tahukah kamu bahawa dia merupakan pemuda yang amat aku cintai selepas bapanya?"

Dengan itu, redalah orang ramai lantas kembali bergabung dalam ketenteraan yang bakal dipimpinnya itu.

Betapa Rasulullah SAW sentiasa membelanya.

Tapi hari ini..
berita kegeringan Rasulullah SAW itu benar-benar memilukan Usamah.
Berkaca-kaca matanya..
Untuk mengingkari arahan Rasulullah SAW tidak sekali!
Mereka adalah pemuda yang taat.
Perindu syahid dan Jannah!

Untuk itu..
Usamah mengambil keputusan untuk bergerak secara perlahan-lahan menuju ke wilayah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk diamankan dari kezaliman Rom.
Usamah bergerak ke Balqa' dan Darum...
Sedang Madinah semakin mendung menghadapi kegeringan Rasulullah ...
........................................

Panji-panji Islam berkibar megah di tangan pemuda-pemuda Islam!
Mereka bergerak maju penuh semangat ke medan syahid di bawah pimpinan Usamah bin Zaid!

Mereka bertakbir!

Bertaqdis!

Bertahmid!

Memuji Allah dan RasulNya!

Membakar semangat muda yang mencintai Allah dan RasulNya,
melebihi ruh dan jasad mereka.

Mereka menghampiri Balqa' dan Darum..
Mereka menghampiri kemenangan yang dijanjikan!

Namun..
Di sana..sayup-sayup..
Dari Kota Nabi yang suci..
Angin dan debu dari tanah haram itu telah mengirimkan berita buat mereka yang sedang berjuang :

Allah telah mengtaqdirkan kepada mereka bahawa misi keamanan mereka kali ini merupakan misi keamanan pertama di bawah pemerintahan Abu Bakar...

Dan mereka menangis menerima berita kewafatan Rasulullah SAW..


Wahai Pemuda Islam!

Wahai anak muda!
Cintakah kamu kepada Islam?

Sebagaimana cintanya Usamah dan Ibnu Abbas?
Dan mereka yang telah berkorban.
Sehingga syahid menemukan mereka dengan kekasih hati..
Rasulullah SAW..

Tahukah kamu anak muda?

Tubuh mereka..
Yang lemah kerana berpuasa,

meninggalkan pembaringan,
untuk bertahajjud sepanjang malam,

tidak sekali-kali melemahkan,
Ruh perjuangan I'zzahkan Islam..

Mereka mulia dengan Islam!
Dan Islam pula memuliakan mereka!

Ketika tubuh mereka dilapah?
Mereka rela!

Dicincang?
Mereka suka!

Ditusuk besi-besi yang akan kembali menusuk kafirin-kafirin di dalam neraka?
Mereka gembira!

Mengapa begitu?
Semata-mata :
Mereka inginkan Syahid..
rindukan Jannah..

Sedang Rasulullah menunggu mereka..
Dengan pelukan dan air mata gembira..
Di sana..

Ayuh anak muda!
Siapkan dirimu seperti Putera Habsyi,
Yang tidak sempat kembali mengucup tangan Nabi,
memberitakan kemenangan di Balqa' dan Darum..
Jua seperti Ibnu Abbas,
Ulama' ahlil Bait sepupu Nabi,
dan mereka yang telah membeli Jannah,
Dengan dunia yang akan ditinggalkan ini..
Ayuh Bangkitlah!

Usamah bin Zaid bin Haritsah telah berjaya menakluki Balqa' dan Darum di wilayah Palestin pada tahun 11 Hijrah. Operasi keamanan yang turut disertai oleh sejumlah para sahabat ini telah berakhir dengan kemenangan Islam. Kemenangan gemilang ini jugalah telah menjadi pintu tersebarnya Islam ke Wilayah Syam, Afrika Utara, Palestin sehinggalah ke sempadan dunia yang tiada penghujungnya. Sedang Usamah ketika itu hanyalah baru berusia 20 tahun. Subhanallah..Usamah dimuliakan kerana memuliakan Islam.

Petang semalam hujan lagi. Lebat.

Membasahi pohonan yang menghijau. Hujan yang tidak bersendirian. Bergabung dengan angin yang meribut.

..ruuuurrr...ruurrr... bunyinya.. meribut, kuat, ganas!

Ana capai pisang goreng yang masih panas di dalam pinggan. Angkat dan renung. Seakan ada asap yang menipis..kemudian hilang ditelan angin yang menderu kuat.

..ruuuurrrr...ruuurrr...bunyinya lagi..

Diam-diam Ana bermonolog :

Goreng Pisang..dan

Gorenggg Pisang...dan

Gorengggg Pisang...dan

Mak Ana...goreng pisang..dan

Mak Ana..goreng pisang..dan

Mak Ana..goreng pisang..dan

Mak Ana Syarifah Akmal Syed Salleh..dan Goreng Pisang..!

Ye! Mak Ana dipanggil "Tuan Akmal goreng pisang"!

Semata kerana Nenda Ana besarkan anak cucu dengan hasil menjual goreng pisang!
........................................................

Kata Mak : " Dulu mase mami sekoloh..saing-saing semua panggil Mami Goreng Pisang..Sebab Cik goreng pisang pasor.." ( Dulu masa Mami sekolah, kawan-kawan gelar Mami ni goreng pisang sebab Nenda kerja goreng pisang kat pasar)

Cerita Mak Ana pada kami. (Ana, adik Mimah, adik Abu dan adik Hazim).

Sama macam Ana lah!
Ana ingat lagi, Harun yang selalu naik basikal dan keliling kampung pun panggil Ana..Tepung Bungkus!!

Mengapa?

Sebab Nenda buat tepung bungkus dan jual.. sejak tu..Ana tak suka Harun. (Masa kecil-kecil dulu la).

Mari Ana cerita :

Dulu..
pagi-pagi..Ana kayuh basikal bersama raga berisi tepung bungkus ke kedai-kedai kat balik ulu*. Tinggal 10 bungkus,10 bungkus kat kedai-kedai. Kalau hari Jumaat, Ana kayuh basikal ke rumah murah Kuala Berang, tempat kelas pengajian agama wanita.

Jauuhh!
Dalam 3 batu jugaklah. Ana kayuh basikal, Nenda jalan kaki. Kami bergerak pelan-pelan. Kadang-kadang kalau motor lalu, harap benar dia tumpangkan..

Sampai kat surau, Nenda akan bersila depan tepung bungkus sambil dengar kelas pengajian agama yang disampaikan oleh Ana. Kelas Tafsir surah Yaasin.

"..Cik ku, mintok 3 riya*.." Kata salah seorang muslimat pada Nenda.

Cepat-cepat Nenda masukkan tepung bungkus dalam plastik. Elok-elok Nenda serahkan..Bertukar tepung bungkus tu jadi duit 3 Riya..

"...Yang mengajor tu..cucu saya Rushidii*.." Kata Nenda sambil tersenyum pada jemaah surau. Senyum Bangga!

Bangga kerana cucunya bukan penjual tepung bungkus.
Bangga kerana cucunya boleh membaca.
Bangga kerana cucunya sempurna pelajaran.
Bangga kerana cucunya bukan sepertinya...
................................

Ana tak dapat ingat kenangan sebegini.
Kenangan yang akan membuatkan Ana berhenti sejenak untuk mengatur sebak di dada.
Ana terlalu rindu untuk kembali kepada semua itu.
Merenung mata tuanya..mengucup tangan dan dahinya..
pipinya..
dan tidur di atas ribaannya..

Ada sekali tu..Ana bawak Nenda kat Taman Buaya Pantai Cahaya Bulan, Kelantan. Masa tu bulan puasa. Pengunjung takda pun. Yang ada, kami berdua saja.

Ana dukung Nenda dari satu tempat ke satu tempat. Kami tengok buaya!
Masa kecil-kecil dulu Nenda pernah cerita tentang binatang-binatang.
Bergurindam pun ye. Gurindam Tok Tok Merah namanya.

Nenda bergurindam : " Tok Tok Merah..takdok Tok tokleh Kedaroh.."

Teringat pesanan Nenda :

" Jangang makang tindih bayang. Kang lekat kang." (Jangan makan membelakangi cahaya. Kerana bayang-bayang menyebabkan gelap pada makanan.Bimbang lekat nanti)

" Kalu nok nnamboh..jangang perabis nasik dalang pinggang." (Jika nak tambah nasi, jangan licinkan nasi kat dalam pinggan yang ada. Bakikanlah walaupun sesuap)

" Jangang nengung depang makanang.." (Jangan termenung di depan makanan)

" Kalu Tido kene lapik kain. Payoh kene hikmat orang.." (Waktu tidur, lapiklah kain sehelai kat pembaringan kerana mengikut petua orang-orang lama, sukar terkena sihir. Mungkin sihir berbentuk serbuk/minyak yang ditaburkan di pembaringan)

"..Jangang wi dang matahari tindih tubuh. Lemoh badang." ( Bangun pagi tu jangan sampai matahari mendahului naik kerana badan akan cepat lemah akibat tidur banyak)

" Jangan tido lepas subuh..kahat rezki.." (Jangan tidur kembali selepas waktu subuh. Sepatutnya waktu tersebut kita perlu memulai sebarang usaha. Kahat rezeki bermaksud : payah rezeki nak mendekati)

" Ada pitih tu..peking-peking la sikit.." ( Ada duit, jangan boros! Berjimat-cermatlah..)

" Jangan baloh dengan orang Diee.." (Jangan bergaduh dengan orang Diee..)

Dan banyak lagii..

Sungguh!
Terlalu banyak yang nak dikenangkan dan disimpan untuk pelajaran berguna di masa akan datang. Sungguh ajaran Nenda sentiasa dalam ingatan..selamanya..
.........................................................

* Ulu - Nama Teluk atau bahagian-bahagian kat kawasan dalam kampung.

* Riya - Loghat Terengganu yang bermaksud ringgit.

* Rushidii - Cara sebutan Nenda terhadap nama Ana.

Blogger Template by Blogcrowds