Kenangan 2

Alhamdulillah. Dapat menulis sikit hari ni setelah lama benar Ana tinggalkan keyboard. Walaupun sesekali sempat juga Ana singgah untuk melihat hits dan kunjungan rakan-rakan, namun hari ni barulah benar-benar dapat menulis kenangan-kenangan yang dah bertandang tapi tak sempat nak diabadikan.

Bila dah lama tak menulis, terasa banyak yang hendak disusun dan dikongsi. Rata-rata sahabat Ana bertanya juga :

" Ustaz, nape lame benor tak menulis..ape ustaz sibuk bebenor ke? "

Tanya kawan dari perak menerusi mesej. Tersenyum Ana. Tersenyum kerana mengingatkan gaya bahasanya yang tak lekang dari loghat peraknya. Sama dengan Ana jugalah. Lebih selesa berbicara dalam bahasa Terengganu.

Dan soalan-soalan lain yang datang bertamu ke dalam kotak mesej phone Ana ni. Semuanya bertanya tentang penulisan..

Seingat Ana..kali terakhir Ana menulis betul-betul ialah tentang warkah buat Anakanda. Ada dua warkah yang sempat Ana kongsikan bersama anda yang tak jemu-jemu mengikuti blog sufifaqir ini. Selepas tu..Ana menulis main-main je sebagai isyarat sufifaqir masih bernafas..bernafas dalam kesibukan.

Semalam..Ana hubungi cikgu Ana..cikgu Rosni. Ana imbaskan kembali perbualan kami semalam ye :

" Assalamualaikum cikgu.."
" Waalaikumsalam..sape ni..?"


..." Emmm saya ni cikguu..Rashidy..anak murid cikgu darjah satu kuning dulu.."


" OOooo..Rashidy...Terima kasih kerana sentiasa ingat cikgu. Tapi kan Rashidy..sebenarnya saya masih hairan nape Rashidy ingat sangat kat saya ye? Seingat cikgu..cikgu mengajar kat SKKB setahun je ..lepas tu cikgu pindah.."


" ...Emmm tak tahulah cikgu..saya memang ingat sangat kat cikgu dan banyak tahun dah cuba cari cikgu..agaknya waktu cikgu mengajar warna-warna pakai bola getah yang budak-budak sekolah main waktu pendidikan jasmani agaknya buatkan saya ingat cikgu.."..

.....................

Ana berhentikan dulu perbualan tadi. Sebabnya kalau Ana taip semua, tak sampai pulak apa yang Ana nak sampaikan ni. Ana nak berkongsi tentang kenangan lampau yang kadang-kadang dikuatkan dengan alat-alat bantuan yang kita tengok.

Ada orang..tengok kertas minyak yang warna coklat tu..dia akan ingat balik tentang coklat nisan  (Tak tahu istilah persuratan panggil apa. Tapi coklat ni dibuat dari manisan dan disalut gandum).

Ada orang..tengok je kertas warna..ingat balik pengalaman buat wau kat kampung. Kalau tak cukup gam..guna nasi lecek sebagai ganti gam kanji.

Ada orang..tengok je kertas lukisan..teringat balik lukis kartun ultraman, semut merah, dan gambar permandangan. Mesti ada dua buah bukit..tengah-tengah ada matahari separuh yang terbenam. Ada jugak burung yang dilukis macam huruf  'M' dan ada sawah berpetak-petak. Ada juga 2 pohon kelapa (kat kampung Ana panggil buoh nyor) kiri dan kanan bukit tadi. Dan kalau nak lukisan real..biasanya guna minyak bagi nampak gambar yang nak ditiru. Kemudian terap (lukis balik) dari atas kertas yang kosong tu..

Ada orang bila tengok bola getah warna merah, biru, kuning, hijau, gelung rotan atau minyak hitam yang dibuat garisan kat padang bola di sekolah-sekolah..teringat balik kenangan sekolah rendah dulu..PJ atau pendidikan jasmani satu subjek yang ditunggu-tunggu..

Dan macam-macam lah..lagi..
Semuanya membangkitkan kenangan lampau. Kenangan indah yang sentiasa terpahat di hati.

Ana sendiri pun..selain dari apa yang telah Ana taip tadi..kalau tengok hujan menderu..selalu je teringat pada besen yang beratur kat rumah kami. Buat menadah titisan air hujan yang turun menerusi atap bata..

Batu giling yang masih ada kat rumah pun bila je tengok seakan-akan terdengar bunyinya yang sedang menggilis kunyit dan lada..

Botol hijau besar yang masing-masing rumah kampung simpan untuk simpan minyak gas (Tanah) bila tengok je..mesti teringat-ingat waktu maghrib hari-hari black out kat kampung.

Tu belum lagi cerita tentang pelita kat rumah yang sentiasa dipasang setiap malam..apinya meliuk-liuk..menghiburkan mata peneman lena..

Banyak kan? ada lagi ni...tapi kali ni Ana taip ringkas je lah. :

Tilam Kekabu, Kawe (Kopi), Cermin yang ditutup dengan kain setiap kali hujan petir melanda dan lain-lain..

Ana nak kena berenti dulu jap ye..sebab kawan Ana Aizam ajak balik sekarang. Jap lagi kita sambung. Wassalam.

Alhamdulillah pada 25 haribulan selepas solat maghrib, Ana dapat panggilan dari guru ana yang dah lama ana cari iaitu cikgu Rosni. Alhamdulillah.

Alhamdulillah pada malam ni 27 november jam 11 malam, ana dapat anak saudara pertama namanya Muhammad Rayyan bin Abu Al-Usamah. Alhamdulillah.

Terima kasih di atas doa anda semua.

NOTED

1-Bagaimana nak agihkan zakat rm12,000 dalam masa 2 hari kepada mereka yang benar benar layak di kawasan pedalaman.

2-Uruskan anak kecil Amrina Rasyada.

3-Bersama mereka di pusat perlindungan.

4-Mengajar sirah pada anak kecil.

5-Kerana ilmu dapat masuk ke pintu berdekatan Ulama.

6-Tribute buat hati dan lain-lain.

Assalamualaikum Wbr. Salam Eid Mubarak. Taqabbalallahu minna wa minkum. Maaf Zahir Batin.

Buat Sahabat-sahabat tercinta, Ana mengambil kesempatan untuk menyusun 10 jari beradab sedang hati menaruh harap agar diampunkan salah silap Ana sepanjang medan ini menjadi perantara kita. Tanpa disedari, pasti ada tersilap bahasa terkhilaf rasa dari Ana di sini. Sesungguhnya Ana hanya insan lemah yang banyak memerlukan teguran dan bimbingan anda semua. Bagi pihak Ana, Ana telah memaafkan segala-galanya. Mudah-mudahan Eid kali ini membuahkan rasa ingin menjadi lebih baik dari saat sebelumnya. Amin.

Salam Eid dari Ana - Sufifaqir.
Bait As-Syarifah, Bangi, 1:54 pagi.
16 Syawal 1432H.

Perhatian

Assalamualaikum Wbr. Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa saya TIDAK PERNAH mempunyai sebarang HI5,FACEBOOK,WAYN dan seumpamanya. Saya terkejut apabila terdapat FACEBOOK,HI5 dan WAYN yang didaftarkan atas nama saya. Mohon maklum. Syukran.


 
Alhamdulillah dengan keizinanNya, Tribute Buat Nenda 2 kembali ke ribaan anda. Memuatkan artikel-artikel seperti Wahai pemuda Bangkitlah!, Kekasih Di Raudhah, Berilah Harapan! dan lebih 25 artikel untuk tatapan anda..Bagi yang masih berminat untuk mendapatkan tribute buat nenda 1, terpaksa menunggu sekejap kerana Tribute Buat Nenda 1 sedang diulangcetak untuk kali keempat.

Selain dari buku Tribute 1 & 2, buku-buku terbitan Tuan Sharifah Islamic Foundation yang lain ialah :

1- Siri Dialog Bersama Paderi : Benarkah Nabi Isa Disalib?

2- Siri Dialog Bersama Paderi : Mereka Bertanya Tentang Islam Anda Menjawab.

3- Siri Dialog Bersama Paderi : Isu Kalimah Allah Dan Hukum Penggunaannya Bagi Bukan Islam. (Karya Penulis Bersama Tuan Guru Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri).

4- 5 Surah-Surah Amalan Harian Beserta Fadhilat-Fadhilatnya.

5- Siri Khazanah As-Sharifah : Hadis-Hadis Penenang Jiwa.

6- Siri Khazanah As-Sharifah : Himpunan Kata-Kata Hikmah Buat Peringatan Insan. (Himpunan Petikan Kata-Kata Hikmah Dari Kitab Nasaih Al-I'bad Imam Nawawi Dan Al-Hikam Syeikh Ibnu A'Thaillah)

7- Siri Khazanah As-Sharifah : Mengingati Kematian.



                     TRIBUTE BUAT NENDA 2

Segala puji bagi Allah Zat Yang Maha Sempurna, Yang Menciptakan kehidupan dan kematian sebagai ujian. Jua Dialah yang Maha Menghidupkan bagi penyempurnaan janjiNya pada hari yang tiada perlindungan kecuali lindungaNya.

Selawat serta salam yang sebanyak-banyaknya buat sebaik-baik ciptaan, semulia-mulia utusan dalam siri perutusan para Nabi dan Rasul, yang dengannya kita mendapat rahmat sebaik-baik nikmat iaitu Iman dan Islam,dan melaluinya jualah kita diangkat sehingga menjadi sebaik-baik ummat.Selawat dan salam buatmu Ya Rasulallah, kekasih hati, pemberi Syafaat al-u’zma.

(Allahumma Solli a’la Sayyidina Muhammad Wa A’la Alihi Wa Sohbihi Ajmai’n.)

Anakanda yang dikasihi,

Dengarkan pesan-pesan agama yang inginWalid sampaikan buat ingatan di hari muka..

Telah berkata Syeikh Ibnu Athaillah Iskandary di dalam Al-Hikamnya:
خير ما تطلبه منه ما هو طالبه منك

Maksudnya : Sebaik-baik permintaan yang seharusnya anda mohon dari Allah ialah (Kemampuan) melaksanakan apa-apa yang Allah perintahkan kepada anda.

Anakndaku,

Syeikh Said Hawa ketika mensyarahkan hikmah yang mulia ini berkata apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ibnu Athaillah ini seolah-olah ingin menarik perhatian manusia agar mengutamakan sebaik-baik permohonan dan hajat iaitu memohon pada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk mengerjakan ketaatan padaNya serta menjauhi cinta dunia.

Sebagaimana kita tahu, manusia merupakan makhluk yang lemah dan sentiasa berhajat kepada Allah SWT. Bahkan di dalam bisikan kudus manusia ketika berdoa pada Allah SWT, bukan sedikit hajat yang dipinta pada Allah Yang Maha Memberi.

Selain dari permintaan asasi seperti keampunan dariNya, kesihatan sepanjang hayat serta memohon kemurahan rezeki, manusia turut menyertakan pelbagai hajat dan permohonan yang tidak terkira banyaknya yang meliputi urusan dunia dan akhirat. Doa untuk mendapat pekerjaan yang baik. Doa agar dikurniakan anak-anak yang berjaya. Doa agar sentiasa dikasihi dan disayangi oleh semua dan lain-lain. Pendek kata terlalu banyak yang dipinta dan dipohon sebagai tanda lemahnya insan.

Ketahuilah Anakanda,

Sebuah syair arab menyebut:

نغدو ونروح لحاجاتنا وحاجات من عاش لا تنقضي

Maksudnya : Kita disibukan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat-hajat bagi yang hidup itu tidak akan habis (Selagi tidak mati).
Hajat manusia sentiasa ada di sepanjang hayat mereka. Terkadang hajat yang dipohon bukanlah satu keutamaan pun. Sebaliknya hanyalah permohonan yang terhasil dari kecintaan terhadap dunia yang fana ini. Sehinggakan mereka tidak mampu lagi untuk membezakan antara keutamaan yang hakiki dan keinginan yang tidak pernah akan habis.

Di sini Walid nukilkan satu kisah pengajaran buat ingatan Anakanda di masa akan datang. Iaitu Kisah Hakim Bin Hizam dan Rasulullah saw. Dengar Ya..

Pada suatu hari, Hakim Bin Hizam telah datang meminta sesuatu dari Rasulullah saw dengan katanya :

“ Ya Rasulullah, berikanlah padaku sesuatu!”

Rasulullah saw menjawab padanya :

“ Apakah engkau melihat kambing yang berada di lembah itu? Semuanya menjadi milikmu.”

Maka Hakim bin Hizam mengambilnya.

Begitu juga untuk permintaannya kali kedua dan ketiga, Rasulullah saw memberi kepadanya seratus ekor unta.

Namun pada permintaannya buat kali keempat, Baginda saw telah bersabda :

يا حكيم انّ هذه المال حلوة خضرة واليدّ العليا خير من اليدّ السّفلى

Maksudnya : “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini hanyalah bagaikan tanam-tanaman yang muda dan menghijau sedang tangan di atas (memberi) itu lebih baik dari tangan di bawah (menerima).”- Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi.

Anakanda,

Ketahuilah bahawa dunia ini sentiasa menipu. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani di dalam kitabnya Fath Rabbani Wa Faidh Al-Rahmani berkata :

“Ketika aku ditanya bagaimanakah caranya mengeluarkan dunia yang merupakan punca jauhnya dari memohon ketaatan dari Allah, maka aku menjelaskan bahawa : Lihatlah dunia yang dipuja oleh manusia! Bukankah ia tidak pernah dimiliki? Ia hanya berpindah dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Dunia sentiasa menipu pemujanya. Dilambung dan dijulang sehingga apabila pemujanya lalai maka dunia mula menjerut dan membunuhnya.”

Bahkan Syeikh Sya’rawi turut berkata :

“Dunia tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun sebaliknya hanyalah warisan yang berpindah dari satu tangan ke tangan yang berikutnya.”

Dengan memahami hakikat dunia yang menjadi buruan dan hajat yang tidak pernah terpadam di hati pencintanya, Syeikh Ibnu Athaillah dengan ketajaman mata hatinya telah mengajak manusia untuk menilai kembali segala permintaan dan hajat-hajat yang dipohon. Dan mengutamakan sebaik-baik permintaan iaitu hidayah dan bimbingan dari Allah untuk melaksanakan ketaatan sebagai lambang kehambaan makhluk.

Anakanda,

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni di dalam kitabnya 'ila allazina asrofu a'la anfusihim' telah menukilkan satu kisah di mana ketika kuda Muaz bin Jabal dan kuda Baginda saw beriringan di dalam satu peperangan, Muaz telah memohon satu hajat yang disifatkan oleh baginda sebagai permintaan dan pertanyaan yang sangat agung di dalam sejarah kehambaan manusia.

Tahukah Anakanda apakah yang ditanya oleh Sayyidina Mua’z kepada Rasulullah SAW?

Bertanya Muaz kepada Rasulullah saw :

يا رسول الله اخبرني بعمل يدخلني الجنة ويباعدني من النار

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, tunjukanlah kepadaku satu amalan yang mendekatkan aku dengan syurga dan menjauhkan aku dari neraka.”
Mendengar pertanyaan Muaz itu, Rasulullah saw menjawab :

يا معاذ لقد سالت عن عظيم

Maksudnya :” Sungguh agung permintaanmu wahai Muaz”.

Lalu baginda saw telah menunjukkan padanya jalan agar permohonannya itu dikabulkan oleh Allah melalui perlaksanaan ketaatan padaNya. Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

ان تعبد الله لا تشرك به شيئا وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة وتصوم رمضان وتحج البيت ان استطعت اليه سبيلا

Maksudnya : “Iaitu engkau menyembah Allah dan tidak mensyirikanNya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke baitullah apabila mampu.”

Subhanallah. Inilah permohonan yang agung wahai Anakanda.

Permintaan yang terhasil melalui kejernihan mata hati yang memandang dunia dengan pandangan hakikat. Sepertimana yang disifatkan oleh Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) di dalam Tasauf Modennya :

“Bagi mereka yang sentiasa mencari keredhaan dan bimbingan Allah, boleh diibaratkan pandangan mereka seperti mata yang memandang alam, sedang hatinya memandang Tuhan.”

Oleh itu duhai Anakanda, ingatlah pesanan Walid selalu.,

Mohonlah padaNya kekuatan agar kita mampu melaksanakan ketaatan padaNya semata di dalam mengharungi dunia yang akan ditinggalkan ini. Bukankah sebaik-baik permintaan itu adalah permintaan agar mampu melaksanakan ketaatan?


Salam buat Anakanda..

4 Julai 2010.
12:56 malam.
Bait As-Sharifah.

Segala puji bagi Allah Zat Yang Maha Sempurna, Yang Menciptakan kehidupan dan kematian sebagai ujian. Jua Dialah yang Maha Menghidupkan bagi penyempurnaan janjiNya pada hari yang tiada perlindungan kecuali lindungaNya.

Selawat serta salam yang sebanyak-banyaknya buat sebaik-baik ciptaan, semulia-mulia utusan dalam siri perutusan para Nabi dan Rasul, yang dengannya kita mendapat rahmat sebaik-baik nikmat iaitu Iman dan Islam,dan melaluinya jualah kita diangkat sehingga menjadi sebaik-baik ummat.Selawat dan salam buatmu Ya Rasulallah, kekasih hati, pemberi Syafaat al-u’zma.

(Allahumma Solli a’la Sayyidina Muhammad Wa A’la Alihi Wa Sohbihi Ajmai’n.)
…………………………………………

Anakndaku yang dikasihi,

Di saat Walid menulis warkah ini, Walid baru sahaja menepuk-nepuk belakang Anakanda setelah Anakanda seperti terganggu dari beradu. Seketika Walid agak bimbang kalau-kalau Anakanda tak dapat beradu dengan nyenyak seperti selalu. Maklumlah Anakanda kurang sihat sehari dua ni.

Dan sekarang, Walid masih di sisi Anakanda. Menjaga dan mengusap-ngusap kepala Anakanda.

Anakanda,

Tiadalah kebaikan seorang bapa melainkan dia selalu menjaga amanahnya ini dengan pesanan-pesanan agama. Begitu juga dengan Walid. Ingin sekali Walid menyampaikan pesan-pesan agama buat Anakanda Agar Allah menyaksikan ketulusan Walid terhadap amanah yang dianugerahkan Allah  ini.

Walid ingin berpesan tentang zuhud. Dengar ya..

Anakanda,

Ketika Syeikh Ibrahim bin Adham ditanya tentang bagaimana jalan untuk memperolehi zuhud, beliau telah menjawab :

بثلاثة اشياء : رأيت القبر موحشا وليس معي مؤنس ورأيت طريقا طويلا وليس معي زاد ورأيت الجبّار قاضي وليس لي حجّة

Maksudnya : “Melalui tiga perkara : (iaitu) aku melihat kubur itu mengerikan namun aku belum mempunyai penolong (dari kengeriannya), aku melihat jalan yang panjang (menuju ke akhirat ) namun aku belum memiliki apa-apa bekalan untk ke sana, aku melihat Allah Yang Maha Perkasa akan membicarakan aku (atas apa yang aku usahakan) padahal aku masih belum mempunyai hujjah (untuk menghadapi perbicaraanNya).

Inilah jalan-jalan zuhud menurut ulama sufi ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Nasaihul I’bad.

Syeikh Abul Qasim Karim Hawazin Al-Qusyairi di dalam risalah Al-Qusyairiah menyebut bahawa Allah SWT telah memberikan gambaran tentang kesempurnaan zuhud menerusi firmanNya :

قل متاع الدّنيا قليل والآخرة لمن التّقى

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah An-Nisa : 77)

Begitu juga Sabda Rasul junjungan kita:
عَن أبِي العَبَّاسِ سَهلِ بنِ سَعدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنهُ ، قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِي (ص)، فَقَالَ :يَا رَسُولَ اللهِ! دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ ، إذا عَمِلتُهُ أحَبَّنِي اللهُ ، وَأحَبَّنِي النَّاسُ . فَقَالَ : اِزهَد فِي الدُّنيَا يُحِبَّكَ اللهُ ، وَازهَد فِيهَا عِندَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسِ .

Maksudnya : “Daripada Abu Abbas, Sahl bin Sa’ad As-Sa’idy telah berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw lalu berkata: “Ya Rasulullah. Tunjukkanlah padaku satu amalan yang sekiranya aku laksanakannya nescaya aku akan dicintai Allah dan dicintai manusia. Lantas Rasulullah saw menjawab: “Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada ditangan manusia, niscaya engkau dicintai manusia.”                                                   (Riwayat oleh Ibnu Majah )

Anakanda,

Sewaktu Walid meriba Anakanda ketika menyampaikan kuliah-kuliah agama pada jemaah, ramai jemaah kita yang tertanya-tanya apakah erti sebenar zuhud? Kata mereka :

“ Apakah meninggalkan dunia secara keseluruhan dan menumpukan tujuan pada akhirat semata itulah zuhud?”

Sewaktu tu..Walid diam seketika.
Sambil mengusap-ngusap kepala Anakanda, Walid menyatakan kepada mereka dan juga sekali lagi Walid nyatakan kepada Anakanda pada malam ini :

Di dalam menjawab persoalan ini, ketahuilah para ulama’ menyatakan :

لَيسَ الزُهدُ بِتَحرِيمِ الحَلاَلِ وَلا بِإِضَاعَةِ المَالِ ، إنَّمَا الزُهدُ أن تكُونَ بِمَا فِي يَدِ اللهِ أو ثَقُ مِنكَ بِمَا فِي يَدِكَ.

Maksudnya: “Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta tetapi sesungguhnya zuhud itu ialah kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah berbanding dengan apa yang ada pada kamu.”

Benarlah apa yang dinyatakan oleh imam Malik r.a :

“ Zuhud itu bukanlah tidak berharta tetapi mengosongkan hati darinya. (Secara berlebihan)”.

Abdullah bin A’bbas r.a juga berkata :

الزّاهد ثلاثة أحرف : زاي وهاؤ ودالز فالزّى زاد للمعآد والهاء هدى للدّين والدّال دوام على الطّاعة

Maksudnya : “ Perkataan zuhud itu terdiri dari tiga huruf iaitu Zay, Haa’ dan huruf Dal. Zay bermaksud : Bekalan menuju akhirat. Haa’ bermaksud : Hidayah menuju agama. Dal bermaksud : Istiqamah di dalam melaksanakan ketaatan.”

Anakanda,

Menerusi definisi yang dinyatakan oleh ulama’ berdasarkan kefahaman mereka terhadap firman Allah SWT dan hadis Baginda yang mulia tersebut, Islam telah menggambarkan bahawa zuhud ialah meninggalkan dunia secara berlebihan kerana ia akan ditinggalkan serta menumpukan akhirat kerana itulah perkampungan yang lebih baik dan lebih kekal.

Dr. Aidh Abdullah Al-qarni menerusi kitabnya ila allazina asrafu a’la anfusihim menukilkan sifat zuhud di kalangan para sahabat antaranya Salman Al-Farisi.

Gabenor Kufah ini telah menghairankan manusia yang menziarahinya pada hari-hari terakhirnya di dunia ini dengan tangisannya . Ketika ditanya mengapa beliau menangis, Salman menjawab :

“Sesungguhnya aku teringat kepada sabda kekasihku :

ليكن زاد أحدكم من الدّنيا كزاد الرّاكب

Maksudnya : Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang-orang yang bermusafir. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

(Selepas mengucapkan sabda Rasulullah saw yang mulia ini, Salman menyambung kembali ucapannya ) :

"Sedang kita telah mengambil seluruh dunia ini beserta isinya!"

Bertanya penduduk Kufah padanya setelah melihat tiada satu pun dari dunia ini dimiliki oleh seorang Gabenor seperti Salman kecuali :

1-Sebatang Tongkat untuk berjalan.

2-Sehelai kain serban yang besar untuk hamparan bagi tetamu dan untuk kegunaan ketika menghakimi.

3-Sebiji cawan besar untuk minum, berwuduk dan keperluan harian.

Tanya mereka : "Wahai Gabenor, sesungguhnya kami tidak melihat apa-apa dunia pun darimu kecuali keperluanmu terhadap 3 benda ini sahaja."

Sambil memandang, Salman menjawab : " Itulah yang aku fikirkan! Bagaimana akan aku jawab pada Allah terhadap 3 benda yang aku miliki ini.!"

Subhanallah. Inilah kesempurnaan zuhud wahai Anakanda.

Kesempurnaan yang hanya mampu dicapai oleh mata hati yang sentiasa muraqabah terhadap penciptanya. Ia akan terbentuk apabila insan melihat dunia ini dengan pandangan hakiki. Itulah jua yang Walid harapkan dari Anakanda. Agar Anaknda sentiasa menjadikan zuhud sebagai hiasan diri. Ketahuilah, hidup kita ini hanya sementara. Mudah-mudahan dengan memahami maksud hidup yang sementara ini, kita akan sentiasa berzuhud di dunia yang sementara ini.

Semoga Anakanda sentiasa sematkan pesan agama ini di dalam sanubari Anakanda tercinta. Dan ingatlah selalu pesanan Walid, jagalah Allah, pasti Allah menjaga dirimu.

Salam Cinta Kasih dari Walid buat Anakanda.


4 Julai 2010.
12:30 malam.
Bait As-Sharifah.

6.6 2010, subuh, Bait As-Syarifah, Bangi..

Itulah yang Ana catatkan pada bawah perenggang akhir kitab Dr. Aid Al-Qarni yang Ana bacakan pada murid-murid untuk kuliah subuh ringkas pagi ni.

Syukur Alhamdulillah..Ucap Ana.

Syukurr..Ucap Zalmi, murid Ana yang bertindak seperti ketua kelas pada pagi ni.

Kadang-kadang murid-murid Ana yang lain :
Alif,
Amzari,
Mumtaz,
Shahrin,
Ayraf,
dan lain-lain.

Cuma pagi ni Zalmi yang ada.
Yang lain dah kat kampung masing-masing setelah cuti menjemput mereka.
Pagi ni.. Zalmi lah yang mengambil buku untuk dibacakan, mengambil pensel untuk catatan dan menyusunnya kembali di mini maktabah Ana yang Ana namakan sebagai Maktabah As-Syarifah, di rumah Ana kat Bangi ni.

Di masa terluang, Inilah rutin kami.

Rutin untuk masa kami yang kadang-kadang.

Kadang-kadang Ana bacakan Syamail Muhammadiyah, Imam Turmizi,
Kadang-kadang Tafsir Misbah Al-Munir, Ibn Kathir,
Kadang-kadang Alhikam, Syeikh Ibnu A'thaillah.

Dan pagi tadi..Kitab baru karya Dr.Aid Abdullah Al-Qarni iaitu :

Wa Jaaat Sakratul Maut bil Haqq (Kematian Pasti Akan Datang.)

Dalam diam Ana bersyukur.
Bersyukur Allah golongkan kami sebagai anak muda yang masih ingin membaca dan menyebarkan ilmuNya yang Maha Luas. Harpnya ia berpanjangan sebelum maut menjemput.

Alhamdulillah..
........................
Hanya Tongkat, cawan dan serban

Menitis air jernih dari kelopak mata Salman Al-Farisi, sahabat besar Nabi kita yang suci.
Menghadapi Sakaratul maut yang menjemput. Menangis dalam tenang. Sedang mereka yang sekelilingnya menangis dalam kehairanan.

Bukankah Salman seorang yang Zuhud?
Pencinta akhirat?
Taqarrub pada Allah.?

Lalu, apakah yang menyebabkan matamu menitiskan air jernih Ya Salman?

Dunia?
Atau bekalan perjalanan ke negeri Akirat yang abadi yang masih belum mengcukupi?
Atau jawatan Gabenor Kufah yang masih merantai hati?

Atau, atau,atau,atau..
atau itu dan ini..?


Tidak! Jawab Salman.

Sesungguhnya aku teringat sabda kekasihku yang menyebut :

Maksudnya : Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang-orang yang bermusafir.

(Selepas mengucapkan sabda Rasulullah saw yang mulia ini, salman menyambung kembali ucapannya ) :

"Sedang kita telah mengambil seluruh dunia ini beserta isinya!"

Bertanya penduduk Kufah padanya setelah melihat tiada satu pun dari dunia ini dimiliki oleh seorang Gabenor seperti Salman kecuali :

1-Sebatang Tongkat untuk berjalan.
2-Sehelai kain serban yang besar untuk hamparan bagi tetamu dan untuk kegunaan ketika menghakimi.
3-Sebiji cawan besar untuk minum, berwuduk dan keperluan harian.

Tanya mereka :  "Wahai Gabenor, sesungguhnya kami tidak melihat apa-apa dunia pun darimu kecuali keperluanmu terhadap 3 benda ini sahaja."

Sambil memandang, Salman menjawab : " Itulah yang aku fikirkan! Bagaimana akan aku jawab pada Allah terhadap 3 benda yang aku miliki ini.!"

Subhanallah!
Benar katamu Ya Salman. Ucapan yang diiringi bukti kebenaran!
Sedang kami ini..memiliki dunia dan isinya walaupun akan ditinggalkan..
.......................
Hanya Duri Tamar

Umar menangis!

Pilu!

Kepiluan yang mencengkam dada hingga ke dasar hati yang paling dalam.
Teresak-esak dia.

Semuanya kerana wasiat Amirul Mukminin yang terdahulu, Abu Bakar padanya.
Amirul Mukminin yang zuhud,
tulus,
lurus pada Rabbnya.
Sangat khauf dan sentiasa tunduk pada pencipta kekasihnya Muhammad saw, jua penciptanya.

Dialah peminum wadi faqir,
Dari cangkir Qanaah dan Mahabbah,
Pemakai pakaian Zuhud,
Yang akhirnya membuahkan khauf yang manis serta Taqaarub yang telah menangiskan matanya yang sentiasa berjaga malam dalam Tahajjud.

Amirul Mukminin kami.. Sayyidina Abu Bakar r.a.

Sungguh,
matanya yang sentiasa menangis (kerana kerinduan pada Allah dan kekasih hatinya Rasulullah saw) itu,telah menangiskan juga mata Umar dengan kesempurnaan zuhudnya.

Apakah Umar Al-Faruq tidak Zuhud sehingga menangis terhadap kezuhudanmu ya Aba Qahafah?
Bukankah Umar ini jua pemilik wajah yang pada dua bahagian pipinya terdapat dua parut yang memanjang dari matanya kesan dari aliran air jernih kerana cinta dan takutkan Allah?

Lalu..mengapa Umar ini teresak-esak pada kematian dan wasiatnya Abu Bakar?

Semuanya kerana isi wasiatmu ya Aba Qahafah..
Amat meruntun hati sahabatmu Umar itu.
Dan mudah-mudahan jua di hati kami ini..

Wasiat Amirul Mukminin Sayyidina Abu Bakar pada khalifah berikutnya :

" Wahai Umar,
hendaklah kamu jangan jadi sepeti aku ini.
Zuhudlah kamu kepada dunia."

Subhanallah!
khalifah yang zuhud ini telah berwasiat agar berzuhudlah kita melebihi zuhudnya!
Sedangkan ketika hayatnya, beliau memakai kain yang tidak berjahit pada hujung dua kain yang bertemu. Sebaliknya hanya melekatkannya dengan duri-duri tamar semata.

Kezuhudan yang sempurna.
Yang menyebabkan Para Malaikat di langit malu terhadapnya.

Begitu juga pada saat kematiannya.
Sayyidina Abu Bakar r.a hanya meninggalkan bekalnya dari dunia ini yang boleh dibilang dengan jari anak-anak kecil.

Dan Umar..

Turut mengakui kesempurnaan Zuhudnya dengan berkata : "Sesungguhnya dengan wasiatmu ini ya Abu Bakar, engkau telah menyusahkan khalifah selepasmu wahai Abu bakar!"
Subhanallah.!
Zuhud yang telah membawa kepada kekasihnya, kekasih kita, Rasulullah saw.

Selawat serta salam buatmu Ya Rasulullah, ahli al-bait serta para sahabat yang mulia dan yang mengikuti mereka sehingga ke akhirat.
...........................

( Dengan rendah hati Ana memohon saudara-saudari pembaca setia sekalian agar sama-samalah kita mendoakan Pakcik Lokman Bin Amrah agar dikurniakan ketabahan dan kesihatan oleh Allah SWT dari penyakit yangs edang menimpa. Berbanyak terima kasih Ana ucapkan kepada anda semua. )

Sewaktu Ayah Lutfi melihat Ana datang berziarah, serta merta air matanya gugur. Erat-erat Ana dipeluk. Seakan ada getaran sedikit pada dada kami yang bertemu. Sayu..

Tak lama, kami renggangkan pelukan.
Perlahan Ana kucup tangannya. Sungguh ada kesayuan Ana bila menatap Ayah Lutfi. Ayah angkat Ana. Dari wajahnya, Ana alihkan pula mata pada sekitar pembaringan beliau.

Bantal..
Cawan air masak..
Tasbih..
Buku-buku Doa..
Dan satu sudut kecil untuk mengambil wuduk..

Seingat Ana, bilik ni jugaklah Nek* berbaring sampai hayatnya.
Subhanallah.

Banyak yang tertera antara kami.
Sehingga kenangan-kenangan itu jika diabadikan dalam penulisan pun tak mampu untuk diterjemahkan dengan bahasa perasaan.

Dulu..
Sejak Ana bertugas sebagai Imam sementara Masjid Wakaf Tembesu, di rumah inilah Ana membesar.
Makan, minum, mandi, solat bahkan tidur pun..Di sinilahh..
Dah jadi rumah kedua Ana dah pun..

Lepas tamat imamkan Solat Zuhur kat Masjid tempat Ana bertugas tu, Ayah Lutfi yang Ana panggil Pakcik, selalu menyapa :

" Die..meh gi dumoh, mokcik ajok makang tengoh hari.."
("Die, mari ke rumah, makcik ajak makan tengah hari.")

Alhamdulillah! Boleh makan tengah hari.
Maklumlah rumah Ana jauh di Kuala Berang nun..

Naik keretalah kami berdua ke rumah pakcik.
Makan, minum, bersembang.
Kadang-kadang cakap kecil..
kadang-kadang cakap besar..

Kadang-kadang Al-Quran dan hadis yang kami bicarakan..
Pendapat Ulama itu, Ulama ini..

Kadang-kadang isu semasa,
Politik tak betul, Saddam Hussein kena gantung..

Kadang-kadang ada ketawa antara kami bila hal-hal lucu yang dibualkan..

" Kisah Die nak cari bini ni..kalu buat buku boleh jadi novel doh.."  Kata Pakcik sambil disambut ketawa dari Ana dan Makcik.

Gembira Ana dengannya.
Hilang beban yang bersarang dalam fikiran.
Jumpa dan cakap-cakap dengan Pakcik ni dah seakan jadi kewajipan pada Ana hampir setiap masa.

Kalau dah datang siang hari pun, Ana akan datang lagi jugak malam nanti. Pasti!
Seakan mencari ketenangan dan kasih pada beliau. Dan beliau pula macam biasalah, sentiasa menyambut dan menggembirakan. Maklumlah pakcik seorang yang periang dan tempat Ana meminta nasihat. Makcik pun begitu juga.

Dulu Ana masih ingat..
Waktu ada hal-hal peribadi yang Ana nak kongsikan,
Padanya jualah Ana luahkan.
Dan Pakcik Makcik sentiasa bersedia
Jadi pendengar yang baik buat Ana.
Tak sikit panduan dan nasihat yang beliau berikan. Apatah lagi beliau berdua cukup kenal Ana.

Dulu..
Ana masih ingat..
Waktu Ana dah hampir seminggu runsing nak cari identiti seseorang,
Pakcik Makcik tanya : " Bakpe Die napok rusing je?"* ("Kenapa Die nampak runsing je?")

Ana pun bagitahulah sedikit sebanyak tentang apa yang merunsingkan tu.
Kesudahannya Pakcik dan Makcik bawak Ana jumpa Abang Mansor dan Kak Jie.
Walaupun hal tersebut tak berjaya tapi yang Ana nak nyatakan kat sini, Pakcik Makcik jugaklah yang jadi penyelesainya.

Sebab tulah waktu Ana ke Mekah,
Adik Ana, Lutfi..
sambut Ana dan raikan betul-betul.
Semuanya sebab Lutfi dah terdidik dengan sifat-sifat Pakcik Makcik.
Dibawanya Ana balik ke rumah,
Masak nasi lauk ikan singgang dan telur cicah budu.
Sewa kereta pandu sendiri,
Bawa Ana ke Jabal Nur,
Ummul Qura,
Mengurut dengan Mat Chetok* dan lain-lain..
Subhanallah.

Tapi sekarang..
Pakcik terbaring tak macam dulu.
Bercakap pun tak selancar dulu.
Banyak iringan air mata tanda keharuan apabila menerima ziarah kami tadi.

Dan Ana pun sayu sebenarnya.
Menghadap seorang pengasih seperti beliau yang tak sekuat dulu.

Uzur..
Lemah..
Berbaring di pembaringan.
Hanya Zikrullah sebagai peneman.

Pantas Pakcik kami dudukkan.
Untuk mengaminkan Doa angin ahmar.
Yang Ana baca dengan penuh harapan.

أعوذ بالله من الرّيح الأحمر ومن الدّاء الأكبر فى النّفس والرّوح والدّم واللّحم والعظم والجلد والعروق والعصب سبحانك اذا قضيت أمرا فانّما تقول له كن فيكون

Maksudnya :  Ya Allah aku berlindung dengan Allah dari penyakit angin ahmar dan penyakit yang besar/berat dari menimpa ke atas diriku dan ruhku, darah dan daging, tulang dan kulit, urat sarafku. Maha Suci Engkau Ya Allah yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan " Jadilah! maka jadilah ia".

 Amin Ya Allah. Kabulkanlah.
.....................................

Glosari :

Nek - Panggilan untuk Nenek, Mak pada Makcik yang telah meninggal dunia sekitar 3 tahun yang lalu. Nek dengan arwah Nenda sangat rapat. Banyak yang dikongsikan bila Nenda dan Nek bertemu.

Mat Chetok - Gelaran bagi sahabat Lutfi Lokman yang berasal dari Tahailand dan juga merupakan pelajar Universiti Ummul Qura Makkah. Ana berkesempatan berurut dengan Mat Chetok ini setelah mengalami kemalangan di Makkah seperti mana yang Ana kisahkan di dalam Tribute Buat Nenda II ini.

Cerita tadi.

Abah dah balik.

Abu pun.

Namun Ana masih di sini.
Di tepi jalan depan Restoran Amir kat Bandar Baru Bangi ni. Masih..

Dari jauh mata Ana masih mengekori kereta Perdana hitam yang dipandu Abu. Meluncur laju meninggalkan Ana. Kemudian..hilang di celah-celah selekoh.

Seakan ada sedikit sayu di hati. Maklumlah dah 2 hari Abah dan adik Ana, Abu bermalam di rumah Ana kat Bangi ni. Dan macam-macam tempat kami pergi.

Pergi AMBANK uruskan kereta Abu.

Pergi tengok rumah PKNS yang masih belum terjual.

Pergi makan roti bakar dan minum air kopi panas hampir tiap malam kat Old Timer di depan rumah Ana ni.

Dan pagi tadi kami ke hospital Serdang.

Macam-macam tempat kami bersama pergi. Ke sana ke sini.
Terubat sikit kerinduan Ana pada kampung halaman. Maklumlah bila dah jauh di perantauan ni, sesekali keluarga bertandang tentu dapat semangat dan kekuatan baru sebagai azimat di tempat orang ni.. (Walaupun sebenarnya baru minggu lepas Ana pulang ke kampung).

Eh..kejap!

Tadi Ana ada cerita tentang Hospital Serdang kan?
Terlupa pulak nak panjangkan kisah dan sebabnya kami bertiga ke sana.
Ana cerita ye..


" Waris dan kenalan Fariz ..masukk!!" Laung lelaki yang agak rendah dan gempal tubuhnya.

Cepat-cepat Ana langkahkan kaki ke bilik sederhana kecil itu. Mengatur langkah sederhana kecil. Dan seperti yang Ana duga, tak banyak perkakas yang mengisi ruang di bilik sederhana itu. Hanya pembaringan besi beroda dan beberapa sinki. Dan mata Ana...sedang menatap tubuh pemuda 24 tahun yang sedang terbaring kaku di atas pembaringan di bilik mayat itu.
......................

Bisikan ayat-ayat suci memenuhi ruang.
Lancar selancar deraian air mata yang menzahirkan kedukaan mereka.
Sesekali mata Ana seakan menahan titisan jernih apabila melihat Ibu si mangsa langgar lari ini memandang berkali-kali sambil mengusap-ngusap kepala anaknya yang telah kaku.

Sedih..
Sayu..
Pilu..

Itulah hati seorang ibu.
Meratapi kehilangan anak yang baik.
Ana sendiri kagum dengan kecekalan pemuda yatim ini. Lebih-lebih lagi bila mengetahui Fariz ini merantau untuk menanggung ibu dan adik-adiknya di kampung. Semoga Allah membalas sebaik-baik balasan buat beliau. Amin.
....................

Kain penutup mayat Pa (tak pasti nama sebenar) Ana angkat.
Merenung Ana pada wajahnya yang masih basah. Dah selesai dimandikan agaknya. Sesekali mata Ana terpandang kesan-kesan darah pada kain penutup mayat itu.

Juga mangsa langgar lari. Cuma mayat Pa lebih teruk dari Fariz.

Sebenarnya mereka berdua ni sekampung. Bukan saja sekampung, satu tempat kerja. Dan bukan saja satu tempat kerja..satu usia. Dan mati pun pagi tadi bersama-sama. Subhanallah. Mereka berdua menjadi mangsa langgar lari pemuda India yang mabuk!
...................

" Antara tanda akhir zaman ni..orang muda mati dulu. Cuba tengok sekarang! Kebanyakkan orang-orang muda yang meninggal dulu kan?" Ujar Ana pada jemaah surau Al-Madaniah, USJ.

" Kadang-kadang kita tengok..sakit berbulan-bulan tak semestinya mati. Tapi ada yang sihat elok-elok je..tiba-tiba mati.." Sambung Ana lagi.

Mengangguk-angguk jemaah.
Setuju benar nampaknya mereka dengan Ana. Rancak pula mereka bertanya selepas itu. Maklumlah topik kematian. Topik yang pasti setiap orang akan melaluinya.

Mudah-mudahan kita sentiasa bersedia untuk kematian yang pasti itu.

Buat kedua-dua ahli keluarga si mati, bersabarlah dengan sebaik-baik kesabaran agar redha Allah sentiasa memayungi kita hambaNya yang lemah ini. Setiap musibah dan kesedihan itu adalah pengangkat darjat hambaNya sedang akhirat jualah yang lebih baik serta lebih kekal. Semoga Allah merahmati kedua-dua pemuda yang baik ini. Amin.

..........................

ان الروح اذا قبض تبعه البصر

Maksudnya : Sesungguhnya ruh itu apabila digengam (oleh Allah) maka ia akan diikuti oleh pandangan matanya.

- Sufifaqir-
Bait As-Sharifah, Bangi.
1.21 pagi.

Hujang

Sebentar tadi hujan turun lagi.
Lebat.

Macam petang-petang semalam juga.
Hujan yang tidak bersendirian. Bersama angin yang menderu-deru.

...Ruurr..ruurr... Bunyinya.
Bunyi yang menambah kerinduan pada kampung halaman!

Tapi..
Alhamdulillah hati Ana masih boleh tahan!
.................................

Pantas Ana tadah air hujan yang mula mencurah..
Menikmati sejuk dan jernih air yang bertaburan dari langit..
Jatuh ke atap bata wakaf di laman rumah..
Wakaf lama berpeleh* Terengganu..

Seingat Ana dah hampir dua bulan wakaf ni sampai dari Terengganu dan kemudiannya bermukim di rumah Ana kat Bangi ni..

Melihat wakaf ni..
Menambah lagi kerinduan Ana pada kampung halaman!
Tapi hati Ana masih boleh tahan..
...........................

Bila mata merenung pada hujan yang mencurah ni..

Benar-benar membawa Ana pulang.
Pulang pada rumah kami di kampung.

Di sinilah!
Kalau hujan..
beraturlah besen-besen buat menadah air hujan.

Di sinilah!
Kalau petir dan kilat menyambar..
Nenda pesan : " Gi tutup cerming nung dengang kaing lepah..". (Pergi tutup cermin dengan kain lepas )

Bila ingat-ingat kembali pesanan Nenda..
Maka bertambahlah rasa kerinduan pada kampung halaman!

Tapi jari Ana yang sedang taip ni masih 'cakap' boleh tahan..
Walaupun hati Ana cuba sedaya untuk menahan..
.......................

Lokasi : Kedai Icik Saih, Kampung Buluh, Kuala Berang.

" Icikk..! Apuh dok Tanjung*?" (Icik! Tenggelam tak kat Tanjung?)

" Apuh! Orang tahang pukat." ( Tenggelam. Orang tahan pukat.)

" Mitok plastik se cikk! Nok isi ikang." (Minta plastik satu Cik. Nak isi isi ikan).

Kami budak-budak kampung macam ni lah..

Musim hujan,bah..
Tangkap ikan, main perahu.

Bila dah kecut kulit baru naik..
Makan ubi gaul nyiur dan minum kopi..
Kadang-kadang makan biskut jagung cicah air tea panas,
Atau biskut cotek* warna-warni.

Sungguh!
Kenangan sebegini menambah kerinduan pada kampung!
Tapi hati Ana masih boleh tahan walaupun fikiran dan jiwa dah sampai kat kampung sekarang!
.........................

Tapi petang tadi..
Pertahanan hati Ana runtuh!
Temboknya musnah!
Kebalnya tewas!

Bila terserempak dengan orang kampung yang bertanya :

" Die..dok balik kampung ke?"

Ya Allah! Nak balik sekarang! Hati dah tak tahan!
........................

Glosari :

Peleh - Papan yang terletak antara dua atap dan bentuknya unik dan menarik. Bila dipandang, orang-orang seniukir akan tahu ia melambangkan rumah/wakaf/pondok tersebut adalah buatan jati Terengganu. Sama juga pada rumah Negeri Sembilan. Ia mempunyai identiti tersendiri.

Tanjung - Nama satu kawasan lapang di belakang kedai Icik Saih yang juga merupakan tempat kami anak-anak kampung bermain Wau waktu kecil-kecil dulu.

Biskut Cotek - Biskut yang berwarna-warni dan bentuknya seperti siput. Biasanya dijual dalam jumlah timbang/kilo.


"Die..bangun! Ayah Cik Suhaimi* takdok doh.." Kejut Mami.

"Innalillah.." Ucap Ana sepatah.
...............................

Berita pemergian Ayah Cik amat mengejutkan.
Walaupun Ana mampu menerimanya dengan tabah namun kenangan-kenangan bersama beliau seakan memberatkan telinga ketika Mami menyampaikan berita sedih itu pagi tadi.

Ayah Cik seorang yang cermat,
dihormati,
mengambil berat dan suka pada kebajikan.

Amat biasa sangat Ana menerima nasihatnya tiap kali kami bersua. Sama ada di masjid Kampung Buluh atau dimana-mana.

Sambil tangannya yang sentiasa wangi dengan atar itu Ana kucupi, sambil itu jugalah Ana pasti menerima nasihat atau kata-kata perangsang darinya. Diusap-usapnya belakang Ana. Belakang anak muda yang sentiasa beliau biayai yuran pengajian sewaktu SRP dan SPM dulu. Dan juga Ayah Cik tak lokek menghulurkan pitih lebih buat Nenda setiap kali Nenda sediakan lembek kekabu yang Ayah Cik minta.

Kata Nenda, masa kecil-kecil dulu, Nenda selalu dukung Ayah Cik. Masa kena dukung tu Ayah Cik cakap pada Nenda :

" Cikk..le ning* Cik dukung Awang*..besor seksok Awang beri pitih ke Cik buat beli daun rokok.."

Subhanallah!
Dari kecil lagi sifatnya yang suka menderma dan mengambil berat dah terserlah!

Ana sendiri dalam diam, amat mengagumi beliau.
Pada sifatnya yang mengambil berat dan disiplin hidupnya.
Sifatnya yang satu dalam seribu membuatkan kehilangannya amat dirasai.

Dulu Ayah Cik pernah cakap pada Ana sewaktu Ana mendapat satu tawaran menjadi Pensyarah dis ebuah universiti tempatan :

" Bagi Ayah Cik..kalu kerje pensyarah, gaji lagi mahal. Lagi banyak kita ada pitih, lagi banyak kita boleh tolong orang.." Kata Ayah Cik.

Teranggung-angguk Ana.
Benar sangat katanya.
.................................

Ana sendiri dah faham sangat cara Ayah Cik berfikir.
Beliau memang selalu fikir nak menderma dan bantu orang ramai.
Dari sebesar-besarnya seperti bantuan pembinaan masjid sehinggalah sekecil-kecilnya seperti sediakan makanan dan air untuk jemaah masjid yang bertakbir raya.
Pagi raya pun Ayah Cik ambil peluang bagi-bagikan duit raya serta kain pelikat untuk anak-anak kampung dan warga tua..Subhanallah..
........................

Mudah-mudahan Ayah Cik tenang di sana bersama hamba-hambaNya yang diliputi redha dan rahmat.

Takziah juga buat Makcik Zan sekeluarga. Semoga kita sama-sama tabah menghadapi pemergiaan insan yang baik yang telah bersama kita dan meninggalkan ajaran-ajaran serta nasihat-nasihat yang tetap selamnya di dalam ingatan.

Ya Allah..
Rahmatilah dan kurniakanlah kemapunan
serta redhaMu buat Ahmad bin Abdul Rahman. Amin.
............................

Glosari :
Ayah Cik Suhaimi - Nama panggilan terhadap Ayah Cik.
Le ning - Bahasa Terengganu yang bermaksud sekarang ni..
Awang - Panggilan manja bagi anak lelaki yang amat disayangi. Dalam ayat ini, Ayah Cik membahasakan dirinya sebagai Awang ketika berbicara dengan Nenda.

Blogger Template by Blogcrowds