Kelana Anak Kampung..

Ana bukak tingkap bilik ni luas-luas. Angin lembut menerpa masuk menerusi jaring-jaring sederhana besar.

"..Emmm.nyaman.." Bisik Ana.

Dari tingkap ni, pandangan Ana terus ke kubur yang hanya 2 depa sahaja dari rumah. Memutih nisan-nisan tegak. Sepi sekali...

Kilat yang sesekali memancar membantu pandangan yang terpaku pada kubah masjid.
Masjid pun hanya di depan rumah. Sebelah kubur..

Masjid Kampung Buluh, Kuala Berang..
.................................

Tangga Masjid, 14 Jun 2009, Selepas Isya'.

"..Sekarang ning mung awang*..kene pikir care lagu mane mung nok tarik orang mude mari masjid.." ( Sekarang ni kamu kena fikir awang, bagaimana caranya nak menarik orang-orang muda agar datang ke masjid) Kata Isu* Razak pada Ana sambil menjentik-jentik abu daun rokoknya.

"..Sebenornye Isu suke bile mung balik kampung. Bulehla kami ni tupang-tupang dengor mung ngajor sepatoh selidoh.." (Sebenarnya Isu gembira bila tiap kali kamu balik kampung, bolehlah kami warga kampung tumpang-tumpang dengar kamu mengajar sepatah selidah ) Sambungnya lagi. Dijentik-jetiknya lagi abu daun rokok itu sekali lagi.

Mengangguk-angguk Ana.
Setuju benar Ana dengan pandangan Isu Razak.
Terasa berat tanggungjawab..
Tanggungjawab mengajak anak-anak muda kami agar kembali ke masjid..

*Isu- Ayah Su.
*Awang- Panggilan manja pada anak atau golongan muda yang amat dikasihi.
........................................

Sekarang ni Ana kat kampung tercinta.
Mengambil kekuatan sebelum kembali semula ke kota.
Kekuatan berupa nasihat-wasiat orang-orang tua kami di sini.

Selain Nenda dan ahli keluarga,
sungguh hidup Ana dikelilingi orang-orang tua yang mulia..

Mak Mandak,
Mak Nah,
Mak Nda,
Abang Banun,
Cik Kari,
Cik Yah,
Icik Saih,
Bat Che Harun,
Ingoh Pa,
Ide Jusoh dan lain-lain..
Ramaii..

Ada yang telah pergi..dan ada yang makin dimamah usia..
sungguh Ana cintakan mereka..

Disinilah,
Ana sentiasa :

Menghirup angin kampung,
Mendengar cengkerik dan belalang kunyit berbicara,
Melihat kejernihan sungai yang sejuk, segar, nyaman..
Menghidu bunga-bunga kampung yang seakan dah terlupa namanya..

Bunga Tanjung kah?
Bunga Cina Putar kah?
Atau Bunga Keluduk?
Mungkin Pulai?

Semuanya kekuatan ini Ana perlukan,
Buat peneman anak kampung yang faqir ini..
Di rantau orang..

Sungguh Ana cintakan kampung halaman.
Cintakan orang-orang tua yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan pedoman,
Wasiat dan azimat perjalanan,
Agar tak kekok berbudi di tempat orang.
...........................

Dulu-dulu,
Waktu kecil..
Bersarung pelikat petak-petak berkilas besar..
Berbaju Melayu warna pudar..
Berketayap putih serinya jeragat hitam..
Menuju ke masjid.
Bersila bersimpuh.

Kalau petang-petang balik sekolah,
kami belajar tulisan jawi dan mengaji Al-Quran dengan Iteh* Deraman.
Mendengar cerita-cerita Nabi.

Nabi Sulaiman dan semut.
Nabi Nuh dan banjir..
Nabi Muhammad anak yatim..

Kalau puyan* hujan,
Jambatan kat kampung ni apuh sokmo*,
Bergotong-royonglah orang kampung ganti dengan jambatan sementara,
Jambatan papan dua keping yang dilapik tong derang*.

Kadang-kadang kami naik bot penambang,
15 sen tambangnya.

Kalau letrik putus,
Walaupun masih diterangi gasoling*
Kami gembira..
Dapatlah cuti dari mengaji Al-Quran,
Terlepas sekejap dari cerlung* dan jerkah guru Al-Quran,

Kami ganti dengan main ton nusup*,
Dalam kepuk padi huma,
padi merah..

Kalau ada kematian..geduk/beduk dipalu.
Bukan palu sebarang..
Palu ada isyarat..

Yang panjang, Yang pendek,
Yang kuat, Yang pelan..
Membawa isyarat si mati itu :

Dewasa atau kecil atau lelaki atau perempuan!

Sungguh terlalu indah saat-saat itu!

Sampai sekarang ini pun, setiap kali berpeluang balik dan mengajar ringkas di masjid, Ana sebolehnya menyebut nama orang-orang tua kami yang telah pergi dan mendahului.
Sekurangnya ingatan itu akan berpanjangan dan menjadi ajaran generasi muda yang akan datang.

Dulu..
Kalau jemaah Tabligh datang ke kampung, cepat-cepat kami ke masjid. Dapatlah minum air warna-warni sambil dengar-dengar cerita Nabi. Belajar lilit serban di kepala. Ekornya dua.

Kalau musim kemarau, kami main wau di tanjung belakang kedai Icik Saih*.
Wau Bulan, Wau lidi, Wau Ular dan macam-macam lagi.
Semuanya buat sendiri.
Raut* buluh, ikat-ikat dengan tali putih buat lembek* dan kemudian gamkan kertas warna atas rangka wau. Gam kanji atau nasi lecek buat gam..

Buat tajur/teraju dan ikat dengan benang sepanjang mungkin. Bila wau dah naik tinggi..ikat punca benang di kayu.
Sambil duduik atas tanah, kepala dongak ke langit...
Melihat wau yang semakin kecil..kecil..kecill..kerana dah naik tinggi..

Belum lagi cerita tentang tunggu binjai luruh..
kemudian potong halus-halus buat jeruk dalam tempayang..
Bergayut pada akar kayu pepohon Ara di tepi sungai..
Mandi air sejuk yang mengalir tenang..

Sungguh kecintaan kepada kampung halaman adalah sunnah..
Bukankah Nabi SAW bersabda :

أللهمّ حبّب الينا المدينة كحبّنا مكّة أوأشدّ

Maksudnya : Ya Allah, cintakanlah kami kepada Madinah ini sebagaimana cintanya kami kepada Makkah ataupun melebihi dari itu.

Ya Allah,
Selamatkanlah orang-orang tua kami yang mulia,
Berkatilah umur mereka,
Kurniakanlah kesihatan dan ketenangan buat mereka,
Agar kami dapat pulang lagi,
Mencari kekuatan,
Pada ajaran dan wasiat mereka,
Yang semuanya datang dari kalamMu,
Serta sabda Rasul junjungan..
Amin..

*Puyan- Bahasa hulu yang bermaksud musim
*Apus Sokmo- Tenggelam sentiasa
*Tong Derang- Tong besar Minyak yang dah tak digunakan lagi.Dilapik di bawak papan jambatan sementara sebagai penimbul.
*Gasoling - Ana tak pasti istilah di bandar. Tapi lampu ini menggunakan minyak tanah, di pam beberapa kali untuk menghasilkan cahaya.Terang cahayanya.
*Cerlung- Loghat Terengganu lama yang bermaksud menjengilkan mata
*Ton Nusup - Main sembunyi-sembunyi.
*Iteh- Ayah Teh
*Icik Saih- Tok Sepupu Ana (Mat Sharif Kasim)
*Raut- Nipiskan
*Lembek- Tilam

8 Comments:

  1. Anonymous said...
    Salam,
    Jadikan masa yang lalu pengalaman dan pengajaran.Masa yang sedang berjalan ini,kita isi dan penuhi dengan amalan.Hargai mereka-mereka yang pernah berjasa pada kita.Yang dahulu dan kini…Semoga selamat di dunia dan akhirat.Amin.
    Rashidy Jamil said...
    Waalaikumsalam.Terima kasih di atas respon.Benarlah kata Imam AlGhazali- Masa yang lalu adalah jauh darimu.Sekalipun sesaat yang lepas,ia takkan kembali.
    Anonymous said...
    Salam ustaz,

    Lembek dalam artikel bermaksud tilam ke?bermaksud lembut.sebab kalau pengamatan bacaan saya rasa macam lembut
    Rashidy Jamil said...
    Lembek bermaksud tilam. Contohnya dalam artikel tersebut " buat teraju/tajur dengan benag buat lembek.." Maksudnya : " Buat tali teraj wau tersebut dengan mengunakan benang putih yang digunakan untuk buat lembek (tilam).
    Anonymous said...
    Salam,
    Entry yang membuatkan diri ketika membaca seolah- olah berada di tempat ustaz.Dulu..kini..dan selamanya tetap sama.Memori yang lalu tak mungkin berubah.
    Rashidy Jamil said...
    wslm.Terima kasih di atas respon anda.Sememangnya memori hidup yg lalu adalah terlalu indah.Buat peneman langkah musafir faqir yg berkelana mencari rezeki.Sungguh rindu menjadi anak kecil yg sentiasa dilimpahi kasih sayang org-org tua yg dimuliakan Allah.Mudahan kita sentiasa menjadikan ajaran-ajaran mulia mereka sbg pedoman hidup.Dahulu..kini..selamanya.
    Anonymous said...
    Salam,
    Ustaz rashidy. Miss my childhood time but i love my life now. I will appreciate and enjoy what i have do hope that tommorow will be better than today. Semoga Allah anugerahkan kesihatan yang baik untuk kita semua.
    Rashidy Jamil said...
    Wassalam.Ye saudari/a.Semestinya kita menghargai masa lalu dan menjadikan zaman kanak-kanak sebagai ingatan terindah dalam hidup.Saya gembira mendapat sahabat-sahabat yang berkongsi rasa dan pengalaman.Syukran.

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds