Assalamualaikum Wbr.
Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Sabda Rasulullah SAW :

Fitnah adalah barang yang sedang tidur dan Allah melaknat sesiapa yang membangunkannya.

Sahabat-sahabat sekalian.
Ana ingin menarik perhatian sahabat terhadap beberapa perkara penting.

1- Ruangan bersila di lambur terpaksa di KIV sementara atau selama-lamanya kerana terdapat beberapa aduan dari pengunjung-pengunjung yang diganggu oleh mereka yang tidak dikenali. Antaranya mereka dilarang menghubungi sufifaqir.

2- Sufifaqir tidak pernah mempunyai sebarang Hi5, Facebook, Friendster dan lain-lain selain dari blog ini. Ana berkesempatan melihat laman-laman yang dinyatakan di atas dan terkejut apabila didaftarkan atas nama Ana.

3-Sekiranya sahabat-sahabat ( termasuk yang menghubungkan blog mereka dengan blog sufifaqir ) ingin berkongsi ilmu,maklumat dan lain-lain, bolehlah terus menghubungi Ana menerusi email ana aiatu : - rashidy_jamil@yahoo.com atau rashidy_arrashid@yahoo.com atau sufifaqir@yahoo.com. Selain dari 3 email yang dinyatakan di atas, Ana tidak mempunyai sebarang email lain.

4- Ini kali ketiga perkara sebegini berlaku. Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari fitnah yang telah diamarankan oleh Rasulullah SAW tercinta.

5- Ana berlindung diri dari perkara-perkara sebegini dan hanya Allah sahajalah memberi petunjuk kepada yang berkenaan. Syukran di atas sokongan anda selama ini.

Jazakumullah.

-Sufifaqir-

Sabda Rasulullah SAW :

"Bagi orang yang memelihara anak yatim maka aku dan dia seperti dua jari di syurga."
(Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah)

(Riwayat Muslim)

Dua mata anak kecil itu merenung Ana. Lama-lama.
Merenung tanpa mengerti.

Ana mula senyum padanya.Sesekali kening diangkat. Untuk mengagah*.
Dan macam tadi juga..dia hanya membalas senyuman Ana dengan pandangan.

Sungguh terik mentari yang tegak di atas kepala tidak sedikit pun menghalang pandangan Ana pada matanya.

Comel!

Putih!

Hitam!

Mata putihnya tersangat putih. Dan anak mata hitamnya..tersangat hitam.

Mengingatkan Ana pada sifat mata Baginda Rasulullah SAW tercinta.

Ada rasa kasih padanya.
Apatah lagi bila mengenangkan anak kecil ini baru kehilangan bapanya beberapa bulan yang lalu.
............................

A'lia Solehah diarak.
Dari satu tangan ke satu tangan.
Sesekali alunan selawat yang bergema mengejutkan anak comel itu.

Terbuka kelopak matanya..dan kemudian..
Pejam semula..

Menatap matanya yang comel membuatkan Ana dilanda :

Sayu!

Sedih!

Pilu!

Bukan sahaja pada Ana. Tapi pada semua yang hadir dalam majlis bercukur * tersebut.

Mata anak yatim : A'liya Solehah Binti Azman.
..........................

Pagi itu..

"..Hello.. Assalamualaikum Diee..
"..Diee.. Abang Man Takdok doohhh.."
"..Huuhuk hukkk..."

Tergaman Ana!
Dari berdiri..Pelan-pelan Ana terduduk..
Sedaya Ana cuba mencari kekuatan dengan firmanNya :

الذين اذا اصا بتهم مصيبة قالوا انّا لله وانّا اليه رجعون

Maksudnya : Orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka bersegera mengucapkan : Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali.

(Al-Baqarah : 156)

Ye..abang Man Ana dah takde.
Kembali dijemput Allah.
Bertemu A'liya Solehah..
Di SyurgaNya nanti. Amin.
...................................

2 anak yatim ini mengingatkan Ana pada Rasulullah SAW.
Anak yatim dari kota Makkah yang mulia.
Yang dilindungi Rabbnya dengan firmanNya :

الم يجدك يتيما فئاوى

Maksudnya : Bukankah Dia mendapati kamu seorang yatim, maka Dia telah memberi perlindungan padamu.
(Ad-Duha : 6)

Seorang yang tulus dan qudus.
Bicaranya terpelihara.
Anggotanya terjaga.
Bahkan niatnya..
Subhanallah..hanya pada Pengukur Niat!

Hatinya hidup.
Tidak seperti kami..
Tidur dan mati..
Baik Jasad..
Baik batin.

Kemuliaannya tiada keraguan,
kehinaannya? hanyalah fitnah!

Setiap yang memandangnya,
Pasti memancar Mahabbah padanya,
sesejuk kauthar,
Buat penghilang dahaga Muttaqin,
Pada hati yang tandus dan kering,
Dengan noda dan dosa.

Sungguh engkau Ya Rasulullah,
Anak Yatim yang mulia*
Dari kota kering dan tandus,
Yang kini subur dengan taqwa dan iman,
Para Muttaqin dan Mukhlisin.

Cintailah anak-anak yatim.
Dengan sepenuh kecintaan,

Sebagai bukti..
Cinta ummat,
Pada anak yatim Makkah.
.................................
*Mengagah - Loghat Terengganu yang bermaksud mengusik agar bayi ketawa dan gembira.

*Majlis Bercukur rambut yang diiringi selawat.

*Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.

Kereta rosak lagi..

Dah cuba start berkali-kali..
berkali-kali jugalah hampa..

"..."
Ada helaan panjang dari Ana.
Helaan dalam keletihan.

Seingat Ana selepas hantar kitab-kitab ke Usj 4 pagi tadi, tiada masalah yang berlaku. Lancar je perjalanan Ana. Tapi sekarang tak mahu hidup dia.

Pelan-pelan Ana bermonolog :

" Bateri ke?"

" Minyak Abis kot.."

" Dalam gear agaknya..patut tak hidup.."

Dan macam-macam telahan Ana buat.
Namun tiada sebarang kesimpulan..

Menapak Ana ke sana sini mencari bantuan.
Dalam diam Ana akur..

"..Ni ujian pembuka Ramadhan agaknya .."

Ye..Ujian dariNya.

Sesekali kereta rosak akan mengajar kita menghargai kesusaha orang yang menapak ke sana-sini.

Menahan bas dan teksi di bawah terik mentari.

Bak kata sepupu Ana, Haji Din :

" Anta diuji kereta rosak..orang lain diuji takde kereta pun Syeikh.."

Benar sungguh kata beliau. Mengingatkan agar kita sentiasa bersyukur dalam semua keadaan. Alhamdulillah..

Akhirnya :

" Bang..boleh tumpangkan saya ke Bangi?"

Angguk!

Alhamdulillah..
...........................

" Beza Syurga pertama dengan Syurga kedua umpama sebentuk cincin di padang pasir. Jauh benar beza antara keduanya tu kan?.." Tanya Mejar Jamil pada kami.

Mengangguk-angguk kami. Membenarkan cakapnya.

Seronok mendengar mereka berbual.
Apatah lagi bila topik Syurga yang dibincangkan malam ni.

Ni lah rutinnya kami kat Bangi ni. Hampir setiap malam dari 10.30 malam sampai 11.30 (kadang-kadang terlajak ke 12.00 malam) kami membincangkan hal-hal kematian, Syurga, Neraka dan apa-apa peringatan agama yang boleh membantu memotivasikan hati. Tempatnya bukan kat surau. Tapi kat kedai Haji Zahrim, tauke restoran Roti Puri. Alhamdulillah.

Sesekali Ana terganggu dengan asap rokok yang dihembus ke udara.
Berkepul-kepul racun itu di udara yang akhirnya menjunam menyerang dada.
Bayangkan dalam 4 orang semeja, Ana menghadapi 3 perokok yang menyesakkan dada Ana.
3 lawan 1! sekaligus!

Sungguh Ana cuba menahan nafas.
Cuba mencari-cari ruang sedutan udara sedalamnya sebelum asap yang berkepul itu menerjah muka lagi.

Ana memang anti rokok!
Dan Alhamdulillah tidak pernah merokok.

Dan jika ditanya pada Ana apa pandangan Ana pada rokok?
Jawabnya : Haram.
....................

Sekarang Ana di atas katil.
Menghadap laptop kesayangan Ana.
Menaip-naip huruf cantuman membentuk kalimah lantas menjadi ayat-ayat yang sahabat-sahabt dapat baca sekarang.

Sebenarnya..menulis ni..memerlukan masa yang cukup dengan disertai perasaan halus yang mendalam. Penulisan yang datang dari hati akan memberi kesan yang berbeza dengan penulisan yang sekadar memenuhi masa terluang.
Namun Ana sekarang ini benar-benar dihimpit masa. Kewajipan menuntut agar masa mohon dilebihkan.

Benarlah seperti kata pepatah arab :

"Waktu itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia pasti memotong kamu."

Ana dah banyak dipotong.
Yang akhirnya Ana tidak mampu lagi membuat apa yang Ana suka seperti menulis dan membaca. Namun Ana yakin, ia akan selesai sedikit masa lagi.

Doa qudus dari sahabat Ana pohonkan.
Doakanlah agar kita semua mendapat keberkatan dan ketenangan.
Apatah lagi dalam menyambut Ramadhan Al Mubarak yang berkat ini.
Sebelum Ramadhan bertamu,
Izinkan Ana yang faqir ini menyusun sepuluh jari,
memohon ampun dan maaf dari sahabat-sahabat semua atas silap dan khilaf Ana di sepanjang kita berhubung di sini. Ana berbangga mempunyai sahabat-sahabat tercinta yang sentiasa mengambil berat pada perkembangan Ana di sini. Hanya Allah SWT sahajalah yang dapat membalasnya dengan sebaik balasan.

Jazakumullah dan Salam Ramadhan dari Ana buat anda yang tercinta.

- Sufifaqir-

Lelap

Buat sahabat-sahabat tercinta.
Dah lama Ana tak menulis.
Hampir sebulan lamanya.

Inbox email penuh.
Rata-rata bertanya :
"Ustaz sihat?"

Ana jawab dengan senyuman.
Senyum bersulam sihat.
" Alhamdulillah.." Bisik Ana.

Sejak seketika meninggalkan penulisan,
Macam-macam yang berlaku.

Mewarnai pentas episod,
Babak-babak hidup manusia,
Di alam fana ini..

-Berita H1N1.
-Ustaz Asri Rabbani pergi tak kembali.
-Adik Konvo.
-Mini Maktabah dah bertambah kitab-kitab baru.
-Tunaikan janji yang Nenek pesan.
-Taip kisah naik Flight pakai selipar jepun.
-Dan lain-lain yang tak dapat Ana taip.

Banyak rupanya.
Tak sempat.

Mengapa Tka sempat?
Mana nak sempat..nak betulkan perkataan Tka (Tak) kat atas tu pun tak sempat..

Dan Ana terlelap jap waktu menulis ni.

Ana bangun sambung semula.
Ana ingin menulis apa yang dibaca untuk dikongsikan bersama.
Doakanlah Ana.
Agar dapat menulis dalam keadaan sempat.

Ana lelap sekejap.
Syukran.

اذا تحدّث عبدي بـأن يعمل حسنة فأنا أكتبها له حسنة
Maksudnya : Jika seorang hambaKu bercita-cita untuk melakukan sesuatu kebaikan maka Aku akan mencatitkan baginya satu kebajikan.

Alhamdulillah. Setelah hampir 2 tahun mengulang cetak buku Benarkah Nabi Isa Disalib? yang juga merupakan buku kedua Ana, semalam merupakan hari bersejarah apabila kali pertama buku tersebut dijadikan mata pelajaran Muqaranah Al-Adyan* bagi kuliah bulanan Ana di surau tercinta. Di Bangi ni juga.

Sejujurnya Ana merasa malu dan rendah hati. Di celahan pelbagai kitab yang dijadikan asas pengisian bagi kuliah-kuliah maghrib di sini, buku kecil Ana ini dipersetujui oleh jemaah untuk dijadikan bahan kuliah yang mana Ana diminta mengisinya selama 2 kali sebulan. Satu kuliah Tafsir dan satu lagi Muqaranah Al-Adyan.

Berkali-kali Ana baca kembali buku susunan Ana tersebut. Alhamdulillah dah diulangcetak sebanyak 11 kali termasuk sekali dicetak di Egypt oleh PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir). Dalam diam Ana bersyukur apabila buku tersebut sedikit sebanyak memberi manfaat buat saudara Muslim tercinta.

Dan malam tadi pun selepas kembali dari surau, Ana belek kembali buku-buku yang pernah Ana susun. Semuanya mempunyai kenangannya tersendiri.
.................................

Tribute Buat Nenda



Semalam pun Ana belek kembali setelah mendapat email yang panjang dari seorang kenalan. Respon dan pandangan dari sahabat-sahabat yang berkesempatan memiliki novel kecil tersebut Ana semat kukuh di hati. Dan semalam Ana tercari-cari apa yang istimewanya pada novel itu..

Dari satu halaman ke satu halaman..
Ana belek..
Dan belek..
Dan belek..
.....

Dalam diam Ana tersenyum..

Membaca cerita yang disusun.
Puisi yang didendang.
Luahan yang benar.
Terkadang malu juga apabila menatap sendiri. Karya yang tak seberapa dari orang yang tak seberapa.

Semestinya novel kecil ini tidak terbanding dengan keasyikan menatap ribuan karya-karya agung Islam namun cukuplah ia menjadi kenangan manis buat Ana dan pusaka kenang-kenangan buat zuriat di masa akan datang. Amin..
...................

Buya HAMKA

Di celah ratusan kitab-kitab dan buku-buku di mini maktabah* Ana ini, Ana keluarkan satu buku sederhana tebal karangan Buya HAMKA ataupun nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Tasauf moden tajuknya..






Pak HAMKA pernah menyatakan bahawa beliau sendiri ketika terlantar di hospital, beliau asyik membaca kembali bukunya itu. Dan seketika itu juga mereka yang menziarahinya bertanya :

" Apa bapak sendiri membaca kembali buku Tasauf Moden ini? Bukankah bapak yang mengarangnya?"*

Sambil tersenyum Buya HAMKA menjawab :

" Yaa..benar..pengarangnya sendiri kembali mengambil manfaat dan mengubati hatinya dengan karangannya ini. Bukan semata untuk orang lain yang membacanya.."*

Sungguh Buya HAMKA seorang yang pintar. Bukan sahaja menyusun ilmu untuk dimanfaatkan, tetapi jua buat peringatan diri sendiri. Agar tidak nanti dikatakan sebagaimana peringatan Allah SWT yang bermaksud :

Patutkah kamu menyeru manusia kepada kebaikan sedangkan kamu lupa terhadap dirimu sedangkan kamu diberikan kitab? Apakah kamu tidak berfikir? ( Al-Baqarah : 44 )

Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan bukan saja buat ummah, jua buat diri yang sentiasa lalai
..........
Semua yang kita usahakan di dunia ini hanyalah untuk mendapatkan keredhaanNya semata di sana. Kebaikan walaupun kecil pasti ia dinilai oleh Allah Yang Maha Pengasih. Syaratnya, ikhlas.

Bukankah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan :

Hidup jasad kerana ruh,
Hidup ruh kerana akal,
Hidup akan kerana ilmu,
Hidup ilmu kerana amal,
Hidup amal kerana Ikhlas..
Ana akan ingat itu..
Apatah lagi bila dipadankan dengan pesanan Nenda tercinta :
"Kena buat baik sokmoo..Kita ni kan matii.."*

Oleh itu..walaupun sedikit..buat baiklah..
............................
*Muqaranah Adyan - Kalimah Arab bermaksud Perbandingan Agama
*Maktabah - Kalimah Arab bermaksud Perpustakaan
* (Dialog Buya HAMKA semestinya dibaca di dalam dialek Indonesia agar terasa keberkesanan cerita yang disampaikan)
* Loghat Terengganu yang bermaksud - Kena sentiasa berbuat baik kerana kita semua pasti akan mati ( membawa pahala kebaikan dan kebajikan)

Terharu ni..

Sibuk!
Itulah yang boleh Ana nyatakan kepada sahabat-sahabat tercinta. Bermula dari kerja-kerja biasa hinggalah kepada yang luar biasa. Semuanya menuntut masa dan ruang untuk disempurnakan. Hampir setiap hari keluar pagi dan petang , membuatkan masa Ana lebih banyak di luar. Menyempurnakan hajat-hajat yang tak akan pernah habis.

Benarlah kata pujangga Arab :

Maksudnya : Kita disibukkan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat bagi yang hidup itu takkan pernah habis (Selagi belum mati).

Apa pun, Ana redha. Kerana banyak yang dapat Ana pelajari dari kesibukan ini..
.................

Blog

Sejujurnya blog yang berwajah baru ini pun menumbuhkan rasa terharu pada diri Ana. Meninggalkan template lama seakan meninggalkan kampung halaman. Dah hampir setahun setengah template klasik itu Ana jadikan lapik susunan huruf buat pencantum bahasa ilmu. Terlalu banyak jasanya. Namun untuk menghormati permintaan sahabat-sahabat jua. Yang ingin melihat blog tercinta ini berwajah dan bersemangat baru. Dan Ana yakin sahabat-sahabat sekalian menyatakannya demi kebaikan kita bersama jua. Untuk itu Ana ucapkan :

Kerana Tuan..Hamba turutkan..penuh ikhlas di jiwa.
Jazakumullah.
......................

Braile

Sewaktu berbual dengan Haji Zahrim (Kenalan Ana di Bangi ni), Ana dihampiri oleh seorang cacat pengelihatan.

Setelah menunaikan hajatnya setakat mampu, beliau menghulurkan penanda buku braile kepada Ana.

Cantik!

Dengan tulisan-tulisan timbul (huruf-huruf Braile ) membuatkan Ana teringat satu peristiwa yang berlaku hampir 2 bulan lalu di masjid negeri Shah Alam.

Pertemuan Ana dengan Haji Othman, seorang Penulis buku dalam bahasa Braile..
...............

"..Ustaz, Ana berhajat nak cetak buku ustaz ni dalam braile. Untuk saudara-saudara kita yang cacat pengelihatan.." Katanya Ikhlas.

Terharu Ana!

Serta merta Ana katakan padanya :

"..Jii..(haji)..Ana dengar rendah hati dan terharu mengizinkannya untuk penyebaran dakwah.."

"..Mudahan sampailah pahalanya pada orang-orang tua kita jii.." Tambah Ana lagi. Penuh harapan.

"..InsyaAllah ustaaazz..".. Balas beliau.

Dan akhirnya pertemuan itu telah membuahkan pelbagai hikmah dan pelajaran yang dapat Ana timba.
..................

PMRAM

2 tahun lalu, Ana dihubungi oleh PMRAM (Persatuan Pelajar Melayu Republik Arab Mesir ) yang meminta izin agar buku susunan Ana diulang cetak di Mesir. Setelah mendapat penjelasan tentang tujuan usaha tersebut dilakukan, Ana dengan rendah hati mengizinkannya. Sungguh Ana rasa terharu dengan hal-hal sebegini. Terasa kerdil apabila buku kecil itu, akan mula beredar dari tangan ke tangan saudara-saudara kita di bumi Ambiyaa'. Subhanallah..

Lebih-lebih lagi mengingatkan diri yang penuh kekurangan ini. Terlalu banyak debu hitam berbanding kasturi untuk dihidu. Mudahan ia menjadi satu kebaikan buat penghapus noda-noda yang berserakan dalam diri..

Amin.
.....................

Di celah ribuan

Laju-laju Ana melangkah. Sesekali mata menangkap debu-debu yang mula hinggap di kaki. Tiada Ana peduli!

Udara yang membahang seakan memalu kulit. Apatah lagi di dalam panas terik ini. Mengoyak-ngoyak keselasaan air cond yang baru dinikmati sebentar tadi.

Pun Ana tidak perduli!

Ana hanya ingin ke sana.
Bertemu dengannya dan mengucup tangannya. Guru Ana yang hampir 11 tahun tidak Ana jumpai.

Dan di saat Ana memeluk dan mencium kepalanya (untuk memuliakan ilmunya), beliau menangis!

Terharu dia.
Menambah keharuan Ana jua..

Barangkali mengingatkan pertemuan kami di celah puluhan ribu manusia yang direzekikan Allah untuk majlis ilmu ini. Subhanallah..

Yang Maha Mengatur apa yang dikehendakiNya serapi-rapinya.

انّما أمره أذا أراد شيا أن يقول له كن فيكون

Maksudnya : Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, cukuplah sekadar Dia berfirman kepada sesuatu itu : Jadilah! Maka sesuatu (yang dikehendakiNya itu ) pasti terjadi.
(Surah Yaasin : 82)
Terharu..
........................

Dan kali ini pun..
Sekali lagi Ana terharu. Dengan sahabat-sahabat yang tak putus-putus menghantar email silaturrahim buat Ana. Bertanya khabar dan menyatakan kebimbangan kalau-kalau sufifaqir tak sihat sehingga tak dapat menulis seperti biasa.

Sungguh Ana tidak tahu hendak mengucapkan rasa terharu ini.
Mempunyai sahabat-sahabat yang mulia merupakan satu kemuliaan buat diri. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa sahabat-sahabat yang mulia juga adalah tanda kemuliaan agama pada seseorang. (Atau sama maksud dengannya).

Sungguh anda sentiasa tidak jemu mengirim berita serta mendoakan Ana di sini.

Ana hanya mampu mendoakan kesejahteraan anda sekalian dengan penuh harapan pada Pemberi Harapan. Ana bertuah mempunyai anda yang sentiasa memberi sokongan untuk penyebaran dakwah menerusi blog kita ini.

Didoakan anda semua sentiasa di dalam rahmat Allah seta diliputi ketenangan hakiki sesejuk embun yang menghidupkan daunan.

Salam rendah hati dan terharu dari Ana buat anda yang Ana cintai.-Sufifaqir-

PERHATIAN

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian.
Blog sufifaqir mulai hari ini akan ditukar kepada http://sufifaqir.blogspot.com/. Harap sahabat-sahabat sekalian dapat terus memberi sokongan buat blog kita ini.Jazakumullah.

الله اكبر الله اكبر

اشهد أن لا اله الّا الله

اشهد أنّ محمّد رسول الله

حيّ على الصلاة

حيّ على الفلاح

الله اكبر الله اكبر

لا اله الّا الله


Maghrib masuk lagi..
Seperti semalam dan hari-hari sebelumnya..
Menyempurnakan* umur hari-hari yang tiba..

Kirmizi yang kemerahan di ufuk tetap setia..
Menaungi manusia yang masih sibuk dengan urusan dunia..
Seolah-olah menyeru mereka dengan katanya :

"..Pulanglah..sucikanlah dirimu untuk bertemu denganNya!"

Menyeru bani Adam..
Yang seperti biasa tidak mempedulikan,
Walaupun Rejab yang mulia baru berlabuh..

Dari tingkap kereta ini Ana mendongak ke langit..
Memerhatikan ciptaanNya,
Untuk menghadirkan hati dalam memujiNya,
Lantas akur pada kekerdilan diri yang Faqir ini..

Indah!
Hebat!
Hanya pada DIA pujian ini,
Yang sentiasa mengurniakan..
Tidak putus-putus..Subhanallah..

"..Bertambah lagiii umur hari ini..." Bisik Ana, sayu.

Apatah lagi apabila mengingatkan kata-kata Sayyidina Uthman R.A :

"..Aku menangis setiap kali tibanya maghrib kerana aku sedar bertambahnya umurku sedang amalanku tetap kurang.."

Sungguh benar kata-katamu Ya Amiirul Mukminin..


* Di dalam Islam, Maghrib merupakan tanda masuknya hari yang baru. Sebab itu kalau kita melihat kepada Ramadhan, selepas dapat pengumuman esok akan puasa, malam tu juga kita akan menunaikan solat terawih. Hari raya pun begitu. Malam sebelum raya, kita tak solat terawih lagi, sebaliknya bertakbir, bertahmid memuji Zat Yang Maha Sempurna.
......................................

ما بين بيتي و منبري روضة من رياض الجنّة

Maksudnya : Antara rumahku dan mimbarku ini, adalah salah satu taman dari taman-taman Syurga..


Ana mempercepatkan langkah.
Seberapa boleh ingin mengambil tempat.
Dari tengah-tengah masjid, Ana berlari-lari anak menuju ke depan.

Depan lagi..

Dari jauh pagar-pagar tembaga kekuningan menanti Ana. Indah!
Mushaf-mushaf suci tersusun cantik.Kemas!

Ana melangkah ke depan..mencari ruang..

"..Lau Samah Ya Amm.. Fafsahu..yafsahillah.." (Maaf Pakcik..berilah ruang..nescaya Allah melapangkan kamu..).Bisik Ana pada jemaah.
Memohon diberikan sedikit ruang untuk bersolat.

"..Tafaddhol..". (Silakan) Balasnya.

Alhamdulillah!
Allah mempermudahkan.

Ana sempurnakan solat 2 rakaat..
Memohon keampunan terhadap diri dan insan-insan tercinta.

Kemudian pelan-pelan Ana tenggelam..
Tenggelam dalam cahaya Zikrullah..
Di Taman Syurga..
Raudhah yang mulia..
............................

Wahai Kekasih yang Pemaaf..

Ummatul Mukminin Sayyidatuna A'isyah R.A memasang telinga.
Ingin benar dia mendengar bisikan-bisikan kasih dari suaminya Rasulullah SAW yang mulia. Bertahajjud mengabdikan diri pada Zat Yang Maha Sempurna serta merintih dan merayu memohon keredhaan.

Seperti semalam dan malam-malam yang sudah, Baginda tetap saja bermunajat. Tidak putus-putus. Seolah kesuntukan masa kerana maut menunggu sedetik lagi..

Ummatul Mukminin tahu yang bukannya ummat ini tidak tahu yang Baginda ma'sum. Terpelihara dari dosa-dosa yang akan menggelapkan sarang cinta iaitu hati. Namun Baginda tetap saja berdiri menghadap kekasihnya Yang Maha Pemaaf.

Pernah Baginda ditanya :

"..Ya Rasulullah..Bukankah anda telah terpelihara dari kemurkaanNya..mengapa anda masih terus menerus merayu redhaNya sehingga bengkaklah kakimu yang mulia..?"

Sambil tersenyum Baginda menjawab : "..Tidak bolehkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur..?"

Subhanallah! Tulus.Qudus.
Meresap ke dalam jiwa para Muttaqin yang sentiasa merinduiNya.

Dan malam ini pun, Baginda masih lagi berdiri. Bermunajat.
Membisikkan cinta dan pengharapan yang tidak putus-putus pada Pemberi Harapan bagi segala harapan.

Berdiri lurus berserta hati yang lurus.

Berdirinya seorang kekasih buat Kekasih..

Sambil Baginda berdoa :

"..Ya Allah, ampunkanlah Aisyah. Yang zahir, yang batin, yang lepas, dan yang akan datang. Ampunkanlah dia Ya Allah.."

( Sedang Aisyah mendengar-dengar doa qudus itu .)

Berkata Aisyah : "..Demi Allah aku sangat gembira dengan doamu Ya Rasulullah.." .

Lantas bersabda Rasulullah SAW :

"..Demi Allah Ya Aisyah..sebagaimana gembiranya kamu terhadap doa ini..beginilah doaku buat ummatku..setiap malam..beginilah doaku pada ummatku setiap malam.."

(SUNGGUH! BETAPA SUCINYA CINTAMU PADA KAMI YA RASULULLAH.. )
.....................

Tingkap kecil Kekasih

Resah!

Bimbang!

Dukacita!

Kalau itulah kalimat-kalimat yang boleh menggambarkan perasaan para sahabat sewaktu menerima berita kegeringan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW gering!

Rasulullah SAW gering!

Sahut sahabat menyampaikan pada yang lain.

Sungguh kecintaan mereka yang tulus dan kecintaan yang lebih tulus yang dibalas oleh Baginda benar-benar mengikat mereka.

Jiwa mereka bersama Rasulullah!

Hati mereka pada Rasulullah!

Dan cinta mereka hanya dimiliki oleh Rasulullah yang membawa pada Allah!

Tapi kali ini, berita kegeringan Baginda benar-benar meresahkan jiwa. Apatah lagi mengingatkan beberapa kebiasaan Baginda turut berubah. Tengok sahajalah pada Ramadhan yang lalu (10 Hjrah). Baginda telah beriktikaf selama 20 hari tidak seperti Ramadhan-Ramadhan sebelumnya yang hanya 10 hari.

Ramadhan yang lalu jugalah Jibril A.S telah datang bertadarus dengan Baginda sebanyak 2 kali. Tidak seperti Ramadhan-Ramadhan yang lalu hanya sekali sahaja.

Apatah lagi sabda Baginda sendiri pada Haji Wada' yang lalu :

"..Sesungguhnya aku tidak pasti, apakah aku akan bertemu kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini buat selama-lamanya.."

Bahkan ketika di Jamrah Al-Aqabah pun, Baginda sekali lagi menyatakan :

"..Pelajarilah daripadaku ibadat-ibadat Haji kamu, kerana boleh jadi aku tidak akan berhaji lagi selepas tahun ini.."

Itu semua mereka ingat!
Sentiasa bermain dalam fikiran mereka.
Seakan-akan apa yang diucapkan oleh Baginda itu seperti akan sampai pada penghujungnya..

Apakah kali ini...?
Tidak mahu!
Untuk berfikir lebih dari itu kami tidak mahu!

"Kami masih memerlukan Rasulullah! " Itu yang tersemat dalam hati mereka.
Penuh dengan cinta!

Kalau diingat-ingat kembali..
Semuanya berlaku sebulan yang lalu..iaitu ketika Rasulullah SAW sedang dalam perjalanan kembali dari menguruskan jenazah di Baqi', tiba-tiba Baginda mengadu ditimpa sakit kepala. Kepanasannya dapat dirasakan dari atas serban Baginda.

Bahkan hari-hari sebelum hari ini pun benar-benar meresahkan :

4 hari sebelum :

Baginda pengsan setelah bersiap-siap hendak ke Masjid bagi mengimami solat.Ini berikutan para Sahabat menunggu-nunggu ketibaan Baginda untuk berjemaah.

2 Hari (atau sehari) sebelum :

Baginda telah keluar menuju ke masjid sambil dipapah oleh 2 Sahabat setelah merasa sedikit kelegaan dari sakit Baginda. Dan sempat pula Baginda mengimami solat pada hari itu dalam keadaan uzur.

1 Hari sebelum :

Rasulullah telah memerdekakan kesemua hamba miliknya dan Baginda bersedeqah sebanyak 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda juga memberikan senjata-senjatanya untuk kegunaan Islam. Baju besi Baginda pula pada hari inilah telah digadaikan kepada seorang Yahudi dengan kadar 30 gantang gandum. Pada malamnya pula, Aisyah ada meminjam minyak pelita dari jirannya.


Dan pagi tadi..
Mereka dikejutkan apabila Baginda menyingkap tabir bilik Aisyah untuk memandang serta tersenyum pada mereka. Sungguh wajah itu seperti purnama yang menerangi kegelapan..

Mereka gembira!
Mereka bahagia!

Bahagia apabila melihat wajah mulia Baginda itu memandang mereka dari tingkap kecilnya di Raudhah!

Pandangan penuh kasih!

Cinta!

Rindu!

Tulus dan qudus..
Sesejuk Kauthar yang menghilangkan dahaga Muttaqin selamanya..
.....
.....
Tapi..itu semua seketika cuma..
Cuma pagi tadi..
Sekarang..
Rasulullah sedang gering kembali..
Dah berapa waktu solat ni diimami oleh Sayyidina Abu Bakar.

( YA ALLAH..SELAMATKANLAH BAGINDA! )
...............................

Tanda buat ummat

وما محمّد الّا رسول قد خلت من قبله الرّسل أفاين مّات أو قتل انقلبتم على أعقبكم ومن ينقلب على عقبيه فلن يضرّ الله شيئا وسيجزى الله الشّكرين

Maksudnya : Dan tiadalah Muhammad itu melainkan hanyalah seorang Rasul yang sebelumnya telah berlalu beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atapun dibunuh maka kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, sesungguhnya hal itu tidak merugikan Allah sedikit pun. (Ketahuilah ) Dan sesungguhnya Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. ( Surah Al-Imran : 144 )


Sebulan sebelum itu ( awal atau pertengahan Safar ) :

Dua kakinya yang mulia dilangkahinya menuju Baqi'.
Semata untuk menziarahi dan memohon keampunan buat penghuninya.

Lantas 2 tangan suci itu diangkat.
Memohon dalam bisikan harapan pada Pemberi Harapan:

"..Assalamualaikum wahai ahli Baqi'. Semoga kamu mendapat kerehatan dengan nikmat yang kamu kecapi di dalamnya berbanding orang lain yang menghadapi keadaannya. Sesungguhnya wahai ahli Baqi' telah datang fitnah-fitnah (ujian-ujian) seumpama sebahagian malam yang gelap gelita. Fitnah yang kemudian akan menyusuli selepas yang awal. Sedangkan yang kemudian itu adalah lebih buruk dari yang awal.

Wahai Ahli Baqi'..sesungguhnya kami akan menyusuli kamu.."

(WAHAI KEKASIH KAMI YA RASULULLAH..SUNGGUH ENGKAU TELAH MENINGGALKAN TANDA PEMERGIAANMU INI BUAT KAMI..)
........................................

Teman Yang Tertinggi

Selepas Rasulullah SAW menyampaikan bisikannya buat Fatimah Az-Zahra Al-Batul ( yang mengikat perut kerana lebih mencintai fuqara dan masaakin memperolehi makanan ), Fatimah menangis pilu. Melihat keadaan Fatimah, Rasulullah SAW lantas membisikkan sesuatu sekali lagi buat anakndanya itu dan kali ini membuatkan Fatimah ketawa.

Begitulah Rasulullah SAW..sentiasa menghiburkan..

Kemudian Baginda memanggil buah hatinya Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussein lantas berpesan dan mendoakan kebaikan buat keduanya. Dikucupnya Hassan dan Hussein serta dirangkulnya penuh cinta. Baginda turut memanggil isteri-isterinya lalu menyampaikan peringatan dan wasiat.


Tidak lama untuk Allah melaksanakan apa yang telah ditaqdirkannya buat Nabinya itu..

Baginda mula merasakan bisa kesan racun daging kambing yang sempat dikunyah oleh Baginda di Khaibar. perlahan-lahan menjalar ke dalam tubuhnya yang mulia. Baginda lantas berpesan berulang kali pada orang ramai :

"..Jagalah solat..jagalah solat..serta hamba-hamba yang kamu miliki.."

Perlahan Baginda disandarkan Aisayah pada ribaannya.
Lalu Abdul Rahman bin Abu Bakar masuk mengadap Baginda sambil membawa kayu sugi. Ketika itu Ummatul Mukminin Aisyah melihat Baginda memandang kepada Abdul Rahman. Lantas Aisyah bertanya pada Baginda :

"..Mahukah jika aku mengambil kayu sugi ini buatmu Ya Rasulullah ?.."

Baginda mengisyaratkan dengan kepalanya pada Aisyah tanda setuju. Lalu Aisyah menghulurkan kayu sugi itu pada Rasulullah tetapi Baginda merasakan kayu sugi itu keras.

Lalu Aisyah bertanya : "..Mahukah sekiranya aku melembutkannya buatmu ya Rasulullah?.."

Baginda lantas mengisyaratkan dengan kepalanya sebagai tanda setuju.
Maka dilembutkan sugi itu oleh Aisyah dan diberikan pada Baginda.

Lalu bersugilah Baginda. *(Setengah riwayat menyebut Baginda disugi oleh Aisyah atau Abdullah)

Kemudian, perlahan Baginda mencelupkan tangannya yang mulia ke dalam bekas kecil berisi air di hadapan lantas menyapukannya ke wajahnya.

Sambil Baginda bersabda : "..Tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya bagi kematian itu ada sakaratnya.."

Selesai bersugi, dengan lemah Baginda mengangkat (tangan atau jarinya) serta mendongak pandangannya ke atas .Lalu Baginda mengucapkan ( dimana Aisyah mendekatkan telinganya ke bibir Baginda ) :

"..Bersama orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat di kalangan mereka dari Nabi-Nabi, Siddiqin, Syuhadaa', dan Solihiin. Ya Allah, ampunkanlah daku serta rahmatilah daku, serta pertemukanlah daku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Teman Yang Tertinggi.."

Diulang-ulang oleh Baginda sebanyak 3 kali.
Kemudian..tangan Baginda yang mulia terkulai layu.
Layu..

Lalu..menujulah kekasih..kepada kekasihnya..
Teman Yang Tertinggi.

انّا لله وانّا اليه رجعون
.......................


Kedukaan Teragung


Tepat pada hari Isnin, 12 Rabiulawwal tahun 11 Hijrah, wafatlah Baginda SAW setelah genap usia Baginda 63 tahun 4 hari. Kewafatan Baginda diratapi dan diterima dengan linangan air mata oleh para Sahabat. Kecintaan mereka pada Baginda menyebabkan mereka benar-benar berduka dengan kehilangan ini.

Sayyidina Ali, di dalam menghadapi kehilangan ini meratap :

" Ya Rasulullah, demi Allah aku amat menyintaimu melebihi kedua ibu bapaku. Tiadalah kegembiraan yang melupakan aku terhadap kegembiraan yang lain melainkan kegembiraan mengenalimu. Dan tiadalah kedukaan yang melupakan aku terhadap kedukaan yang lain melainkan kedukaan berpisah denganmu.."

Sayyidina Abbas menyebut : :. ".Demi Allah, aku melihat apabila Abu Bakar membacakan kalamullah yang memberitakan bahawa Baginda telah wafat..aku melihat manusia seolah-olah tidak pernah mendengar ayat ini sebelumnya.."

Bahkan Ibnu Al-Musayyab telah memberitakan bahawa Umar menyebut : "..Demi Allah sebaik sahaja aku mendengar Abu bakar membaca ayat ini maka aku menjadi lemah longlai sehingga tidak mampu berdiri lagi. Akhirnya aku rebah ke bumi dan yakinlah aku bahawa Baginda telah wafat.."

Bergilir-gilirlah para sahabat masuk ke bilik kecil Baginda untuk melihat buat kali terakhir wajah yang mulia itu. Wajah yang sentiasa menghilangkan kedukaan manusia, pembela anak-anak yatim, sahabat Fuqaraa' wa Masaakiin, pembela kaum wanita dan segala kesempurnaan yang terkumpul padanya.

Bergilirlah mereka seramai sepuluh-sepuluh orang yang masuk untuk bersolat padanya tanpa diimami oleh seorang pun. Yang mana kaum keluarga Bagindalah yang mula-mula bersolat padanya kemudian diikuti kaum Muhajirin kemudian kaum Ansar. Kaum wanita bersolat selepas kaum lelaki dan selepas itu disusuli kanak-kanak pula yang bersolat ke atas Baginda.

Di dalam menghadapi musibah kedukaan yang dicatat oleh sejarah sebagai kedukaan teragung dan terbesar ini..Sayyidatuna Aisyah sendiri menyatakan :

" ..Demi Allah, aku sendiri tidak tahu (kerana kedukaannya menghadapi perpisahan ini ) saat bilakah Rasulullah SAW dikebumikan sebenarnya..( sedar-sedar ) aku mendengar bunyi penyodok tanah maqam Baginda di saat tengah malam rabu.."

Dan katanya lagi :

"..Dan di antara nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah kepadaku ialah Rasulullah SAW wafat di dalam rumahku, di dalam giliranku, dan di dalam rangkulan antara leher dan dadaku.."

(YA HABIBALLAH..SUNGGUH KAMI AMAT MENYINTAIMU SEKALIPUN CINTAMU ITU SENTIASA MENGATASI. SELAWAT SERTA SALAM BUATMU DUHAI KEKASIH..MUDAHAN ALLAH MENGIZINKAN LAGI KAMI BERTEMU DENGANMU KEKASIH DI RAUDHAH YANG MULIA..)

Semalam Ana berkesempatan minum, berbicara panjang dengan guru Ana. Mendengar bicaranya disamping mengutip mutiara-mutiara ilmu dan hikmah yang melaut luasnya. Subhanallah.

"..Ana sedayanya ingin menterjemahkan, mensyarahkan karya-karya agung Islam yang meliputi pelbagai disiplin ilmu untuk rujukan dan kegunaan umat Islam di masa akan datang. Kita berdoa agar semuanya dapat disempurnakan sebelum mati.." Ujar Guru Ana.

"..Subhanallah.." Hanya itu yang termampu Ana ucapkan.

Kagum!

Betapa kesungguhan dan khidmatnya pada Islam benar-benar diterjemahkan. Benar-benar beliau menjadi khadim di dalam menyebarkan ilmu Allah yang luas ini.

Dan yang selebihnya Ana kagum dengan sifatnya.

Zuhud.

Wara'.

Beradab di dalam khilaf.

Sentiasa merendah diri dan..

seorang yang sangat biasa..

Dan sifat biasanya itu telah menyembunyikan luar biasa yang dimilikinya.

Subhanallah...
..........................

Bagaimana ingin menjadi luar biasa?

Pernah Ana dihubungi menerusi email oleh warga blog yang bertanya dan ingin meminta pandangan dari Ana bagaimana caranya untuk menjadi insan yang luar biasa dan dapat memberi manfaat pada saudara kita yang lain?

Sejujurnya Ana merasa insaf dengan pertanyaan beliau.
Dengan segera Ana mendoakan kebaikan padanya sebagaimana doa Baginda Rasulullah SAW buat At-Thufail Ibnu Amr Ad-Dausi. Doa Rasulullah SAW :

أللهمّ اجعل له آية تعينه على ما ينوي من الخير

Maksudnya : "..Ya Allah, jadikanlah baginya tanda yang akan membantunya mengerjakan apa yang dia niatkan.."

Besar harapan Ana agar beliau dikurniakan hikmah yang dapat membantunya dalam menyebarkan manfaat pada saudara Islam yang lain.

Ana balas emailnya dengan menyatakan pandangan Ana yang faqir ini :

Pada pandangan Ana seseorang yang biasa yang tetap nampak biasa tanpa bercita-cita ingin luar biasa adalah insan yang luar biasa sebenarnya.

Ia sentiasa mengingati Rabbnya dan mentaatiNya dengan segenap upaya.Itulah orang biasa yang sentiasa meletakkan Allah dan RasulNya di dalam kehidupannya.Ia membiasakan diri menjadi orang biasa agar luar biasanya tidak disebut. Ia tahu dan sedar kalaulah keperibadiaannya dianggap luar biasa oleh manusia, maka itu semua adalah hasil hidayah Allah semata dan bukan usahanya yang luar biasa.

Di dalam hal ini, Guru Tasauf yang masyur menyebut :

لا تفرحك الطاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك

Maksudnya : Jangan kamu merasa gembira kerana kamu merasakan telah berjaya membuat taat, tetapi gembiralah kerana Allah mengurniakan hidayah sehingga kamu dapat membuat taat.

Apabila orang biasa sentiasa di dalam ketaatan maka ia dianggap luar biasa bagi mereka yang tidak biasa dengan ketaatan.

Oleh itu, mohonlah pada Allah agar kita menjadi orang-orang yang sentiasa diampunkanNya dan dibimbingNya kepada RedhaNya..

...................................

Pernah Junaid Al-Baghdadi ditanya oleh seorang Guru Tasauf yang terkenal di zamannya iaitu Assariy Assaqothi sedang Junaid ketika itu baru berusia 7 tahun.

Bertanya Assary : "...Apakah erti syukur wahai Junaid?.."

Maka Junaid Al-Baghdadi menjawab : "..Syukur itu ialah tidak menggunakan nikmat yang diberi ke arah maksiat pada Allah!.."

Mendengar jawapan tersebut, Assaray Assaqothi menyatakan kebimbangannya dengan berkata :

"..Wahai Junaid..sesungguhnya aku khuatir dan bimbang sekiranya apa yang kamu ucapkan itu hanyalah sekadar di lidahmu sahaja.."

Sejak itu kata Junaid..:

"..Aku selalu mengalirkan air mata mengingatkan kata-kata Assary kerana bimbang kalau-kalau benar apa yang telah diucapkannya kepadaku.."

Subhanallah!

Betapa biasanya Junaid.
Sentiasa membiasakan diri dengan ingatan-ingatan agama demi mengharapkan redhaNya semata. Dan berusaha menghilangkan pandangan makhluk padanya kerana mengutamakan pandangan Allah SWT semata. Dan kerana kebiasaan inilah akhirnya Junaid Al-Baghdadi diingati sepanjang zaman secara luar biasa.

Bukankah Ibnu Athaillah telah menyebut :

غيّب نظر ألخلق اليك بنظر الله اليك وغب عن اقبالهم عليك بشهود اقباله عليك

Maksudnya : Hilangkanlah pandangan makhluk kepadamu ( kerana merasai memadai) dengan pandangan Allah dan lupakanlah perhatian (tumpuan) manusia kepadamu sebaliknya melihat (menyedari) bahawa cukuplah Allah memerhatikanmu.

Oleh itu..jadilah yang biasa-biasa sahaja..- Sufifaqir.

Sekali lagi

Untuk menunaikan permintaan sahabat-sahabat yang inginkan artikel 'Kisah Ana' dan "Tangan itu telah menyuapmu "disiarkan kembali, Ana dengan rendah hati mempersembahkan kembali link artikel ini yang pernah disiarkan pada tahun 2008 buat sahabat-sahabat tercinta sekalian. Ana turut memuatkan kembali sebahagian link-link artikel yang paling banyak medapat komen dari sahabat-sahabat yang dimuliakan sekalian.
Kisah-kisah ini turut dimuatkan dalam novel Tribute buat Nenda yang telah terjual hampir 2000 naskah dalam masa sebulan. Alhamdulillah. Selamat membacanya kembali..

link :

Blogger Template by Blogcrowds