Berkata Penyair Arab : فتشبّهوا ان لم تكونوا مثلهم ان تشبّه بالكرام فلاح
Maksudnya : " Contohilah (mereka yang berjaya) sekalipun tidak sampai sepertinya. Sesungguhnya dengan mencontohi orang yang mulia (dengan kejayaan) akan membawa kejayaan (buatmu)."
Setelah membaca buku ' Catatan Hati Nik Nur Madihah' pelajar terbaik Malaysia SPM 2008, Ana akui cukup tersentuh dengan kisahnya. Kesusahan dan kemiskinan diri yang menimpa, tidak sekali menghalang beliau menempa sejarah kejayaan cemerlang di negara tercinta ini.
Di saat ini pun Ana masih tak lupa apa yang tertulis pada buku beliau :
Nur Madihah puasa sebab miskin..
Subhanallah..Cukup menyentuh hati Ana! Terkesan sehingga mata ini berkaca-kaca. Betapa bangganya Ana membaca bait-bait yang tertulis sebegitu. Dan Ibu bapanya..tentu lebih bangga dikurniakan anak yang solehah sepertinya..
Ana capai handset di bucu katil. Ana hantar mesej pada sepupu Ana, Haji Din di dungun :
" Salam Syeikh. Ana terkesan dengan buku pelajar cemerlang SPM seluruh Malaysia ni. Dia puasa sebab miskin Syeikh..!"
Ibu jari Ana menekan SEND.
Tiitt..Tiitt.. bunyi handset kembali.
Cepat-cepat Ana cek.
Rupanya delivery Report! Bukan balasan dari sepupu.
Akhirnya kami berbalas mesej. Rancak. Tentang Pelajar cemerlang ini.
Kemudian Ana sekali lagi taip mesej buat sepupu Ana tersebut. Ana taip macam ni :
" Syeikh, Ana rasa nak email adik ni, nak bagi ucapan tahniah dan salam buat ibu bapanya.."
Ibu jari Ana menekan SEND.
Tiit..Tiit..bunyi handset kembali.
Kali ni, Ana tak cek pun handset Ana. Ana dah tahu..tentu bunyi delivery report lagi!
Tak lama kemudian, sepupu Ana balas :
" Hantar Syeikh. Tanya kabor.."
Ana pun mula bersila depan laptop kecil Ana ni..
Pelan-pelan Ana mula menaip email buat adik Nik Nur Madihah :
Salam Buat Adik
Assalamualaikum Wbr. Adik Nik Nur madihah.
Tahniah diiringi Syukur pada Allah yang sentiasa mengurniakan. Mudah-mudahan ia menambah rasa cinta padaNya lantas mendekatkan diri padaNya agar sentiasa jaga dan tidak alpa. Syukur juga akan mengasuh hati agar sentiasa mengembalikan setiap pujian yang diterima pada Zat Yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT.
Berkata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam AlHikamnya :
من أكرمك انّما اكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس الحمد لمن أكرمك وشكرك
Maksudnya : " (Ketahuilah) Sesungguhnya sesiapa yang memujimu, itu hanyalah kerana betapa pandainya Allah menyembunyikan keburukan yang ada padamu. Maka hendaklah kamu memuji Allah yang telah menyerlahkan kebaikanmu.."
Saya benar-benar merasa terpanggil untuk menulis sesuatu kepada Adik Nik Nur Madihah. Biarlah di sebalik hadiah atau cenderahati yang dikirimkan pada adik tak putus-putus lantaran kejayaan yang telah dicapai, saya di sini juga ingin sekali menghadiahkan cenderahati seperti yang lain. Cenderahati saya berupa nasihat dan penyataan rasa kegembiraan saya ini buat kecemerlangan yang telah dicapai.
Adik Nik Nur Madihah,
Saya kagum dengan ketabahan Adik. Ketaatan Adik pada Ibu Bapa yang juga merupakan penzahiran terhadap ketaatan pada Allah dan Rasulullah SAW.Adik bertuah dikurniakan hati yang dipenuhi syarat dalam perlaksanaan cinta. Syarat-syarat yang tulus dan Qudus :
Pertama : Cinta Pada Allah.
Kedua : Cinta Pada Rasulullah SAW.
Ketiga : Cinta Pada Ibu Bapa.
Keempat: Cinta Pada Diri yang dijaga dari kealpaan dan kebinasaan.
Membicarakan tentang Syarat Cinta di atas, mengingatkan saya kepada kisah seorang Al-Arif Billah, Hatim Al-Asom yang telah bertanya kepada muridnya, Al-Balkhi tentang manfaat yang telah dicapainya sepanjang Al-Balkhi menuntut ilmu dengannya.
Kata Hatim Al-Asom :"Wahai Al-Balkhi, sudah berapa tahunkah kamu bersamaku menuntut ilmuNya dari ku?"
Maka Jawab Al-Balkhi : " 33 tahun wahai guruku."
Bertanya lagi Hatim pada Al-Balkhi : " Lalu apa yang telah kamu perolehi sepanjang 33 tahun bersamaku?"
Jawab Al-Balkhi : " Aku telah mendapat 6 perkara darimu."
Terkejut Hatim!
Lantas ia berkata : " Subhanallah! 33 Tahun kamu bersamaku..hanya 6 perkara yang kamu dapat wahai Al-Balkhi?". "Baiklah, kita lupakan soal masa yang panjang itu tapi ingin sekali aku mengetahui darimu, apakah 6 perkara yang telah engkau dapati itu?"
( Saya ringkaskan di sini ) .... Antara yang disebut oleh Al-Balkhi ialah : " Aku melihat manusia yang berkasih sayang dan bercinta itu, mereka pada akhirnya akan berpisah dengan kematian. Maka di saat itu mereka akan saling melupakan. Sedang aku mengetahui bahawa kekasih dan peneman setiaku di alam barzah ialah amalanku. Maka aku menjaga amalanku itu sebaik mungkin dengan mentaati Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa dan menjaga diriku dari alpa."
Syarat-syarat inilah yang menjadi asbab kejayaan bagi setiap insan.
Dan seperti yang kita (mereka yang memiliki hati yang jernih dengan Nur Taqwa) tahu, kejayaan yang hakiki ialah kejayaan mentaati Allah dalam setiap hembusan dan tarikan nafas kurniaanNya ini.
Sekali lagi saya nukilkan apa yang dinyatakan oleh Ahli Tasauf yang terkenal ini menerusi AlHikamnya :
لا تفرحك الطّاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك
Maksudnya : " Janganlah merasa gembira di atas perbuatan taat kerana engkau merasakan ia telah dapat dilaksanakan, tetapi gembiralah kerana Allah telah mengurniakan hidayah dan petunjuk sehingga engkau dapat melaksanakan ketaatan itu."
Mudah-mudahan dengan memahami hakikat pujian dan kejayaan yang hakiki ini, akan menambah baik buat keimanan kita yang sentiasa diuji dan teruja dengan hawaa' (perasaan). Apatah lagi dalam meniti dunia yang sementara ini.
Adik Nik Nur Madihah,
Saya ingin sekali mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat Adik sekali lagi. Mudah-mudahan dengan nikmat kebijaksanaan dan kepandaian yang telah direzekikan pada Adik, dapatlah Adik menjadi seorang pemikir dan pelaksana dakwah yang suci ini demi Islam yang tercinta di masa akan datang. Saya dengan rendah hati, bersama umat Islam yang lain akan sentiasa mengangkat tangan tinggi-tinggi kepada Zat Yang Maha Tinggi (kesempurnaan) agar mendengar doa yang diucapkan dengan suara yang rendah-rendah (lantaran kusyuk dan penuh harapan) agar Adik sentiasa berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di Ahirat, alam yang kekal lagi baik buat mereka yang sentiasa mengharapkan pertemuan dengan Allah SWT yang Maha Kekal.
والأخرة خير وابقى
Maksudnya : " Dan Akhirat jualah yang lebih baik dan lebih kekal.." (Al-A'la : 17)
Salam hormat dari saya,
Rashidy Jamil Ar Rashid.
(http://rashidyjamil.blogspot.com/)
1 Comment:
-
- Nisa Affandi said...
May 22, 2009 at 11:57 PMsalam, email yang ringkas namun sarat dengan nasihat buat Adik...