Cinta..

و من ءايته أن خلق لكم من أنفسكم أزوجا لتسكنوا اليها وجعل بينكم مودّة ورحمة انّ فى ذلك لأيت لقوم يتفكّرون

Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia telah menciptakan untukmu dari dirimu pasangan-pasanganmu supaya kamu merasa tenteram dan cenderung padanya. Dan Dia telah menciptakan antara kamu perasaan kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ( Surah Ar-Ruum : Ayat 21 )

..صدق الله العظيم... ( Maha Benarlah Allah Yang Maha Agung..)

2 kulit Mashaf suci itu Ana rapatkan. Pelan-pelan Ana kucup dan junjung. Kemudian Ana bawa rapat ke dada..Tenang.. "

"..Alhamdulillah...Dah masuk Surah Ar-Ruum malam ni.." Bisik Ana. Terasa seakan getaran memenuhi jiwa. Getaran ketenangan Kalamullah..

Benarlah Firman Allah yang bermaksud : ......ألا بذكر الله تطمئِنّ القلوب

....Ingatlah, sesungguhnya dengan mengingati Allah itu, hati-hati menjadi tenang.. ( Surah Ar-Ra'du : Ayat 28 )

Tenang sekali..namun tenang kali ini seakan tenang yang tidak berkesudahan..tenang yang semestinya ditenangkan...

Apatah lagi bila mengingati ayat terakhir yang Ana sudahi tadi...

Bilal Mencari Cinta..

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Miskin, miskin, miskin. Seorang lelaki yang tidak beristeri. Miskin, miskin, miskin. Seorang perempuan yang tidak bersuami.

Lancar Hadis tu ana bacakan di depan Guru Ana. Syeikh Dr. Abdul Latif Soleh Al-Farfur. Ketua Majma' Ulama' Syria. Mengangguk-angguk beliau membenarkan. Kemudian beliau menyatakan sesuatu pada Ana. Sesuatu yang membuatkan Ana terfikir hingga sekarang. Sesuatu yang rahsia..

Ana pujuk hati dengan mengingatkan diri pada kata-kata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam Al-Hikam :

أرح نفسك من التدبير. فما قام به غيرك عنك لا تقم به لنفسك

Maksudnya : Istirehatkanlah fikiranmu dari kerisauan mengatur keperluan dunia, kerana apa yang sudah dijamin diselesaikan oleh selainmu, tidak perlu sibuk untuk memikirkannya.

Biarlah Allah yang menentukan segalanya. Bukankah semua itu di dalam ilmuNya?

Teringat pula Ana kisah Bilal bin Rabah yang meminang seorang gadis. Ketika Bilal menyatakan hajatnya kepada wali gadis tersebut, berkata Bilal : .." Sesungguhnya saya ini adalah Bilal bin Rabah. Seorang yang berkulit hitam lagi bekas hamba sahaya.."

Ketika saya bertanya kepada guru saya mengapa Sayyidina Bilal menyebut-nyebut status lampaunya kepada wali anak gadis itu, Guru saya menjawab : .." Supaya mereka tahu bahawa Bilal tidak pernah melupakan asalnya dan terkandung pada kalam Bilal ini akan sifat rendah dirinya.."

Tepat sekali! Lebih-lebih lagi dalam urusan kafaah ( sekufu ). Tentu wajar berterus-terang agar kedua pihak dapat menilai dan membuat pertimbangan sebaik-baiknya. Bahkan Rasulullah SAW pun pada awalnya menolak pinangan Sayyidatina Khadijah RadiyAllahu A'nha kerana merasakan kefakiran pada diri Baginda..Subhanallah.

Ana sambung lagi kisah Bilal tadi..Berkata Bilal lagi :.." Jika sekiranya saya diterima (walaupun inilah saya seadanya)..Alhamdulillah. Dan jika saya ditolak ( kerana inilah saya seadanya ) maka saya akan ucapkan..Subhanallah..

Tersenyum Ana ketika mengingatkan kisah Bilal ini. Padanya terdapat 2 ucapan berbeza bagi 2 jawapan berbeza yang mungkin akan diterimanya! Lantas sahabat-sahabat bertanya pada Ana..mengapa demikian?

Ana naqalkan apa yang disebut oleh Guru Ana : "..Jika saya diterima walaupun begini saya seadanya maka Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang Maha Sempurna yang telah menciptakan makhlukNya sebaik-baik kejadian walaupun mungkin saja pada pandangan manusia, Bilal ini hanyalah hamba sahaya berkulit hitam! Dan jika saya ditolak semata kekurangan saya ini maka ketahuilah bahawa tiadalah yang lebih sempurna dan hanya layak dipuji kecuali Allah. Maka segala yang suci itu hanyalah kembali pada Allah..Subhanallah."

Betapa dalam makrifatnya..Terpamer kalam yang lahir dari hati taqarrub padaNya. Itulah Bilal bin Rabah, bekas hamba sahaya berkulit hitam..

Cinta Manusia..

Ana merenung-renung isi kitab Kifayatul Akhyar di tangan. Dah hampir sejam mata Ana tertumpu ke kertas-kertas kuning kitab tersebut. Berulang kali Ana membaca : "...Pertama..Taaiq..ataupun dalam bahasa melayu, kita panggil berhajat. Yang keduanya pula ialah Ghoiru Taaiq..iaitu tidak berhajat..samaada Taaiq atau pun Ghoiru Taaiq ini, semuanya.......

Ana mula hilang tumpuan..Dari anak mata yang meniti dari satu kalimah ke satu kalimah yang terpahat di perut Kifayatul Akhyar ni..lama-lama mata Ana mula mengecil..dan mengecil..dan men...g...ec.....il......

Mata kami berbicara..

Perlahan-lahan tangan Ana terasa dikucup. Kemudian matanya yang jernih mula memandang. Jernih dan tenang..

Ana balas renungannya...Senyum. Kami mula berbicara. Berbicara cinta dengan bahasa mata. Sungguh! Hanya dengan mata. Subhanallah..

Ana tak dapat gambarkan bagaimana indahnya di saat kali pertama menatap Zaujah Ana. Ada nur pada wajahnya..nur sujud di sepertiga malam..

Tapi sejujurnya Ana nyatakan..kalau tidak kerana parasnya pun, Ana akur sebenarnya. Akhlaknya lah yang membuatkan Ana jatuh hati. Solehah, cerdik, dan cukup untuk memenuhi apa yang kurang pada Ana. Alhamdulillah..Syukur sangat Ana. Syukur pada anugerahNya..

Selepas sama-sama bersujud pada Allah yang menemukan, Ana mula pimpin tangan Zaujah ke balkoni. Udara malam pasti baik buat penenang degupan kencang di dada. Degupan cinta.!Demi Allah, kami sebenarnya tak pernah bersua sebelum ini. Hanya baru di malam ini..

Mata Ana yang mengecil tadi..mula membesar dan membesar dan membesar...Astarfirullah Al-Aziim..khayalan rupanya! Miskin..miskin..

Cinta Rasulullah SAW dan Ummatul Mukminin..

"..Selimutilah aku..Selimutilah aku.." Minta Rasulullah SAW kepada Ummatul Mukminin, Sayyidatina Khadijah RadiyAllahu A'nha (Allah telah meredhainya). Maka Khadijah pun mula menyelimuti Baginda. Dengan penuh Cinta dan kasih.

"..Ya Khadijah..sesungguhnya aku bimbang terhadap diriku.." Sambung Baginda. Mendengar kebimbangan suaminya yang tercinta, pantas Khadijah menjawab : .." Sekali-kali tidak wahai suamiku..Demi Allah engkau seorang yang amat baik, penyambung Silaturrahim, sentiasa membantu orang yang memerlukan dan membantu mereka yang membela kebenaran. Dia pasti akan membalas dengan kebaikan buatmu selamanya.."

Dengan itu...maka tenanglah Rasulullah SAW. Tenang di dalam dakapan isteri yang cerdik dan solehah. Yang menjadi kekuatan diri ketika lemah, peneman ketika keseorangan..

Betapa pandainya Khadijah menenangkan..persis embun yang menambah elok daunan yang hijau...segar..suci..

Cinta Khadijah pada Rasulullah SAW sejak dahulu lagi. Lihatlah bagaimana kejujuran Baginda telah menambat hati Hartawan Makkah ini...sehingga Ummatul Mukminin ini menawarkan dirinya untuk menjadi pendamping setia Baginda.

Ketika beliau mula mengutuskan utusan untuk menyampaikan rasa cintanya sebagaimana katanya :" Wahai anak bapa saudara, sungguh aku amat suka padamu kerana kemuliaanmu, sifat amanahmu, akhlakmu serta kebenaran kata-katamu,

Dengan rendah hati Baginda menolaknya kerana kefakirannya...

Namun Khadijah tidak berputus asa. Diutusnya surat kepada Baginda menyatakan bahawa kefakiran bukanlah satu keaiban tetapi harga diri sebagai lelaki yang mulia itulah yang didambakan olehnya.

Tersentuh Baginda! Betapa sucinya cinta Khadijah..lalu Baginda meminta pandangan dari bapa-bapa saudaranya..Abu Talib, Abbas dan Hamzah. Dan..mereka menyetujuinya..!

Maka bersatulah cinta mereka dengan 20 ekor unta yang masih muda sebagai maharnya Rasulullah SAW buat Isteri tercinta Sayyidatina Khadijah RadiyAllahu A'nha. Penyatuan yang membawa ketenangan sejati kepada Baginda SAW.

Telah berkata para Ulama terhadap kecerdikan Ummatul Mukminin menenangkan Baginda ketika peristiwa turunnya wahyu pertama :

"..Perhatikanlah Isteri yang cerdik dan cerdas ini ( Sayyidatina Khadijah ). Ketika Suaminya dilanda kebimbangan, dengan bijak dia menyatakan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana suaminya adalah orang yang baik.!"

Inilah Isteri cerdik yang Solehah. Yang menjadi kekuatan dalam berjuang.Yang pastinya didambakan oleh Muslim sejati!

Sebenarnya kesucian dan kekudusan cinta itu hanya akan terserlah apabila semuanya lahir keranaNya. Baik di saat bertemu mahupun ketika berpisah. Semuanya di dalam ilmuNya. Keyakinan itulah yang harus dibina. Ia pasti membuahkan tawakkal sejati. Bukankah pertemuan cinta keranaNya akan bersemi lagi di sana..?...Di Syurga Allah.. Di sana tiada lagi perpisahan. Ia kekal abadi. Oleh itu..tuntutlah cintaNya terlebih dahulu...

( Ummatul Mukminin Sayyidatina Khadijah telah menemui Allah pada Tahun ke-10 kenabian. Tahun ini dikenali sebagai A'amul Huzni iaitu Tahun kesedihan. Ia dinamakan tahun kesedihan kerana pada tahun ini, Rasulullah SAW telah mengalami 2 kehilangan akibat kematian. Kematian bapa saudaranya Abu Thalib yang meninggal ketika usianya mencecah 87 tahun dan tidak lama kemudian isteri Baginda yang tercinta turut dijemput Ilahi. )

Ummati..Ummati..

Dari Aisyah RadiyAllahu Anha berkata bahawa : Pada satu malam Rasulullah SAW berdoa dan aku mencuri-curi dengar doa yang dibacakan oleh Baginda tersebut. Berdoa Baginda :

"..Ya Allah, Ampunilah Aisyah RadiyAllahu A'nha, apa yang telah lepas, apa yang akan datang. apa yang zahir padanya, dan apa yang batin yang tersembunyi padanya..."

Mendengar doa tersebut, Berkata Aisyah : Perasaanku seperti ingin terbang kegembiraan apabila mendengar doa yang diucapkan oleh Baginda itu.

Lalu terpandang Baginda SAW padanya..dan didapati ada kesan kegembiraan pada wajahnya Ummatul Mukminin itu..

Bersabda Rasulullah SAW : "..Gembirakah Anti Ya A'isyah..?"

Maka jawab Ummatul Mukminin :.." Sudah tentu Ya Rasulullah..Engkau mendoakan dengan penuh kudus padaNya untuk keampunan terhadap dosa-dosaku yang telah lepas mahupun akan datang. Yang zahir mahupun yang batin. Demi Allah aku sangat gembira dengannya.."

Maka bersabda Rasulullah SAW setelah mendengar jawapan itu :.."..Ya A'isyah..Demi Allah ! beginilah doaku pada seluruh ummatku pada setiap malam..beginilah doaku pada seluruh ummatku pada setiap malam.."

Subhanallah! Betapa agungnya cinta Baginda pada ummat ini. Kudus dan tulus.Betapa cinta Baginda itu telah mengikat hati orang-orang yang beriman agar sentiasa menyebut-nyebut dan mengulang-ulang kecintaannya, duhai Nabi Allah...tidak terbalas kami..

Ya Rasulullah! Kasihmu meratai segenap penjuru. Untuk si kaya mahupun miskin. Si yatim mahupun yang terbela, tua mahupun yang muda. Kesemuanya merasai cinta hakikimu. Bukankah engkau sentiasa menangis apabila melihat orang-orang tua? Memeluk serta mengasihi anak-anak kecil? Membela nasib perempuan, janda dan kaum yang lemah? Sucinya cintamu Ya Rasulullah..Cinta seorang Nabi pada ummatnya.

Bahkan telah zahirnya kecintaanmu pada golongan fakir dan yatim ketika sabdamu:

.." Jangan sekali kamu mengkhianati anak yatim kerana aku ini anak yatim..dan jangan pula kamu mengkhianati golongan fakir miskin kerana aku ini adalah fakir dan miskin.."

Sahabat..Semailah kembali cinta kita kepada Nabi.. ikatlah kembali hubungan hati dengan sentiasa berselawat padanya. Ketahuilah, jika dihimpunkan cinta seluruhnya ummat pada Baginda, demi Allah cintanya sentiasa melebihi..

Begitu juga dengan Para Sahabat RadiyAllahu A'nhum.Mereka telah bergembira dengan kecintaan pada Rasulullah SAW. Kegembiraan yang melupakan mereka pada kegembiraan yang lain. Dan kedukaan yang menimpa mereka apabila kehilangan Rasulullah SAW juga membuatkan mereka melupakan kedukaan-kedukaan lain.

Berkata Sayyidina Ali KarramAllahu Wajhah ketika mendengar berita kematian Baginda :

.." Ya Rasulullah SAW..Sesungguhnya kesedihan berpisah denganmu membuatkan kesedihan lain dilupakan. Demi Allah aku amat menyintaimu melebihi ibu bapaku.."

Dialah jalan bagi cinta sejati. Yang akan menghidupkan hatimu dengan manisan Mahabbah bil Mahabbah. Kerana fitrah cinta hanyalah padaNya dan pada RasulNya SAW, Seorang Yatim lagi Fakir dari Makkah Al-Mukarramah..Carilah cintanya..

( 3 bulan setelah mengerjakan Haji Wada' , Baginda jatuh demam selama beberapa hari sehingga Baginda tidak lagi mampu untuk mengimami solat seperti biasa. Baginda telah meminta Sayyidina Abu Bakar RadiyAllahu A'nhu menggantikannya. Pada hari-hari terakhir sebelum kewafatan Baginda, para Sahabat telah melihat Baginda SAW tersenyum dari tingkap rumah Baginda. Dikatakan Sahabat bergembira kerana menyangkakan Baginda telah sembuh dan berada di dalam kondisi yang amat baik. Sedangkan Rasulullah SAW tersenyum kerana melihat para Sahabat dan ummat Islam telah berjaya dibentuk dan bersatu dalam penyatuan silaturrahim. Tepat pada 12 Rabiu'l Awwal tahun ke-11 Hijriah, bersamaan 8 Jun tahun 632 Masehi, wafatlah Baginda dijemput Allah SWT. Ketika itu, usia Baginda mencecah 63 tahun. Baginda tidak meninggalkan harta kecuali dua pusaka sebagai pegangan. Sebagaimana Sabda Baginda SAW :

تركت فيكم أمرين ما ان تمسكتم بهما لن تضلّوا أبدا كتاب الله وسنّة رسوله

Maksudnya : "Kutinggalkan untukmu dua perkara (pusaka) yang mana tidak akan sekali kamu sesat selagi kamu berpegang dengan keduanya. Iatu Kitabullah dan Sunnah RasulNya.." )

17 Comments:

  1. Anonymous said...
    Cinta Allah adalah segala-galanya.
    Sekuatmana pun cinta manusia, akan ada waktu hatimu disakiti. Namun, Allah tidak pernah lupa kpd hambaNya dalam susah atau senang. Carilah cinta agung yang satu.. Allah Almighty.
    Anonymous said...
    Subhanallah, terasa betapa kerdilnya diri ini.
    Anonymous said...
    Ada beberapa perkara yang tak sepatutnya di paparkan dalam cerita terbaru ini. Khayalan ustaz misalnya.
    Rashidy Jamil said...
    Jazakumullah kepada pembaca. Ana menerima komen-komen demi kebaikan blog kita ini.Semoga Allah mengurniakan kebaikan pada kita.
    Anonymous said...
    Article yang menarik..tahniah..
    Anonymous said...
    Berpada-padalah dalam meletakkan kasih sayang terhadap manusia, kerana Allah lebih berhak ke atas diri kita..Subhanallah!
    Anonymous said...
    Ya Rasullallah rindunya aku pd mu tidak terkira. Segala cerita mengenai mu menambahkan lagi cintaku padamu. Kepintaran sufifaqir menyampaikankan niat sucinya untuk berdakwah sungguh menakjubkan. Bermula dgn kisah cintanya sendiri, walaupun iramanya agak sumbang mengambarkan itu hanya cinta khayalan (tak pernah berpengalaman?) tetapi kisah seterusnya menambat hati membina kasih yg sgt erat kepada Rasullallah s.a.w
    Anonymous said...
    Irama cinta sufifaqir tidak sumbang..inilah karya..hasil nukilannya..apa yang terbuku beliau lampirkan..Beliau manusia,tidak lepas dari perasaan itu..kepada sufifakir,saya doakan anda sentiasa terpelihara oleh-Nya selalu..SELAMAT MAJU JAYA
    Anonymous said...
    kepada siapakah cinta anda bermuara?
    nafsu adalah kuasa penggerak dalam diri seseorang.jika ia dimanjakan,ia akan ketagih.tetapi jika ia dibiarkan,ia akan lupa.Cintailah Nabi Muhammad s.a.w melebihi cinta anda kepada orang lain
    Anonymous said...
    Cinta bukan kefahaman. Bukan pengetahuan.Cinta tidak muncul sebagai hasil mengetahui pengertian ilmu cinta yang dicerna oleh akal. Tetapi cinta itu adalah hati dan perasaan. Allah mengurniakannya, dan manusia bertanggungjawab untuk mencari dan berikhtiar menyuburkannya...
    Anonymous said...
    KEWUJUDAN manusia adalah keunikan alam anugerah Allah dan komunikasi antara mereka memperlengkapkan kelangsungan sebuah kehidupan, manakala hubungan manusia dan pencipta-Nya pula menempah kejayaan hakiki.
    Manusia memiliki fitrah kejadian seni dan agung sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia. Cinta juga menepati satu angka daripada perangkaan..
    Anonymous said...
    Cinta kepada manusia?Kita harus tahu perasaan yang lahir dalam hati, adakah ia mendorong kepada hidup bersama untuk mencapai redha-Nya@sebaliknya?Jika kita kenal pasti cinta untuk mendapat 'kemanisan iman', maka teruskan berusaha, jika sebaliknya, percayalah bahawa cinta itu buta dan akan menggelapkan sebuah kehidupan..cari lah cinta kerana Allah...
    {kiambang senja}
    Anonymous said...
    CINTA itu indah, akan ttapi ia akan menjadi lebih indah & bmakna jika ia dibina berlandaskan cinta terhadap SANG PENCIPTA...
    Berpada2 lah pada cinta manusia, kerana sesungguhnya ia akan lenyap jua suatu ketika nanti...
    "golongkanla kami semua didalam golongan hamba yang mdapat cintaMU YA ALLAH... AMIN YA RABBAL 'ALAMIN..."
    Anonymous said...
    artikel yang interesting
    ketikacintabertasbih said...
    cinta itu namun ia selalu bersulam dengan nafsu semata2..wanita cantik menjadi buruan yang biasa dipandang serong...
    Rashidy Jamil said...
    Terima kasih buat ketika cinta betasbih di ata respon.Cinta yang sebenar-benar suci adalah cinta kepada Yang Maha Suci.
    fadhilah said...
    muhasabah diri penting.... statement khayalan ustaz kurangkan sikit..:)..mgkn khayalan itu sebagai suspen utk pembaca shj..apapun think positive:)

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds