Debu-debu Ja'ranah..

Ana memulakan artikel ini dengan membaca doa yang sentiasa di baca oleh Baginda Rasulullah SAW :

أللهمّ أصلح لى شأنى كلّه ولاتكلنى الى نفسى طرفة عين

Maksudnya : Ya Allah, perbaikilah segala urusanku dan janganlah Engkau serahkan urusanku ini kepadaku walau sekelip mata pun.(Kerana kesempurnaan itu hanya pasti ada bila Engkau yang mentadbir semuanya.)

Daun itu..

Dedaunan kering gugur lagi.
Beterbangan di tiup angin. Kesana kemari mengikut rentak. Seakan-akan tempat gugurnya nanti bagai ditaqdirkan oleh bayu yang bertiup.

Terbang..terbang..terbang..dan terbaangg..

Akhirnya mendarat tidak jauh dari pangkal pohon yang selama ini tempat bergantung dan menumpang. Pasrah benar dia..

Ana mencangkung. Pelan-pelan tangan lemah Ana memegang tangkai daun yang mula menguning tadi. Membelek-belek kesempurnaan ciptaanNya.

"Emm..Tiada yang kurang.." Bisik Ana.

Mencari-cari lagi dalm belekan yang berterusan..Sungguh! Tiada yang kurang pada pandangan mata Ana. Walaupun mungkin saja memandang dengan mata yang akan berkekurangan kemampuannya nanti. Kemampuan yang akan menguning dan akhirnya mengering, rapuh..

Antara mata ini dan 'mata' daun..Pandangan kami mula bertemu. Dan seakan guru yang menasihati dengan telus pada murid..daun itu berbisik :

"Wahai matamu...kamu akan juga mengalami proses 'menguning' nanti"...Subhanallah..

Sewaktu Ana menulis ini Ana sedang bersila di hadapan daun! Ana kemaskan sila. Dan bermonolog :

Daun?

Ye..daun..

"Daun yang mana?" Tanya tersurat.

"Daun yang menjadi duta U.M.U.R." Jawab Tersirat..

"Oooo..". Balas tersurat pada tersirat..

Pelan-pelan Ana mengucapkan terima kasih kepada daun yang gugur itu kerana mengingatkan Ana pada umur yang akan menguning nanti..

Tiada yang kekal..
Apatah lagi harta dan hajat-hajatmu yang telah engkau dapati setelah menukar dengan umur dan masamu..

كلّ من عليها فان * ويبقى وجه ربّك ذو الجلل والاكرام * فبايّ الاء ربّكما تكذّبن

Maksudnya : Semua yang ada di bumi itu akan binasa * Tetapi Wajah Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal * Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 26-28)

Tinggalkanlah duniamu sebelum dedaunan gugur dan menguning..

Harta terbaik di Ja'ranah..

Debu-debu pasir berkepul-kepul naik. Udara yang membahang seakan memalu kulit-kulit kaum Ansar yang mula berkumpul di padang tandus itu. Terik dan membakar!

Hati Ana bertanya : "Mengapa kamu ke sana Ya Ansar?"

Perut Kitab الرحيق المختوم itu menjawab : "Kaum Ansar dikumpulkan oleh Saad bin Ubadah atas perintah Rasulullah SAW!"

Hati bertanya lagi : "Atas urusan apakah?"

Jawabnya lagi pada Ana : "Atas urusan yang menyempitkan dada-dada kaum Ansar walaupun mereka sedang berdiri di tanah yang amat lapang.."

Mereka sempit kerana dunia!

Maka Ja'ranah menyaksikan dada-dada sempit Ansar telah dilapangkan oleh Allah dan RasulNYA.

Bercakap tentang Ja'ranah..
Ja'ranah merupakan tempat istirehatnya Baginda SAW selama 10 malam selepas operasi memerangi Musyrikin di Thaif. Di tanah Ja'ranah inilah Rasulullah SAW telah membahagi-bahagikan harta rampasan perang kepada beberapa orang perseorangan di kalangan pemuka-pemuka dan lain-lain Qabilah.

Sedang Kaum Ansar lansung tidak mendapat harta rampasan tersebut..!

Maka timbullah perasaan tidak puas hati di kalangan orang-orang Ansar terhadap Rasulullah SAW. Sehingga mereka mengatakan :

" Demi Allah, Rasulullah SAW telah kembali bertemu dengan kaumnya." (sehingga berat sebelah dan tidak lagi memerlukan kita sedangkan kitalah yang mempertahankan,menyambut, melindungi di awal-awal datangnya Baginda ke sini).

Lalu Saad bin Ubadah mengadu kepada Baginda terhadap sikap orang-orang Ansar yang mula tidak berpuas hati terhadap berat sebelahnya (pada fikiran mereka ) Rasulullah SAW.Kemudian, Baginda SAW mengumpulkan orang-orang Ansar di padang Ja'ranah ini..

Bersabda Rasulullah SAW :

"Wahai orang-orang Ansar, cakap-cakap apa yang telah sampai kepadaku ini? Dan apakah yang tidak menyenangkan kamu terhadap diriku ini? Bukankah aku datang kepadamu sedangkan ketika itu kamu adalah orang-orang yang sesat lalu Allah memberikan hidayah kepadamu? Bukankah dahulunya kamu orang-orang yang miskin lalu Allah mengkayakan kamu? Dan kamu dahulunya kaum yang bermusuhan lalu Allah menjinakkan hati kamu?

Mereka (kaum Ansar) menjawab : "Bahkan Allah dan RasulNya yang lebih besar kurniaanNya."

Kemudian Baginda bersabda lagi : "Tidakkah kamu mahu menyahutku wahai orang-orang Ansar?"

Lantas Kaum Ansar bertanya : "Apa yang hendak kami sahuti Ya Rasulullah? Sedangkan anugerah dan kurniaan itu semua milik Allah dan RasulNYA"

Maka Rasulullah SAW bersabda : "Demi Allah, jika engkau mahu kamu boleh mengatakan nescaya kamu akan dibenarkan. Dahulu kami datang kepadamu padahal engkau didustakan lalu kami yang membenarkan engkau dan engkau tidak diberi pertolongan lalu kamilah yang membantumu. Engkau juga di dalam keadaan miskin lalu kamilah menampung keperluanmu."
"Wahai orang Ansar, apakah kamu rasa hatimu masih terpaut pada dunia yang mana dunia ini (harta rampasan) aku jadikan sebagai alat untuk melembutkan satu kaum untuk menerima Islam sedangkan keislaman kamu semua telah aku yakini dengan sebenar-benarnya? "(tanpa perlu menggunakan harta dunia sebagai alat menjinakkan hati kamu)

"Tidakkah kamu wahai orang-orang Ansar merelakan mereka membawa pergi kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah SAW bersamamu? Demi diri Muhammad yang berada di dalam kekuasaanNya, kalaulah tidak adanya hijrah nescaya aku termasuk salah seorang dari kalangan Ansar. Dan kalau manusia melalui satu lorong sedangkan orang Ansar melalui lorong yang lain nescaya aku akan melalui lorong orang-orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar serta keturunan orang-orang Ansar."

Mendengar kata-kata Baginda,maka menangislah orang-orang Ansar sehingga air mata mereka membasahi janggut-janggut mereka. Lalu mereka menjawab : " Kami rela Rasulullah SAW sebagai bahagian ( harta ) untuk kami! "


Bersihkanlah debu..

Inilah hakikat dunia! Tak lebih dari daun yang menghijau..Yang pasti ada saat menguning dan gugur..Umpama debu yang berkepul di Ja'ranah..
Sedang Ansar telah membersihkan debu itu dengan ketaqwaan..

DIAlah sebaik-baik Penentu dan Pemberi. Maka mintalah yang terbaik dari kurniaanNya..Dan sebaik-baik permintaan ialah Ketaatan.

Bukankah Syeikh Ibu A'thoillah As-Sakandari telah berkata :

خير ما تطلبه منه ما هو طالبه منك

Maksudnya : Sebaik-baik yang patut kamu mohonkan dari Allah ialah (kemampuan untuk melaksanakan ketaatan) terhadap apa yang telah Allah perintahkan.

Oleh itu, bersihkanlah debu Ja'ranah!

4 Comments:

  1. Anonymous said...
    salam..
    ermm..menariknye kisah daun ni..
    mengingatkan kami juga...
    Anonymous said...
    Salam
    Semoga ustaz sentiasa mempunyai kesihatan yang baik serta kelapangan hati dan masa untuk terus berkarya, berkongsi dan menyebarkan ilmu-ilmu ALLAH.Syukran atas info2 yang sentiasa mengingatkan pembaca kepada ALLAH YANG ESA. -bunga tanjung-
    Anonymous said...
    salam..
    bolehtak saya nak buat cadangan kepada ustaz supaya menulis perkara-perkara berkenaan dengan amalan harian kita seperti ayat-ayat quran yang khusus yang boleh dijadikan amalan harian.
    izyan insyirah said...
    salam...kenapa blog ustaz lama ustaz lama tidak update....

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds