Kisah Ana..

Celik je ,mata masih basah. Menangis dalam mimpi. Sebenarnya mimpi jumpa Nenda seakan dah jadi rutin bagi Ana semenjak Nenda pergi 2 tahun lepas. Dulu mimpi jumpa Nenda kat Mekah. Ada sekali tu mimpi Nenda bercucuk tanam di kawasan bukit tinggi. Tapi yang pasti, setiap kali mimpi Nenda, pasti rindu semakin menebal. Rindu pada yang dah pergi!

Teringat Ana pada kata-kata Muhammad Ibnu Sirin di dalam kitabnya Tafsir Al-Ahlam Al-Kabir ketika menafsirkan jenis-jenis mimpi. Katanya : " Sesungguhnya mimpi itu terbahagi kepada 3 jenis ; Pertama : Busyro min Allah (satu khabar gembira dari Allah.) Kedua : Takhwif Min As-Syaiton (mimpi yang terhasil akibat gangguan Syaitan.) Ketiga : Hadith An-Nafsi (mimpi yang terhasil akibat terlalu memikirkan sesuatu sehingga terbawa di dalam mimpi.) - Sebenarnya pembahagian kategori mimpi oleh Muhammad Ibnu Sirin ini adalah berdasarkan Hadis Nabi SAW yang menyatakan secara jelas bahawa mimpi itu terbahagi kepada 3 jenis.

Bangkit je dari katil, Ana siapkan diri dan kemaskan apa-apa yang patut kat bilik. Hari minggu macam ni lah. Lebih-lebih lagi Ramadhan. Selesai mengemas, Ana rebahkan belakang ke kerusi rotan yang baru seminggu Ana beli. Sambil rehat atas kerusi rotan yang boleh ulik tidur tu, (Tak pasti istilah tepatnya) ana mula ulik diri sendiri. Pelan-pelan. Ana mula balik kampung...


Satu hari di bulan Ramadhan..

Bunyi mesin pengisar beras pulut memenuhi gegendang telinga. Mengisar-mengisar dan terus mengisar. Sesekali Wan dan Cik menambah-nambah beras pulut melalui muncung penadah pengisar. Nak buat cendol dan lompat tikam.

Saudara-mara yang lain pulak sibuk membungkus. Letak cendol dalam plastik kemudian masukkan air bersih. Berebut-rebut cendol naik ke atas.Terapung-apung kehijauan..Sedap..Lompat tikam pun macam tu.

Cik pastikan ia dibungkus dengan elok, cermat dan bersih sangat-sangat. Memang Cik seorang cermat dan sangat bersih. Dulu Ana masih ingat lagi waktu Cik buat tepung bungkus. Bila tepung bungkus dah masak, Cik akan buka satu-satu dan buang 'kerak' tepung disekeliling tepung bungkus yang bentuk macam pyramid tu, kemudian lapkan bersih-bersih. Sangat cermat!

Jadi, cendol dan lompat tikam pun macam tu lah jugak. Buat bersih-bersih dan elok-elok. Orang yang beli pun puas hati, kita pun senang. Halal sehalal-halalnya.

Biasanya Cik upah Van untuk bawak cendol dan lompat tikam ke pekan Kuala Berang. Kat pasar tu, Cik hamparkan tikar dan bersila di depan besen kuih-kuih. Sebungkus sekitar 30 sen je. Balik sekolah je, Ana tak terus balik rumah. Terus je ke pasar untuk jual kuih. Bersila macam Cik. Setiap kali dapat duit, ana masukkan dalam bekas plastik bertudung oren. Lama betul bekas tu berkhidmat. Seingat Ana, berbelas tahun jugaklah. Saat Ana menulis ni pun, ana ternampak-nampak bekas tu.

Masa sekolah rendah dulu, Cik jual cendol keliling kampung. Cik akan lipat kain batik atau 'kain lepas' kemudian gulung rapat-rapat. Cik letakkan gulungan tu atas kepala sebagai lapik besen. Kemudian bangun pelan-pelan mengimbangi beban cendol tadi, Cik mula keliling kampung..

Ana pun macam Cik juga. Selepas Wan letak cendol dan lompat tikam dalam raga, Ana akan keliling kampung menjual sambil melaung..cendol..cendoooolll...lompat tikam..lompat tikaaammm.. (Ana saja menaip perkataan cendol dan lompat tikam itu dengan huruf yang berlainan untuk gambarkan yang cara sebut tu ada nada sendiri).

Dapatlah rm5. Kadang-kadang Rm 10. Suku darinya Ana punya. Dapatlah beli air lamned (air botol macam-macam perisa, ada oren, sarsi dan aiskrim soda). Air lamned cuma 40 sen je. Ana paling suka yang oren. Kadang-kadang beli air gas. Tapi Cik dan Wan tak bagi sangat minum...sakit dada nanti. (Ana memang ada Athma waktu kecil dulu).

Sebenarnya, Cik banyak kepandaian. Selain cendol dan lompat tikam, Cik buat Kawe (kopi), sos cili, kuih-muih dan buat lembek kabu (tilam kekabu). Ana masih ingat semua tu.. Kalu malam namat (17 Ramadhan), Cik akan buat kuih Tepung Bunga dan Ana lah akan bawak ke Masjid. Kalu buat kopi, Ana yang tumbuk lesung. Cik potong-potong kawe yang menghitam pekat. Kemudian baru kisar. Kami Jual. Sebungkus rm2 hingga rm5.


Lembek Kabu..

Lembek kabu pulak, bila Cik buat, Cik akan guna ranting kayu sepanjang sejengkal sebagai pengukur empuk tilam. Kemudian Cik akan jahit berkembar dengan benang tebal warna putih. Masa tu, Cik akan duduk kat lambur sepanjang hari. Masukkan kekabu, tolak-tolak dengan kayu bagi sampai kat hujung-hujung bucu tilam. Sesekali Cik menoleh pada Ana. Nampaklah Cik pakai penutup muka macam Doctor. Biar kekabu tak masuk mulut. Walaupun tak tau Cik senyum atau tak di sebalik penutup tu, tapi Ana tahu, Cik senang hati. Cik buat tu semua untuk Ana dan anak cucu lain...Mulianya Cik..

Kadang-kadang bila difikirkan tak berbaloi dengan tenaga yang tercurah. Tapi itulah Cik. Tak mahal, cermat, bersih. Duit-duit sekolah, pakaian raya dan seragam..hasil duit tu lah. Kadang-kadang ambil dulu kat kedai..cukup duit baru bayar..

Selain Itik Sekati, Cik ada pokok duku. Setiap kali berbuah, Ana akan panjat. Asingkan jadi 3 bahagian. Satu untuk Mami, satu untuk Busu dan satu bahagian untuk Tengku Aini. Semuanya anak cucu Cik. Pokok Duku yang empat batang ni sebenarnya warisan Nyang Lijah mak Cik. Nyang lijah sangat istimewa pada Cik. Masa kecil-kecil bahkan bila dah umur 20 an pun Ana selalu dengar Cik cerita tentang Nyang Lijah. Nyang Lijah jual minyak sapi. Cik yang rindu kat maknya ni, mudik dengan perahu kajangan untuk cari maknya. Pakai kain sehelai je. Orang-orang dulu memang susah nak dapat makan minum. Apatah lagi pakaian. Menangis Cik setiap kali bercerita...

Sebab tu Ana tengok setiap kali Cik dapat kain, Cik akan susun elok-elok dalam almari kayu sederhana besar kat rumah Ana. (almari ni dah berusia 50 tahun. Nyang Lijah beli dengan hasil jual minyak sapi. Harganya rm15 ketika itu. Ana cat semula dan simpan kat bilik ana). Berulang-ulang Cik susun. Seakan-akan mujur benar Cik dapat kain-kain tu..


Ke Makkatul Mukarramah..

Duit hasil jual cendol dan tanah terkawal tu dapatlah Cik ke Mekah. Tahun 1996 Cik berangkat ke Tanah Suci. Masa tu Ana tingkatan 6. Lama juga terpisah dengan Cik. Akhirnya dapat juga Cik jejak kaki ke Tanah kelahiran Baginda Nabi SAW. Sedaya upaya Cik tunaikan Haji. Sempurnakan rukun Islam yang kelima tu. Allah bantu Cik..Maha suci Allah..

Cik juga simpan duit untuk buat Badal Haji (upah haji) untuk mak dan bah nya. Bah Tuan Tengah bin Syed Abdul Qadir dan Nyang Halijah binti cik siah. Sayang sangat Cik pada mereka. Menunaikan kewajipan pada orang tua yang dah pergi..Selalu juga Ana dengar Cik bercerita tentang Bah nya. Garang orangnya.

Masa kecil-kecil dulu, selepas sarapan pagi roti paun dan air milo, Ana ikut Cik tanam timun batang kat tanjung. (tanjung ni satu kawasan tanah terbiar dekat dengan sungai. Sebelah tu ada pokok binjai tempat kami beramai-ramai tunggu binjai luruh. Kat sini jugaklah Ana main Wau masa musim kemarau). Kalau gatal-gatal badan, Cik akan cari daun sukar, letak dalam periuk kemudian Cik rebus. Bila dah masak dan biarkan sejuk sikit, Cik mandikan sambil gosok-gosok seluruh badan Ana. .."..Biar hilang gatal..". katanya. Sampai sekarang ni pun, tiap kali Ana balik kampung, Ana petik daun sukar, gosok-gosok dan cium baunya. Nak ulang-ulang kenangan tu..memang Ana amat sayang pada Cik..

Mak cakap masa umur 3 tahun, Ana tinggal kat Melaka dengan mak. Kata mak..Ana selalu menangis-nangis ingat kat Cik..tak makan tak minum.. Bila mak dah bawak balik Terengganu pun macam tu juga. Setiap pagi Cik pimpin hantar ke sekolah TADIKA kat padang (250 meter je dari rumah) tapi Cik tak balik semula macam orang-orang lain yang hantar anak cucu. Cik tunggu je tepi pintu TADIKA sampai abis kelas. Semuanya kerana Ana tak bagi Cik balik...Sayangnya Cik pada Ana..

Dulu waktu nak ke Ardul Kinanah, Cik sedih sangat nak berpisah dengan Ana. Ana pun. Tapi Cik izinkan jugak ana berangkat. Masa kat airport..Ana salam cium kucup Cik. Ana tengok Cik menangis..Ana sebak tapi dapat sembunyikan air mata. Taknak Cik lagi pilu. Tapi bila Kapal terbang mula meluncur laju dan terasa mula naik...perlahan-lahan air mata Ana jatuh juga..mengalir hangat..Ana menangis..lama-lama..

Sebenarnya, Cik sangat penyayang. Ana masih ingat lagi waktu ana mula karang kitab kecil-kecilan dan letak nama Cik kat situ. Gembira benar Cik sampai bawak tidur buku tu.Walaupun Cik tak pandai membaca tapi Cik tahu, ni hasil cicitnya.

Masa Ana sambung belajar lagi kat Kuala Lumpur, Ana kerja sementara sebagai Imam surau . Tapi hampir tiap minggu Ana balik kampung juga jenguk keluarga. Satu petang, Ana dapat call dari mak Ana. Mak bagitahu Cik tengah sakit dada. Ana terus call hospital Hulu Terengganu minta bawakan Ambulan. Waktu tu Ana masih ingat lagi, Ana ada kat bawah pokok berdekatan dengan surau tempat Ana bertugas. Ana telefon mak Ana sekali lagi. Kali ni sepupu Ana yang angkat. Pelan-pelan dia bagitahu .." Cik dah takde..". (Dengan rendah hati Ana pohon kita hadiahkan Alfatihah)

Kelu Ana. Rasa yang tak tahu apa yang dirasa.

Bahkan waktu Ana taip ni pun..sebetulnya Ana tak tahu apa yang Ana rasa. Benarlah kata-kata Imam Syafie (Allah merahmatinya) : Kedukaan yang paling besar ialah kamu menyukai sesuatu tetapi ia tidak menyukai kamu.

Ingin benar Ana agar berita ini tidak terjadi. Tetapi sebaliknya yang Ana hadapi..


Wahai saudari..Dialah penemanmu..

2 bulan lepas seorang pemudi menceritakan kepada Ana betapa sengsaranya dia apabila ibunya meninggal dunia. Bila beliau menggunakan perkataan 'sengsara', Ana yakin, beliau di dalam kondisi yang sangat tertekan. Dan kebetulan Ana pernah melaluinya walaupun mungkin tidak sampai sengsara.

Setelah mendengar ceritanya yang tersekat-sekat apabila dia menangis dan ambil masa pula untuk ditenangkan, Ana membiarkan dia mengatur sebak seketika sebelum Ana membuka mulut. Tak lama kemudian, Ana berkata : " Tiada seorang pun yang dapat mengubati saudari kecuali sifat sabar saudari terhadap ujianNya. Saya yakin jika ibu saudari ada bersama kita sekarang ni pun, pasti beliau tidak sanggup anaknya bersedih hingga macam ni. Pasti dia akan menasihati dan memujuk saudari." Sebaik saja itu yang Ana ucapkan..Makin kuat sendunya! Risau pulak Ana..

Ana teruskan lagi padanya : "Jika saudari tidak ingin mendengar apa yang saya nyatakan ini pun, paling tidak tunaikanlah harapan ibu saudari yang pasti tidak sanggup melihat anaknya berduka lagi."

Alhamdulillah. Ia telah berhasil menjadi ubat untuknya. Tapi bukan kerana nasihat Ana. Sebaliknya dirinya sendiri. lantaran dia tak mahu Ibunya berduka.

Ana yakin sahabat-sahabat sekalian pasti pernah melalui saat-saat duka. Kehilangan mereka yang tercinta dan sebagainya. Merasai kegembiraan di saat bersama dan kedukaan bila terpisah. Ia adalah sunnah. Sunnah bagi sebuah kehidupan. Sememangnya sebuah pertemuan itu adalah untuk perpisahan! Namun bukankah perpisahan itu sebenarnya untuk sebuah pertemuan di alam yang kekal nanti?

Sehingga kini setiap kali balik kampung, bila Wan dan Mak Ana tengok kemuncup melekat di kaki seluar Ana, Wan dan Mak faham. Ana ziarah Cik dulu sebelum datang mengucup tangan-tangan mereka di rumah!

Waktu ziarah, Ana berdiri tegak sambil ucap salam buat Cik. Kemudian pelan-pelan Ana duduk di tepi Maqam sambil tangan Ana menguis-nguis tanah bersihkan daun-daun yang gugur atas kubur Cik. Terbayang jelas kat mata Ana saat-saat Cik masih ada. Pelan-pelan Ana ucap pada Cik : " Cik..Die mari (datang) ni Cik..".

Kemudian Ana baca ayat-ayat suci dan doa panjang-panjang buat Cik.. "...Ya Allah Ampunkanlah dosa Cik, Rahmatilah dia, kurniakanlah RedhaMu yang berpanjangan buatnya, Muliakanlah tempatnya di sana, luaskanlah kuburnya dan kumpulkanlah serta pertemukanlah kami di dalam SyurgaMu Ya Allah.. Amin."

Teringat pesan Cik : " Jangan baloh (gaduh) dengan orang."... " Orang tak malu pada kita sebab kita banyak pitih (duit) tapi orang malu kalau kita baik budi."..." Hidup ni..kena jimat-cermat.."..

Perpisahan telah mengajar manusia agar mengharapkan Tuhan sebagai Peneman Abadi. Dialah Wali dan Dialah tempat mengadu segalanya apatah lagi di saat meratapi kesedihan terhadap sebuah kehilangan. Mohonlah padaNya agar insan-insan tercinta sentiasa di bawah Maghfirahnya. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Dan Cintailah Dia. Dia tidak pernah menghampakan.-Salam Ramadhan.

2 Comments:

  1. Anonymous said...
    Kayaknya kamu baik bangat sama nenda kamu. Apa kamu tinggal bersamanya waktu kecil dahulu?
    'Abid Sakina said...
    mengalir air mata membaca..terasa hingga ke lubuk hati..pastinya insan yg mengalami lebih merasa peritnya..tak dapat bayangkan kalau nurul sendiri 'kehilangan' insan yg tersayang..apepun,kita perlu bersedia..setiap yg bernyawa pasti akn merasai mati..kan?..

    nurul doakan smoga terus tabah mengahdapi ujian hidup ini..sentiasa di lindungi Allah..sentiasa bahagia..di dunia dan akhirat...

    la tahzan..innAllaha ma'ana...
    senyum selalu ye..jgn sedih2...=)

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds