من أكرمك انّما اكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس الحمد لمن أكرمك وشكرك
Maksudnya : " (Ketahuilah) Sesungguhnya sesiapa yang memujimu, itu hanyalah kerana betapa pandainya Allah menyembunyikan keburukan yang ada padamu. Maka hendaklah kamu memuji Allah yang telah menyerlahkan kebaikanmu.."
Selepas Ana mendapat beberapa komen dan kunjungan seorang pembaca Tribute Buat Nenda yang menangis di hadapan Ana, Ana cukup terkesan dengan keadaan tersebut.
Jari Ana pantas menekan pencarian Google terhadap komen-komen lain tentang novel kecil ini. Satu persatu Ana teliti dan membacanya dengan penuh minat. Tekun!
Alhamdulillah..semuanya menyatakan rasa terharu dan gembira memiliki novel kecil ini. Sempat Ana copy semua sekali komen-komen pembaca. Dan Ana akan kongsikan komen-komen tanpa edit ini bersama sahabat-sahabat Ana yang Ana cintai :
.." Katanya ust rashidy, satu kepuasan di dalam diri bila kita melihat hasil tulisan kita dibukukan. Kita hadiahkan kepada insan yang tersayang, kita bagi mak, ayah, nenek dan rakan-rakan. Itulah satu keseronokan dan kepuasan buat diri yang suka menulis. 'Tribute buat nenda' adalah salah satu dari novel yang telah diberikan pada aku oleh beliau di antara 5 dan 6 novelnya yang lain. Termasuklah kutaib (buku kecil) 'isu penggunaan kalimah Allah' yang telah dikarangnya bersama dr. zulkifly albakri." - Lutfi ( na5wa.blogspot.com)
.."Ni salah satu buku karangan beliau yang menambat ati untuk dibeli...knape sebab time dia tunjuk tu trus nampak yang wane ijau trus jatuh cinta dengan cover buku....isi tak tahu...beli memang rajin dah tiga minggu simpan kat opis. minggu lepas balik kg bawa atas sebab ....time dalam train bace atas alsan nak hindar boring...yelah dari seremban ke serdang 1jam tau....144 muka surat yeee dapat diabiskan membacaanyee tanpa penghayatan...yelah bace dengan dikelilingi orang ramai tak pat nak xpresi memek muka n monolog dalaman tak brape nak feel....dasyatnyeee...sok nyee bace smulaaa ...untuk pengetahuan umum bace dengan penuh emosi siap menitik air mate lagi tu...time kasih ustaz banyak perkara yang saya blaja dari buku ni...doa minum susu...satu g memandang kan belum kawin so ayat ni menjadi peringatan. Sabda Rasullah SAW yang bermaksud; Miskin, miskin, miskin. Seseorang lelaki yang tidak beristeri. Miskin, miskin, miskin. Seseorang perempuan yang tidak bersuami...arap sangat kalau ade sambungannyee novel ni...dah jatuh cinta dengan novel ni.... patut laa cover novel ade tertulis bukan sekadar novel..." - Noor Baizura (noornarul.blogspot.com)
.." Tribute buat nenda saya akui sebagai novel motivasi kepada kita semua. Gaya bahasa yang bersahaja dan menarik. Seperti cerita filem yang dilihat dengan mata di kaca televisyen. Ada kala saya tertawa dan ada kali hati ini sebak. Diselitkan dengan Sirah Nabi, kata ulama, serta pelbagai lagi yang dapat diambil pengajaran. Setiap manusia ada kisah hidupnya tersendiri. Suka dan duka, gelak tawa riang gembira dirasai. Namun ada juga insan di sisi kita yang air matanya bagaikan sudah kering kerana tidak henti-henti menangis. Sesungguhnya novel ‘Tribute Buat Nenda’ harus dijadikan bacaan kepada yang meminati dunia novel. Bukan sekadar novel yang kadang-kadang ada kisah khayalan semata-mata tapi ini novel yang memberikan motivasi agama dan ruh Islam dapat dirasai..Tahniah buat Ustaz Rashidy Jamil Muhammad al-Rasyid…" - (firdauskhalil.wordpress.com)
Berkata Penyair Arab : فتشبّهوا ان لم تكونوا مثلهم ان تشبّه بالكرام فلاح
Maksudnya : " Contohilah (mereka yang berjaya) sekalipun tidak sampai sepertinya. Sesungguhnya dengan mencontohi orang yang mulia (dengan kejayaan) akan membawa kejayaan (buatmu)."
Setelah membaca buku ' Catatan Hati Nik Nur Madihah' pelajar terbaik Malaysia SPM 2008, Ana akui cukup tersentuh dengan kisahnya. Kesusahan dan kemiskinan diri yang menimpa, tidak sekali menghalang beliau menempa sejarah kejayaan cemerlang di negara tercinta ini.
Di saat ini pun Ana masih tak lupa apa yang tertulis pada buku beliau :
Nur Madihah puasa sebab miskin..
Subhanallah..Cukup menyentuh hati Ana! Terkesan sehingga mata ini berkaca-kaca. Betapa bangganya Ana membaca bait-bait yang tertulis sebegitu. Dan Ibu bapanya..tentu lebih bangga dikurniakan anak yang solehah sepertinya..
Ana capai handset di bucu katil. Ana hantar mesej pada sepupu Ana, Haji Din di dungun :
" Salam Syeikh. Ana terkesan dengan buku pelajar cemerlang SPM seluruh Malaysia ni. Dia puasa sebab miskin Syeikh..!"
Ibu jari Ana menekan SEND.
Tiitt..Tiitt.. bunyi handset kembali.
Cepat-cepat Ana cek.
Rupanya delivery Report! Bukan balasan dari sepupu.
Akhirnya kami berbalas mesej. Rancak. Tentang Pelajar cemerlang ini.
Kemudian Ana sekali lagi taip mesej buat sepupu Ana tersebut. Ana taip macam ni :
" Syeikh, Ana rasa nak email adik ni, nak bagi ucapan tahniah dan salam buat ibu bapanya.."
Ibu jari Ana menekan SEND.
Tiit..Tiit..bunyi handset kembali.
Kali ni, Ana tak cek pun handset Ana. Ana dah tahu..tentu bunyi delivery report lagi!
Tak lama kemudian, sepupu Ana balas :
" Hantar Syeikh. Tanya kabor.."
Ana pun mula bersila depan laptop kecil Ana ni..
Pelan-pelan Ana mula menaip email buat adik Nik Nur Madihah :
Salam Buat Adik
Assalamualaikum Wbr. Adik Nik Nur madihah.
Tahniah diiringi Syukur pada Allah yang sentiasa mengurniakan. Mudah-mudahan ia menambah rasa cinta padaNya lantas mendekatkan diri padaNya agar sentiasa jaga dan tidak alpa. Syukur juga akan mengasuh hati agar sentiasa mengembalikan setiap pujian yang diterima pada Zat Yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT.
Berkata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam AlHikamnya :
من أكرمك انّما اكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس الحمد لمن أكرمك وشكرك
Maksudnya : " (Ketahuilah) Sesungguhnya sesiapa yang memujimu, itu hanyalah kerana betapa pandainya Allah menyembunyikan keburukan yang ada padamu. Maka hendaklah kamu memuji Allah yang telah menyerlahkan kebaikanmu.."
Saya benar-benar merasa terpanggil untuk menulis sesuatu kepada Adik Nik Nur Madihah. Biarlah di sebalik hadiah atau cenderahati yang dikirimkan pada adik tak putus-putus lantaran kejayaan yang telah dicapai, saya di sini juga ingin sekali menghadiahkan cenderahati seperti yang lain. Cenderahati saya berupa nasihat dan penyataan rasa kegembiraan saya ini buat kecemerlangan yang telah dicapai.
Adik Nik Nur Madihah,
Saya kagum dengan ketabahan Adik. Ketaatan Adik pada Ibu Bapa yang juga merupakan penzahiran terhadap ketaatan pada Allah dan Rasulullah SAW.Adik bertuah dikurniakan hati yang dipenuhi syarat dalam perlaksanaan cinta. Syarat-syarat yang tulus dan Qudus :
Pertama : Cinta Pada Allah.
Kedua : Cinta Pada Rasulullah SAW.
Ketiga : Cinta Pada Ibu Bapa.
Keempat: Cinta Pada Diri yang dijaga dari kealpaan dan kebinasaan.
Membicarakan tentang Syarat Cinta di atas, mengingatkan saya kepada kisah seorang Al-Arif Billah, Hatim Al-Asom yang telah bertanya kepada muridnya, Al-Balkhi tentang manfaat yang telah dicapainya sepanjang Al-Balkhi menuntut ilmu dengannya.
Kata Hatim Al-Asom :"Wahai Al-Balkhi, sudah berapa tahunkah kamu bersamaku menuntut ilmuNya dari ku?"
Maka Jawab Al-Balkhi : " 33 tahun wahai guruku."
Bertanya lagi Hatim pada Al-Balkhi : " Lalu apa yang telah kamu perolehi sepanjang 33 tahun bersamaku?"
Jawab Al-Balkhi : " Aku telah mendapat 6 perkara darimu."
Terkejut Hatim!
Lantas ia berkata : " Subhanallah! 33 Tahun kamu bersamaku..hanya 6 perkara yang kamu dapat wahai Al-Balkhi?". "Baiklah, kita lupakan soal masa yang panjang itu tapi ingin sekali aku mengetahui darimu, apakah 6 perkara yang telah engkau dapati itu?"
( Saya ringkaskan di sini ) .... Antara yang disebut oleh Al-Balkhi ialah : " Aku melihat manusia yang berkasih sayang dan bercinta itu, mereka pada akhirnya akan berpisah dengan kematian. Maka di saat itu mereka akan saling melupakan. Sedang aku mengetahui bahawa kekasih dan peneman setiaku di alam barzah ialah amalanku. Maka aku menjaga amalanku itu sebaik mungkin dengan mentaati Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa dan menjaga diriku dari alpa."
Syarat-syarat inilah yang menjadi asbab kejayaan bagi setiap insan.
Dan seperti yang kita (mereka yang memiliki hati yang jernih dengan Nur Taqwa) tahu, kejayaan yang hakiki ialah kejayaan mentaati Allah dalam setiap hembusan dan tarikan nafas kurniaanNya ini.
Sekali lagi saya nukilkan apa yang dinyatakan oleh Ahli Tasauf yang terkenal ini menerusi AlHikamnya :
لا تفرحك الطّاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك
Maksudnya : " Janganlah merasa gembira di atas perbuatan taat kerana engkau merasakan ia telah dapat dilaksanakan, tetapi gembiralah kerana Allah telah mengurniakan hidayah dan petunjuk sehingga engkau dapat melaksanakan ketaatan itu."
Mudah-mudahan dengan memahami hakikat pujian dan kejayaan yang hakiki ini, akan menambah baik buat keimanan kita yang sentiasa diuji dan teruja dengan hawaa' (perasaan). Apatah lagi dalam meniti dunia yang sementara ini.
Adik Nik Nur Madihah,
Saya ingin sekali mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat Adik sekali lagi. Mudah-mudahan dengan nikmat kebijaksanaan dan kepandaian yang telah direzekikan pada Adik, dapatlah Adik menjadi seorang pemikir dan pelaksana dakwah yang suci ini demi Islam yang tercinta di masa akan datang. Saya dengan rendah hati, bersama umat Islam yang lain akan sentiasa mengangkat tangan tinggi-tinggi kepada Zat Yang Maha Tinggi (kesempurnaan) agar mendengar doa yang diucapkan dengan suara yang rendah-rendah (lantaran kusyuk dan penuh harapan) agar Adik sentiasa berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di Ahirat, alam yang kekal lagi baik buat mereka yang sentiasa mengharapkan pertemuan dengan Allah SWT yang Maha Kekal.
والأخرة خير وابقى
Maksudnya : " Dan Akhirat jualah yang lebih baik dan lebih kekal.." (Al-A'la : 17)
Salam hormat dari saya,
Rashidy Jamil Ar Rashid.
(http://rashidyjamil.blogspot.com/)
إن الله عنده علم الساعة وينزل الغيث ويعلم ما في الأرحام وما تدري نفس ماذا تكسب غدا وما تدري نفس بأي أرض تموت إن الله عليم خبير
Maksudnya : Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang Kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan. Dan Dialah Yang Maha Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang dikandungkan oleh rahim. Dan tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan dikerjakan hari esok (samaada kebaikan atau keburukan), dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya hanya Allah Maha Mengetahui lagi amat meliputi pengetahuanNya.(segala sesuatu)
(Surah Luqman : 34)
Prof. Dr. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawi Rahimahullah, seorang Mufassir terkenal di abad ini (meninggal dunia sekitar tahun 1998) menyatakan :
" Inilah 5 perkara ghaib yang tidak akan sama sekali manusia mengetahuinya di dunia ini kecuali Allah membuka sesetengah pengetahuan tentangnya kepada manusia. "
Subhanallah..Maha Benarlah Zat yang Maha Sempurna. Dan tiada sesuatu pun yang terkeluar dari Qudrat dan IradatNya.
Terkesan
Ana sedang terkesan dengan kematian. Selepas membaca beberapa penulisan dan diikuti siri-siri kematian yang melibatkan saudara dan kenalan, Ana seakan terfana sebelum fana. Persoalan yang besar di sisi makhluk ini sebenarnya hanyalah kecil di sisi Allah.
Apatah lagi Ana sendiri hampir menemui kematian di Madinah!
Subuh 19 April itu, beberapa minit sebelum sampai ke Madinah Al Munawwarah :
" Allaaaaaaaaaaaaaahhhhu Akbarrrrr! Yaaa AAAllaaaaaaaaaaaahhh!! Astarrfirullaaaaaaahhhh!!!
Jeritan bersahutan. Melaung-laung!
Bersahutan dan hiruk!
Laungan yang mengeraskan lelangit.
Panas dan mengerikan!
Melambung!
Berguling!
Berpusing beberapa kali!
Hampir gaung maut yang menyambut!
Tersadai...
Di tepi gaung kematian......
Diam..
Sunyi......
Hening......
2 Malaikat mendudukkan!
Seakan hening maghrib meliputi kelopak yang melekat dengan kapas haruman barus!
Dicengkam!
"Siapa lelaki ini?" Suara menggutur!
Melemahkan tubuh yang sedia tiada berdaya!
Sakit kepala Ana. Gelap!
Mata seakan melihat ketakutan,ngeri..
Itu yang paling jauh Ana ingat.
Dan Ana tidak mahu mencampurkan apa yang Ana fikir dari pembacaan dengan kenyataan yang Ana hadapi di pagi maut itu. Ana buka mata lagi. Dan lagi! Besarkan luas-luas. Agar yakin Ana masih hidup. Walaupun sakit..biarlah! Ana ingin hidup lagi! Masih banyak dosa yang belum diistigfarkan!
Ana cuba bangun..pelan-pelan.
"Ya Allahhh.." sakit.." keluh Ana.
"Ya Allaahhh..sakiittt Ya Allahhh.." Sahut yang lain. Berbisik-bisik..perlahan.
Ana mencari-cari suara sahutan itu dalam kegelapan bas.. Bergelimpangan jemaah Umrah kami!
Ada yang terperosok di bawah kerusi...
Yang terbelah mulut..
Yang terpejam dalam berpelukan..
Menangis Ana.
Sayu dengan jemaah..sungguh!
Mereka adalah orang-orang tua yang tidak berdaya..
Sedang Ana sendiri tiada daya untuk membantu..
"Haji Rosdiiiiiiiiii.."..".. Ustaz Mahaiiiiiii..".. Panggil Ana pada Mutawif..
..Senyap..
..Sunyi..
Ana panggil lagi dengan lebih kuat :
"Haji Rosdiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii..." .. "Ustaz Mahaiiiiiiiiiiiiiiiiiii.."
..Senyap..
..Sunyii..
Pelan-pelan Ana ke pintu bas. Ana tolak pintu yang remuk itu sekuat tenaga.
Ana terjun di atas kaca yang berkecai..
Kemudian, Ana berjalan laju sekuat hati. Jauh-jauh..
Apatah lagi melihat minyak bersimbahan di sana-sini. Laju keluar dari bawah enjin.
Ana takut meletup!Ana takut mengorbankan jemaah kami yang 90 peratus orang-orang tua.
Ana cuba berlari. Sakit!..
Ana cuba lagi..berlari-lari anak sambil melaung :
"Haji Rosdiiiiiiii..." .." Ustaz Mahaiiiiiiii.." Jerit Ana.
2 Mutawif itu Ana laungkan namanya beberapa kali. Diam..tiada jawapan!
Ana ke belakang bas. Mencari-cari lagi..
"Ya Allahh..!"
Pemandangan sedih dan ngeri menyambut mata.
Ana lemah sambil mengurut dada..
"Tolongg..tolonggg isteri saya..."..
"Yaannggg..bangunnn yangg.." Ya Allaaahhh...hukhukhukk.."
Pakcik itu menangis..! Meratapi isterinya yang terkopak kulit kepala. Mereka bergelimpangan!Terbaring di atas jalan raya selepas tercampak keluar dari bas!Sedang dia sendiri pun terbaring..
Ana urut dada.
Urut-urut..!
Memandang ke langit sambil berbisik :
"Ya Allah..kami tetamuMU yang lemah..
Sedang Engkau terkaya dari segala kelemahan..
Wahai Zat Yang Maha Sempurna..
Yang menjadikan sesuatu tanpa sia-sia..
Yang Maha Belas Kasihan pada HambaNya..
Yang Telah memberi janji dengan KalamNya :
الله لطيف بعبا ده يرزق من يشاء وهو القويّ العزيز
Maksudnya : Allah Yang Maha Lembut ( serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNYA ) terhadap hamba-hambaNya. Dia mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakkiNya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa.
(Surah As-Syura : 19)
Selamatkanlah kami Ya Allah..
Menangis Ana. Membasahi celahan jari yang sedang menekup wajah. Teresak-esak di subuh maut itu..
Tiba-tiba Haji Rosdi datang!
Ustaz Mahai datang!
Haji Wahid bangun!
Haji Alias selamat..
Haji, Hajah, adik, kakak..semua selamat di bawa turun..
Mereka selamat!
Mereka selamat!
Air mata laju meluncur turun.
Seakan bertasbih memujiNya yang tidak lalai mengawasi hambaNya..
Allah telah makbulkan!
Allah mendengar doa orang yang dhaif!
Allah membangkitkan mereka dari 'kematian'!
Dan Tanah Haram bakal menyambut orang-orang tua yang tidak berdaya.
Sedang Ana hanya menumpang keberkatan orang-orang tua kita yang mulia,
di Tanah Haram yang mulia.
Dua tiga kali Ana taip perkataan dan susun ayat-ayat untuk artikel ni. Tapi kejap-kejap Ana padam semula. Ana taip lagi. Pun padam jugak.
"..Aduuhh, nape ni.." Bisik Ana.
Macam serba tak kena nak menaip kali ni. Padahal Ana bukannya tak biasa menaip. Dah hampir 40 artikel dah Ana kongsi dengan sahabat-sahabat blog. Dah dibukukan pun.
Tapi kali ni macam tak kena banyak benda.
Ana berhenti jap menaip..
.......................................................................................... (lama-lama).
"..Okey! Kali ni Ana taip betul-betul. "
Ana nak menaip tentang perasaan Ana yang sedang rindu pada kampung halaman..:
Ana anak kampung..besar dan belajar cara kampung. Hidup suasana kampung dan bermain cara kampung. Kalau nak susun cerita tentang hidup Ana kat kampung, Ana hampir tak dapat menyusun dengan tersusun di saat ni. Semuanya kerana hati Ana sedang merindui kampung. Otak lebih laju dari jari untuk merakam semua yang tergambar kat kampung. Tapi Ana
akan cuba susun dalam bentuk tajuk kecil..
Begini ceritanya..
Masa kecil-kecil dulu, Ana akan bangun pagi-pagi lagi. Nenda kejutkan solat subuh. Terkebil-kebil Ana berjalan sambil mata buka sebelah, tutup sebelah. Pelan-pelan turun 3 anak tangga kayu kat dapur. Ambil wuduk dan tunaikan solat. Lepas dengar Nenda berzikir :
"..Subhanallah...Walhamdulillah... Alahuakbar .."
33 kali kat sejadah warna biru tua, barulah telinga Ana sayup-sayup menangkap doa Nenda :
"Ya Allah Ya Tuhanku, Ampunkanlah dosa hambamu ning..
Dosa kedua ibu bapa hamba...
Dosa anak cucu hamba..
D..o...s...aaa........
...........................
" Dieeee...bangung makanggg...."
Ruh terus masuk ke jasad!
Ana terkejut (terbangun). Nenda kejutkan sekali lagi rupanya selepas Ana tertidur waktu Nenda baca doa tadi.
Cepat-cepat Ana basuh muka sekali lagi. Kemaskan ikatan kain pelikat. Kemudian bersila depan Nenda. Kami sarapan pagi kat lambur (beranda). Macam biasa, air milo o dan roti paun cik ngoh delima. Sambil makan..sambil Nenda cerita. Cerita-cerita lama dan cerita-cerita baru.
Kadang-kadang telinga kat Nenda tapi hati kat bawah rumah.
Nape bawah rumah?
Ana simpan ikan sekila (pelaga) dalam botol yang tersusun kat bawah rumah. Nenda tak tahu. Kalau Nenda tahu Ana igak (tangkap) ikan sekila, pasti Nenda suruh lepaskan kat sungai.
Kami anak-anak kampung macam ni lah. Takde Flower Horn, takde game Mario. Kalau nak catatkan permainan kampung yang Ana sempat main dengan saing-saing (kawan-kawan) kampung..terlalu banyak. Ni antaranya :
Bela Ikang Sekila : Ikang Sekila atau ikan pelaga ni warnanya bermacam-macam. Hidup kawasan paya, air tawar dan lopak-lopak tanah berpaya. Ana ambil bakul kat dapur, kemudian campak ke tanah melalui tingkap. Bila dah dapat turun ke tanah, Ana ambil bakul tadi dan susup (sembunyi) dalam baju. Kateh (kayuh) basikal laju-laju..kami menuju ke paya pok abas. Biasanya ikan sekila ni membuat buih. Bila buka atau selak je pohon-pohon keladi dan lalang air, kita akan nampak buih memutih je terapung. Tu tandanya, ikan sekila tu ada. kalau yang buih berkarat tu biasanya dah lama la dia betapa kat situ.
Bedil Buluh : Buluh kecil dan penjoloknya kami buat dari buluh. Penjoloknya agak halus untuk ditekan ke dalam lubang ruas buluh. Bentuknya macam gobek sireh. Peluru bedil ni pula, kami gunakan surat khabar. Rendam surat khabar ke dalam besen berisi air. Bila dah basah kuyup, koyakkan sedikit dan gentel-gentel jadi bulat.Masukkan dalam ruas buluh pembedil tadi kemudian tolak (tembak) dengan penjolok. Macam senapang jugak bunyinya, Tapi tak kuat lah.
Tin 21 : Tin susu pekat manis kami susun macam piramid. Jumlahnya 21 tin. wujudkan 2 kumpulan untuk bertading runtuhkan dan susun semula tin tadi.
Main Game (Ana pun tak tahu macam mana istilah ni tercipta. Game tu sendiri kan memang dah maksudnya main) : Kami lukis atas tanah beberapa kotak untuk dijadikan tempat kaki bergerak mengikut syarat2 kotak. Gunakan juga serpihan tempayan atau bata yang pecah sebagai kor (tak tahu nak terjemah tapi macam wakil diri la)
Ziropin : Permainan utama budak-budak perempuan. Kami guna getah yang dipegang oleh 2 orang. Yang lain akan lompat getah tu dari paras tapak kaki,buku lali, lutut,pinggang,bahu dan kepala.Yang mencabarnya bila 2 orang yang pegang tu akan goyang-goyang getah tu sekuat hati untuk lompatan yang seterusnya.
Ton Nusup (sembunyi-sembunyi) : Ana memang hero main ton nusup. Sebab Ana biasanya sembunyi kat rumah sambil makan nasi. (Maaf kawan-kawan).
Senapang Buah Trobanggo : Sekeping kayu di lukis bentuk senapang dengan menggunakan arang. Kemudian dipotong mengikut lukisan tadi. Sebatang paku yang dipotong kepalanya (yang tempat kita ketuk tu) dipaku pada papan iaitu di kawasan bidikan. Kemudian hujung berus gigi yang berlubang tu, dijadikan pemetik. Ana tak nak detailkan cara nak buat senapang ni, nanti bahaya pula. Pelurunya ialah buah trobanggo ( Tak taulah kat kampung Antum panggil apa..tapi kat kampung Ana pohon ni banyak tumbuh kat kawasn kubur).
Menyelor (menyelam) : Pakai sprong dan guna pemanah yang diikat dengn getah lastik sebagai penarik panah. Biasanya menyelam kat sungai kampung, banyaklah ikan sungai yang kami dapat. Ikan baung, keli, haruan,kawang,sebarau, kise dan lain-lain.Kadang-kadang udang galah.
Ngawe (menjala pakai kelambu) : Ana biasanya mengawe dengan tokwan sepupu Ana. Namanya Mak Mandak. Kelambu tidur digunakan untuk mengawe.Dua orang akan memegang bucu kelambu dan mula rapatkan kelambu ke dasar paya. Mula bergerak perlahan dari tengah paya ke tebing.Dapatlah ikan-ikan kecil antaranya ikan seluang,ikan botok,ikan tilam,dan lain-lain.
Dan banyak lagi..
Ana tak dapat nak senaraikan semua sebab hati Ana sekarang sedang rindu kat kampung. Fikiran lebih laju dari jari..
Salam dari Ana.
Ana memulakan artikel ini dengan membaca doa yang sentiasa di baca oleh Baginda Rasulullah SAW :
أللهمّ أصلح لى شأنى كلّه ولاتكلنى الى نفسى طرفة عين
Maksudnya : Ya Allah, perbaikilah segala urusanku dan janganlah Engkau serahkan urusanku ini kepadaku walau sekelip mata pun.(Kerana kesempurnaan itu hanya pasti ada bila Engkau yang mentadbir semuanya.)
Daun itu..
Dedaunan kering gugur lagi.
Beterbangan di tiup angin. Kesana kemari mengikut rentak. Seakan-akan tempat gugurnya nanti bagai ditaqdirkan oleh bayu yang bertiup.
Terbang..terbang..terbang..dan terbaangg..
Akhirnya mendarat tidak jauh dari pangkal pohon yang selama ini tempat bergantung dan menumpang. Pasrah benar dia..
Ana mencangkung. Pelan-pelan tangan lemah Ana memegang tangkai daun yang mula menguning tadi. Membelek-belek kesempurnaan ciptaanNya.
"Emm..Tiada yang kurang.." Bisik Ana.
Mencari-cari lagi dalm belekan yang berterusan..Sungguh! Tiada yang kurang pada pandangan mata Ana. Walaupun mungkin saja memandang dengan mata yang akan berkekurangan kemampuannya nanti. Kemampuan yang akan menguning dan akhirnya mengering, rapuh..
Antara mata ini dan 'mata' daun..Pandangan kami mula bertemu. Dan seakan guru yang menasihati dengan telus pada murid..daun itu berbisik :
"Wahai matamu...kamu akan juga mengalami proses 'menguning' nanti"...Subhanallah..
Sewaktu Ana menulis ini Ana sedang bersila di hadapan daun! Ana kemaskan sila. Dan bermonolog :
Daun?
Ye..daun..
"Daun yang mana?" Tanya tersurat.
"Daun yang menjadi duta U.M.U.R." Jawab Tersirat..
"Oooo..". Balas tersurat pada tersirat..
Pelan-pelan Ana mengucapkan terima kasih kepada daun yang gugur itu kerana mengingatkan Ana pada umur yang akan menguning nanti..
Tiada yang kekal..
Apatah lagi harta dan hajat-hajatmu yang telah engkau dapati setelah menukar dengan umur dan masamu..
كلّ من عليها فان * ويبقى وجه ربّك ذو الجلل والاكرام * فبايّ الاء ربّكما تكذّبن
Maksudnya : Semua yang ada di bumi itu akan binasa * Tetapi Wajah Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal * Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 26-28)
Tinggalkanlah duniamu sebelum dedaunan gugur dan menguning..
Harta terbaik di Ja'ranah..
Debu-debu pasir berkepul-kepul naik. Udara yang membahang seakan memalu kulit-kulit kaum Ansar yang mula berkumpul di padang tandus itu. Terik dan membakar!
Hati Ana bertanya : "Mengapa kamu ke sana Ya Ansar?"
Perut Kitab الرحيق المختوم itu menjawab : "Kaum Ansar dikumpulkan oleh Saad bin Ubadah atas perintah Rasulullah SAW!"
Hati bertanya lagi : "Atas urusan apakah?"
Jawabnya lagi pada Ana : "Atas urusan yang menyempitkan dada-dada kaum Ansar walaupun mereka sedang berdiri di tanah yang amat lapang.."
Mereka sempit kerana dunia!
Maka Ja'ranah menyaksikan dada-dada sempit Ansar telah dilapangkan oleh Allah dan RasulNYA.
Bercakap tentang Ja'ranah..
Ja'ranah merupakan tempat istirehatnya Baginda SAW selama 10 malam selepas operasi memerangi Musyrikin di Thaif. Di tanah Ja'ranah inilah Rasulullah SAW telah membahagi-bahagikan harta rampasan perang kepada beberapa orang perseorangan di kalangan pemuka-pemuka dan lain-lain Qabilah.
Sedang Kaum Ansar lansung tidak mendapat harta rampasan tersebut..!
Maka timbullah perasaan tidak puas hati di kalangan orang-orang Ansar terhadap Rasulullah SAW. Sehingga mereka mengatakan :
" Demi Allah, Rasulullah SAW telah kembali bertemu dengan kaumnya." (sehingga berat sebelah dan tidak lagi memerlukan kita sedangkan kitalah yang mempertahankan,menyambut, melindungi di awal-awal datangnya Baginda ke sini).
Lalu Saad bin Ubadah mengadu kepada Baginda terhadap sikap orang-orang Ansar yang mula tidak berpuas hati terhadap berat sebelahnya (pada fikiran mereka ) Rasulullah SAW.Kemudian, Baginda SAW mengumpulkan orang-orang Ansar di padang Ja'ranah ini..
Bersabda Rasulullah SAW :
"Wahai orang-orang Ansar, cakap-cakap apa yang telah sampai kepadaku ini? Dan apakah yang tidak menyenangkan kamu terhadap diriku ini? Bukankah aku datang kepadamu sedangkan ketika itu kamu adalah orang-orang yang sesat lalu Allah memberikan hidayah kepadamu? Bukankah dahulunya kamu orang-orang yang miskin lalu Allah mengkayakan kamu? Dan kamu dahulunya kaum yang bermusuhan lalu Allah menjinakkan hati kamu?
Mereka (kaum Ansar) menjawab : "Bahkan Allah dan RasulNya yang lebih besar kurniaanNya."
Kemudian Baginda bersabda lagi : "Tidakkah kamu mahu menyahutku wahai orang-orang Ansar?"
Lantas Kaum Ansar bertanya : "Apa yang hendak kami sahuti Ya Rasulullah? Sedangkan anugerah dan kurniaan itu semua milik Allah dan RasulNYA"
Maka Rasulullah SAW bersabda : "Demi Allah, jika engkau mahu kamu boleh mengatakan nescaya kamu akan dibenarkan. Dahulu kami datang kepadamu padahal engkau didustakan lalu kami yang membenarkan engkau dan engkau tidak diberi pertolongan lalu kamilah yang membantumu. Engkau juga di dalam keadaan miskin lalu kamilah menampung keperluanmu."
"Wahai orang Ansar, apakah kamu rasa hatimu masih terpaut pada dunia yang mana dunia ini (harta rampasan) aku jadikan sebagai alat untuk melembutkan satu kaum untuk menerima Islam sedangkan keislaman kamu semua telah aku yakini dengan sebenar-benarnya? "(tanpa perlu menggunakan harta dunia sebagai alat menjinakkan hati kamu)
"Tidakkah kamu wahai orang-orang Ansar merelakan mereka membawa pergi kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah SAW bersamamu? Demi diri Muhammad yang berada di dalam kekuasaanNya, kalaulah tidak adanya hijrah nescaya aku termasuk salah seorang dari kalangan Ansar. Dan kalau manusia melalui satu lorong sedangkan orang Ansar melalui lorong yang lain nescaya aku akan melalui lorong orang-orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar serta keturunan orang-orang Ansar."
Mendengar kata-kata Baginda,maka menangislah orang-orang Ansar sehingga air mata mereka membasahi janggut-janggut mereka. Lalu mereka menjawab : " Kami rela Rasulullah SAW sebagai bahagian ( harta ) untuk kami! "
Bersihkanlah debu..
Inilah hakikat dunia! Tak lebih dari daun yang menghijau..Yang pasti ada saat menguning dan gugur..Umpama debu yang berkepul di Ja'ranah..
Sedang Ansar telah membersihkan debu itu dengan ketaqwaan..
DIAlah sebaik-baik Penentu dan Pemberi. Maka mintalah yang terbaik dari kurniaanNya..Dan sebaik-baik permintaan ialah Ketaatan.
Bukankah Syeikh Ibu A'thoillah As-Sakandari telah berkata :
خير ما تطلبه منه ما هو طالبه منك
Maksudnya : Sebaik-baik yang patut kamu mohonkan dari Allah ialah (kemampuan untuk melaksanakan ketaatan) terhadap apa yang telah Allah perintahkan.
Oleh itu, bersihkanlah debu Ja'ranah!
Anak mata Ana merenung siling putih. Membilang siling dan kaca-kaca lampu. Tanpa tujuan sebenarnya. Mungkin mencari-cari apa yang perlu Ana fikirkan..
Sesekali anak mata ini Ana pejamkan. Rapat-rapat. Cuba mengosongkan fikiran dan bertafakur seketika dengan apa yang berlaku pada pagi tadi. Namun bau ubat dan bunyi mesin yang sedang berfungsi di sebelah menyedarkan Ana.. yang Ana kembali terlantar di Hospital..
Seingat Ana..malam tadi, selepas Ana menyusun kitab-kitab yang dah mula berdebu kerana hampir sebulan ditinggalkan, Ana tertidur keletihan. Keletihan memandu pulang dari Terengganu yang belum hilang ditambah pula keletihan menyusun kitab-kitab kesayangan Ana yang menimbun di bilik.
Tertidur Ana..letih dan letih dan le..t..iihh..
1.00 pagi ... ke
2.00 pagi.. ke
3.00 pagi..ke
3.15..ke
3.30..ke
3.45..ke..
.....3.50 pagi..!
Ye..3.50 pagi..tepat-tepat waktunya Ana sukar bernafas.
Pelan-pelan Ana bangun..urut-urut dada,kaki, peha dan perut..
Pun..masih belum lega.
Ana urut lagi..
Urut sedaya mampu..
Ya Allah..dah tak tahan.! Ana call ayah dan mak angkat Ana.
Akhirnya Ana dibawa ke Hospital Serdang..
Kita MilikNYA..
Itulah seingat Ana sebelum Ana terlantar di katil ni.
Subhanallah.. Maha Suci Allah yang memegang nyawa makhlukNya dan mengizinkan hembusan dan tarikan nafas itu kembali ke rongga dada. Padahal baru semalam Ana kembali bertugas dan sempat postkan artikel terbaru Ana yang bertajuk Jazakumullah Buat Anda pada sahabat-sahabat blog. Tapi hari ni..kembali terlantar Ana. Dan setelah ditarik seketika nikmat kelancaran bernyawa, kini dikembalikan semula pada Ana untuk menyempurnakan bilangan hembusan dan tarikan yang hanya berbaki entah berapa kali lagi..Subhanallah..
Betapa DIA mengaturkan segalanya. Semua dalam ilmuNya.
.."Alhamdulillah.." Bisik Ana. Seakan ada air hening di tepi kelopak yang separuh terbuka. Cukup menyedari betapa kekuasaanNya meliputi segala sesuatu..Kita milikNya..
Kemudian Ana teringat sesuatu..
Pelan-pelan tangan lemah Ana menyeluk poket baju putih Ana. Lipatan kertas sederhana besar Ana keluarkan.
pelan-pelan Ana ucapkan :
إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي
Kupersembahkan (rintihan) kepadaMu Tuhan sekelian makhluk akan harapanku
وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا
Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah
ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي
Bilamana keras hatiku dan terasa sempit perjalananku
جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا
Kujadikan rayuan (rintihan) daripadaku sebagai jalan untuk mengharapkan keampunanMu
فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل
Bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini
تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرمــا
KurniaanMu dan keampunanMu adalah merupakan rahmat dan kemuliaan
ألــســت الــــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي
Bukankah Engkau yang memberi aku makan serta hidayah kepadaku
ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا
Dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan ni'mat itu kepadaku (walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)
عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـتــي
Semoga orang yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku
ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدمــا
Dan menutup dosa-dosaku serta setiap perkara yang telah lalu
فــإن تـعـف عـنــي تـعــف عـــن مـتـمـرد
Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkan dari kederhakaan
ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا
kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari berhimpun kesedihan
و إن تنـتـقـم مــنــي فـلـســت بــآيــس
Namun jika Engkau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa
ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـمـا
Sekalipun dosa-dosaku itu akan memasukkan diriku ke dalam neraka
فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه
Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati Rabbnya
وفيما سواه في الورى كان أعجما
Dan bilamana dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu
يـقــول: حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي
Dia (Rasulullah SAW) berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap
كـفــى بـــك للـراجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا
Cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon
أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى
Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu
وأحــفــظ عــهــد الــحـــب أن يـتـثـلـمـا
Dan ku jaga janji kasih yang telah tercalar
فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى
Di saat ku jaga, aku rindu, dan di saat ku lelap aku berharap
تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــمــا
Mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang
فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث
Sesungguhnya dosaku adalah besar sejak dulu dan kini
وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا
Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih besar (agung) dan lebih mulia
(Bait-bait yang mulia ini merupakan Nasyeed Elaika yang dilagukan oleh Muhammad Ubaid. Dikatakan Nasyeed ini diadaptasi dari syair yang sentiasa dibaca oleh Imam Syafie Radiyallahu Anh yang merintih pada Rabbnya memohon keampunan. Ana merujuk di dalam beberapa laman web, ada menyatakan bait-bait yang mulia ini terdapat di dalam ديوان امام الشافعي . Wallahua'lam)
واذا مرضت فهو يشفين
Maksudnya : Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku. (Surah As-Syuaraa' : 80)
Salam Muharam yang mulia buat sahabat-sahabat serta pengunjung yang sentiasa setia di blog kita ini. Setelah agak lama Ana menyepi dari penulisan, Alhamdulillah hari ni, dapat juga jari Ana ni menekan-nekan keyboard laptop untuk membentuk kalimah-kalimah buat tatapan sahabat.
Sebenarnya, ramai juga yang bertanya pada Ana :
"Kenapa lama tak update blog?"
"Takde artikel baru ke?"
"Anta Bz ek?"
dan bermacam-macam message Ana terima dari sahabat-sahabat serta warga blog kita ni.(Kesemua message yang Ana terima, Ana taip semula tanpa edit.)
Pertamanya Ana dengan rendah hati mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat-sahabat kerana sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan blog dan juga diri Ana di sini.
Sedar tak sedar dah hampir 7 bulan blog ini wujud dan Alhamdulillah, segala puji bagiNya, pengunjung pun dah mencecah 23 ribu hits. Semuanya berkongsi rasa, ilmu dan segalanya di sini... Dan InsyaAllah sempena Muharam yang mulia ini, dengan izinNya, blog kita ini dapat pula dibukukan dalam masa yang terdekat..Alhamdulillah..
Semuanya berkat perkongsian ilmuNya yang maha luas dengan sahabat-sahabat yang sentiasa memberi dorongan dan teguran buat Ana yang faqir ini. Hanya Allah SWT sahajalah yang tahu betapa terharunya Ana. Jazakumullah..
Kemana menghilang?
Sebenarnya sebelum menghilang sebegini lama, Ana sendiri memang dah taip beberapa artikel untuk dikongsi bersama. Namun kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan Ana terpaksa berehat. Sebulan lamanya Ana kat kampung. Menghirup udara dan kembali melihat kehijauan kampung. Permai dan tenang. Persis embun di dedaunan hijau..
Terkumpul semula kekuatan Ana setelah 4 hari terbaring di Hospital Serdang. Subhanallah..
Tak kurang juga ramai sahabat-sahabat dan pelajar-pelajar Ana yang datang berziarah. Mengelilingi katil wad 8B silih berganti. Buah tangan, nasihat tazkirah, salam sahabat handai dari jauh dan sebagainya, kesemuanya dihulurkan pada Ana yang sedang berbaring. Terkelip-kelip Ana melihat suasana itu. Seakan kebingungan menerima kunjungan tetamu yang tidak putus-putus. Sedangkan Ana adalah orang dagang yang berbaring di sini. Subhanallah..
Tak kurang pula yang memuji. Kata mereka : "Allah hendak mengangkat darjat anta..maka diujinya anta dengan sakit ini..".
Dan kata mereka lagi : " Anta orang baik..Allah kan sentiasa uji orang-orang yang baik".
Dan bermacam-macam pujian lagi datang kepada Ana. Datang bersama buah tangan yang dihulurkan..Subhanallah..Tersenyum Ana..
Hakikat Pujian itu adalah..
Mengapa tersenyum ye? Sebenarnya Ana tersenyum kerana mengingati kata-kata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam Al-Hikamnya tentang pujian :
من أكرمك انّما أكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس الحمد لمن أكرمك و شكرك
Maksudnya : (Ketahuilah) Sesiapa yang memujimu (kerana kebaikan yang ada padamu) adalah semata-mata kerana betapa bijaknya Allah menutup aib yang ada padamu. Maka pujilah kamu (yang menerima pujian) kepada Allah yang telah menutup aibmu itu, bukannya kamu mengembalikan pujian tersebut pada mereka yang memujimu dan berterima kasih padamu.
As- Syeikh Al-A'llamah Dr. Said Ramadhan Al-Buti turut mensyarahkan bait yang mulia ini di dalam Syarah A'tiyyah dengan katanya : " Dan sekiranya manusia mengetahui segala aibmu yang telah Allah tutupi itu, nescaya mereka tidak akan memujimu bahkan membenci dirimu.."
Subhanallah..Maha Suci Allah yang kami memuji ZatNya itu pagi dan petang..
Inilah hakikat bagi sebuah pujian. Hanya penyedap telinga yang akan berlalu di saat berlalunya masa dan waktu yang akan menghakis pujian serta pandangan manusia padamu. Sedaya upaya Ana basuh putik-putik riak yang baru mula hendak ditiup oleh Syaitan ke dalam hati. Alhamdulillah.. ia padam bila hati mula memahami hakikatnya..
Buahnya manis kerana pohonnya baik..
Dalam diam Ana menghayati dan menyelami suasana Silaturrahim yang telah dihulurkan ini. Sepanjang di wad 8B, Ana tak putus-putus berdoa agar doa-doa sahabat sekalian, baik dari jauh ataupun dekat, yang datang atau yang berkirim salam kesemuanya disampaikan dan dimaqbulkan oleh Allah SWT. Dan Allah SWT itu Maha Kaya di atas segala pujian dan permintaan..
Berbanyak Terima Kasih sekali lagi Ana ucapkan. Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalasnya dengan sebaik-baik balasan. Ana yakin..inilah buah yang mula kita rasai hasil dari pohon Silaturrahim yang telah kita bajai selama ini semata-mata untukNya dan keranaNya..bukankah buah yang manis itu datang dari pohon yang baik? Jazakumullah..
لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
Maksudnya : HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu ."
Salam Zulhijjah buat sahabat-sahabat yang Ana hormati. Rasanya dah lama jari Ana tidak menekan-nekan keyboard laptop ni. Kesibukan harian serta kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan Ana terpaksa mengambil peluang secukupnya dahulu untuk berehat. Inilah Sunnatullah..sihat lawannya sakit, hidup lawannya mati...Allahuakbar..
Rupa-rupanya, sedar tak sedar Zulqaedah telah meninggalkan kita. Tibalah Zulhijjah pula mengambil tempatnya. Subhanallah..betapa pantasnya masa berlalu..Ana sendiri menyambut Zulhijjah yang juga bulan kelahiran Ana kali ini dengan demam yang agak kuat. Sewaktu Ana menaip artikel ini, Ana sedang demam.
Pun begitu, Ana gagahi juga untuk meneruskan kuliah mingguan..gagahkan jugak kaki ni untuk memijak anak tangga masjid. Dan bila tangan mula pegang mic, melihat jemaah-jemaah yang hadir, kuat kembali hati ni. Demam pun dapat diubati dengan penyembuhan jiwa..
Benarlah kata para Ulama Tasauf bahawa kesihatan hati pasti membawa kepada sihatnya fizikal...Allahuakbar..
Sahabat-sahabat sekalian..
Sebenarnya setiap kali Zulhijjah bertamu, ia mengingatkan kita terhadap perhimpunan agung di Tanah Haram. Berjuta-juta manusia dari seluruh pelusuk dunia datang melaungkan Talbiah memuji Allah SWT dan mengagungkan zatNya Yang Maha Sempurna. Mengiringi Talbiah yang diucapkan dengan penuh keinsafan terhadap maksud kalimat-kalimah pujian tersebut.
Sedaya yang mampu ditunaikan rukun Islam yang kelima itu. Dengan kesabaran, kecekalan dan segenap tujuan yang dihimpunkan di dalam dada hanyaah padaNya semata. Berdoalah kita agar mereka yang sedang menjadi tetamu Allah SWT, selamat sejahtera serta diterima ibadat mereka oleh Allah Yang Maha Pengampun lagi Penyayang. Amin..Allahuakbar...
Sebenarnya..Haji merupakan perhimpunan yang tersurat bagi makna terhadap adanya satu perhimpunan yang tersirat iaitu Masyar..
Sebagaimana Haji merupakan perhimpunan yang bertujuan untuk menyahut seruan Allah sebagai tetamuNya di negeri tanah kelahiran junjungan kita Baginda SAW, begitu juga dengan Masyar Allah. Sekali lagi kita dihimpunkan. Tetapi kali ini dengan lebih ramai. Bukan sahaja Muslimin, bahkan Kafirin, Musyrikin. Bukan sahaja manusia, bahkan segala jenis dan bentuk makhluk Allah SWT. Bukan sahaja ummat ini, bahkan ummat-ummat terdahulu..Semuanya dikumpulkan untuk menyaksikan apa yang telah kita laksanakan. Allahuakbar...
Semuanya tersirat di sebalik Zulhijjah, salah satu bulan haram di antara 4 bulan haram di dalam Islam.
Allah SWT telah menegaskan tentang bulan-bulan haram ini sebagaimana FirmanNya :
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram…” (At Taubah:36)
Di dalam Tafsir Al-Jalalain menyebut bahawa yang dimaksudkan firman Allah : "diantaranya empat bulan haram .."itu ialah “Empat bulan Haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.” Inilah yang telah disepakati oleh Ulama' dan umat Islam diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.
Di dalam bulan ini juga terdapatnya ibadat Haji dan hari Arafah. Selain dari ibadat Haji, pada hari Arafah pula disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji untuk melakukan ibadat puasa. Rasulullah SAW juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura'.
Ibnu Jarir At-Thabari telah meriwayatkan melalui sanadnya, dari Ibnu Abbas Radhiallahu A'nhu terhadap pengagungan Allah terhadap kesucian bulan-bulan ini dengan katanya :
“Allah Ta’ala telah menjadikan bulan-bulan ini sebagai (bulan-bulan yang) suci, mengagungkan kehormatannya dan menjadikan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini menjadi lebih besar dan menjadikan amal shalih serta pahala pada bulan ini juga lebih besar.” (Tafsir ath Thabari)
Ibnu Katsir mengatakan,:
“Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu hanya ada empat. Tiga bulan secara berururtan dan satu bulannya berdiri sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka , ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang letaknya sebelum bulan-bulan Haji, yaitu bulan Dzulqa’dah, karena ketika itu mereka menahan diri dari perang. Sedangkan bulan Dzulhijah diharamkan(disucikan) karena pada bulan ini mereka pergi menunaikan ibadah Haji, dan pada bulan ini mereka menyibukkan diri dengan berbagai ritual manasik Haji. sebulan setelahnya, yaitu bulan Muharram juga disucikan karena pada bulan ini mereka kembali dari Haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai. Adapun bulan Rajab yang terletak di tengah-tengah tahun diharamkan (disucikan) karena orang yang berada di pelosok Jazirah Arabia berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang berkunjung ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.” (Tafsir Ibni Katsir)
Namun begitu, sekiranya kita menyelusuri sejarah dan Sirah, sebenarnya pada bulan Zulhijjah ini pernah berlaku peperangan yang dikenali sebagai peperangan Sawiq. (Tepung)
Peperangan ini berlaku akibat dendam kesumat Musyrikin Makkah yang diketuai oleh Abu Sufiyan akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang berlaku kira-kira 2 bulan sebelum peperangan Sawiq ini.
Kekalahan dan tertewasnya pemuka-pemuka Musyrikin Quraish Makkah dalam peperangan Badar yang lalu, menyemarakkan kesumat Abu Sufiyan sehingga menyebabkan Abu Sufiyan bersiap sedia bersama 200 orang berkenderaan telah bergerak menuju Madinah, bandar Rasulullah SAW untuk melaksanakan api dendamnya.
Ana memetik apa yang disebut di dalam kitab ألرّ حيق المختوم : السيرة النبوية (oleh Syeikh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri ) menyatakan apabila rombongan Abu Sufiyan ini telah sampai di satu kawasan bernama Sadr Qanah iaitu satu laluan yang menuju ke sebuah bukit bernama Nabib yang berdekatan dengan kota suci Madinah, rombongannya itu telah berhenti di situ.
Abu Sufiyan telah merancang strategi untuk menyerang Madinah dengan cara sembunyi kerana pada fikirannya menyerang Madinah secara terbuka umpama menempah maut. Apatah lagi mengingatkan kekalahan dan kehinaan yang telah menimpa mereka ketika tewas di tangan Rasulullah SAW dan Muslimin di dalam peperangan Badar yang lalu.
Melalui strateginya itu, Abu Sufiyan telah menyelusup masuk ke pinggir-pinggir Madinah pada waktu malam secara sembunyi dan berusaha untuk mendapatkan rahsia dan maklumat dari golongan Munafiqin.
Dan ianya berhasil apabila Sallam bin Mishkam iaitu ketua Bani Al-Nadir bersetuju untuk memberi maklumat. Maka berlansunglah perbincangan mereka disaksikan Allah SWT di malam yang gelita itu.
Setelah mendapat maklumat yang secukupnya dari Sallam bin Mishkam, Abu Sufiyan telah mengutus satu kumpulan kecil untuk menyerang satu kawasan di pinggir Madinah Al-Munawwarah yang dikenali sebagai Al-A'rid. Di situ, mereka telah memotong dan membakar pagar-pagar kebun kurma serta membunuh 2 orang penduduk yang terdiri dari kaum Ansar dan sekutunya.
Apabila berita pembunuhan itu sampai kepada Rasulullah SAW, dengan segera Baginda mengejar Abu Sufiyan yang mula melarikan diri setelah dapat menghidu pemburuan Rasulullah SAW terhadapnya. Ketika melarikan diri itu, Abu Sufiyan telah membuang Sawiq (tepung) serta bekalan-bekalan lain semata-mata untuk meringankan bebanan mereka agar pantas dapat meninggalkan Madinah.
Sungguhpun Baginda dan tentera Muslimin telah mengejar mereka sehingga ke Qarqarah Al-Kudr, namun mereka berjaya meloloskan diri setelah melakukan operasi pembunuhan dan kekacauan terhadap penduduk Ansar.
Jika kita menyelusuri Sirah melalui peperangan Sawiq ini, dapat kita fahami bahawa kaum Musyrikin Makkah sebenarnya merasa begitu terhina akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang lalu. Sehinggakan mereka tidak dapat tidur lena dan telah mengucapkan kata-kata nazar yang aneh sebagai bukti kesumat mereka yang tidak pernah terpadam selagi Rasulullah SAW tidak dibunuh.
Abu Sufiyan sendiri pernah menyatakan dalam nazarnya :
" Sesungguhnya aku tidak akan sekali-kali membasahkan kepalaku jika berjunub selagi belum dapat membunuh Muhammad "
Bahkan isterinya Hindun binti U'tbah sendiri ketika menzahirkan kebenciaannya kepada Baginda pernah mencadangkan agar Maqam Bonda Rasulullah SAW digali dan mayatnya dihina.
Ini dinyatakan oleh Hindun kepada Musyrikin Makkah ketika tentera Musyrikin ini sampai di Abwa' iaitu tempat pengkebumian Bonda Baginda SAW ketika perjalanan mereka untuk memerangi Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud.
Namun cadangan ini ditolak kerana pimpinan Quraish kerana bimbang terhadap risiko buruk yang bakal mereka hadapi sekiranya cadangan Hindun Binti U'tbah dilaksanakan.
Betapa buruknya dendam kesumat mereka. Sehinggakan sanggup melaksanakan kebenciaan dan api dendam mereka terhadap Rasulullah SAW walaupun terhadap mayat.
Teringat Ana akan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, di mana ketika Rasulullah SAW mengesat darah yang mengalir dari kepala Baginda akibat terkena panahan musuh dan mengakibatkan 2 manik dari baju besi Baginda tertusuk ke dalam pipinya yang mulia dan patahlah gigi seri Baginda, bersabda Baginda :
" Sesungguhnya Allah sangat murka kepada kaum yang telah mendarahi wajah RasulNya. "
Kemudian Baginda terdiam sebentar lantas berdoa :
" Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui." ( Sahih Muslim :Bab Ghazwah Uhud )
Subhanallah..betapa pemaafnya Baginda SAW terhadap Musyrikin walaupun mereka tidak putus-putus menyakiti Baginda.
Mudah-mudahan Zulhijjah ini menambahkan kecintaan kita kepada Baginda SAW lebih-lebih lagi bagi mereka yang dijemput Allah sebagai tetamuNya tahun ini.
Perbanyakkanlah kita mengingati Allah SWT dan Rasulullah SAW agar Zulhijjah yang datang ini dapat menjernihkan hati dan fikiran sesuai dengan semangat bulan haram yang disucikan dalam erti kata yang sebenarnya. Labbaikallahh...
Kali ini Ana akan tulis satu artikel yang paling pendek. Maklumlah sebelum-sebelum ni kan selalu panjang je Ana taip. Sekali-sekali apa salahnya jika Ana taip pendek sikit dari biasa. Sebab pendek dan panjang bukan ukuran. Pengisian dan keikhlasan yang paling utama.
Kalau nak diikutkan, ramai je orang yang taip panjang-panjang, tapi amalannya sikit-sikit. Ada juga yang taip sikit-sikit tapi amalannya panjang-panjang. Kalau boleh, biarlah kita taip panjang-panjang dan amalan kita pun panjang-panjang. Jangan tergolong kita dalam golongan yang taip sikit-sikit, amalan pun sikit-sikit. Wanau'zubillah.
Apa yang penting dan yang kita mahu agar panjang?
Umur?
Nikmat?
Sihat?
Kuasa?
Banyak kan?
Kalau nak ditaip apa yang kita mahu agar berpanjangan..tentu panjang pulak artikel ni kena taip. Lagipun Ana dah janji tadi nak taip pendek.
Sebenarnya di sebalik yang panjang tu, ada juga yang pendek-pendek kita minta. Apadia?
Sakit, exam, ujian, kesusahan dan lain-lain..
Semuanya kita minta agar pendek-pendek je..
Emm..Sebenarnya cuba bagitahu betul-betul..kita ni nak panjang ke nak pendek?
Jangan main-main dalam hal panjang pendek ni! Silap panjang, murka Allah yang kita dapat. Kalau begitu? Nak pendek?
Jangan main-main tau! Silap pendek..berdosa pulak!
Ya Allah..kalau macam ni..nak minta yang mana satu?
Mudah je. Jangan minta panjang, jangan minta pendek...Tapi mintalah RedhaNya. Kalau tanpa redhaNya, panjang dan pendek tidak berguna..
Pendek kan?
(Di pintu dapur kita, Die sentiasa bersandar di situ, merebahkan belakang di 'belakang Cik'..)
Nenda..
Pagi ini..kicauan burung,
Membawa ku Pulang,
Ke kampung kita..
Pagi di sana tidak seperti ini..
kicauan burung menyapa,
Disini?..deruan kereta..
Nenda..
Aku kan pulang Nenda..
menemani mu lagi,
di Pusara..
Keramat!
Ya Nenda..Keramat sungguh nasihatmu,
Menemani langkah,
Musafir faqirku,
Bagai pelita di rumah kita..
Di teratak mulia..
Nenda!
Jiwaku mejerit..:
"Aku Terlalu Rindu Padamu..!"
Namun jariku beradab,
menulis jeritan
dengan bahasa perasaan..
Nenda,
Apakah ertinya ini?
Terkurung di hutan batu,
sedang hati di hutan hijau..
Dan saat ini Nenda..
Air mataku turun lagi..
umpama tasbihmu..
yang mengikat cinta dalam satu untaian..
menghitung..
menghitung..
menghitung..
dan menghitung..
Sedang hati bertanya :
"Bilakah akan menggengam butir terakhir?"
Nenda,
Aku terlalu cinta padamu..
Sungguh!
Terlalu rindu untuk mengucup,
Dua matamu yang mulia..
Saat ini Nenda,
Dua tapak tangan ini,
menyeka titisan rindu,
Yang sekian lama,
gelora di jiwa..
Dan..
Ia menitis lagi Nenda..
Sedang aku tidak mahu ia berhenti..
Agar Allah menjadikannya saksi,
betapa cinta ku ini,
Sentiasa membara..
Di Suatu waktu itu..pasti,
Tapak tangan memutih ini,
tidak akan lagi sepasang,
untuk berdoa padamu,
Akan ku ajar zuriat berbicara padaNya :
"Ya Allah..Ampunilah Nenda kami..
Rahmatilah ia..
Pertemukanlah kami dengannya..
insan tercinta kami..
Nenda Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al-Yahya..
Amiin.."
Nenda..
Dengarkah doa anak kecil itu Nenda?
Suaranya halus,qudus,suci..
Sesuci tapak tanganmu..
yang sentiasa ingin aku kucupi..
Wangi..bunga tanjung..
Dan tanganmu yang menyuap itu,
Telah jua memeluk dada..
saat engkau menghadap Ilahi..
Nenda,
Untuk kesekian kalinya,
Ku ulangi lagi..
Dengan rendah hati,
Sepuluh jari kecil,
ku susun beradab,
Sedang hati menaruh harap..
Kubisik perlahan:
"Ampunilah dosa dan khilaf anakanda..
Moga Nenda tenang di sana.."
Bukankah Nenda telah mengajar :
"Aliff, Baa, Taa..?"
Lalu ku iringi cinta ini,
bersama firman suci,
Nenda,
kerinduan ini pasti buatmu
Selamanya..
Ia semata Firman Tuhan
Dan pesan Rasul junjungan..
