Terharu ni..

Sibuk!
Itulah yang boleh Ana nyatakan kepada sahabat-sahabat tercinta. Bermula dari kerja-kerja biasa hinggalah kepada yang luar biasa. Semuanya menuntut masa dan ruang untuk disempurnakan. Hampir setiap hari keluar pagi dan petang , membuatkan masa Ana lebih banyak di luar. Menyempurnakan hajat-hajat yang tak akan pernah habis.

Benarlah kata pujangga Arab :

Maksudnya : Kita disibukkan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat bagi yang hidup itu takkan pernah habis (Selagi belum mati).

Apa pun, Ana redha. Kerana banyak yang dapat Ana pelajari dari kesibukan ini..
.................

Blog

Sejujurnya blog yang berwajah baru ini pun menumbuhkan rasa terharu pada diri Ana. Meninggalkan template lama seakan meninggalkan kampung halaman. Dah hampir setahun setengah template klasik itu Ana jadikan lapik susunan huruf buat pencantum bahasa ilmu. Terlalu banyak jasanya. Namun untuk menghormati permintaan sahabat-sahabat jua. Yang ingin melihat blog tercinta ini berwajah dan bersemangat baru. Dan Ana yakin sahabat-sahabat sekalian menyatakannya demi kebaikan kita bersama jua. Untuk itu Ana ucapkan :

Kerana Tuan..Hamba turutkan..penuh ikhlas di jiwa.
Jazakumullah.
......................

Braile

Sewaktu berbual dengan Haji Zahrim (Kenalan Ana di Bangi ni), Ana dihampiri oleh seorang cacat pengelihatan.

Setelah menunaikan hajatnya setakat mampu, beliau menghulurkan penanda buku braile kepada Ana.

Cantik!

Dengan tulisan-tulisan timbul (huruf-huruf Braile ) membuatkan Ana teringat satu peristiwa yang berlaku hampir 2 bulan lalu di masjid negeri Shah Alam.

Pertemuan Ana dengan Haji Othman, seorang Penulis buku dalam bahasa Braile..
...............

"..Ustaz, Ana berhajat nak cetak buku ustaz ni dalam braile. Untuk saudara-saudara kita yang cacat pengelihatan.." Katanya Ikhlas.

Terharu Ana!

Serta merta Ana katakan padanya :

"..Jii..(haji)..Ana dengar rendah hati dan terharu mengizinkannya untuk penyebaran dakwah.."

"..Mudahan sampailah pahalanya pada orang-orang tua kita jii.." Tambah Ana lagi. Penuh harapan.

"..InsyaAllah ustaaazz..".. Balas beliau.

Dan akhirnya pertemuan itu telah membuahkan pelbagai hikmah dan pelajaran yang dapat Ana timba.
..................

PMRAM

2 tahun lalu, Ana dihubungi oleh PMRAM (Persatuan Pelajar Melayu Republik Arab Mesir ) yang meminta izin agar buku susunan Ana diulang cetak di Mesir. Setelah mendapat penjelasan tentang tujuan usaha tersebut dilakukan, Ana dengan rendah hati mengizinkannya. Sungguh Ana rasa terharu dengan hal-hal sebegini. Terasa kerdil apabila buku kecil itu, akan mula beredar dari tangan ke tangan saudara-saudara kita di bumi Ambiyaa'. Subhanallah..

Lebih-lebih lagi mengingatkan diri yang penuh kekurangan ini. Terlalu banyak debu hitam berbanding kasturi untuk dihidu. Mudahan ia menjadi satu kebaikan buat penghapus noda-noda yang berserakan dalam diri..

Amin.
.....................

Di celah ribuan

Laju-laju Ana melangkah. Sesekali mata menangkap debu-debu yang mula hinggap di kaki. Tiada Ana peduli!

Udara yang membahang seakan memalu kulit. Apatah lagi di dalam panas terik ini. Mengoyak-ngoyak keselasaan air cond yang baru dinikmati sebentar tadi.

Pun Ana tidak perduli!

Ana hanya ingin ke sana.
Bertemu dengannya dan mengucup tangannya. Guru Ana yang hampir 11 tahun tidak Ana jumpai.

Dan di saat Ana memeluk dan mencium kepalanya (untuk memuliakan ilmunya), beliau menangis!

Terharu dia.
Menambah keharuan Ana jua..

Barangkali mengingatkan pertemuan kami di celah puluhan ribu manusia yang direzekikan Allah untuk majlis ilmu ini. Subhanallah..

Yang Maha Mengatur apa yang dikehendakiNya serapi-rapinya.

انّما أمره أذا أراد شيا أن يقول له كن فيكون

Maksudnya : Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, cukuplah sekadar Dia berfirman kepada sesuatu itu : Jadilah! Maka sesuatu (yang dikehendakiNya itu ) pasti terjadi.
(Surah Yaasin : 82)
Terharu..
........................

Dan kali ini pun..
Sekali lagi Ana terharu. Dengan sahabat-sahabat yang tak putus-putus menghantar email silaturrahim buat Ana. Bertanya khabar dan menyatakan kebimbangan kalau-kalau sufifaqir tak sihat sehingga tak dapat menulis seperti biasa.

Sungguh Ana tidak tahu hendak mengucapkan rasa terharu ini.
Mempunyai sahabat-sahabat yang mulia merupakan satu kemuliaan buat diri. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa sahabat-sahabat yang mulia juga adalah tanda kemuliaan agama pada seseorang. (Atau sama maksud dengannya).

Sungguh anda sentiasa tidak jemu mengirim berita serta mendoakan Ana di sini.

Ana hanya mampu mendoakan kesejahteraan anda sekalian dengan penuh harapan pada Pemberi Harapan. Ana bertuah mempunyai anda yang sentiasa memberi sokongan untuk penyebaran dakwah menerusi blog kita ini.

Didoakan anda semua sentiasa di dalam rahmat Allah seta diliputi ketenangan hakiki sesejuk embun yang menghidupkan daunan.

Salam rendah hati dan terharu dari Ana buat anda yang Ana cintai.-Sufifaqir-

1 Comment:

  1. Jasmin said...
    Salam Ustaz,

    Alhamdulillah, wajah baru atau lama meskipun ada perbezaannya,tapi yang lebih penting adalah pengisiannya.

    Semoga Ustaz dikurniakan Allah kesihatan yang baik untuk terus melakukan pekerjaan,ibadah,dakwah serta penulisan di blog ini.Saya doakan agar Allah kurniakan rahmat,hidayah,tenaga,akal fikiran yang cerdas dan cergas buat Ustaz dalam mengharungi hari-hari yang tidak kita ketahui bila hentiannya.

    Kesibukan adalah ujian.Insya-Allah akan dilapangkan kemudian hari.

    Tahniah atas terbitan "Tribute buat Nenda" yang makin diminati dan diperluaskan terjemahannya.

    Jazakumullah

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds