Takbir Bicara Cinta..
اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر
لا إلَهَ الا اللّه هو اللّهُ أكبراللّهُ اكبر و لِلّه الحمدَ
اللّهُ أكبرُ كَبيِرَا وَالحَمدُ لِلّهِ كَثِيراوَ سُبحَان اللّهِ بُكرَةً وَأصْيِلا
لا إلَهَ الا اللّه ولا نعبد الا اياه مخلصين له الدّين ولو كره الكافرون
لا اله الا الله وحده صَدَقَ وَعدَه وَنَصَرَ عبده وأعزَ جُنَده وَهزم الأحْزَابَ وحْدَه
لا إلَهَ الا اللّه هو الله أكبرالله أكبر ولله الحمد
Kejap-kejap pembesar suara Ana pegang. Mengalunkan Takbir bicara Cinta di pagi Syawal ini. Bertakbir, Bertahmid dan Bertaqdis memuji Zat Yang Maha Sempurna. Tenggelam Ana di dalam alunan syahdu jemaah yang turut memujiNya. Menzahirkan kebesaranNya dan mengakui kekerdilan diri..
Betapa benarnya pujian ini Ya Allah. Terhimpun kesempurnaanMu walaupun kalau tidak kami memuji. Kerana Engkau sedia sempurna. Hanya padaMu-lah pujian ini
"Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Dialah Allah Maha Besar.Hanya Pada Allah-lah segala pujian.
Allah Maha Besar dan Segala pujian yang sebanyaknya hanya pada Allah. Dan Maha Suci Allah ( yang kami puji ) pada waktu pagi dan petang.
Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan Kafirin.
Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa, Yang benar janji-Nya, Yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin), Yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya.
Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, dan untuk Allah-lah segala puji-pujian."..
Embun Aidilfitri..
Cuaca sejuk menyelimuti tubuh. Embun-embun pagi masih setia di dedaun hijau. Jernih sekali. Nesan-nesan memutih umpama berpakaian baru menyambut Aidilfitri..Suci...
Sesekali alunan Kalamullah meniti-niti di bibir telinga. Mendayu-dayu. Seakan merayu-rayu agar keberkatannya turut dirasai oleh sanak saudara yang telah abadi. Sayu..
Dua tangan Ana raupkan ke muka. Mengaminkan doa qudus untuk Nenda dan sanak saudara yang telah pergi. Pelan-pelan kendi kecil yang berisi air Ana angkat. Kemudian Ana cucurkan ke perut tanah. Bisikan selawat Ana iringkan..untuk Nenda tercinta.
Pagi ini sangat istimewa sekali. Pagi yang menyaksikan Ana menangis pilu di hadapan dua nesan yang sudah biasa menyambut Ana sebagai tetamu. Seperti sebelum-sebelum ini juga, Ana datang lagi menyatakan kerinduan pada Nenda tercinta. Teresak-esak Ana. Meratapi seorang Tua suci yang cukup bermakna buat Ana..di pagi Aidilfitri.
Tahun ni dah masuk tahun kedua Nenda pergi..bermakna dah dua kali raya lah kami merasai kehilangannya. Sayangnya Allah pada Nenda, sayangnya Allah pada Ana.
Pelan-pelan Ana dongak ke langit. Kirmizi kekuningan..mempamerkan keindahannya di pagi suci ini. Tersenyum dia.Tersenyum pada mata yang bergenang air hening..
Tersenyum demi menyambut hari kemenangan. Kemenangan buat mereka yang bermujahadah..
"..Subhanallah..Maha suci Allah yang menciptakan.." bisik Ana. Akur dengan kudratNya. Yang tidak putus-putus memberi dan mengurniakan..
Berkatnya Teratak Nenda..
"..Waa'laikumsalam..haa..naiklah..jemput semua sekali.." sahut Ana pada tetamu yang berkunjung. Bersalam-salaman Ana dengan mereka. Sambil berbual, Ana hidangkan apa yang patut.
"..Masuk yang ini, agaknya dah 50 puluh orang yang datang.." Bisik Ana perlahan.
Sungguh! Berkatnya rumah pusaka Nenda ni. Tak putus-putus tetamu berkunjung. Membawa berkat silaturrahim.
Seingat Ana, sejak dulu lagi rumah ni sentiasa dikunjungi. Dah biasa sangat salam bersahut-sahutan. Dari sanak-saudara dan sahabat handai. Jika tidak kerana mengunjungi Nenda ketika itu pun, sahabat-sahabat Ana sendiri yang datang. Seperti biasalah, tak naik ke atas pun..hanya berbual di dapur. Bersandar pada pintu dapur yang telah uzur.. (Sekarang ini pun, setiap kali balik kampung, Ana akan bersandar di pintu dapur tu..betul-betul tempat Nenda selalu bersandar. Kat situlah kami selalu makan nasi sejuk lauk kuah ikan singgang, telur mata lembu,cicah budu.)
Kadang-kadang, ada juga mereka yang singgah sekejap semata-mata untuk meminta air sekendi buat menyiram pusara sanak-saudara mereka. Subhanallah.. Rumah Nenda jugalah tempat mereka tuju dahulu sebelum ke kubur..
Terfikir Ana. Mungkin juga disebabkan rumah berkat ini bersebelahan kubur dan masjid, maka tumpuan dan kunjungan tu, tak putus-putus. Tapi yang pasti Ana gembira dengan keadaan ini. Suasana ini. Keberkatan tak putus-putus. Rumah Nenda sentiasa berkhidmat pada tetamu. Paling tidak, amalan Nenda yang menghidangkan kawe (kopi) pada tetamu dan memberi air sekendi pada orang berziarah kubur, masih Ana teruskan. Alhamdulillah. Syukur Ana. InsyaAllah ia akan jadi amalan yang berpanjangan oleh anak cucu Ana nanti..Amen.
Nendaku..
Dia terlalu istimewa. Sentiasa di hati. Seorang yang sangat sederhana. Merendah diri serta mengambil berat. Penyayang serta pemaaf. Cintanya Qudus, selalu segar, menghijau. Umpama embun yang sentiasa di dambakan buat penyambung nyawa daunan kekeringan. Hidupnya untuk berkorban. Suci nasihatnya. Dalam makrifatnya. Dia terlalu istimewa..
Pusakanya hanya Nasihat, perjalanan hidupnya adalah panduan hidup, sentiasa sederhana, memberi sekadar mampu agar menjadi insan yang berbudi..
Nenda..
Sesekali ku menoleh ke belakang, ternampak anak kecil berpakaian lusuh, dipimpin Tua suci kedut seribu, menjunjung cendol dan lompat tikam..
Mereka beradu di atas lembek kekabu, bersantapan nasi sejuk lada hitam dan kawe buatan tangan..
Kini..
Si Tua Mulia abadi di dalam kenangan, menghadap Rabb sifatNya Rahman..Maka..Berpanjanganlah kerinduan..
Ya Allah duhai Tuhan Yang Maha Kasihan Belas, Belas kasihanlah kepada kami ini..dan saksikanlah kemuliaannya serta pertemukanlah kami di SyurgaMu. Amen..
Dari Tingkap ini..
Mata Ana merenung keluar..mencari-cari maqam putih Nenda..
Dari tingkap ini..nampak jelas di mata, 2 nesan berdiri kukuh, menyambut mata yang bertamu..mata yang terlalu merindui wajah tua kedut seribu. Dialah Ibu, Dialah Bapa. Dialah yang telah menjadi lilin bagi sebuah penghidupan....si yatim piatu ini..
Al-Fatihah buat ahlil Bait : Hajjah Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al-Yahya
Jazakumullah.
Allah Maha Adil kepada hambaNya.
Teruskan kehidupan, walau tanpa org yg disayangi dengan kekuatan dan moga hati terus tsabat di jalan Allah.
hmm...sedih sungguh ana mbcnya..memberi peringatan n pengajaran betapa kita wajib menyayangi ayahbonda...YaAllah,ampunkanla dosa2 mereka yang x sengaja dan berikanla mereka ma'rifah serta keredhaanmu yaAllah..sesungguhnya mereka sangat berjasa dalam mengajar hamba mu ini erti kehidupan yang sementara..