اذا تحدّث عبدي بـأن يعمل حسنة فأنا أكتبها له حسنة
Maksudnya : Jika seorang hambaKu bercita-cita untuk melakukan sesuatu kebaikan maka Aku akan mencatitkan baginya satu kebajikan.

Alhamdulillah. Setelah hampir 2 tahun mengulang cetak buku Benarkah Nabi Isa Disalib? yang juga merupakan buku kedua Ana, semalam merupakan hari bersejarah apabila kali pertama buku tersebut dijadikan mata pelajaran Muqaranah Al-Adyan* bagi kuliah bulanan Ana di surau tercinta. Di Bangi ni juga.

Sejujurnya Ana merasa malu dan rendah hati. Di celahan pelbagai kitab yang dijadikan asas pengisian bagi kuliah-kuliah maghrib di sini, buku kecil Ana ini dipersetujui oleh jemaah untuk dijadikan bahan kuliah yang mana Ana diminta mengisinya selama 2 kali sebulan. Satu kuliah Tafsir dan satu lagi Muqaranah Al-Adyan.

Berkali-kali Ana baca kembali buku susunan Ana tersebut. Alhamdulillah dah diulangcetak sebanyak 11 kali termasuk sekali dicetak di Egypt oleh PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir). Dalam diam Ana bersyukur apabila buku tersebut sedikit sebanyak memberi manfaat buat saudara Muslim tercinta.

Dan malam tadi pun selepas kembali dari surau, Ana belek kembali buku-buku yang pernah Ana susun. Semuanya mempunyai kenangannya tersendiri.
.................................

Tribute Buat Nenda



Semalam pun Ana belek kembali setelah mendapat email yang panjang dari seorang kenalan. Respon dan pandangan dari sahabat-sahabat yang berkesempatan memiliki novel kecil tersebut Ana semat kukuh di hati. Dan semalam Ana tercari-cari apa yang istimewanya pada novel itu..

Dari satu halaman ke satu halaman..
Ana belek..
Dan belek..
Dan belek..
.....

Dalam diam Ana tersenyum..

Membaca cerita yang disusun.
Puisi yang didendang.
Luahan yang benar.
Terkadang malu juga apabila menatap sendiri. Karya yang tak seberapa dari orang yang tak seberapa.

Semestinya novel kecil ini tidak terbanding dengan keasyikan menatap ribuan karya-karya agung Islam namun cukuplah ia menjadi kenangan manis buat Ana dan pusaka kenang-kenangan buat zuriat di masa akan datang. Amin..
...................

Buya HAMKA

Di celah ratusan kitab-kitab dan buku-buku di mini maktabah* Ana ini, Ana keluarkan satu buku sederhana tebal karangan Buya HAMKA ataupun nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Tasauf moden tajuknya..






Pak HAMKA pernah menyatakan bahawa beliau sendiri ketika terlantar di hospital, beliau asyik membaca kembali bukunya itu. Dan seketika itu juga mereka yang menziarahinya bertanya :

" Apa bapak sendiri membaca kembali buku Tasauf Moden ini? Bukankah bapak yang mengarangnya?"*

Sambil tersenyum Buya HAMKA menjawab :

" Yaa..benar..pengarangnya sendiri kembali mengambil manfaat dan mengubati hatinya dengan karangannya ini. Bukan semata untuk orang lain yang membacanya.."*

Sungguh Buya HAMKA seorang yang pintar. Bukan sahaja menyusun ilmu untuk dimanfaatkan, tetapi jua buat peringatan diri sendiri. Agar tidak nanti dikatakan sebagaimana peringatan Allah SWT yang bermaksud :

Patutkah kamu menyeru manusia kepada kebaikan sedangkan kamu lupa terhadap dirimu sedangkan kamu diberikan kitab? Apakah kamu tidak berfikir? ( Al-Baqarah : 44 )

Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan bukan saja buat ummah, jua buat diri yang sentiasa lalai
..........
Semua yang kita usahakan di dunia ini hanyalah untuk mendapatkan keredhaanNya semata di sana. Kebaikan walaupun kecil pasti ia dinilai oleh Allah Yang Maha Pengasih. Syaratnya, ikhlas.

Bukankah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan :

Hidup jasad kerana ruh,
Hidup ruh kerana akal,
Hidup akan kerana ilmu,
Hidup ilmu kerana amal,
Hidup amal kerana Ikhlas..
Ana akan ingat itu..
Apatah lagi bila dipadankan dengan pesanan Nenda tercinta :
"Kena buat baik sokmoo..Kita ni kan matii.."*

Oleh itu..walaupun sedikit..buat baiklah..
............................
*Muqaranah Adyan - Kalimah Arab bermaksud Perbandingan Agama
*Maktabah - Kalimah Arab bermaksud Perpustakaan
* (Dialog Buya HAMKA semestinya dibaca di dalam dialek Indonesia agar terasa keberkesanan cerita yang disampaikan)
* Loghat Terengganu yang bermaksud - Kena sentiasa berbuat baik kerana kita semua pasti akan mati ( membawa pahala kebaikan dan kebajikan)

Terharu ni..

Sibuk!
Itulah yang boleh Ana nyatakan kepada sahabat-sahabat tercinta. Bermula dari kerja-kerja biasa hinggalah kepada yang luar biasa. Semuanya menuntut masa dan ruang untuk disempurnakan. Hampir setiap hari keluar pagi dan petang , membuatkan masa Ana lebih banyak di luar. Menyempurnakan hajat-hajat yang tak akan pernah habis.

Benarlah kata pujangga Arab :

Maksudnya : Kita disibukkan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat bagi yang hidup itu takkan pernah habis (Selagi belum mati).

Apa pun, Ana redha. Kerana banyak yang dapat Ana pelajari dari kesibukan ini..
.................

Blog

Sejujurnya blog yang berwajah baru ini pun menumbuhkan rasa terharu pada diri Ana. Meninggalkan template lama seakan meninggalkan kampung halaman. Dah hampir setahun setengah template klasik itu Ana jadikan lapik susunan huruf buat pencantum bahasa ilmu. Terlalu banyak jasanya. Namun untuk menghormati permintaan sahabat-sahabat jua. Yang ingin melihat blog tercinta ini berwajah dan bersemangat baru. Dan Ana yakin sahabat-sahabat sekalian menyatakannya demi kebaikan kita bersama jua. Untuk itu Ana ucapkan :

Kerana Tuan..Hamba turutkan..penuh ikhlas di jiwa.
Jazakumullah.
......................

Braile

Sewaktu berbual dengan Haji Zahrim (Kenalan Ana di Bangi ni), Ana dihampiri oleh seorang cacat pengelihatan.

Setelah menunaikan hajatnya setakat mampu, beliau menghulurkan penanda buku braile kepada Ana.

Cantik!

Dengan tulisan-tulisan timbul (huruf-huruf Braile ) membuatkan Ana teringat satu peristiwa yang berlaku hampir 2 bulan lalu di masjid negeri Shah Alam.

Pertemuan Ana dengan Haji Othman, seorang Penulis buku dalam bahasa Braile..
...............

"..Ustaz, Ana berhajat nak cetak buku ustaz ni dalam braile. Untuk saudara-saudara kita yang cacat pengelihatan.." Katanya Ikhlas.

Terharu Ana!

Serta merta Ana katakan padanya :

"..Jii..(haji)..Ana dengar rendah hati dan terharu mengizinkannya untuk penyebaran dakwah.."

"..Mudahan sampailah pahalanya pada orang-orang tua kita jii.." Tambah Ana lagi. Penuh harapan.

"..InsyaAllah ustaaazz..".. Balas beliau.

Dan akhirnya pertemuan itu telah membuahkan pelbagai hikmah dan pelajaran yang dapat Ana timba.
..................

PMRAM

2 tahun lalu, Ana dihubungi oleh PMRAM (Persatuan Pelajar Melayu Republik Arab Mesir ) yang meminta izin agar buku susunan Ana diulang cetak di Mesir. Setelah mendapat penjelasan tentang tujuan usaha tersebut dilakukan, Ana dengan rendah hati mengizinkannya. Sungguh Ana rasa terharu dengan hal-hal sebegini. Terasa kerdil apabila buku kecil itu, akan mula beredar dari tangan ke tangan saudara-saudara kita di bumi Ambiyaa'. Subhanallah..

Lebih-lebih lagi mengingatkan diri yang penuh kekurangan ini. Terlalu banyak debu hitam berbanding kasturi untuk dihidu. Mudahan ia menjadi satu kebaikan buat penghapus noda-noda yang berserakan dalam diri..

Amin.
.....................

Di celah ribuan

Laju-laju Ana melangkah. Sesekali mata menangkap debu-debu yang mula hinggap di kaki. Tiada Ana peduli!

Udara yang membahang seakan memalu kulit. Apatah lagi di dalam panas terik ini. Mengoyak-ngoyak keselasaan air cond yang baru dinikmati sebentar tadi.

Pun Ana tidak perduli!

Ana hanya ingin ke sana.
Bertemu dengannya dan mengucup tangannya. Guru Ana yang hampir 11 tahun tidak Ana jumpai.

Dan di saat Ana memeluk dan mencium kepalanya (untuk memuliakan ilmunya), beliau menangis!

Terharu dia.
Menambah keharuan Ana jua..

Barangkali mengingatkan pertemuan kami di celah puluhan ribu manusia yang direzekikan Allah untuk majlis ilmu ini. Subhanallah..

Yang Maha Mengatur apa yang dikehendakiNya serapi-rapinya.

انّما أمره أذا أراد شيا أن يقول له كن فيكون

Maksudnya : Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, cukuplah sekadar Dia berfirman kepada sesuatu itu : Jadilah! Maka sesuatu (yang dikehendakiNya itu ) pasti terjadi.
(Surah Yaasin : 82)
Terharu..
........................

Dan kali ini pun..
Sekali lagi Ana terharu. Dengan sahabat-sahabat yang tak putus-putus menghantar email silaturrahim buat Ana. Bertanya khabar dan menyatakan kebimbangan kalau-kalau sufifaqir tak sihat sehingga tak dapat menulis seperti biasa.

Sungguh Ana tidak tahu hendak mengucapkan rasa terharu ini.
Mempunyai sahabat-sahabat yang mulia merupakan satu kemuliaan buat diri. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa sahabat-sahabat yang mulia juga adalah tanda kemuliaan agama pada seseorang. (Atau sama maksud dengannya).

Sungguh anda sentiasa tidak jemu mengirim berita serta mendoakan Ana di sini.

Ana hanya mampu mendoakan kesejahteraan anda sekalian dengan penuh harapan pada Pemberi Harapan. Ana bertuah mempunyai anda yang sentiasa memberi sokongan untuk penyebaran dakwah menerusi blog kita ini.

Didoakan anda semua sentiasa di dalam rahmat Allah seta diliputi ketenangan hakiki sesejuk embun yang menghidupkan daunan.

Salam rendah hati dan terharu dari Ana buat anda yang Ana cintai.-Sufifaqir-

PERHATIAN

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian.
Blog sufifaqir mulai hari ini akan ditukar kepada http://sufifaqir.blogspot.com/. Harap sahabat-sahabat sekalian dapat terus memberi sokongan buat blog kita ini.Jazakumullah.

Blogger Template by Blogcrowds