50 Sen

Pandangan Ana menembusi celah-celah jaringan besi penutup longkang. Mencari-cari duit 50 sen yang terjatuh dari poket kemeja Ana. Pelan-pelan Ana duduk. Membongkok sambil menguis-nguis duit 50 sen tadi. 2 gadis berdekatan tersenyum-senyum memandang Ana. Ana turut tersenyum. Ada bisikan antara mereka. Boleh jadi pelik melihat pemuda berkot hitam di tepi longkang..

Hujung ranting kayu sehasta Ana hulur ke dalam longkang. Menekan-menekan syiling besi. Kemudian pelan-pelan Ana tolak-tolak bawa ke tepi.

". .Alhamdulillah..". Ucap Ana bila ruang tangan untuk menyeluk jaring besi mencukupi. Susah payah Ana seluk. Dari tanah, syiling sederhana besar tadi mula berpindah ke tapak tangan . Pantas syiling besi 50 sen itu Ana gengam dan bawa naik ke atas..Ana cukup sayang padanya..cukup bernostalgia..

MANA SATU PILIHAN?

"..Nak beli nasi ke kuih?..kalau beli nasi..tak dapat beli air..Tapi..kalau nak air..terpaksa beli kuih ajalah.." Fikir Ana. Seakan-akan bermonolog Ana dengan kemahuan yang tersepit. Tersepit antara keinginan dan kemampuan..

Dalam suasana begini, Ana teringat pagi tadi, selepas sarapan, tangan suci Nenda menghulur lagi. Seperti biasa Ana sambut. Sambut seperti pagi kemalrin dan pagi-pagi sebelumnya. Sambut duit belanja sekolah..

"..Jimat-jimat belanja Die.." Kata Nenda sayu. Entah kenapa suara Nenda selalu begitu. Sayu dan mendatar..Mungkin terasa pada Nenda jumlah yang diberi tidak seperti anak-anak sekolah yang lain. Tapi itulah yang termampu. Seperti biasa..Ana anggukkan kepala. Senyum Ana. Sambil duit 50 sen itu Ana gengam kejap-kejap, Ana mula simpan ke dalam poket seluar. Duit keramat...

Sebolehnya Ana taknak menyusahkan Nenda. Ana terlalu sayang padanya. Kalau pun Nenda tak dapat bagi belanja pun, Ana boleh bawak bekal. Ada je kawan-kawan yang bawak bekal. Maklumlah, kami semua anak-anak kampung. Tak mampu nak bermewah-mewah.

Lagipun Ana dah biasa dengan sederhana begini. 50 sen sehari waktu sekolah rendah dan 80 sen waktu sekolah menengah cukup mengajar Ana erti jimat-cermat, erti sederhana. Kesedaran ini Ana guna sebaik mungkin sekarang.

Ada anak nanti, Ana akan didik mereka dengan kesederhanaan dan kesusahan. Mudahan mereka akan menjadi insan-insan yang suka membantu dan menghargai orang-orang tua yang telah banyak berkorban. Amin.

BETAPA PENGORBANAN MEREKA..

Kalau diingat-ingatkan balik, bertapa mulianya pengorbanan Nenda. Macam-macam kerja Nenda buat. Jual kuih, buat kawe, jahit lembek dan lain-lain. Semata-mata nak sekolahkan Ana. Sedih Ana..

Orang-orang tua kita semuanya begitu kan? Berkebun, bertani membanting tulang untuk besarkan anak cucu. Kalau difikirkan, banyak mana sangatlah pendapatan yang mereka perolehi. Tapi Alhamdulillah. Ana rasa semuanya cukup makan, cukup pakai dan paling penting tak sampai berhutang. Dan kalau berhutang pun, kita semua tahu, mereka sanggup! Semuanya kerana kita..Besar benar harapan mereka agar anak cucu menjadi orang yang berguna dan mulia budi pekerti.

Jadi Ana pun sebolehnya..taknak menyusahkan Nenda. Ana ni lelaki. Kuat dan panjang fikiran. Musim duku, Ana boleh ambil upah panjat pokok duku Ingoh Pa. Atau Ana boleh je cabut kacang tanah kat kebun Ingoh Nor. Ana dah biasa buat semua tu..

(Ingoh Pa adalah panggilan hormat pada Guru Al-Quran Ana kat kampung. Ingoh Nor pula panggilan hormat pada Ketua Kampung Ana. Kami kat kampung diajar supaya memanggil orang-orang tua dengan panggilan kekeluargaan seperti Iwe (orang tua), Ingoh (Pak Ngah) dan sebagainya. Sekarang ini Ana perhatikan, jarang orang-orang muda nak bergaul dengan orang-orang tua. Mendengar cerita-cerita dan mengambil nasihat-nasihat mulia mereka. Kalau yang dah kerja pun pelik. Kerja pegawai, gaji beribu-ribu. Tapi hujung bulan selalu telefon ibu bapa kat kampung untuk pinjam duit. Peliknya..)

Bila ingat tentang duit 50 sen Ana yang terjatuh tadi, memori ingatan terhadap pengorbanan Nenda amat kuat. Betapa susahnya Nenda nak dapatkannya. Berapa banyak air mata dan peluh yang tumpah demi membesarkan Ana..Ya Allah, muliakanlah Nenda..

Baiklah..Ana sambung balik memori Ana tadi..:

Syiling 50 sen masih di tapak tangan Ana. Sekejap gengam, sekejap buka..seakan-akan mengikut irama fikiran Ana yang teragak-agak..sama ada nak beli nasi tapi tak dapat beli air atau beli je kuih 30 sen, 10 sen lagi beli air.

Sebenarnya Ana boleh je pilih mana-mana satu antara dua pilihan. Kalau pun Ana beli nasi 50 sen, Ana masih boleh minum air percuma depan kelas Ana tu. Dan kalau Ana buat pilihan kedua pula, tentu duit masih berbaki 10 sen. Sekurangnya 10 sen lagi tu..Ana boleh beli air balik sekolah nanti. Bolehlah minum sambil kayuh basikal..

"...Emmm.."..Akhirnya.."..Pakcik..nasi bungkus se.." (Loghat Terengganu : Se atau Satu)

AIR PERCUMA..

"..Alhamdulillah.."..Licin Ana makan. Bukan selalu dapat makan nasi kat sekolah ni. Kalau kat rumah, memang Nenda Ana masak macam-macam. Menyayur bergulai..memang Nenda mahir sangat. Maklumlah, Nenda dulu tukang masak Istana Terengganu...

Melangkah pelan Ana. Mencari-cari paip yang biasa kami ambil wuduk kat situ. Kemudian, kepala paip itu Ana pulas.."..burr...." laju air jernih mengalir keluar. Ana dekatkan mulut pada muncung paip..pelan-pelan Ana teguk..air percuma..

OZLY KASUTKU..

Sahabat-sahabat sekalian. Sekarang ni..Ana nak cerita pulak tentang kasut sekolah Ana :

Selepas solat zuhur berjemaah (Sekolah Ana mewajibkan pelajar solat Zuhur berjemaah setiap hari sebelum pulang ke rumah) Ana duduk di tepi tangga surau. Tersusun elok Kasut sekolah Ana. Kasut Ozly bertapak hijau. Nampak jelas urat-urat benang keluar dari jahitan. Koyak..

Seingat Ana dah masuk setahun kasut ni Ana pakai. Sejak darjah 5 lagi. Tapi Alhamdulillah, masih tahan. Walaupun harganya cuma rm5 tapi jika nak dibandingkan dengan kasut kawan-kawan Ana kat sekolah, rasanya tahan lagi kasut Ana. Mereka tukar setahun sekali tapi Ana? 2 tahun sekali. Tahannya..!

Sebenarnya Ana rindu pada kenangan sebegini. Ia mampu mengingatkan Ana pada Nenda yang telah pergi. Pada kenangan yang amat berharga dalam hidup Ana. Belajar hidup susah dan bersederhana dalam semua hal dan keadaan.

Saat-saat begini teringat Ana akan kata-kata guru Tasauf termasyur, Syeikh Ibnu A'thoillah. Beliau telah menyebut di dalam Al-Hikamnya :

خير أوقاتك وقت تشهد فيه وجود فأقتك وترد فيه الى وجود ذلتك

Maksudnya : Sebaik-baik saat di dalam hidupmu ialah ketika engkau menyedari kekurangan diri dan engkau kembali kepada kerendahan dirimu.

Subhanallah..betapa benarnya ucapan beliau.

Sesekali, tundukkanlah pandangan kita ke bawah. Berfikir dan merenung sedalam mungkin terhadap nikmat yang telah dikurniakan. Bukankah Dia tidak putus-putus memberi. Agar kita bersyukur selalu.

Oleh itu, buktikanlah kesyukuran itu dengan sujud berpanjangan padanya. Sujud hati terhadap kebesarannya. Menghina diri dan menyedari kekurangan. Dia telah mencukupi segala urusan kita dengan mengurniakan Ibu bapa yang telah mengurus keperluan kita semampu mereka. Kenangilah pengorbanan mereka. Yang menjadi sebab bagi segala asbab sehingga berdirinya kita dengan pelbagai gelaran dan jawatan. Sekarang...

Marilah kita mengangkat tangan tinggi-tingi, berdoa dengan suara yang rendah-rendah memohon padaNya agar membalas sebaiknya pada orang-orang tua kita yang telah kembali. Ingatkanlah diri agar sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Bukankah kita pernah merasai kesusahan satu ketika dahulu?

Walaupun hanya dengan syiling 50 sen..bantulah..

6 Comments:

  1. Anonymous said...
    kita juga pernah susah, hari-hari bawa bekal nasi bungkus daun pisang, mak bungkuskan setambun boleh makan dua org. belanja 30 sen, bekal air dalam botol kaca maggi, kalau bawa air kawe, nampaklah hitamnya, pendek kata boleh nampak warna air. kalau botol kaca tu terjatuh alamat tak dapat minumlah, dah pecah pilihan kedua air paip. Pakai stokin sampai kembang, tak tukar slagi boleh di sarungkan getah, lipat jgn bagi londeh bila berjalan ke sekolah. kasut jgn ckplah, dulu tapak hijau mudah berlubang kat tapak sebb lask gi sekolah jalan kaki berbatu-batu.bayang kalau hujan memang stokin basah dulu, air hujan masuk melalui lubang di tapak kasut, nak ganti tak sampai hati nak minta yg baru, maklumlah orng tua dulu kerja kg. nak tunjuk pun tak sampai hati kat orang tua.beg buku pulak yng rotan, bila buku banyak tercabut2lah pemegang, bila hujan kena sarung buku masuk plastik kalau tidak basah sbb begnya jenis terbuka. Begitulah bila dikenang sedihnya yang amat..sedih sungguh nasib kita dulu..walau miskin tapi bahagia sbb tak berhutang dgn orang, ridha seadanya kita.
    Anonymous said...
    Assalaamualaikum,

    Sangat beruntung hidup penuh dengan kasih sayang. Itulah kekayaan. Apabila hidup penuh dengan kasih sayang, erti kata "kemiskinan" dalam kamus umi sama (sinonim) dengan "tak apa".
    Rashidy Jamil said...
    Terima kasih kepada anda yang berkongsi pengalaman. Ana gembira bila dapat sahabat-sahabat yang turut menyelami pengorbanan orang-orang tua kita yang mulia. Sama-samalah kita berdoa agar kecintaan kita ini berpanjangan pada mereka.
    Anonymous said...
    Dari mydy untuk ustaz:
    Suka duka dlm hidup ini dr kecil hingga dewasa adalah spt derama yg berlansung tanpa disedari sehinggalah dihari yg ditentukan. Yakinlah bhw kita sdg diuji bakat untuk melakun episod demi episod yang akhirnya berjaya atau gagal sebagai pelakun yg tekun atau pelakun yg engkar akan terpapar dihari akhirat nanti. Ustaz tetaplah bersama kami krn ilmu mu dpt kami jdkn penyuluh ketika kami berada dlm kegelapan.
    Anonymous said...
    Saya.. ketika zaman sekolah rendah,belanja 60sen..apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah,baru nak merasa RM1..mana nak bayar yuran persatuan2,pengawas dll...tu pun..dah rasa teruk sangat..padahal,ada teman-teman yang lebih teruk berbanding saya ketika itu.
    Dalam hati,macam-macam bersarang..
    Sebenarnya,saya tak sedar..saya amat2 bertuah kerana lahir di dalam keluarga yang 'kurang'.Andai sebaliknya,mungkin saya cepat lupa dengan nikmat yang Allah beri..bersyukurlah dengan apa yg ada..jika hendak dibandingkan dengan nasib mak ayah kita dulu,sanggup mengikat perut dan ada yang tak berpeluang langsung ke sekolah, setingi & sehebat seperti kita sekarang...
    "BERSUSAH-SUSAH DAHULU,BERSENANG-SENANG KEMUDIAN"...
    -Mr JAN-
    Mama Mia said...
    ketika zaman sekolah rendah,x silap saya sy bw duit sebanyak rm2 ringgit shj..naik sekolah menengah tah menjadi rm10 ringgit...entah..zaman dahulu lain dengan zaman sekarang...kuih 4 jenis dah rm1..mahal tu....lagi pun duit sekolah saya sebulan dah rm1xx...so sy klu x ade puasa je lah or bw bekal tu je...klu nk jimat duit..lagi pun barang keperluan mahalkan dipasaran...

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds