(Kutitipkan kerinduan ini buat Ahlil Bait yang kucintai : Nenda Hajjah Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al Yahya, Nenda Hajjah Tuan Nafisah Binti Syed Abdullah, Bonda Hajjah Tuan Sharifah Akmal Binti Syed Salleh, Bonda Tuan Syarifah Nurhaslina Binti Syed Abu dan seluruh ahli keluarganya serta buat Ummiku tercinta Syarifah Yasmin Binti Idros Al-Idros)

لّقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لّمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya : Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu terdapat contoh tauladan yang amat terpuji bagimu (iaitu) bagi mereka yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat serta sentiasa menyebut nama Allah. (Surah Al-Ahzab : 21)

Berhenti Ana membelek-belek Sirah Nabawiyah. Memberi ruang untuk tangan kanan menyeka air mata yang mula menitis. Bergenang hangat. Menitis perlahan apabila air hening itu mula memenuhi kelopak. Cukup menyentuh hati. Lebih-lebih lagi mengenangkan Rasulullah SAW. Contoh yang terbaik...

Ya Rasulullah..

Dialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib. Satu nama yang tak pernah dilupakan. Anak yatim dan miskin dari Makkah, seorang yang amat terpuji dan pemaaf. Akhlaknya meruntun hati. Yang telah menangiskan mata-mata yang telah merinduinya apabila hati dipenuhi Mahabbah padanya.

Seorang yang sangat sederhana, lemah-lembut, penyambung silaturrahim, penyabar, pembawa cahaya kegembiraan serta pemberi inzar. Terhimpun segala kesempurnaan padanya sejak hari ia diciptakan oleh Allah Yang Maha Sempurna.

Sejak dilahirkan dia telah bersujud pada Allah Yang Menciptakan.Kerana Ia dilahirkan di dalam keadaan bersujud!

Berkata Bondanya Aminah binti Wahab berasal dari Bani Hasyim, satu nasab yang amat dihormati oleh masyarakat Arab :

"Ketika aku mengandungkan Muhammad, aku tidak pernah merasa yang aku sedang hamil. Dan ketika dia mula keluar dari perutku, dia keluar dalam keadaan bersujud di atas bumi. Demi Allah, sejak dia lahir, dia sudah bersujud kepada Allah, Zat Yang Maha Esa."

Subhanallah..

Dan setelah itu juga, dia terus menterjemahkan sujudnya itu ke dalam setiap hembusan dan tarikan nafasnya..selama 63 tahun..

Semoga Allah menjadikan hati ini di antara hati-hati yang sujud padaNya. Seperti dia..lelaki Quraisy yang amat mulia..

RUH MULA MERINDU..

Dia seorang Anak yatim yang tidak sempat menatap wajah mulia ayahandanya. Malah kasih bondanya itu pun tidak lama dikecapi. Dengan demikian..tinggallah dia sebagai seorang miskin lagi yatim piatu..

Berkata Para Ulama ketika menyatakan hikmah terhadap peristiwa ini :

Sesungguhnya dengan yatimnya Rasulullah SAW ini agar dia sentiasa berhubung dengan Allah SWT. Ia merupakan semangat kenabian yang seharusnya disemai sejak kecil lagi.

Maha Suci Allah SWT yang telah mengatur sesuatu. Terkandung kesempurnaan yang tidak pernah diketahui selainNya..

Ketaatannya jua terserlah semenjak kecil..Bukankah Halimah As-Sa'diaah ibu susuannya pernah menyebut :

Ketika anak yang mulia ini masih kecil, aku pernah melihatnya merenung dan menatap langit dan bintang-bintang. Sedangkan ketika itu umurnya baru mencecah 2 tahun.

Laailahaillalah..!

Maha Suci Allah yang mendidiknya dengan segala kemuliaan. Menghubungkan anak yatim ini dengan harapan bagi segala harapan..iaitu Allah SWT..

Maka bermulalah kerinduan padanya!

Dengan kemuliaan akhlaknya, panji-panji kerinduan mula berkibar lantas menghidupkan ruh Mukminin, mukhlisina lahu Addin untuk sentiasa menyatakan kerinduan padanya dengan menghidupkan sunnahnya..

Maka hiduplah kerinduan itu di hati para Muttaqin terhadap lelaki Quraisy ini yang apabila diangkat bajunya (ketika Baginda menggali lubang sebagai persediaan menghadapi peperangan Khandak)..maka terlihat beberapa batu yang diikat kejap pada perutnya yang mulia..

Batu apakah itu?

Kedua bibir suci itu menjawab : " Batu pengikat dan penahan dari kelaparan."

Subhanallah..Wahai Nabi yang Mulia...mengapakah begini Ya Rasulullah? Engkau telah menitiskan air mata kami dengan kerendahan budimu..menjinakkan hati dari dunia dengan kesempurnaan zuhudmu..betapa jauhnya kami denganmu Ya Rasulullah..kejauhan yang sangat terasa..

SABARLAH..SABARLAH..

Bukankah para Sahabat Alaihimussolatuwassalam telah berlumba-lumba menyatakan kecintaan padanya? Mendampingi dan sentiasa melindungi Baginda? Sehinggakan apabila Umar ingin sekali mencederakan Badwi yang telah menarik serban Baginda dengan kasar sehingga kemerahanlah lehernya yang melepak itu..maka Baginda bersabda :

"Sabarlah..sabarlah.."

Dan apabila sekali lagi Umar ingin sekali mencederakan Badwi itu kerana meminta-minta dengan berlebihan pada Baginda, Baginda tetap bersabda :

"Sabarlah..sabarlah.."

Akhirnya dengan sifat pemaafnya itu membuatkan Badwi itu mengaku :

"Demi Allah tidak adalah seorang lelaki yang paling aku benci kecuali Muhammad..dan demi Allah..mulai hari ini tidak ada seorang lelaki pun yang paling aku cintai melainkan Muhammad.."

Maka dia terus mengucapkan dengan yakin : اشهد ان لااله الاّالله وأشهد أن محمد رسول الله

Subhanallah..betapa lembutnya dikau Ya Rasulullah. Pemaafnya dikau Ya Rasulullah..Kesabaranmu itu umpama benih yang ditaburkan lantas ia tumbuh subur dengan mahabbah fillah..

Bukankah penduduk Thoif pernah menolak kerasulan Baginda dengan kekerasan dan ugutan? Sehinggakan apabila Rasulullah SAW menyatakan :

"Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu..maka ucapkanlah لا اله الاّ ألله nescaya kamu akan selamat."

Lantas mereka membalas :

" Tidak ada kah selain engkau yang lebih layak diutus Allah sebagai utusanNya?"

Sekalipun itu yang diterimanya dari Sohib At-Thoif..dia tetap sahaja bersabar!

Sekalipun bumi Thoif menyaksikan semulia-mulia makhluk ini telah diusir dengan penuh kehinaan dengan kedua kakinya berdarah dilontari batu oleh anak-anak kecil dan hamba sahaya..dia tetap sahaja bersabar!

Dan kesabarannya itu berhasil! Di mana pada tahun kesebelas Hijrah Baginda ke Kota Madinah yang suci itu, satu hari ketika Baginda di dalam Masjidnya, Baginda telah didatangi oleh rombongan penduduk Thoif. Mereka datang untuk mengucapkan Syahadah, mengakui kebenaran risalah yang dibawa olehnya. Maka menangis Baginda! Membasahi janggutnya yang mulia. Kerana teringat peristiwa diusir dari Thoif beberapa tahun yang lampau.

Tetapi hari ini, Allah telah membuka hati-hati mereka sehinggakan mereka datang untuk benar-benar menyerahkan diri pada Allah dan RasulNya..

semuanya berkat doa dan kesabaran Baginda SAW..Subhanallah...

Bahkan bukan disitu sahaja kesabaran Baginda..

Di medan Uhud, ketika matanya yang mulia menyaksikan syahidnya Anas bin An-Nadhr, terkulainya Sa'ad bin Ar-Rabi', tewasnya Sayyidina Hamzah bapa saudaranya yang amat dicintainya dengan tubuhnya yang dilapah dan dikeluarkan jantungnya,ketika itu juga tidak tertahan Baginda..

Mengalir air matanya seumpama mutiara putih, menzahirkan dukacita yang bersangatan. Namun, Baginda tetap sahaja bersabar, bersabar, bersabar dan bersabar...
sambil linangan air mata itu Baginda iringi dengan senyuman....

tersenyum?

Kehairanan kami Ya Rasulullah!

Mengapa anda tersenyum Ya Rasulullah?

Jawab Baginda..kerana firman kekasihku yang mengingatkan :

فاصبر صبرا جميلا
Maksudnya : "Maka bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perlakuan golongan kafirin itu) dengan kesabaran yang sebaik-baiknya." ( Surah Al-Ma'arij : 5)

فصبر جميل
Maksudnya : " Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." (Surah Yusuf : 18)

فاصبر انّ وعد الله حقّ
Maksudnya: " Maka bersabarlah kamu kerana sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.." (Surah Al-Mu'min : 55)

فاصبر كما صبر أولو العزم من الرسل
Maksudnya : " Maka bersabarlah kamu seperti mereka yang mempunyai keteguhan hati di kalangan Rasul-Rasul..." (Surah Al-Ahqaf : 35)

Subhanallah..Maka di atas ingatanNya itu..engkau sanggup bersabar Ya Rasulullah SAW. Betapa mulianya dirimu! Betapa kesabaranmu mengatasi kesedihan yang telah engkau tanggung. Sekalipun golongan Musyrikin dan Kafirin itu mengkhianatimu dan menjauhimu..engkau tetap saja bersabar Ya Rasulullah..!

Semuanya kerana sujudmu yang Qudus pada QudratNya Yang Maha Agung..



AKUKAH YA HUZAIFAH..?

Kemuliaan akhlak Baginda SAW telah menjadi contoh yang tidak pernah dilupakan oleh para Muttaqin. Segalanya yang ada pada Rasulullah SAW adalah kemuncak kepada kesempurnaan iman apabila diterjemahkan ke dalam hidup yang singkat ini.



Tidakkah sampai kepadamu kisah Sayyidina Umar dan Huzaifah Al-Yamani? Mereka berdua telah menangisi diri..lantaran Khauf terhadap Allah telah menguasai hati-hati mereka..



Siapakah Huzaifah?



Beliau merupakan penyimpan rahsia Rasulullah SAW. Atau dikenali sebagai سرّ الأمين .

Di antara rahsia-rahsia yang pernah dititipkan Rasulullah SAW padanya, antaranya ialah senarai nama-nama orang Munafiqin di bandar Madinah Al-Munawwarah yang dianggarkan seramai 60 orang ketika itu. Dan Huzaifah menyimpan rahsia tersebut dengan sepenuh hati sebagaimana kepercayaan Rasulullah SAW padanya yang sepenuh hati..



Sedang Sayyidina Umar mengetahui bahawa pada Huzaifah itu, tersimpan senarai nama-nama orang Munafiqin la'natullah a'laihim..



Pernah satu ketika di saat pemerintahan Sayyidina Umar, Umar telah berkata pada Huzaifah penyimpan Rahsia Nabi ini..:

"Ya Huzaifah..Demi Allah, semenjak aku mengetahui padamu terdapat senarai nama-nama para Munafiqin..aku tidak dapat melelapkan mataku kerana sentiasa memikirkan siapakah mereka..siapakah mereka..?



Berkata Umar lagi..: ..يا حذيفه ءأنا منهم؟

Maksudnya : Ya Huzaifah..adakah (entah-entah) aku ini pun tergolongan dari kalangan mereka (Munafiqin)?



Menangis Huzaifah!..

Betapa kerendahan dan ketaqwaan Umar yang masih saja merasakan dirinya jauh dengan Allah SWT. Amat meruntun hatinya..Subhanallah..



Bahkan Umar ini pernah mengucapkan :

لو عسرت بغلة فى العراق لسئلني الله لما لا تصلح الطريق يا عمر

Maksudnya : "Sekiranya tergelincir baghal atau himar di jalan-jalan negeri Iraq ini (sedang aku memerintah negeri ini) nescaya Allah akan bertanya kepada Umar : Ya Umar, mengapa kamu tidak membaiki jalan-jalan ini..?"



Betapa akhlak Rasulullah SAW telah menjadi nur bagi mereka..menyelusuri zaman sehingga disebut-disebut dengan penuh kemuliaan..



Tidakkah juga sampai kepadamu kisah tentang Sayyidina Hussein? Cucunda Baginda yang tidak sekali-kali Rasulullah SAW memanggilnya kecuali dengan perkataan : "Wahai anakku..wahai anakku.."



Tahukah kamu bahawa Ahlil Bait yang mulia ini, yang Rasulullah SAW meletakkan bibirnya yang mulia pada bibir anaknya ini sentiasa mengambil berat terhadap urusan ummat. Berjalan Baginda Sayyidina Hussein setiap malam mengelilingi bandar Datuknya itu, Madinah Al-Munawwarah untuk mencukupi bekalan Fuqaraa' wa Masaakiin..

Dia telah memikul gandum di bahunya yang mulia sepanjang hayatnya...semata-mata berkhidmat untuk ummat yang dikasihi sehingga wafatnya..



Dan di saat cucunda Rasulullah SAW ini dimandikan, maka ternampaklah kesan bebanan pada bahunya...

Bebanan apakah itu?



Bebanan memikul gandum untuk Fuqaraa' dan masaakiin..pada setiap malam...

Subhanallah...

Inilah mereka..yang telah terhasil dari tarbiyah Rasulullah SAW .Yang dengannya jua telah membentuk keperibadian-keperibadian para Muttaqin. Meyakinkan mereka agar selalu menghubungkan hati pada Allah SWT demi meraih redhaNya. Ia juga sebagai bukti kecintaan yang berpanjangan buat Rasulullah SAW.



Maka..hidupkanlah kerinduanmu itu dengan menghidupkan Sunnahnya..Sebagai bukti kecintaan ummat buat kekasih yang mulia..

9 Comments:

  1. Anonymous said...
    Subhanallah... Praise be Upon Him, Muhammad The Last Prophet, The last Messenger.

    -NC-
    Anonymous said...
    Dari mydy:
    Syukur kpd Allah yg telah menyempurnakan ciptaanNya serta mengurniakan kita sebaik2 Rasul SAW. Menyakini kalimahNya dan Mengikuti sunnah RasulNya menjamin kejayaan dunia dan akhirat. Beristiqamah dlm amal adalah sebaik2 perkara. Bersabda Rasul SAW "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dgn org2 yg beribadah kepada Allah pd waktu pagi dan petg dan mengharap keredaan Allah semata2". Antaranya cara hidup Rasulallah SAW yg sederhana seharusnya menjadi ikutan. Rasulallah SAW pernah berpesan kpd Mu'az bin Jabal "janganlah sekali2 kamu hidup bermewah2an. Hamba Allah yg baik bukanlah org yg hidup bermewah2an. Berkat usaha ustaz mudah2an dptlah kita hidup dlm keredhaanNya.
    Nur said...
    Salam..

    May i link your blog? It's beautifully written.
    Anonymous said...
    Laa ilaaha illallaah adalah kalimah iman/tauhid manakala Muhammadurrasulullaah adalah kalimah amal. Apabila kita tidak lakukan amalan kita cara Rasulullaah S.A.W., takut nanti Allah tidak tengok atau tidak suka (bukan sampai tidak terima)amalan2 kita itu.
    Anonymous said...
    Cuba renungkan, apabila azan telah dikumandangkan, yang memanggil itu hanya zahirnya saja manusia (muazzin) tapi sebetulnya Allah yang memanggil. Maka, wahai orang2 yang bertaqwa, segeralah tinggalkan segala kepentingan selagi bukan hal2 darurat untuk menghadap Sang Pencipta. Itu juga tanda2 orang yang yakin kepada kebesaran Allah dan yang hatinya sentiasa mengingatiNya. Terima kasih, Ustaz kerana memberi ruang bagi saya dari negara jiran yang sedang bermusafir dan nginap dirumah umi untuk tumpang berdakwah. Mudah2an diterima.
    Anonymous said...
    Lafazkanlah 'La ilaaha illallah' ikhlas dari lubuk hati dengan sempurna.
    Imam Bukhari dalam kitab sahihnya: "Ucapan LA ILLAAHA
    ILLALLAH laksana KUNCI,sedangkan
    ibadah fardhu itu laksana giginya.
    Jika engkau membawa kunci yang memiliki gigi,maka engkau dapat membuka pintu-ertinya
    "SYURGA"-dan jika engkau membawa kunci yang tidak memiliki gigi,maka engkau tidak akan dapat membuka pintu" (H.R.BUKHARI)
    Cindai said...
    Menarik sekali.. tahniah!!!
    Anonymous said...
    salam..
    ana mohon copy artikel ni ya ustaz... jazakallah
    Anonymous said...
    Salam
    Ana mohon copy ya ustaz

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds