KONSEP DOSA WARISAN ( Siri 1 )
Apakah dia Dosa Warisan?
Dosa warisan atau “Original Sin” adalah antara rukun iman yang utama di dalam Agama Kristian. Orang-orang Kristian percaya bahawa Nabi Adam lah yang menyebabkan terjadinya dosa warisan ini. Ini adalah kerana baginda telah melanggar perintah Allah dengan memakan buah dari pohon larangan setelah terpedaya dengan godaan Iblis. Ini telah dinyatakan di dalam Perjanjian Lama (Kejadian 3:6):
Perempuan itu melihat pokok itu sangat cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa eloknya jika dia menjadi bijaksana. Maka dia memetik buah itu dan memakannya serta ia juga memberikan pada suaminya lalu suaminya memakan buah itu.
Oleh kerana seluruh manusia itu berketurunan Adam, maka manusia turut sama menanggung dan mewarisi dosa Adam. Bahkan bayi yang baru lahir pun, turut sama mempunyai dosa warisan ini. Di sini bermulanya asal usul dosa warisan dan orang-orang Kristian mesti meyakininya untuk membenarkan penyaliban Jesus sebagai penebus dosa warisan.
Berterima kasihlah pada Adam!
Setelah kita faham konsep dosa warisan ini, kita dapati seolah-olah Adam telah di ‘set up’kan untuk membuat dosa yang telah mengakibatkan seluruh manusia mendapat dosa warisan secara automatik. Maka dengan itu, barulah Allah dapat mengirimkan Anak-Nya yang tunggal ke dunia ini, untuk menebus dosa warisan tadi.
Bertepatan dengan apa yang telah ‘dirancang terhadap Adam’ ini, di dalam (Yohanes 3:16) telah menyatakan:
Allah sangat mengasihi manusia di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak akan binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.
Dalam (Galatia 1:4) juga menyatakan tentang idea penebusan dosa warisan ini:
Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus (Jesus) telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya bagi mentaati kehendak Allah bapa kita.
Tetapi tahukah anda? Sekiranya Adam tidak melanggar perintah Allah dengan memakan buah dari pohon larangan tadi, tentu Jesus tidak akan dikirim oleh Allah ke atas dunia ini untuk menebus dosa warisan dan Agama Kristian tidak akan wujud sama sekali!
Maka orang-orang Kristian mesti berterima kasih pada Adam!
Akal yang waras menolak idea ini.
Saya pernah berbincang dengan seorang Paderi tentang idea dosa warisan ini. Di dalam perbincangan itu, saya menerangkan kepada beliau dengan berkata : “Uncle, sungguh menghairankan! Adam yang membuat dosa tetapi kita semua turut menanggungnya! Inikah keadilan Tuhan?”. Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Kami sebagai Muslim percaya bahawa setiap dosa hanya ditanggung oleh diri sendiri”.
Di dalam Al Quran Allah telah berfirman:
Maksudnya :Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah Allah, maka sesungguhnya dia berbuat kebaikan itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang sesat maka kesesatannya itu adalah untuk (kerugiannya) sendiri. Dan setiap orang yang berdosa (dengan dosanya) tidak pula dapat menanggung dosa orang lain dan kami tidak akan menimpakan azab sebelum kami mengutuskan rasul (kepada manusia).
(Surah Al-Isra 17:15)
Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Bahkan, Bible sendiri menyokong Al Quran! Dalam (Yeremia 31:30) menyatakan:
Tetapi sesiapa yang makan anggur yang masam, dia sendirilah yang akan merasa masamnya. Setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri.
Manakala (Yehezkiel 18:20) juga menyatakan:
Orang yang berdosa akan mati. Seorang anak tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seorang bapa tidak menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya , dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya.
Perhatikan juga di dalam (Matius 16:27):
Anak Manusia sudah hampir tiba bersama–sama para Malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia membalas tiap – tiap orang menurut perbuatannya sendiri.
( Matius 19:14 ) menyebut:
Yesus berkata kepada pengikut–pengikut-Nya:
“Biarlah kanak–kanak itu datang kepada–Ku. Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah”
(Roma 2:5-6) juga menyatakan:
Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil. Hal yang demikian itu adalah kerana Allah akan membalas setiap orang, setimpal dengan perbuatannya sendiri.
“Lihat! Bible pun turut membenarkan apa yang dikatakan oleh Al-Quran tadi”. Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Uncle, pihak Gereja menyatakan adanya dosa warisan, sedangkan Holy Bible pula menyatakan sebaliknya. Di antara kedua pendapat ini, (Gereja dan Holy Bible) mana satukah yang patut diikuti oleh orang–orang Kristian ?”.
Setelah beliau mendengar hujah yang saya utarakan , dengan yakin Paderi itu menjawab : “Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan “Original Sin’ ( Dosa warisan) ialah kecenderungan untuk membuat dosa, bukannya dosa yang yang kita warisi dari Adam.
Setelah mendengar konsep ‘baru’ tentang dosa warisan itu, saya terus menyatakan lagi : ”Jikalau begitu apa gunanya Jesus disalib kalaulah semata–mata untuk menebus kecenderungan berbuat dosa, kerana semua manusia diberi hawa nafsu.”
Bahkan hingga sekarang ini pun, penganut Kristian yang meyakini dosa warisan mereka telah tertebus pun masih mempunyai kecenderungan membuat dosa.
Amat menakjubkan ! Selain daripada akal yang waras , Bible mereka juga menolak idea dosa warisan ini ! Jadi , siapakah yang sebenarnya telah mencipta idea ini ? ( Ikuti kupasan selanjutnya di dalam siri kedua akan datang.)
PENEBUSAN DOSA MELALUI PENYALIBAN? ( siri 2 )
Adakah Nabi Isa disalib ?
Orang-orang Kristian menyakini, bahawa Adam adalah penyebab kepada wujudnya dosa warisan, sebagaimana yang telah saya kupaskan di dalam bab pertama yang lalu. Mereka juga menyakini bahawa Allah yang Maha Pengasih telah mengutuskan anak-Nya yang tunggal ( Nabi Isa ) ke dunia ini, untuk menebus dosa warisan manusia. Di dalam ( Yohanes 3:16 ) menyatakan :
Allah sangat mengasihi orang di dunia ini, sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada anak itu tidak akan binasa tetapi memperolehi hidup sejati dan kekal.
Orang-orang Kristian juga percaya bahawa kisah penyembelihan Ishak oleh Nabi Ibrahim adalah gambaran awal dari Allah SWT bahawa Jesus akan disalib untuk menebus dosa warisan manusia.
Ketika berbincang dengan seorang Paderi dan isterinya tentang ‘Benarkah Ishak yang disembelih?, saya berkata kepada beliau: “Uncle, kami sebagai Muslim percaya bahawa Ismail yang telah dikorbankan bukannya Ishak sebagaimana yang dipercayai oleh orang-orang Kristian.
Walaupun Kristian membuktikan hujah mereka melalui Old Testament, sebagaimana yang dinyatakan dalam buku Kejadian bab 22 ayat 2 :
Allah berfirman : “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. Di situ, di sebuah gunung yang akan Ku tunjukkan kepadamu, persembahkanlah anakmu sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku“.
Namun, Kitab Bible sendiri menolak hujah ini!. Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Cubalah kita lihat di dalam Old Testament, buku kejadian bab 16 ayat 15-16, di mana Bible telah menyatakan :
Kemudian Hagar ( Hajar ) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram ( Ibrahim ) bapa anak itu menamakan dia Ismail. Pada masa itu Abram berumur 86 tahun.
dan bandingkan pula dengan Old Testament, buku Kejadian bab 21 ayat 5 ini”.
Ibrahim berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan
Dengan menggunakan ‘White Board’ yang ada di dalam gereja tersebut, saya melakarkan ayat–ayat tadi agar beliau dapat memerhatikan dengan lebih jelas tentang ‘keistimewaan’ ayat– ayat ini.
Ismail atau Ishak ?
Saya berkata kepada beliau : “Uncle, perhatikan ayat-ayat ini. Di antara Ismail dan Ishak, siapakah yang lahir dulu?”. Tanpa menunggu jawapan daripada beliau, saya menyatakan bahawa Ismail yang dilahirkan dulu kerana ketika Ismail dilahirkan umur Nabi Ibrahim 86 tahun, sedangkan ketika Ishak dilahirkan umur Baginda sudah menjangkau 100 tahun. Beliau dan isterinya nampak bersetuju dengan apa yang saya nyatakan.
Saya meneruskan lagi dengan berkata: “Tetapi Uncle, jika Ismail yang dilahirkan dulu, mengapa di dalam Old Testament, buku Kejadian 22:2 di atas menyatakan Ishak adalah anak tunggal Ibrahim? Sedangkan Ishak mempunyai abang iaitu Ismail“.
Saya berkata lagi: “Inilah buktinya bahawa kalimah ‘Ishak didalam Old Testament, buku kejadian 22:2 tadi adalah kalimah tambahan dari Ulama Yahudi yang sememangnya dengki kepada Ismail dan keturunannya”.
Setelah mendengar hujah yang saya kemukakan tadi, beliau terus menjawab dengan penuh yakin: “Sebenarnya Ishak adalah satu-satunya anak tunggal Ibrahim yang lahir daripada isteri yang sah!. Manakala Ismail pula bukanlah anak Baginda yang sah kerana Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim!”
Dengan segera saya berkata kepada beliau: “Kalau begitu, tunjukkan pada saya di mana ayat di dalam Bible yang menyatakan Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim?.”
Beliau yang nampaknya terkejut dengan permintaan saya itu, hanya mendiamkan diri sambil membelek–belek kandungan Bible di hadapan beliau .
Pada mulanya saya menyangka beliau tentu tahu di manakah ayat yang menyebut tentang Hagar adalah gundik Ibrahim kerana sememangnya terdapat di dalam sesetengah versi Bible menyatakan sedemikian.
Namun setelah menunggu agak lama serta yakin beliau tidak dapat membuktikannya, maka saya berkata kepada beliau: “Uncle, ayat yang menyatakan bahawa Hagar (Hajar) adalah gundik Ibrahim terdapat di dalam Old Testament, Kejadian bab 16 ayat 3.”
Maka Sarai ( Sarah ) memberikan Hagar ( Hajar ) kepada Abram ( Ibrahim ) untuk dijadikan gundik.
Setelah saya menunjukkan ayat tersebut, beliau nampaknya agak lega dengan ‘bantuan’ saya tadi.
Tanpa menunggu ‘kelegaan’ beliau itu berpanjangan , saya meneruskan hujah dengan berkata: “Uncle, walaupun ayat ini menyatakan Hagar sebagai gundik Ibrahim, sehinggakan Ismail itu dituduh sebagai anak gundik, namun jika kita buka di dalam Bible King James Version, terjemahan English terhadap ayat ini adalah to be his WIFE (untuk dijadikan sebagai isteri) bukannya to be his concubine (untuk dijadikan sebagai gundik) sebagaimana yang tercatat di dalam versi TEV (Todays English Version) dan lain-lain versi!”
“Mengapa Bible mempunyai pelbagai versi jika ia adalah benar– benar dari Allah. Lagipun, kalimah Isteri (Wife) dan Gundik (Concubine) mempunyai perbezaan dan maksud yang amat ketara. Tentu Allah dapat membezakannya!”
Isteri beliau yang hanya mendiamkan diri sejak awal perbincangan kami cuba menyatakan kepada saya bahawa pada zaman dahulu, istilah isteri dan gundik tidak dapat dibezakan dengan tepat. Atas sebab itulah, terdapat kalimah isteri dan gundik digunakan dalam tempat yang sama dalam sesetengah Bible!
Isteri atau gundik?
Saya tidak faham mengapa isteri beliau menyatakan sedemikian, tapi dengan segera saya berkata padanya: “Auntie, bukankah menurut kepercayaan Yahudi dan Kristian bahawa Ibrahim telah berkahwin seramai 3 orang iaitu Sarai, Hagar dan Ketura?
Ini telah dinyatakan di dalam Old Testament buku Kejadian bab 25 ayat 1 dan 2:
Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura. Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak dan Suah.
Di dalam ayat ini, jelas dinyatakan bahawa Ketura adalah Isteri Ibrahim.
Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Tapi Auntie, cuba bandingkan dengan apa yang dinyatakan di dalam Old Testament Buku 1 Tawarikh bab 1 ayat 32 ini:
Abraham mempunyai seorang gundik bernama Ketura. Gundiknya itu melahirkan enam orang lelaki: Zimran, Yoksan, Medan Midian, Ishbak dan Suah..
Di dalam ayat ini, dinyatakan pula Ketura anak gundik Ibrahim. Bukankah jelas bahawa kalimah isteri dan gundik mempunyai perbezaan dan penulis serta periwayat Bible tahu perbezaan ini!.
Apa pula yang hendak Auntie katakan tentang ayat 1 Raja-raja bab 11 ayat 3 :
Raja Salomo (Sulaiman) berkahwin dengan Tujuh Ratus orang Puteri Raja dan mempunyai Tiga Ratus orang Gundik.
Di dalam ayat yang sama, periwayat Bible sendiri menunjukkan bahawa mereka tahu perbezaan antara kalimah isteri dan gundik!.
Dengan muka yang merah padam, isterinya bangkit meninggalkan perbincangan kami dan saya lihat Paderi tersebut hanya menundukkan mukanya yang kemerahan.
Lantas saya meneruskan lagi dengan berkata : “Uncle, melalui ayat-ayat yang saya nyatakan tadi, jelaslah bahawa Ismail adalah anak sah dan Hagar bukanlah gundik Ibrahim!
Di sinilah buktinya bahawa terdapat perselisihan di dalam ayat-ayat Bible dan sekaligus membuktikan ia bukan Kalam Allah! Ia dikarang serta dipinda sesuka hati oleh Ulama Yahudi.
Setelah saya berkata demikian, Paderi tersebut hanya mendiamkan diri dan tidak lama kemudian, beliau menyatakan pada saya bahawa beliau ada kerja yang ingin diselesaikan. ( Ikuti selanjutnya pada siri ketiga )
DOSA WARISAN CIPTAAN PAULUS. ( siri 3 )
Sebenarnya perintah pergorbanan Ishak (menurut kepercayaan Kristian dan Yahudi) tidak ada kaitannya dengan gambaran awal Jesus akan disalib! Tetapi idea penebusan dosa warisan ini telah diprogramkan oleh Paulus atau Paul, seorang yang dianggap ‘Rasul’ bagi penganut Kristian .
Sekiranya kita lihat di dalam (Galatian 1:4) Paul telah berkata:
Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus (Jesus) telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukan bagi mentaati kehendak Allah bapa kita.
Di dalam ayat lain pula Paul, telah menyifatkan golongan Yahudi yang enggan menerima ‘berita baik’ penyaliban Jesus ini, sebagai musuh Allah. Ini dapat kita saksikan melalui kata-kata Paul di dalam (Roma 11:28) :
Kerana orang Yahudi tidak mahu menerima berita baik (penyaliban Jesus untuk penghapusan dosa manusia ) daripada Allah ini, maka mereka menjadi musuh Allah .
Tetapi di dalam ayat lain, contohnya di dalam (1 Teselonian 2:15) Paul telah menyatakan sebaliknya pula tentang idea penebusan dosa ini:
Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Jesus dan Nabi–nabi serta menganiayai kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan menyebabkan Allah sangat murka.
Sungguh pelik! Paul yang mengajar idea penghapusan dosa warisan ini dalam masa yang sama juga telah mencela orang–orang Yahudi yang ‘membantu’ proses penghapusan dosa ini! Sepatutnya orang–orang Yahudi yang telah membunuh Jesus ini, diberi pahala dan sanjungan yang besar kerana merekalah yang telah membunuh dan menyalib Jesus, sehingga dosa warisan yang membelenggu manusia selama ini, terhapus.
Sekiranya Jesus tidak dibunuh dan disalib oleh mereka, tentu dosa warisan masih lagi membelenggu penganut Kristian hingga ke hari ini dan Agama Kristian tidak mungkin wujud sama sekali.
Mari kita lihat pula apa kata Paul di dalam (1 Korintus 2:8):
Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini, tidak tahu kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalib Tuhan (Jesus) Yang Mulia.
Lihatlah! Betapa jelasnya percanggahan kata–kata Paul yang dianggap oleh orang–orang Kristian sebagai ‘Rasul Kristus’.
Oleh kerana kata-kata Paul sendiri mengandungi percanggahan, maka saksi yang paling layak untuk kita analisa bagi mencapai kebenaran hakiki tentang idea penyaliban bagi menebus dosa ini, adalah kata–kata Jesus sendiri.
Apa kata Jesus terhadap idea yang telah dicipta oleh Paul ini?
Jesus sendiri tidak rela disalib !
Jika anda perhatikan di dalam (Yohanes 7:19), Jesus sendiri telah berkata kepada orang–orang Yahudi yang ingin membunuh dan menyalibnya:
“Bukankah Musa yang memberi Taurat kepada kamu. Tetapi tidak seorang pun di antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapa kamu mahu membunuh aku?”
Lihat pula di dalam (Yohanes 8:37) dimana Jesus sendiri telah berkata:
“Aku tahu kamu keturunan Ibrahim. Namun kamu berusaha untuk membunuh aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaranku”.
Di dalam (Yohanes 8:44):
“Bapa kamu Iblis dan kamu anak–anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh..”
Di dalam ( Yohanes 19:11 ):
Jesus telah berdialog dengan Pilatus ( Gabenor Kerajaan Rom), dan berkata: “Kamu tidak berkuasa ke atas aku, kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu, orang yang menyerahkan aku kepadamu, lebih besar dosanya dari dosamu .
Perhatikan! Jesus sendiri menolak idea penebusan dosa ciptaan Paulus ini!. Bahkan untuk membuktikan keengganan Jesus menghadapi hukuman untuk menebus dosa manusia, Matius dan Markus telah menceritakan bagaimana Jesus telah berusaha melarikan diri dari orang-orang Yahudi dan tentera Rom yang mahu menangkap dan membunuh baginda. Jika ini adalah perintah Allah, mengapa Jesus melarikan diri? Perhatikan ayat ini :
“Bangunlah, mari kita pergi! Lihatlah, orang yang mengkhianati aku sudah datang!”
(Matius 26:46)
“Bangunlah, marilah kita pergi! Lihatlah, orang yang mengkhianati aku sudah datang!”
(Markus 14:42)
Bahkan sahabat-sahabat Jesus sendiri melarikan diri ketika Jesus ditangkap! Jadi, siapakah yang menjadi saksi peristiwa penyaliban ini?
Jika benar penyaliban Jesus ini adalah perintah Allah sebagaimana yang di dakwa oleh Paul dalam (Galatian 1:4) tadi, sudah tentu sahabat–sahabat baginda akan membantu menyerahkan baginda kepada orang–orang Yahudi dan tentera Rom.
Perhatikan apa yang telah diriwayatkan dalam (Matius 26:56) :
…kemudian semua pengikut Jesus lari meninggalkan Dia.
Dan di dalam (Markus 14:50) meriwayatkan :
Ketika itu, semua pengikut Jesus lari meninggalkan Dia.
Sungguh menghairankan! Jika benar apa yang dikatakan oleh Paul tentang penyaliban Jesus adalah rancangan Tuhan untuk menebus dosa warisan, maka kita dapat saksikan bahawa Jesus dan sahabat–sahabat baginda sendiri ‘lari’ dari perintah Tuhan! ( ikuti selanjutnya dalam siri akan datang )
KISAH PENYALIBAN BERBAGAI VERSI ( siri 4 )
Kisah penyaliban Jesus telah dirakamkan oleh 4 Gospel yang utama di dalam New Testament iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yohanes. Namun tahukah anda, kisah penyaliban ini berbeza dan berbagai versi keadaannya?
Rela disalib
Orang-orang Kristian telah menggunakan ayat (Lukas 23:46) ini sebagai tanda Jesus telah rela disalib untuk menebus dosa warisan manusia. Perhatikan ayat ini :
Lalu Jesus berseru dengan suara lantang “Ya bapa aku serahkan diriku ke dalam tanganMu”. Setelah berkata demikian dia pun meninggal.
Perhatikan pula di dalam ( Yohanes 19:28-30 ):
Jesus tahu bahawa sekarang semuanya selesai dan supaya apa yang tertulis di dalam Al-kitab berlaku, dia berkata “Aku dahaga. Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Bunga karang dicelupkan ke dalam wain murah itu kemudian dicucukkan ke sebatang kayu dan dihulurkan ke mulut Jesus. Jesus mengecapnya lalu berkata: “Telah selesai.” Setelah itu dia menundukkan kepalanya dan meninggal.
Melalui dua ayat ini, orang-orang Kristian berkata dengan megahnya, “Inilah tanda kasih sayang Jesus. Dia sanggup mati demi dosa kita!”
Apakah ‘Kasih sayang’ itu?
Kepada orang-orang Kristian, saya bertanya: “Apakah maksud kasih sayang di dalam agama anda? Adakah semata-mata untuk menebus dosa warisan dari Adam ( yang hanya memakan sebiji buah larangan ) lalu Tuhan Maha Pengasih terpaksa membunuh anak-nya yang tunggal, kamu katakan sebagai ‘kasih sayang’?”
Bahkan ‘Putus asa’!
Sebenarnya, apa yang telah dinyatakan di dalam (Lukas 23:46 dan Yohanes 19:28-30) ini adalah menunjukkan putus asa Jesus! Mengapa tidak? Jesus telah berusaha melarikan diri dari tangkapan tentera Rom dan orang-orang Yahudi selama hidupnya, tiba-tiba Bapa di Syurga tidak membantu beliau melepaskan diri! Maka dengan putus asa beliau mengucapkan : Ya bapa, aku serahkan diriku ke dalam tangan-Mu.
Bahkan Jika kita perhatikan kalimah ‘Ya bapa, aku serahkan diriku ke dalam tanganMu’ ini juga, dapat kita perhatikan ada 2 ‘Tuhan’ bukannya Satu seperti yang didakwa oleh orang-orang Kristian. Pertama, ‘Anak Tuhan’ yang mati di tiang salib dan yang kedua, ‘Tuhan Bapa’ yang tidak mati bersama anak-Nya. Dan ‘Tuhan-Tuhan’ ini bercerai tidak bersatu sehinggakan ada Tuhan yang mati dan ada yang tidak mati!
Tidak rela disalib
Kali ini kita perhatikan pula bagaimanakah dua ayat ini menjelaskan keengganan Jesus untuk disalib. Perhatikan (Matius 27:45-50):
Pada tengah hari selama tiga jam, Seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Jesus berseru dengan suara lantang “Eli Eli lama sabakhtani?” yang bermaksud “Allah Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?”. Beberapa orang di situ mendengar seruan Jesus lalu berkata “dia memanggil Elia”. Seorang dari mereka mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkan pada sebatang kayu, lalu dihulurkan ke mulut Jesus. Tetapi orang lain di situ berkata: Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia.” Kemudian Jesus berseru lagi dengan nyaring lalu menghembuskan nafas terakhirnya.
Keengganan Jesus untuk disalib juga digambarkan oleh (Markus 15:33-37)
Pada tengah hari selama tiga jam, Seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Jesus berseru dengan suara lantang “Eloi Eloi lama sabakhtani?” yang bermaksud “Ya Allah Ya Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?”. Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata “Dia memanggil Elia”. Seorang dari mereka mengambil bunga karang, yang dicelup dengan wain murah lalu mencucukkannya pada sebatang kayu, lalu dihulurkan ke mulut Jesus sambil berkata “Tunggu! mari kita lihat kalau-kalau Elia menurunkan dia dari salib.” Lalu Jesus berteriak dan menghembuskan hafasnya yang terakhir.
Bahkan bukan Jesus di tiang salib!
Kalimah “Eloi Eloi lama sabakhtani? yang bermaksud “Ya Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?” di dalam ayat-ayat di atas juga, jelas menunjukkan bahawa bukan Jesus yang disalib.
Saya pernah memberitahu kepada seorang Pastor berbangsa India di negeri saya ketika kami berbincang mengenai siapakah yang disalib sebenarnya. Saya berkata “Uncle, sekiranya Jesus yang disalib, tentu dia tidak akan menggunakan lafaz ‘Allah, Allah’ tetapi ‘Bapa,bapa’. Ini adalah kerana, Jesus adalah ‘anak Tuhan’!
Amat menghairankan! Matius dan Markus telah meriwayatkan berita penyaliban ini dengan perbezaan yang amat ketara berbanding dengan versi yang dibawa oleh Lukas dan Yohanes. Namun begitu, terdapat persamaan di antara keempat-empat Gospel ini. Tahukah anda apakah persamaan itu? Ia adalah tentang Kematian ‘Tuhan’!
Adakah anda percaya Tuhan telah mati ?
Saya pernah bertanya kepada seorang Kristian dari Jamaica, yang secara kebetulan saya temui ketika menunggu KLIA Ekpress . Pada mulanya saya menyangka beliau seorang Arab Muslim (memandangkan rupanya seperti Arab) tetapi setelah beliau memperkenalkan dirinya sebagai Roger dan menyatakan beliau seorang Kristian Protestant, saya segera mengambil peluang keemasan tersebut untuk bertanya tentang kematian ‘Tuhan’!
Di dalam kesempatan itu saya bertanya : “Uncle, do you believe God (Jesus) died for three days and three night?” (Adakah tuan percaya bahawa Tuhan (Nabi Isa) telah mati tiga hari tiga malam?) Beliau tersenyum sambil berkata : “This is a very interesting question”.
Saya menunggu agar beliau meneruskan jawapannya tetapi apabila saya melihat beliau seperti ingin lari dari menjawab soalan tersebut, saya ulangi semula soalan itu untuk kali kedua. Dengan serba salah beliau menjawab: “I do not believe God (Jesus) died.” (Saya tidak percaya tuhan (Nabi Isa) telah mati).
Apabila saya ingin melanjutkan perbualan kami ke topik yang lebih menarik berkaitan Kristian, beliau dengan segera menjawab: “Im very tired now and I have to sleep”. ( saya amat letih sekarang dan perlu berehat.)- Ikuti selanjutnya di dalam Siri kelima.
JESUS TIDAK PERNAH DISALIB ( siri 5 )
Walaupun kita telah membuktikan kepada orang-orang Kristian bahawa Jesus sendiri ‘tidak merestui’ upacara penebusan dosa bahkan bukan Jesus yang disalib oleh tentera Rom, namun orang- orang Kristian masih lagi mempertahankan hujah mereka dengan berkata: “Baiklah! Kami akan membuktikan pada kamu melalui kata-kata Jesus sendiri tentang kematian dan kebangkitannya!”.
Dalam ( Matius 17:22-23 ):
…Jesus berkata kepada mereka, “Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula”.
Dalam ( Lukas 24:46):
Jesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga”.
“Lihatlah ayat–ayat ini! Pasti tiada seorang pun Muslim yang mampu menyangkal tentang kematian dan kebangkitan Jesus!”
Saudara, perhatikan! Sekiranya kita tidak mempersiapkan diri dengan ilmu, sudah tentu ayat-ayat di atas memutuskan hujah kita sebagai Muslim yang beryakinan bahawa Jesus ataupun Nabi Isa A.S tidak pernah mati! Mereka mengutarakan hujah yang diambil dari Holy Bible dan ayat-ayat tersebut memang terdapat di dalam Bible mereka.
Jesus menjawab ‘bagi pihak’ Muslim
Oleh kerana orang-orang Kristian tidak menerima Al-Quran sebagai ‘Last Testament’, maka sudah tentu hujah yang terpaksa kita pakai untuk membuktikan keyakinan Muslim tadi adalah melalui Holy Bible mereka.
Katakan kepada mereka: “Wahai saudaraku, perhatikan apa yang telah dikatakan oleh Petrus atau Peter dan bandingkan dengan apa yang telah Jesus katakan tentang ‘kematian dan kebangkitannya’!
Petrus atau Peter menyatakan di dalam ( Petrus 3:18) bahawa, kebangkitan setelah kematian itu hanya berlaku dalam bentuk ruh atau ‘spirit’ sahaja. Perhatikan :
…Dia (Jesus) dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani.
Sedangkan di dalam ( Lukas 24:39-40 ) Jesus pula menyatakan :
Lihatlah tangan-ku dan kaki-ku ini. Inilah aku! Peganglah aku, maka kamu akan tahu bahawa aku bukan hantu (ruh) kerana hantu (ruh) tidak mempunyai daging dan tulang, sedangkan aku masih mempunyainya.” Jesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.
Perhatikan! Jesus menafikan apa yang telah dinyatakan oleh Petrus dengan bahasa dan kalimah yang amat jelas!
Bahkan, untuk menyakinkan bahawa Dia belum mati sebagaimana yang diyakini oleh murid-muridnya ketika itu dan orang-orang Kristian pada hari ini, Jesus juga telah meminta makanan dari mereka dan memakannya . Perhatikan ayat ( Lukas bab 24 ayat 41-43):
Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan hairan. Jesus bertanya kepada mereka, “ Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka pun memberi sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. Lalu Jesus memgambil ikan itu lalu makan di hadapan mereka.
Sungguh jelas! Jesus menegaskan bahawa Dia tidak pernah mati kerana Dia masih mempunyai daging serta tulang. Sedangkan ruh tidak mempunyainya! Dan demi meyakinkan mereka yang menyaksikan itu , Dia telah memakan makanan yang diberikan.
Sungguh aneh! Petrus atau Peter memberitahu umat Kristian bahawa Jesus telah dibunuh dan bangkit dalam bentuk ruh atau ‘spirit’. Sedangkan Jesus menjawab: ‘Wahai Peter dan umat Kristian, Aku tidak pernah mati! Lihatlah aku masih hidup dan lengkap dengan ruh serta jasad! Siapakah yang anda pilih? Jesus atau Petrus?
Apa jawapan Allah SWT terhadap mereka ?
Jika kita perhatikan kepada riwayat yang telah disifatkan oleh empat Gospel tadi, ( Matius, Markus, Lukas dan Yohanes ) seolah-olah Jesus sendiri ada kalanya rela, ada kalanya tidak rela dan ada kalanya putus asa. Sedangkan di dalam Islam, para Nabi dan Rasul itu bersifat dengan benar dan tidak pula pernah berdusta. Inilah di antara bukti bahawa terdapat percanggahan yang amat ketara di dalam kitab Bible serta juga Taurat orang-orang Yahudi .
Amat benarlah firman Allah di dalam Al-Quran :
“Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang–orang yang menulis (merubah) Alkitab dengan tangan mereka sendiri kemudian mereka mengatakan: “Inilah dari Allah” (dengan maksud) ingin memprolehi keuntungan yang sedikit dari perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang telah ditulis oleh mereka dan kecelakaan besarlah bagi mereka, di atas apa yang telah mereka kerjakan”.
(Surah Al-Baqarah 2:79)
Di dalam menjawab fitnah yang telah ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi dan Kristian melalui kitab Taurat dan Bible mereka, maka Allah SWT juga telah menyatakan secara jelas di dalam Al-Quran :
“Dan kerana ucapan mereka ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa anak Maryam pesuruh Allah. Dan sebenarnya, mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, tetapi ( yang mereka bunuh itu ialah ) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa benar–benar di dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapakah yang sebenarnya dibunuh itu, kecuali mereka hanya menurut sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak pula yakin bahwa yang mereka bunuh itu, adalah Isa. Tetapi (sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepadaNYa. Dan adalah Allah itu, Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
( Surah An-Nisa :4:157-158 )
( ikuti siri seterusnya dalam keluaran akan datang )
TRINITI SERTA KETUHANAN JESUS? ( siri 6 )
Apakah dia Triniti?
Triniti merupakan Akidah Utama di dalam Agama Kristian. Ia bermaksud Tuhan itu satu tetapi di dalam tiga keperibadian. Triniti terdiri daripada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Holy Spirit. Ketiga-tiga Tuhan ini bersatu dan tidak pernah berpisah. Orang-orang Kristian meyakini akidah Triniti ini berdasarkan ( Yohanes 5 :7-8) :
“Ada tiga saksi : Roh Allah, air dan darah dan ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama”.
Namun tahukah anda? Ayat ini telah dibuang dari cetakan Bible RSV (Revised Standard Version) kerana Ulama-Ulama Kristian mengakuinya sebagai ayat palsu serta ditokok tambah!.
Di dalam (Matius 3:16-17) menyatakan :
Setelah Jesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Jesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atasnya. Kemudian terdengarlah suara Allah berfirman : “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku”.
Di dalam (Lukas 3:21-22):
Setelah semua orang itu dibaptis, Jesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka dan roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan : “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku”.
Inilah dalil-dalil yang menyatakan wujudnya tiga kesaksian atau Triniti dalam Agama Kristian. Ketiga-tiga keperibadian ini tidak terpisah dan mereka adalah satu. Jika benar Tuhan-Tuhan ini tidak pernah berpisah, mengapa ketika Jesus mati di tiang salib, Tuhan Bapa dan Holy Spirit masih hidup? Ini menunjukkan ‘Tuhan-Tuhan’ ini bercerai dan mempunyai Tiga keperibadian yang berasingan!
Holy Spirit di Dalam Agama Kristian
Orang-orang Kristian percaya bahawa selain dari Allah sebagai Tuhan Bapa dan Jesus sebagai Anak Tuhan, mereka juga meyakini bahawa Holy Spirit adalah oknum ketiga di dalam akidah Triniti mereka. Ketiga-tiga oknum ini adalah Tuhan dan mereka semua adalah satu.
Holy Spirit adalah pengganti Jesus di bumi ini. Dialah yang mengambil alih tugas Jesus yang sekarang ini berada di sebelah kanan Tuhan Bapa di langit. Orang-orang Kristian mendakwa bahawa mereka semua adalah umat ‘kelahiran kembali’ dan mengakui Holy Spirit atau Ruh Kudus telah menguasai mereka. Di dalam (Yohanes 3:3) menyatakan :
Jesus menjawab: “Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan kembali”.
Bahkan untuk memahami Al Kitab pun, mereka mendakwa harus mempunyai Ruh Kudus terlebih dahulu. Di dalam ( Korintus 2 : 13-14) menyatakan :
Oleh itu, ketika kami menjelaskan hal-hal tentang Allah kepada orang yang mempunyai Ruh kudus, kami tidak berkata-kata menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Ruh kudus. Sesiapa yang tidak mempunyai Ruh kudus, tidak dapat menerima kurnia daripada Ruh Kudus, kerana orang seperti itu tidak dapat memahaminya dan menganggapnya sebagai satu kebodohan sahaja. Kurnia daripada Ruh Kudus hanya dapat dinilai secara rohani.
Inilah dalil yang selalu digunakan oleh orang-orang Kristian ketika menjawab soalan-soalan tentang percanggahan di dalam kitab mereka. Mereka mengatakan : “Kamu harus mempunyai Ruh Kudus terlebih dahulu sebelum memahami kitab kami!”.
Ruh Kudus yang membisu!
Ketika berpeluang mengunjungi salah sebuah gereja di Selangor, kenalan Kristian saya cuba memberi kefahaman pada saya tentang akidah mereka. Antaranya, bagaimanakah Jesus di anggap sebagai Anak Tuhan dan Tuhan oleh Penganut Kristian.
Mereka mengatakan Jesus sebagai Anak Tuhan kerana di dalam Bible sendiri menyatakan demikian.
Saya bertanya kepada mereka : “Adakah semata-mata kerana Bible menggunakan kalimah Anak Tuhan maka Jesus dianggap Anak Tuhan? Sedangkan Jesus juga menggunakan kalimah Anak Manusia di dalam Bible. Bahkan penggunaan kalimah Anak Manusia lebih banyak berbanding dengan kalimah Anak Tuhan”.
‘Anak-anak Tuhan’
Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Kalaulah semata-mata penggunaan kalimah Anak Tuhan ini dijadikan dalil dan bukti untuk menerima Jesus sebagai Anak Tuhan, maka ramailah Anak Tuhan di dalam Bible”.
Di dalam Old Testament (Kejadian 6:1-4):
…anak-anak Allah mengahwini anak-anak manusia…
Di dalam Old Testament (Keluaran 4:22):
…Israel adalah anak-ku, anak sulung-Ku…
Di dalam Old Testament (Yeremiah 31:9):
…Efraim adalah anak-ku yang sulung…
Di dalam New Testament (Lukas 3:38):
…menurut pendapat orang…Dia(Jesus) anak Yusuf, anak Eli, anak Matat……anak Enos, anak Set, Anak Adam, Anak Allah.
Di dalam New Testament (Roma 8:14):
Orang yang dipimpin oleh ruh Allah, maka mereka itu, anak-anak Allah.
Saya bertanya lagi : “Berapa ramaikah Anak Allah di dalam Bible?”. Mereka terdiam dan saya dapati salah seorang dari mereka agak tegang dan penuh emosi. Manakala yang lain pula (kemungkinan) berminat untuk mendengar hujah saya yang selanjutnya.
Saya tidak pasti mengapa dia tegang dengan situasi perbincangan dan soalan yang telah saya kemukakan.
Sedangkan jika dia membaca di Dalam New Testament (1 Peter 3 : 15-16) telah menyebut :
“Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai tuhan dalam hidup kamu, Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kritus, orang yang menfitnah kamu itu akan menjadi malu.”
Tanpa menghiraukan keadaan yang agak tegang tadi, saya meneruskan lagi dengan berkata : “Sebenarnya kalimah Anak Allah di sini ialah kiasan atau pun metafora di dalam bahasa Yahudi”. ( ikuti siri seterusnya dalam keluaran akan datang )
METAFORA DI DALAM TAURAT YAHUDI ( siri ke 7 )
Di dalam Perjanjian Lama serta Perjanjian Baru yang dipercayai sebagai Taurat dan Injil oleh Kristian ( Walaupun Islam menolak pandangan ini ) banyak terdapat metafora-metafora terhadap bahasa dan istilah yang digunakan.Antaranya ialah kalimah Anak Allah. Di dalam Siri yang lalu, kita telah mrembincangkan isu kalimah metafora di dalam Taurat Yahudi dan Bible Kristian, antaranya metafora bagi kalimah Anak Allah. Kali ini kita akan menilai unsur-unsur metafora yang terdapat pada kalimat yang lain antaranya ialah kalimah Tuhan. Ketika berpeluang mengutarakan pandangan saya di dalam pertemuan tertutup antara saya dengan seorang Paderi, saya cuba membuktikan unsur-unsur metafora kalimah tersebut padanya. Dengan memetik kata demi kata dari pidato Allahyarham Syeikh Ahmed Hoosen Deedat (semoga Allah merahmati beliau), saya membawakan contoh dengan mengatakan : “Saudara, cuba kita perhatikan New Testament (Yohanes 10:34-36):
Jesus berkata kepada mereka : “Bukankah tertulis di dalam Taurat kamu : Allah berfirman, ‘kamu Tuhan’? Kita tahu bahawa apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku untuk selama-lamanya. Allah menyebut, orang yang menerima firman-Nya sebagai ‘Ilahi’. Aku ini dipilih dan diutus oleh bapa ke dunia. Adakah kamu mengatakan aku mengkufuri Allah semata-mata aku mengatakan aku ‘anak Allah’? (Sedangkan dalam bahasa kamu, kamu dipanggil sebagai ‘Ilahi’)
“Inilah buktinya ! Bukankah kalimah Anak Allah yang digunakan oleh Jesus berdasarkan ayat ini adalah metafora semata-mata dan di sinilah Jesus cuba memberi faham kepada umat Kristian, bahawa Allah tidak pernah mempunyai anak dan Jesus bukan Anak Allah seperti yang dipercayai oleh jutaan umat Kristian pada hari ini”.
Tuhan-Tuhan
Saya berkata lagi: “kalaulah semata-mata kalimah Anak Allah yang telah disebut oleh Jesus tadi kita menerimanya tanpa memikirkan unsur kiasan atau metafora, bagaimana pula dengan ayat-ayat ini?”.
Di dalam Old Testament (Keluaran 7:1) :
Tuhan berfirman kepada Musa, “Dengarlah, Aku akan menjadikan engkau Tuhan di depan Firaun, dan Harun sebagai Nabimu.
Di Dalam New Testament (Mazmur 82:6) :
“Aku berkata bahawa kamu semua Tuhan, bahawa kamu semua anak Yang Maha Tinggi”
Di dalam New Testament (2 Korintus 4:4) :
…Iblis adalah Tuhan pada zaman ini…
Di dalam New Testament (Yohanes 10:34)
Jesus berkata kepada mereka : “Bukankah telah tertulis di dalam Taurat kamu bahawa Allah telah berfirman: “Kamu adalah Tuhan?”.
Saya bertanya lagi : “Adakah Tuhan yang disebutkan dalam ayat-ayat ini adalah Tuhan yang membawa makna hakiki?”. Mereka semua terdiam.
Tanpa menunggu jawapan dari mereka, saya meneruskan hujah dengan berkata : “Inilah buktinya bahawa kalimah Anak Tuhan dan Tuhan di dalam ayat-ayat yang saya nyatakan tadi merupakan metafora di dalam Bahasa Yahudi. Bila Jesus menyebutkan dia sebagai Anak Tuhan sebagaimana yang difahami oleh orang-orang Kristian. Maha Suci Allah s.w.t dari mempunyai anak atau diperanakkan”.
Seterusnya saya menyambung lagi dengan berkata : “Al Quran telah menerangkan kepada manusia bahawa Allah SWT tidak mempunyai anak atau diperanakkan sebagaimana firman-Nya” :
Katakanlah (Wahai Muhammad) : “Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat bergantung segala makhluk. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya.
(Surah Al-Ikhlas 112:1-4)
“Sekarang, cuba anda terangkan kepada saya, dari sudut manakah lagi yang ingin anda pertahankan bahawa Jesus itu sebagai Anak Tuhan dan juga Tuhan?”
“Jika anda katakan dia memang Anak Tuhan dan juga Tuhan kerana telah menghidupkan sahabatnya yang telah mati iaitu Lazarus sebagaimana yang telah dikisahkan dalam (Yohanes 11:38-44), Elia dam Elisha juga pernah menghidupkan orang yang telah mati”.
Elia pernah menghidupkan seorang kanak-kanak kecil yang telah mati sebagaimana yang tercatat di dalam (Old Testament, 1 Raja-Raja 17:20-22) :
Kemudian Elia berdoa dengan suara kuat, “Ya tuhan, Allahku, mengapakah engkau melakukan perkara yang sedahsyat ini kepada balu itu? Dia sudah memberikan tumpangan kepadaku, tetapi engkau telah membunuh anaknya!”. Kemudian Elia menelengkupkan badannya di atas anak itu tiga kali sambil berdoa, “Ya TUHAN, Allahku, hidupkanlah semula anak ini!” Tuhan mengabulkan doa Elia. Anak itu mula bernafas lagi, lalu hidup semula.
Bahkan, cara Elisha menghidupkan orang mati lagi mengkagumkan. Ini adalah kerana Elisah telah menghidpkan orang mati setelah Elisha sendiri mati dan telah pun menjadi tulang. Perhatikan (Old Testament, 2 Raja-Raja 13:21):
Pada suatu hari, ketika orang Israel sedang menguburkan orang mati, mereka nampak gerombolan orang Moab. Oleh sebab ketakutan, mereka melemparkan mayat itu ke dalam kubur Elisha, lalu melarikan diri. Sebaik sahaja mayat itu terkena pada tulang-tulang Elisha, mayat itu hidup semula dan berdiri tegak.
“Dan jika anda katakan dia adalah Anak Tuhan dan juga Tuhan kerana tidak mempunyai bapa sebagaimana manusia yang normal, bagaimana pula dengan adam A.S? Adam tidak mempunyai ibu dan juga bapa. Bukankah begitu?”.
Dan sudah tentu anda pernah membaca tentang Melkisedik sebagaimana yang tercatat di dalam New Testament (Ibrani 7:1-3):
“Melkisedik adalah Raja Salem dan Imam Allah Yang Maha Tinggi. Ia pergi berjumpa dengan Ibrahim untuk memberkatinya setelah Ibrahim kembali dari mengalahkan Raja-Raja. Ibrahim memberikan kepada Melkisedik sepersepuluh dari harta yang dirampasnya. Menurut erti nama Melkisedik itu ialah, Raja kebenaran. Oleh sebab dia adalah Raja Salem, maka namanya juga bermakna Raja Kesejahteraan. Ia tidak mempunyai bapa, tidak mempunyai ibu, tidak ada salasilah keturunan, harinya tiada permulaan dan hidupnya tiada kesudahan dan ia dijadikan sama dengan anak Allah, ia tetap menjadi Imam selama-lamanya”.
“Jadi, cuba anda terangkan kepada saya, di atas dasar apakah Jesus itu dianggap Anak Tuhan dan juga Tuhan?
Salah seorang dari mereka menjawab: “Kamu tidak boleh menggunakan akal semata-mata dalam memahami Tuhan. Dan yang paling penting seseorang itu seharusnya mempunyai Holy Spirit terlebih dahulu sebelum menafsirkan ayat-ayat di dalam Alkitab”.
Saya menjawab: “Mengapa tidak boleh menggunakan akal? Bukankah Tuhan yang memberikan kita akal? Bahkan di dalam New Testament (Markus 12:30) mengatakan :
“Cintailah Tuhan Allah mu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu dan dengan segala kekuatanmu”.
Dan banyak lagi ayat-ayat di tempat lain yang menyatakan pentingnya akal untuk menyintai Allah.
Ke mana Menghilangnya Holy Spirit?
Saya meneruskan lagi dengan berkata : “Orang-orang Kristian mendakwa bahawa mereka adalah umat yang mempunyai serta dipimpin oleh Holy Spirit. Dan bila kami sebagai Muslim bertanya kepada kamu tentang percanggahan-percanggahan di dalam Alkitab, kamu mengatakan pula bahawa seseorang itu perlu mempunyai Holy Spirit terlebih dahulu untuk memahami Alkitab. Sungguh menghairankan! Apa yang telah Holy Spirit buat pada kamu sehinggakan kamu sebagai umat yang telah merasai Holy Spirit, terdiam membisu setiap kali soalan diutarakan kepada kamu? Ke mana menghilangnya Holy Spirit itu?
Salah seorang dari mereka menyatakan secara ikhlas kepada saya : “Saya tak mampu untuk memberikan jawapan tentang apa yang telah kamu timbulkan tadi, tetapi saya berdoa semoga satu hari nanti, kamu mendapat hidayah dari Holy Spirit dan beriman dengan ketuhanan Jesus!”.
Lihatlah, betapa mereka masih mempertahankan akidah mereka yang rapuh itu walaupun segala bukti dan hujah untuk menolak idea dosa warisan ini datangnya dari kitab suci mereka sendiri!
Mereka meremehkan ajaran Jesus yang mana baginda sendiri telah menafikan idea dosa warisan dan penebusan dosa ini. Dan amat malang lagi, mereka lebih mempercayai apa yang dikatakan oleh Paul, Peter dan lain-lain berbanding apa yang dikatakan oleh Jesus sendiri!
Sedangkan Jesus menyeru mereka supaya mentauhidkan Allah yang Esa bukannya menyembah makhluk selain Allah SWT atau mensyirikkan-Nya dengan sesuatu!
Perhatikan apa yang telah dikatakan oleh Jesus terhadap mereka:
Jesus menjawab :”Inilah perintah yang paling utama, “Dengarlah wahai bangsa Israil Tuhan Allah KITA, Dialah Tuhan Yang ESA’. Kasihilah tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu”.
(Markus 12 :29-30)
Dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah membenarkan apa yang dikatakan oleh Jesus melalui Firman Allah s.w.t. di dalam Al Quran yang telah diturunkan kepada Baginda :
Katakanlah (Wahai Muhammad) :”Dialah Allah yang Maha ESA, Allah tempat bergantung segala makhluk. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya.”
(Surah Al-Ikhlas 112:1-4)
Inilah kalimah tauhid yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi-nabi dan kaumnya termasuk Jesus sendiri.
Bagi mereka yang memerhatikan dalil-dalil ini dengan hati yang ikhlas dalam mencari kebenaran, maka sudah pasti mereka akan memilih Islam sebagai ‘Jalan Keselamatan’ hakiki, namun bagi mereka yang tertutup pintu hatinya dari kebenaran, maka mereka tetap mempertahankan akidah mereka walaupun telah datang cahaya kebenaran melalui utusan-utusan Allah SWT
Di dalam hal ini, Allah SWT telah menggambarkan kepada Muslim tentang sikap sesetengah mereka yang masih ingin mempertahankan akidah mereka yang bercanggah dengan apa yang telah diajar oleh Jesus sendiri serta menyeru umat Islam agar terus berdakwah kepada golongan Ahli Kitab ini. Firman Allah SWT :
Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf, dan mencegah dari kemungkaran dan beriman pada Allah. Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman, tentulah (keimanan) itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
(Surah Al-Imran 3:110)
Perhatikan, betapa benarnya Al-Quran dalam menyatakan sifat mereka ini terhadap Islam dan kita sebagai Muslim wajib menyampaikan dakwah ini kepada seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w agar terus berakidah dengan akidah yang sebenar. Dan yakinlah, Allah SWT akan membantu kita yang membantu agama-Nya.
Firman Allah SWT :
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (Agama) Allah, pasti Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu).
(Surah Muhammad 26:7)