لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
Maksudnya : HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu ."

Salam Zulhijjah buat sahabat-sahabat yang Ana hormati. Rasanya dah lama jari Ana tidak menekan-nekan keyboard laptop ni. Kesibukan harian serta kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan Ana terpaksa mengambil peluang secukupnya dahulu untuk berehat. Inilah Sunnatullah..sihat lawannya sakit, hidup lawannya mati...Allahuakbar..

Rupa-rupanya, sedar tak sedar Zulqaedah telah meninggalkan kita. Tibalah Zulhijjah pula mengambil tempatnya. Subhanallah..betapa pantasnya masa berlalu..Ana sendiri menyambut Zulhijjah yang juga bulan kelahiran Ana kali ini dengan demam yang agak kuat. Sewaktu Ana menaip artikel ini, Ana sedang demam.

Pun begitu, Ana gagahi juga untuk meneruskan kuliah mingguan..gagahkan jugak kaki ni untuk memijak anak tangga masjid. Dan bila tangan mula pegang mic, melihat jemaah-jemaah yang hadir, kuat kembali hati ni. Demam pun dapat diubati dengan penyembuhan jiwa..

Benarlah kata para Ulama Tasauf bahawa kesihatan hati pasti membawa kepada sihatnya fizikal...Allahuakbar..

Sahabat-sahabat sekalian..

Sebenarnya setiap kali Zulhijjah bertamu, ia mengingatkan kita terhadap perhimpunan agung di Tanah Haram. Berjuta-juta manusia dari seluruh pelusuk dunia datang melaungkan Talbiah memuji Allah SWT dan mengagungkan zatNya Yang Maha Sempurna. Mengiringi Talbiah yang diucapkan dengan penuh keinsafan terhadap maksud kalimat-kalimah pujian tersebut.

Sedaya yang mampu ditunaikan rukun Islam yang kelima itu. Dengan kesabaran, kecekalan dan segenap tujuan yang dihimpunkan di dalam dada hanyaah padaNya semata. Berdoalah kita agar mereka yang sedang menjadi tetamu Allah SWT, selamat sejahtera serta diterima ibadat mereka oleh Allah Yang Maha Pengampun lagi Penyayang. Amin..Allahuakbar...

Sebenarnya..Haji merupakan perhimpunan yang tersurat bagi makna terhadap adanya satu perhimpunan yang tersirat iaitu Masyar..

Sebagaimana Haji merupakan perhimpunan yang bertujuan untuk menyahut seruan Allah sebagai tetamuNya di negeri tanah kelahiran junjungan kita Baginda SAW, begitu juga dengan Masyar Allah. Sekali lagi kita dihimpunkan. Tetapi kali ini dengan lebih ramai. Bukan sahaja Muslimin, bahkan Kafirin, Musyrikin. Bukan sahaja manusia, bahkan segala jenis dan bentuk makhluk Allah SWT. Bukan sahaja ummat ini, bahkan ummat-ummat terdahulu..Semuanya dikumpulkan untuk menyaksikan apa yang telah kita laksanakan. Allahuakbar...

Semuanya tersirat di sebalik Zulhijjah, salah satu bulan haram di antara 4 bulan haram di dalam Islam.

Allah SWT telah menegaskan tentang bulan-bulan haram ini sebagaimana FirmanNya :

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram…” (At Taubah:36)

Di dalam Tafsir Al-Jalalain menyebut bahawa yang dimaksudkan firman Allah : "diantaranya empat bulan haram .."itu ialah “Empat bulan Haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.” Inilah yang telah disepakati oleh Ulama' dan umat Islam diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Di dalam bulan ini juga terdapatnya ibadat Haji dan hari Arafah. Selain dari ibadat Haji, pada hari Arafah pula disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji untuk melakukan ibadat puasa. Rasulullah SAW juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura'.

Ibnu Jarir At-Thabari telah meriwayatkan melalui sanadnya, dari Ibnu Abbas Radhiallahu A'nhu terhadap pengagungan Allah terhadap kesucian bulan-bulan ini dengan katanya :

“Allah Ta’ala telah menjadikan bulan-bulan ini sebagai (bulan-bulan yang) suci, mengagungkan kehormatannya dan menjadikan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini menjadi lebih besar dan menjadikan amal shalih serta pahala pada bulan ini juga lebih besar.” (Tafsir ath Thabari)

Ibnu Katsir mengatakan,:

“Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu hanya ada empat. Tiga bulan secara berururtan dan satu bulannya berdiri sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka , ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang letaknya sebelum bulan-bulan Haji, yaitu bulan Dzulqa’dah, karena ketika itu mereka menahan diri dari perang. Sedangkan bulan Dzulhijah diharamkan(disucikan) karena pada bulan ini mereka pergi menunaikan ibadah Haji, dan pada bulan ini mereka menyibukkan diri dengan berbagai ritual manasik Haji. sebulan setelahnya, yaitu bulan Muharram juga disucikan karena pada bulan ini mereka kembali dari Haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai. Adapun bulan Rajab yang terletak di tengah-tengah tahun diharamkan (disucikan) karena orang yang berada di pelosok Jazirah Arabia berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang berkunjung ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.” (Tafsir Ibni Katsir)

Namun begitu, sekiranya kita menyelusuri sejarah dan Sirah, sebenarnya pada bulan Zulhijjah ini pernah berlaku peperangan yang dikenali sebagai peperangan Sawiq. (Tepung)

Peperangan ini berlaku akibat dendam kesumat Musyrikin Makkah yang diketuai oleh Abu Sufiyan akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang berlaku kira-kira 2 bulan sebelum peperangan Sawiq ini.

Kekalahan dan tertewasnya pemuka-pemuka Musyrikin Quraish Makkah dalam peperangan Badar yang lalu, menyemarakkan kesumat Abu Sufiyan sehingga menyebabkan Abu Sufiyan bersiap sedia bersama 200 orang berkenderaan telah bergerak menuju Madinah, bandar Rasulullah SAW untuk melaksanakan api dendamnya.

Ana memetik apa yang disebut di dalam kitab ألرّ حيق المختوم : السيرة النبوية (oleh Syeikh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri ) menyatakan apabila rombongan Abu Sufiyan ini telah sampai di satu kawasan bernama Sadr Qanah iaitu satu laluan yang menuju ke sebuah bukit bernama Nabib yang berdekatan dengan kota suci Madinah, rombongannya itu telah berhenti di situ.

Abu Sufiyan telah merancang strategi untuk menyerang Madinah dengan cara sembunyi kerana pada fikirannya menyerang Madinah secara terbuka umpama menempah maut. Apatah lagi mengingatkan kekalahan dan kehinaan yang telah menimpa mereka ketika tewas di tangan Rasulullah SAW dan Muslimin di dalam peperangan Badar yang lalu.

Melalui strateginya itu, Abu Sufiyan telah menyelusup masuk ke pinggir-pinggir Madinah pada waktu malam secara sembunyi dan berusaha untuk mendapatkan rahsia dan maklumat dari golongan Munafiqin.

Dan ianya berhasil apabila Sallam bin Mishkam iaitu ketua Bani Al-Nadir bersetuju untuk memberi maklumat. Maka berlansunglah perbincangan mereka disaksikan Allah SWT di malam yang gelita itu.

Setelah mendapat maklumat yang secukupnya dari Sallam bin Mishkam, Abu Sufiyan telah mengutus satu kumpulan kecil untuk menyerang satu kawasan di pinggir Madinah Al-Munawwarah yang dikenali sebagai Al-A'rid. Di situ, mereka telah memotong dan membakar pagar-pagar kebun kurma serta membunuh 2 orang penduduk yang terdiri dari kaum Ansar dan sekutunya.

Apabila berita pembunuhan itu sampai kepada Rasulullah SAW, dengan segera Baginda mengejar Abu Sufiyan yang mula melarikan diri setelah dapat menghidu pemburuan Rasulullah SAW terhadapnya. Ketika melarikan diri itu, Abu Sufiyan telah membuang Sawiq (tepung) serta bekalan-bekalan lain semata-mata untuk meringankan bebanan mereka agar pantas dapat meninggalkan Madinah.

Sungguhpun Baginda dan tentera Muslimin telah mengejar mereka sehingga ke Qarqarah Al-Kudr, namun mereka berjaya meloloskan diri setelah melakukan operasi pembunuhan dan kekacauan terhadap penduduk Ansar.

Jika kita menyelusuri Sirah melalui peperangan Sawiq ini, dapat kita fahami bahawa kaum Musyrikin Makkah sebenarnya merasa begitu terhina akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang lalu. Sehinggakan mereka tidak dapat tidur lena dan telah mengucapkan kata-kata nazar yang aneh sebagai bukti kesumat mereka yang tidak pernah terpadam selagi Rasulullah SAW tidak dibunuh.

Abu Sufiyan sendiri pernah menyatakan dalam nazarnya :

" Sesungguhnya aku tidak akan sekali-kali membasahkan kepalaku jika berjunub selagi belum dapat membunuh Muhammad "

Bahkan isterinya Hindun binti U'tbah sendiri ketika menzahirkan kebenciaannya kepada Baginda pernah mencadangkan agar Maqam Bonda Rasulullah SAW digali dan mayatnya dihina.

Ini dinyatakan oleh Hindun kepada Musyrikin Makkah ketika tentera Musyrikin ini sampai di Abwa' iaitu tempat pengkebumian Bonda Baginda SAW ketika perjalanan mereka untuk memerangi Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud.

Namun cadangan ini ditolak kerana pimpinan Quraish kerana bimbang terhadap risiko buruk yang bakal mereka hadapi sekiranya cadangan Hindun Binti U'tbah dilaksanakan.

Betapa buruknya dendam kesumat mereka. Sehinggakan sanggup melaksanakan kebenciaan dan api dendam mereka terhadap Rasulullah SAW walaupun terhadap mayat.

Teringat Ana akan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, di mana ketika Rasulullah SAW mengesat darah yang mengalir dari kepala Baginda akibat terkena panahan musuh dan mengakibatkan 2 manik dari baju besi Baginda tertusuk ke dalam pipinya yang mulia dan patahlah gigi seri Baginda, bersabda Baginda :

" Sesungguhnya Allah sangat murka kepada kaum yang telah mendarahi wajah RasulNya. "

Kemudian Baginda terdiam sebentar lantas berdoa :

" Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui." ( Sahih Muslim :Bab Ghazwah Uhud )

Subhanallah..betapa pemaafnya Baginda SAW terhadap Musyrikin walaupun mereka tidak putus-putus menyakiti Baginda.

Mudah-mudahan Zulhijjah ini menambahkan kecintaan kita kepada Baginda SAW lebih-lebih lagi bagi mereka yang dijemput Allah sebagai tetamuNya tahun ini.

Perbanyakkanlah kita mengingati Allah SWT dan Rasulullah SAW agar Zulhijjah yang datang ini dapat menjernihkan hati dan fikiran sesuai dengan semangat bulan haram yang disucikan dalam erti kata yang sebenarnya. Labbaikallahh...

Kali ini Ana akan tulis satu artikel yang paling pendek. Maklumlah sebelum-sebelum ni kan selalu panjang je Ana taip. Sekali-sekali apa salahnya jika Ana taip pendek sikit dari biasa. Sebab pendek dan panjang bukan ukuran. Pengisian dan keikhlasan yang paling utama.

Kalau nak diikutkan, ramai je orang yang taip panjang-panjang, tapi amalannya sikit-sikit. Ada juga yang taip sikit-sikit tapi amalannya panjang-panjang. Kalau boleh, biarlah kita taip panjang-panjang dan amalan kita pun panjang-panjang. Jangan tergolong kita dalam golongan yang taip sikit-sikit, amalan pun sikit-sikit. Wanau'zubillah.

Apa yang penting dan yang kita mahu agar panjang?

Umur?

Nikmat?

Sihat?

Kuasa?

Banyak kan?

Kalau nak ditaip apa yang kita mahu agar berpanjangan..tentu panjang pulak artikel ni kena taip. Lagipun Ana dah janji tadi nak taip pendek.

Sebenarnya di sebalik yang panjang tu, ada juga yang pendek-pendek kita minta. Apadia?

Sakit, exam, ujian, kesusahan dan lain-lain..

Semuanya kita minta agar pendek-pendek je..

Emm..Sebenarnya cuba bagitahu betul-betul..kita ni nak panjang ke nak pendek?

Jangan main-main dalam hal panjang pendek ni! Silap panjang, murka Allah yang kita dapat. Kalau begitu? Nak pendek?

Jangan main-main tau! Silap pendek..berdosa pulak!

Ya Allah..kalau macam ni..nak minta yang mana satu?

Mudah je. Jangan minta panjang, jangan minta pendek...Tapi mintalah RedhaNya. Kalau tanpa redhaNya, panjang dan pendek tidak berguna..

Pendek kan?

(Di pintu dapur kita, Die sentiasa bersandar di situ, merebahkan belakang di 'belakang Cik'..)

Nenda..
Pagi ini..kicauan burung,
Membawa ku Pulang,
Ke kampung kita..

Pagi di sana tidak seperti ini..
kicauan burung menyapa,
Disini?..deruan kereta..

Nenda..
Aku kan pulang Nenda..
menemani mu lagi,
di Pusara..

Keramat!
Ya Nenda..Keramat sungguh nasihatmu,
Menemani langkah,
Musafir faqirku,

Bagai pelita di rumah kita..
Di teratak mulia..

Nenda!
Jiwaku mejerit..:
"Aku Terlalu Rindu Padamu..!"

Namun jariku beradab,
menulis jeritan
dengan bahasa perasaan..

Nenda,
Apakah ertinya ini?
Terkurung di hutan batu,
sedang hati di hutan hijau..

Dan saat ini Nenda..
Air mataku turun lagi..
umpama tasbihmu..
yang mengikat cinta dalam satu untaian..

menghitung..

menghitung..

menghitung..

dan menghitung..

Sedang hati bertanya :
"Bilakah akan menggengam butir terakhir?"

Nenda,
Aku terlalu cinta padamu..
Sungguh!

Terlalu rindu untuk mengucup,
Dua matamu yang mulia..

Saat ini Nenda,
Dua tapak tangan ini,
menyeka titisan rindu,
Yang sekian lama,
gelora di jiwa..

Dan..
Ia menitis lagi Nenda..

Sedang aku tidak mahu ia berhenti..
Agar Allah menjadikannya saksi,
betapa cinta ku ini,
Sentiasa membara..

Di Suatu waktu itu..pasti,
Tapak tangan memutih ini,
tidak akan lagi sepasang,
untuk berdoa padamu,

Akan ku ajar zuriat berbicara padaNya :

"Ya Allah..Ampunilah Nenda kami..
Rahmatilah ia..
Pertemukanlah kami dengannya..
insan tercinta kami..
Nenda Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al-Yahya..
Amiin.."

Nenda..
Dengarkah doa anak kecil itu Nenda?
Suaranya halus,qudus,suci..
Sesuci tapak tanganmu..
yang sentiasa ingin aku kucupi..
Wangi..bunga tanjung..

Dan tanganmu yang menyuap itu,
Telah jua memeluk dada..
saat engkau menghadap Ilahi..

Nenda,
Untuk kesekian kalinya,
Ku ulangi lagi..
Dengan rendah hati,
Sepuluh jari kecil,
ku susun beradab,
Sedang hati menaruh harap..

Kubisik perlahan:

"Ampunilah dosa dan khilaf anakanda..
Moga Nenda tenang di sana.."

Bukankah Nenda telah mengajar :
"Aliff, Baa, Taa..?"

Lalu ku iringi cinta ini,
bersama firman suci,

Nenda,
kerinduan ini pasti buatmu
Selamanya..
Ia semata Firman Tuhan
Dan pesan Rasul junjungan..

cinta 2

(Kutitipkan kerinduan ini buat Ahlil Bait yang kucintai : Nenda Hajjah Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al Yahya, Nenda Hajjah Tuan Nafisah Binti Syed Abdullah, Bonda Hajjah Tuan Sharifah Akmal Binti Syed Salleh, Bonda Tuan Syarifah Nurhaslina Binti Syed Abu dan seluruh ahli keluarganya serta buat Ummiku tercinta Syarifah Yasmin Binti Idros Al-Idros)

Hati..
Disinilah (telunjukku menekan dada) jatuhnya pandangan Rabb. Kilang janaan cinta pada Pencipta Cinta. Yang dengannya Mahabbah itu dijana sedikit demi sedikit sehingga akhirnya dipenuhi dengan Halawah Iman. Lantas ketika itulah hati akan terfaham terhadap hakikat bagi sebuah kehidupan.

Maka memujilah bibir kering (kerana berpuasa) untuk membasahkan hati (dengan Zikrullah). Tenggelam dalam kemanisan yang berpanjangan selagi Allah di dalam hati...

Kerana Dia telah memberi hidayah kepada hambaNya yang dikehendaki maka memujilah hambaNya itu dengan penuh kehinaan. Berusaha mengalirkan titisan jernih agar ia menjadi saksi ketika diukur sifat makhluk padanya di Yaumul Mahsyar nanti..maka mata itu akan membela :

Ya Rabb..sesungguhnya aku pernah menitis kerana Khauf padaMu!

Tertanam keyakinan pada kalamNya. Dan tiada daya dan upaya bagi hati sehingga untuk mencari hidayah pun hanyalah dengan seizinNya.

Maka ketika itu, Makrifatullah yang telah terhasil dalam hatinya akan mula membentuk disiplin-disiplin anggota badani. Tangannya, kakinya,matanya, pendengarannya bahkan niatnya..semuanya menyungkur sujud pada Allah.

Yang pasti semestinya segala nikmat pinjaman itu, dikembalikan dalam keadaan suci kerana Peminjam dan Pemberinya Maha Suci.

Dan saat ini pun akan ditanya nanti!

Dia akan bertanya : "Wahai yang menulis..apakah niatmu di saat penamu ini membentuk huruf-huruf cantuman lalu ditatap ribuan mata terhadap kemuliaanKu yang engkau nyatakan? Sebagaimana yang engkau harapkan pada mata-mata yang menatap..apakah itu juga yang engkau qosadkan dalam hatimu?"

Bertanya lagi Dia: "Wahai yang membaca..apakah niatmu di saat-saat matamu beralih dari huruf demi huruf, kalimah demi kalimah ini? Adakah Mahabbah padaKu yang engkau harapkan setelah menggunakan nikmat-nikmat pinjamanKu untuk menatap? Atau sekadar memenuhi masa singkatmu yang pasti ada saat memutuskannya dari segalanya ini?"

Subhanallah..! Tunjukkilah kami kepada hakikat cinta yang sebenar-benarnya! CintaMu..

Maka Allah mengabulkan doamu itu..diutuskan seorang Nabi untuk menunjukkan bagaimana gelora dan asyik cinta itu sepatutnya dizahirkan! Iaitu Lelaki Quraish yang mulia dan menyuburkan kemuliaan itu bagi mereka yang menyintainya..

Sehinggakan setiap yang memandang padanya..Demi Allah..akan terpancarlah Nur ketenangan wajahnya itu ke dalam hatimu lantas akan mengikat hatimu itu padanya..!

Ruhmu akan mula merinduinya!

Hatimu akan penuh dengan cinta padanya!

Nafasmu akan bergelora kerana panahan cintanya yang membawa pada cintaNya!

Pun begitu..rindumu itu dan cintamu itu jika hendak dibandingkan dengan rindunya dan cintanya padamu..Demi Allah dia selalu mengatasimu!

Itulah yang mengikatmu wahai insan!

Sungguh dia telah mengikatmu!

Dia pencinta sejati!

Pengemudi haluan cinta bagaimana seharusnya hatimu digali sedalamnya agar semakin lama, semakin lama, semakin lama di gali, makin terkumpullah mata air suci yang pasti membasuh kekaburan pada hatimu..

Cintailah dia..Nabi Muhammad SAW!

Tahukah kamu..di antara 2 kulit Mushaf yang suci itu, Demi Allah tidak pernah pun Allah memanggil Nabimu ini dengan :
!يا محمد

Sedangkan Nabi-Nabi lain diseru dengan namanya :

وما تلك بيمينك يا موسى؟
Maksudnya : "Dan apakah ditangan kananmu Ya Musa? (Surah T0ha: Ayat 17)

يزكرياّ اناّ نبشّرك بغلم اسمه يحي
Maksudnya : "Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira padamu dengan berita kelahiran seorang anak lelaki yang bernama Yahya...(Surah Maryam: Ayat 7)

Sungguh! Kesemua Nabi-Nabi, diseru dengan namanya..

Lalu bagaimana Nabi kami diseru?

Nabi yang mulia ini diseru :

يأيّها الرسول بلّغ ما أنزل اليك من رّبّك
Maksudnya : " Wahai Rasul..sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu..(Surah Al-Maidah: Ayat 67)

Nabi ini diseru lagi :

يأيّها النّبىّ جهد الكفّار والمنفقين واغلظ عليهم
Maksudnya : "Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang Kafir dan Munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka..(Surah At-Taubah:Ayat 73)

Subhanallah! Nabi ini diseru dengan penuh lembut oleh Allah SWT. Sebagai tanda betapa mulianya penghormatan Allah terhadap Baginda.

Dan inilah jua yang disebut oleh Al-A'llamah As-Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sya'rawi (Semoga Allah merahmatinya) , seorang mufassir yang telah kembali ke Rahmatullah dan amat terkenal di abad ini.

Dan betapa Allah melarang ummatnya ini mengangkat suara ketika berbicara dengan Baginda sebagaimana Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لا تَشْعُرُونَ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dgn suara yang keras sebagaimana kerasnya sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, (ia adalah agar) supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedarinya." (Surah Al-Hujurat: Ayat 2)

Betapa Allah telah mengajar manusia agar mencintai dan merendah diri padanya.

Bahkan Sayyidina Abu Bakar turut membuktikan kesopanannya terhadap Baginda. Dimana ketika Sayyidina Abu Bakar R.A menyampaikan khutbah, Abu Bakar tidak pernah berdiri di anak tangga yang biasa Rasulullah SAW berdiri padanya ketika hayatnya di saat menyampaikan khutbah.

Mengapa begitu wahai kekasih Nabi?

Jawabnya : "Semata-mata aku menghormati Baginda..
Bukankah di anak tangga pertama itu tempatnya Baginda berdiri? Maka biarkanlah aku berdiri pada anak tangga yang kedua ini.."

Subhanallah! Tingginya Mahabbahmu kepada kekasihmu itu, Ya Abu Bakar!

Sucinya cintamu kepada kekasihmu itu, Ya Abu Bakar!

Bahkan apabila nama Baginda disebut setiap kali Abu Bakar berkhutbah, pasti dia menundukkan kepalanya seketika lalu berhenti dari khutbahnya!

Mengapa engkau berhenti Ya Abu Quhafah?

Rupanya Abu bakar menangis teresak-esak kerana kerinduan pada Baginda SAW!

Maka bergemalah Masjid Nabawi itu dengan tangisan jemaah yang berkumpul. Mereka turut menangis apabila mendengar betapa pilunya esakan Abu Bakar yang amat merindui kekasihnya..kekasih kita..

Semoga Allah menjadikan hati kita terkumpul di antara hati-hati yang mahabbah padaNya dan RasulNya yang mulia. Cintailah dia sepenuhnya..

Fana dan fana..

Nabi ini telah mengajar kami agar segenap zahir batin yang fana ini hanyalah diserahkan kepada Zat yang tidak sekali-kali fana!

كلّ من عليها فان * ويبقى وجه ربّك ذو الجلل والاكرام
Maksudnya : Semua yang ada di bumi itu pasti binasa * Dan yang tetap kekal hanyalah Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (Surah Al-Rahman : Ayat 26)

Ya Allah..Sungguh dia telah menunjukkan jalan Mahabbah padaMu itu! Dan kami bersaksi dia telah membuktikan kecintaan itu..dengan Mahabbah..Tulus, Qudus..

Sehinggakan kami telah ketahui dari athar-athar yang terjaga bahawa matanya, kakinya,pendengarannya dan seluruhnya itu turut sujud padaMu!

Bahkan mempunyai sifat malu pada anggotanya itu..

Sejak itu..Demi Allah!

Kami menyimpan cita-cita di dalam dada..bahawa kami ingin sekali menyalami tangannya. Menyela-nyela jari kami di celahah jari sucinya..

Bahkan wajah yang mulia itu kami sangat harapkan agar dapat ditatapi. Kerana sekiranya mata-mata ini tidak dapat memandangnya pada hari Kiamat (minta dijauhkan Allah SWT), masakan Syafaatnya kami terima?

Lalu terduduklah kami..!!

Mengerutkan dahi dan mula mengamati setajamnya terhadap apa yang telah dibuat oleh keseluruhan pancaindera kurniaanMu ini Ya Rabb!

Di saat mata hati ini berharap dengan seharap-harapnya untuk menyalami tangan yang mulia itu..tiba-tiba teringat kami akan noda dan dosa yang terpalit padanya..

Benarkah tangan? Tangan pun mengiyakannya!

Bagaimana tangan mengiyakannya?

Dengan izin Allah SWT yang berfirman :

اليوم نختم على أفوههم وتكلّمنا أيديهم وتشهد أرجلهم بما كانوا يكسبون
Maksudnya : Pada hari ini Kami tutup mulut mereka: Dan berkata-katalah tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka turut menjadi saksi kepada Kami di atas apa yang telah dilakukannya. (Surah Yaasin : Ayat 65)

Bukankah tangan ini memegang yang haram ketika ada ruhnya (upayanya)? Sedangkan Tangan Baginda amat terjaga dari yang haram!

Lalu bagaimana?

Sekiranya tangan ini tidak diizinkan menyalami lantas mengucupi tangan mulianya yang terjaga dari yang haram..dengan jalan apa lagi hendak kami kenalkan diri ini pada Baginda di padang Masyar?

Dengan mata?

Pun tidak!

Mengapa wahai mata?

Lalu mata menjawab : Sesungguhnya aku telah melihat yang haram! Sedangkan matanya yang mulia itu amat terjaga dari yang haram..

لا حول لنا ولا قوّة الاّ بالله العليّ العظيم
Tiada daya upaya dan kekuatan sedikitpun bagi kami kecuali seizin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Duhai Allah..

Allah..Allah..Allah..

Yang Maha Menguasai setiap makhlukNya..

lagi Maha Pemurah KeampunanNya..

Ampunkanlah kami serta pandanglah kami ini dengan pandangan RahmatMu..agar dengannya dapat pula kami memandang pada wajahnya yang mulia itu di hari yang tiada Syafaat kecuali SyafaatMu melaluinya..

Hanyalah padaMu lah talqin buat hati..Hanya padaMu lah pengaduan ini..

Petang tadi Ana ke stesen bas Cheneh Baharu. Hantar Wan, Mak dan Mak Nda balik ke Kuala Berang. Balik selepas kami berempat melawat dan bermalam kat rumah Tokwan saudara Ana yang tiba-tiba jatuh sakit.

Sebenarnya selepas dapat sms ringkas dari Acik pagi kelmarin, Ana bergegas pulang ke Cheneh. Katanya Tokwan Ana tu masud wad. Demam takda, pening takda..tiba-tiba je sampai berita ..dah masuk wad?

Emm..beginilah hidup. Ada asam garamnya. Sihat lawannya sakit, hidup lawannya mati. itulah Sunnatullah..

Teringat pula Ana pada Firman Allah menerusi lidah RasulNya yang mulia,Nabi Ibrahim A'laihi As-Salam :

واذا مرضت فهو يشفين

Maksudnya : Dan apabila aku sakit, Dialah Yang Menyembuhkan ku. (Surah As-Syua'raa : 80)

Subhanallah...betapa benarnya kalam Allah ini. Tersurat padanya penyerahan secara total para hamba dengan Rabbnya, makhluk pada Khaliknya..

Sebenarnya ayat Al-Quran yang telah dijadikan doa ini merupakan antara kandungan dakwah Nabi Ibrahim A.S kepada ayahnya yang enggan menerima risalah tauhid yang dibawa ketika itu. Jadi, elok benar kita sama-sama amalkannya dan dapat pula kita sebarkan pada semua.. Amin.

Zikrullah..

Dah terlanjur bicara tentang sakit ni, elok sangatlah kita tinjau-tinjau apakah amalan yang biasa dilakukan oleh kita di waktu sakit walaupun waktu sihat, jarang-jarang sangat kita buat.. ..apa lagi kalau bukan Zikrullah...

Kalimah Zikrullah bukanlah satu kalimah yang asing di telinga kita walaupun mungkin ia asing bagi lidah dan hati kita. Wanau'zubillah!

Seingat Ana la kan..waktu sakit, mulut kita sentiasa menyebut-menyebut Allah. Biasa sangat kita ucap :

" Ya Allah...sakit sangatlah aku ni..."

ataupun kita ucap :

" Aduuhhh..sakitnya Ya Allah..."

dan macam-macam lagilah...

Tak kiralah samaada kita panggil Allah dulu ke di awal keluhan sakit kita tu..atau kita tukar mengaduh dulu...barulah kita sebut nama Allah..

Tapi yang pasti..kita sebut banyak-banyak kali kan?. Maklumlah ketika itu kita baru nak Allah. Baru nak ingat Allah... Itupun setelah puas kita panggil :

" Doctor..Doctorrr..."

Sedihnya! Inikah kita? Yang sentiasa menerima nikmat Allah tanpa batasan tetapi lupa untuk memujiNya? Bukankah Dia-lah yang telah mengizinkan tanganmu setiap hari menyuap rezekiNya dan kemudian dikurniakan pula nikmat kenyang?

Berzikirlah! Bawak-bawaklah berubah..Sampai bila kita nak jadi macam ni? Malulah pada makhluk Allah yang lain. Mereka pun tahu berzikir!

Firman Allah SWT :

تسبح له السموت السبع والارض ومن فيهن وان من شىء الا يسبح بحمده ولكن لا تفقهون تسبيحهم انه كان حليما غفورا

Maksudnya : Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatupun kecuali bertasbih memujiNya tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Dia-lah Allah Yang Maha lembut lagi Maha Pengampun. ( Surah Al-Isra' : 44)

Firman Allah SWT :

ويسبح الرعد بحمده والملئكة من خيفته

Maksudnya : Dan guruh itu bertasbih memuji Allah, ( demikian pula ) para Malaikat kerana semata-mata takut kepada-Nya...( Surah Ar-Ra'du : ayat 13 )

Berzikirlah kita ..berzikirlah..


Sahabat-sahabat sekalian..Agak-agak kitalah..apa maksud Zikrullah ye?

Secara ringkasnya Zikrullah bermaksud menyebut-nyebut nama Allah. Iaitu menyebut-nyebut dan mengulang-ngulang kebesaran, kesempurnaan, kesucian dan segalanya. Puja dan pujian yang hanya kembali pada Zat Yang Maha Sempurna iaitu Allah.

Ia adalah bertujuan untuk mendekatkan diri padaNya semata..

Zikrullah juga merupakan ibadat yang tiada sempadan dan hadnya. Bahkan ketika haid pun, tetap saja digalakkan membasahi lidah dengannya. Ia adalah lambang penghubung makhluk dan Rabbnya dan merupakan penzahiran terhadap penghinaan diri lantas membesarkan Allah SWT..

Di dalam satu Hadis Qudsi, Allah SWT telah berfirman :

انا عند ظن عبدى وانا معه اذا ذكرنى

Maksudnya : Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku terhadap diriku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingati-Ku.


Bahkan Abdullah bin Abbas Radiyallahu A'nhu telah berkata :

Sesungguhnya setiap kewajipan yang telah Allah SWT perintahkan kepada hamba-hambaNya ada batas-batasannya. Bagi yang uzur, dimaafkan olehNya. Namun tidak bagi Zikrullah. Tidak ada batas dan uzur yang dapat diterima untuk keringanan dari Zikir kecualilah apabila aqal itu sudah berubah menjadi gila.


Telah berkata Abu Qasim Al-Qusyairy :

Zikir itu adalah lambang kewalian serta umpama jiwa bagi segala amalan..

Lihatlah! Betapa besarnya keutamaan berzikir memuji Allah SWT ini.

Dengan merintih dan membasahi lidah sebagai pujian yang tidak putus-putus pada-Nya itu, sebenarnya secara tidak lansung kita mengakui kelemahan diri. Mengakui kekerdilan diri lantas menghapuskan riak, takabur dan segala pakaian Allah yang telah kita sarung selama ini!
Bukankah Dia-lah yang tidak putus-putus memberi dan mengurniakan?

Berzikirlah kita..berzikirlah!

Sedaya-upaya mengingatkan diri dan mengasuh hati agar tidak lalai serta alpa pada qudrat-Nya.

Sedangkan dalam zikir pun boleh lalai apatah lagi jika meninggalkannya. Berkata Syeikh Ibnu A'thoillah dalam Al-Hikamnya :

لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه لأن غفلتك عن وجود ذكره أشد من غفلتك فى وجود ذكره

Maksudnya : Jangan meninggalkan Zikrullah! Kerana (bukankah) kamu tidak dapat mengingati Allah sepenuhnya walaupun sedang berzikir. (Oleh itu) lalai bagi orang yang lansung tidak berzikir (adalah) lebih bahaya dari mereka yang lalai ketika (tetapi masih dalam ) berzikir.

Bukankah lalai dan lupa itu adalah sifat Iblis? Ayuh..berzikirlah..

Blogger Template by Blogcrowds