Hari ni masuk hari ke 18 Ramadhan. Bermakna telah 18 hari jugalah Ramadhan meninggalkan kita. Lebih kurang 12 hari saja lagi Ramadhan akan memberi laluan kepada Syawal. Hari kemenangan selepas bermujahadah. Kita akan bertakbir, bertahmid dan bertaqdis memuji Allah Zat Yang Maha Sempurna. Pujian di atas hidayah Allah berupa ketaatan sehingga Ramadhan dapat kita lalui dengan penuh keinsafan. Masih ada 12 hari lagi...Masih sempat untuk menambahi apa-apa yang masih kurang. Baik sebelah siang mahu pun malamnya. Semuanya untuk memperbaiki hati. Agar hati menjadi baik lantas jasad pun akan baik..

Ketika menaip kali ni, hati Ana agak terganggu. Entah kenapa Ana pun tak pasti..Saat ini..mungkin Ana tak dapat nak menaip dengan hati sebagaimana lazimnya. Itulah hati. Berbolak balik. Tenangnya sekejap, runsingnya lama-lama...

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

Sahabat-sahabat yang mulia, terasa benar lemahnya hati ini...Bukankah ia tempat jatuh pandangan Allah A'zza Wa Jalla. Tempat ukuran Taqarrub padaNya. Pun begitu tanpa malu kita masih ingin bertanya tentang kedudukan kita di sisiNya!

Wahai hati! Usah ditanya kedudukanmu di sisiNya. Tapi bertanyalah: "Sejauhmana DIA berada di dalam ronggamu!"

Sebaiknya dan semestinya..kita berusaha mencari nurNya. Dengan taaruf akan sifat JabbarNya. Bukankah di sebalik Jabbar ada RahimNya. Kerana Dia Maha segala apa yang diharapkan oleh hati ketika hati mula terusik dengan sendu taubat. Taubatlah wahai diri kerana ia adalah ubat yang mula mengubati..

Rukuk dan Sujudlah hati kita padaNya..kerana hati yang sujud akan mengikhlaskan jasad untuk menyungkur. Di sana pasti kemanisan menjadi 'Abd Allah itu akan meresap. Kemanisan yang akan membuatkan diri mengulangi rukuk dan sujud itu lantas memadamkan sifat-sifatNya yang menjadi pakaianmu yang selama ini!

Sujudlah dalam Tahajjudmu padaNya. Merintih, merayu, mengadu kelemahanmu yang sedia diketahuiNya jikalau sekalipun kamu tidak mengakuinya..

Firman Allah SWT : " Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajjud padanya sebagai solat tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari Akhirat di tempat yang terpuji." ( Al-Isra' : 79 )

Rasulullah SAW telah bersabda : " Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari Kiamat lalu kedengaranlah satu suara yang menyeru : Siapakah dia orang-orang ( di dunia dahulu yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka dengan berqiyamullail? ) Lalu bangun sekumpulan kecil orang-orang yang bangun malam itu lalu dimasukkan ke dalam Syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab pada semua manusia." ( Riwayat Al-Baihaqi )

Telah berkata Abu Sulaiman Al-Darani : "Sesungguhnya jika tidak kerana adanya Tahajjud, pasti aku tidak suka untuk hidup di dunia ini."

Ketika Hassan Al-Basri ditanya : " Mengapakah ahli Tahajjud itu sangat bersih wajahnya?" Jawabnya : " Sesungguhnya mereka berkhalwat dengan Tuhan yang bersifat Rahman lantas dipakaikan kepada mereka nur daripada cahayaNya."

Malu Uwais Al-Qarni..

Ketahuilah para Sahabat yang Ana cintai, ketika Uwais Al-Qarni diminta oleh ibunya untuk mempersiapkan kenderaan untuk perjalanan ke tanah suci, Uwais hanya mampu membeli seekor anak lembu yang setiap hari didukungnya berulang kali agar ia menjadi biasa memikul sesuatu yang berat.

Mengapa begitu duhai Uwais? Jawabnya : " Untuk membiasakan diri supaya nanti dapat mendukung ibunya sepanjang rukun Haji dilaksanakan...Subhanallah!

Hati yang bagaimanakah dimilikinya Ya Allah? Sehingga kami dapat menyangkakan ia dilahirkan untuk berkhidmat pada Ibunya semata-mata..Bukankah ketaatan pada Ibunya itu juga bererti dia mentaatiMu..

Maha suci Allah yang memegang hati-hati makhluk..Mengurniakan hidayah berupa ketaatan..

Berkata Syeikh Ibnu Atho'illah di dalam Alhikam : Jangan merasa gembira di atas perbuatan taat kerana engkau merasakan ia telah dapat dilaksanakan, tetapi gembiralah kerana Allah telah mengurniakan hidayah dan petunjuk sehingga engkau dapat melaksanakan ketaatan itu.

Ketika Uwais ditanya lagi oleh ibunya : " Apakah yang kamu doakan di hadapan Baitullah ya Uwais?" Jawab Uwais : " Saya telah mendoakan agar Allah mengampunkan dosa-dosamu wahai Ibu." Lantas Ibunya bertanya lagi : " Lalu apakah yang telah kamu doakan untuk dirimu?" Jawab Uwais lagi : " Saya hanya mendoakanmu wahai Ibu! Sesungguhnya jika Allah mengizinkan JannahNya padamu,maka tentu Dia turut meredhaiku." Lalu Ibunya berkata kepadanya : " Wahai anakku, berdoalah pada Allah agar dihilangkan penyakit kulit yang ada padamu." Jawab Uwais dengan rendah hati : " Wahai Ibuku yang mulia, sesungguhnya saya malu untuk berdoa begitu. Terasa benar hatiku ini seolah-olah tidak redha dengan pemberianNya."

Inilah Qanaah dan ketaatan.! Ia lahir dari hati-hati yang sentiasa sujud pada penciptanya. Oleh itu..pesanku padamu wahai Hati...Hati-hatilah! Mudah-mudahan dengan hati-hatimu itu, akan membuahkan Khauf yang berpanjangan lebih-lebih lagi pada Ramadhan yang sedang kita lalui ini. Amin.

1 Comment:

  1. nunwowro said...
    alhamdulillah.terima kasih ust.
    semoga hati2 ini makin berhati2..

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds