Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka..
Sejarahnya dimulakan oleh seorang Guru biasa..
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis, baca

(Allahyarham Usman Awang)

ABC dan Roti Paun

Pantas tisu Ana capai.
Ana lipat dua lalu Ana lapkan mulut yang masih basah dengan ABC.
Sesekali Sibah* memandang Ana. Agaknya masih tak percaya melihat budak sekolah yang selalu makan ABC cicah roti paun tiapkali balik sekolah dulu, kali ni datang lagi ke kedainya.

Tadi, sewaktu melangkah ke dalam kedainya pun, Sibah menyapa dalam terkejut :

" Laaa..lamanye aku dok tengok mung Diee...Bertahun doh.." Kata Sibah sambil merenung Ana dalam-dalam.

Agaknya merenung wajah hensem Ana yang masih tak berubah. Agaknyalah!

Dengan senyuman yang masih terukir, Ana berkata : " Bahh..ABC se*, Roti paun dua."
..............................

Cikgu Rosniku

"Assalamualaikum Cikgu.."

"Waalaikumsalam Dikk.."

" Cikgu..Cikgu dang dok* dengan Cikgu Rosni?"

"Cikgu Rosni?"..

Berkerut-kerut dahi Cikgu muda tu. Barangkali berfikir-fikir dia mengingatkan Cikgu Rosni yang mana satu.

Lama dia berfikir.

Lamaa..

Kemudian : "Maaf Dikk..Cikgu dok* kenal.."

Ana mengangguk lemah. Hampa..

Tak kesampaian juga mencari Cikgu Rosni, guru Ana darjah 1 Kuning dulu.
..........................

Hadiah Susu

Balik kali ni banyak kenangan yang menggugat.
Menerjah memori ingatan yang tak pernah padam terhadap cerita-cerita lama. Sebolehnya Ana balik kali ni nak sangat cari dan berjumpa kembali dengan guru-guru lama Ana dulu.

Cikgu Rosni,
Cikgu Mat Hassan,
Cikgu Yap,
Ustaz Yusof dan..
Kak Jah kerani...

Kak Jah ni..selalu datang ketuk pintu kelas untuk jumpa Ana.
Biasanya Ana tahu, kalau Kak Jah dah datang, mesti lepas tu Ana kena ikut Kak Jah ke pejabat untuk ambil hadiah.

Hadiah?

Ye hadiah!

Hadiah susu 12 kotak untuk pelajar-pelajar miskin di bawah program tajaan Kerajaan. Dan Ana salah seorang dari mereka!

Alhamdulillah.
.......................

Kenangan Menggamit Lagi

Sewaktu melawat Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Berang pagi tadi, Ana pusing satu sekolah. Melihat kesan-kesan lama. Sebolehnya Ana nak cari dan tengok semua kenangan-kenangan lama Ana. Nak hayatinya.

Dari jauh yang kemudiannya Ana dekati..
Ni..Kelas lama Ana darjah 1 Kuning yang sekarang dah jadi Bilik guru J-Qaf.
Yang dua ke kanan tu pulak..kelas 2 Kuning dan 4 Kuning Ana, dah jadi darjah 2 Mumtaz sekarang.

Yang bangunan sebelah ni pulak, Darjah 3 Kuning Ana dulu. Sekarang dah jadi Pusat Program Khas Integrasi murid-murid. Kat depan kelas Ana ni, ada simen tempat Ana, Syed Khaizul* dan Tengku Kamal makan bekalan masing-masing.Kami tukar-tukar dan kongsi-kongsi. Sampai sekarang ni pun simen tempat kami bersila makan tu pun masih ada..
Biasanya Tengku Kamal bawak bekal sedap-sedap. Dia anak orang kaya.
Tak macam Ana. Sesak*.

Darjah 5 Kuning Ana pula..sekarang ni dah jadi stor simpanan bangku sekolah dan kerusi lama. Sempat juga Ana buka pintunya tadi.

Tu..nampak pakcik kebun tidur kat dalam.!

Kalau Cikgu Sulong, guru kelas 5 Kuning dulu ada sekarang ni, memang kena pakcik tukang kebun tu sebab tidur dalam kelas.
................

Cikgu, Maafkan Saya Cikgu!

Dari tingkap bawah Ana menapak ke tingkat atas. Ana nak tengok kelas Ana masa darjah 6 Tok Gajah dulu.

Ya Allah..dah jadi bilik Hypermedia rupanya!

Aduhh..banyak sangat dah berubah.
Inilah kelas yang banyak mencipta kenangan pada Ana. Maklumlah masa darjah 6 dulu, Ana mewakili sekolah dalam pertandingan Syair, lakonan dan cerita-cerita kisah Nabi-Nabi sehingga ke peringkat negeri.

Guru kelas Darjah 6 Tok Gajah masa tu namanya Cikgu Saari. Garang orangnya.
Ana sendiri sampai sekarang tak dapat lupa satu peristiwa antara Ana, sahabat-sahabat dan Cikgu Saari. Harapnya kisah yang akan Ana muatkan dalam Tribute Buat Nenda II ni nanti, Cikgu Saari tak beli. (Bukan takut..sebenarnya Ana taknak Cikgu beli sebab Ana nak hadiahkan pada guru-guru Ana yang mendidik sehingga Ana boleh menulis seadanya ini).

Kisahnya begini :

" Die..Cikgu Saari nak jumpa kekgi* sebab mung buang butir betik ngata* sekali dalang kelas kita ning." Kata sahabat yang Ana dah lupa siapa.

" Allapadang* matilaa kali ning." Bisik Ana.

Peristiwa makan buah betik sekolah terbayang jelas di mata.
Kami pasukan pengakap kait buah betik sekolah dan makan dalam kelas.
( Dulu perjumpaan pasukan pengakap atau kami panggil Scouts akan diadakan setiap hari Rabu.Kebetulan minggu tersebut minggu kerja amal.Jadi Ana dan kawan-kawan, semangat punya pasal, balik je sekolah tak sempat makan nasi terus ke sekolah untuk minggu kerja amal. Jadi bila dah penat buat kerja amal, kami yang kelaparan ni, kaitlah buah betik yang ditanam pihak sekolah.)

Sebenarnya, makan buah betik yang ditanam pihak sekolah ni taklah menjadi kesalahan tapi yang jadi masalahnya ialah biji betik yang kami makan tu bertaburan atas meja guru. Kat mana silapnya Ana pun tak tahu. Barangkali kami terlupa yang esok baru hari khamis, maksudnya sekolah belum cuti.

Dalam ketakutan tu Ana mencari-cari jalan. Sama macam Ahmad Nesfu waktu jadi Sultan dia cari jalan dengan menghantar anak angkatnya Sang Nila Utama pergi cari musang berjanggut. Tujuannya satu.

Dia nak mengurat isteri Sang Nila Utama!

Tapi Ana Bukan Ahmad Nesfu!
Ana ni murid yang akan terima akibat sekejap je lagi kalau Ana tak berbuat sesuatu sekarang!

Akhirnya Ana dapat satu jalan.Harap-harapnya menjadi..

Sewaktu perhimpunan :

" Aduhh..sakitnya dada.." Adu Ana pada guru. Dan tak lama kemudian Ana pun pengsan!

Dalam pengsan macam Haji Bakhil pengsan waktu dengar Manisah minta duit untuk beli mesin jahit tu, Ana terdengar suara Cikgu Saari :

" Usung ke kantin. Bagi baring. Bila sedar bagi minum susu.."

Akhirnya Ana diusung ke kantin.
Sedap pun ada waktu kena usung tu. Tapi yang pasti debaran masih tak hilang. Rapat-rapat mata Ana pejamkan.

Tak lama kemudian, Ana pun bangun dari 'pengsan'.
Dan seperti yang Ana jangka (sebab dah biasa tengok murid-murid junior Ana pengsan) Ana disuruh minum susu.

Lepas minum susu..Ana harap tutup kes lah dengan Cikgu Saari sebab takkan masih nak rotan murid pengsan.

Rupanya tidak!

Cikgu Saari menyambung perintah:

"Usung dia masuk dalam kereta. Saya dan Cikgu Razak nak hantar dia ke hospital!"

"haaa..sudah!" Bisik Ana.

Matilah Ana kali ni!
Kat hospital tentu tak boleh tipu-tipu lagi. Mesin-mesin dan alat-alat hospital tentu tahu Ana tipu!
..............

Ana rasa taknak teruskan lagi cerita ni.
Segan dan malu sebenarnya. Tapi kalau Ana berhenti tanpa habiskan cerita ni.. tentu selain dari Cikgu Saari dan Cikgu Razak, anda semua pula akan kata Ana tipu-tipu* anda macam Ana tipu-tipu Cikgu Saari dan Cikgu Razak. Kalau begitu, Ana teruskan lagi ye..

Kat Hospital

Alhamdulillah Ana dah selamat diperiksa oleh Doctor.
Doctor minta Ana rehat kat luar bilik sementara Cikgu Saari dan Cikgu Razak bebual dengannya :

" Sakit pende* murid saya ni Doctor?" Tanya Cikgu Saari.

"Athma." Jawab Doctor sepatah. Mungkin berpandukan pada rekod-rekod kesihatan Ana yang ada dalam simpanan Hospital.maklumlah Ana selalu juga ke hospital bila Athma betul menyerang.Cuma beza kali ni Athma ni Athma jadi-jadian.

Tiba-tiba senyum Ana tadi hilang bila Cikgu Saari berkata :

"Sebenarnya saya ingat ke dia waklolok*. Sebab saya nak marah dia dan kawan-kawan dia hari ni.."

Mendengar kata-kata Cikgu Saari tu, jelas Ana dengar Doctor jawab :

"Oh tidak cikgu! Budak-budak..kalau dia sakit..dia akan cakap sakit. Mereka takkan tipu.."

Horeeyy!
..............................

"Cikgu..Saya minta maaf cikgu. Sebab saya.....

"Takpe Die..Die berehat dulu. Kan Athma tu.." Kata Cikgu Saari memotong cakap Ana.

Aduh! Hampa..

Tak sempat nak terus terang, Cikgu Saari dah sahkan Ana memang Athma!
.....................

Ya Allah,
Muliakanlah guru-guruku, ampunilah mereka, balaslah mereka dengan syurgaMu..Amin.
..................................

Kamus Terengganu

Sibah - Nama tuan kedai ABC yang letaknya bersebelahan dengan Perpustakaan Awam Hulu Terengganu. Ana selalu datang makan ABC cicah roti paun setiap kali balik sekolah.
Se - Loghat Terengganu yang bermaksud satu.
Dang dok - Loghat Terengganu bermaksud Sempat tak.
Dok - Loghat Terengganu bermaksud Tak.
Syed Khaizul - Dua Pupu Ana.
Sesak - Loghat Terengganu lama yang bermaksud susah atau miskin.
Ngata - Loghat Terengganu yang bermaksud merata.
Kekgi - loghat Terengganu yang bermaksud sebentar lagi.
Allapadang - Loghat anak-anak Terengganu khususnya di kawasan Ana yang bermaksud alamak.
Pende - Loghat Terengganu yang bermaksud apa.
Waklolok - Loghat Terengganu Lama yang bermaksud tipu-tipu.
Tipu-tipu - Ana sengaja memilih perkataan tipu-tipu sebab sebenarnya budak-budak bila dia tipu, dia tipu kerana kurang matang.

Petang tadi dapat berita :

" Isteri Cikgu Junuh mati.."

Pelan-pelan Ana ucapkan :

"..Innalillah.."

Ada helaan panjang dilepaskan. Seolah terasa beban yang terpikul di bahu ini.

Sebenarnya akur.
Akur pada Qudrat dan IradatNya yang Maha Agung.

Sedang kita hanyalah hambaNya yang tidak berdaya...
...........................

Dah lama Ana tak menulis.
Kesibukan dan kesihatan yang tidak mengizinkan serta Broadband yang selalu dilanda masalah menyebabkan hasrat hanya tinggal hasrat. Terkadang dah menulis panjang-panjang dah pun tapi tetiba...Hilang.Padam. Tak sempat save. Dan lain-lain.

..Emmm..

Ni lah antara dugaan menulis. Bukan sekadar memerah fikiran bahkan menduga kesabaran lantas memupuk agar ia menjadi perhiasan diri. Abadi. Amin.
.......................

Kali ni banyak yang hendak ditulis.
Dalam kepayahan menulis kali ni (kerana kurang sihat), Ana cuba ingin berkongsi perkara-perkara yang berada dalam kotak fikiran ni. Antaranya :

1) Ada satu artikel yang ingin Ana taip tentang 'kebetulan' dan sampai sekarang ia hanya 'ditaip' dalam fikiran Ana sahaja.

2) Ana ditimpa sakit sekali lagi pukul 4 pagi pada 12/10/09 yang akhirnya berkesudahan Ana terlantar di rumah Abang Usop dan Kak Mah di USJ beberapa hari.

3) Ana dapat 'Sahabat Baru'. Alhamdulillah dapat Ana berdakwah dengan lebih jauh dan berkesan untuk gerak kerja Ana.

4) 17/10/09 Ana diminta menjadi wakil cakap bagi pihak rombongan lelaki untuk majlis pertunangan. Subhanallah, Ana ni masih lagi faqir tapi ditaklifkan atas dasar kepercayaan mereka pada Ana untuk majlis itu.

Maka setelah membaca ayat-ayat suci dan muqaddimah pujian pada Allah dan Rasulullah SAW, Ana pun mulalah :

" Saya ni..dengan rendah hati..mewakili Ibu Bapa dan ahli keluarga pihak lelaki..dengan suci hati menyatakan maksud kami yang besar ni agar ...(nama dirahsiakan)..sudilah kiranya menyambut salam ...(nama dirahsiakan)..

Maka besar sangatlaaahh harapan kami yang serba kurang ni. Allah jualah Yang Maha Sempurna dan terkaya DIA dari segala kekurangan..."

Panjang lah ayat yang Ana susun. Terasa macam orang tua je waktu tu. Rasa macam Ayah pun ada pun ada. Subhanallah.

Dan akhirnya..:

" Beginilah Ustaz..Alhamdulillah, kami terimalah dengan baik hati dan dengan suci hati.."

Alhamdulillaahhh..
...........................

Itulah yang dapat Ana catatkan buat sementara ini.
Ana nak minta izin rehat dahulu. Ana kurang sihat sebenarnya.
Banyak yang Ana rakam dalam kotak fikiran ni. Kalau Ana pendek umur, ampunkanlah salah dan khilaf Ana.

Semoga Allah sentiasa membantu anda yang sentiasa tidak jemu bersama Ana di medan Sufifaqir ini. Ana sentiasa mendoakan anda semua. Agar sentiasa di dalam lindungan dan kasih sayangNya. Doa anda juga Ana pohonkan.Doakan ye.

Doakan agar Sufi tidak Faqir lagi.

Syukran.Wassalam.

20/10/2009
10.27 Malam.
Bait As-Syarifah, Terengganu.

Belum sempat Ana masuk ke dalam kereta, Icik Zaid datang dalam keadaan cemas :

" Die..Din sakit dok sedor.."

Mendengar berita tersebut, dengan segera Ana ucapkan :

انّا للّه وانّا اليه رجعون

Maksudnya : Sesungguhnya dari Allah kami datang dan kepada Allah jualah kami akan kembali.

Pantas Ana buat pusingan U. Kemudian memecut ke rumah Din.
.....................

" Mengucap Din..Mengucaapp.."

" Allaaahhh..Allahhh..."

Ujar Ayah Cin Tuan Cik. Mengingatkan Din yang dah hampir pergi.

Bau hancing menusuk-nusuk hidung.

Membasahi karpet merah sederhana besar. Sesekali tangan Ana memegang dada Din. Sambil merenung wajahnya yang mula kebiruan.

Diam.

Kaku.

Senyap.

Akhirnya : انّا لله وانّا اليه رجعون
..........................

Sabda Rasulullah SAW :

انّ الرّوح اذا قبض تبعه البصر

Maksudnya : Sesungguhnya ruh apabila digengam, maka akan diikuti oleh matanya (yang melihat kemana keluarnya ruh itu).

Mati.
Satu janji.
Yang pasti mengunjungi.

Oleh itu..
Carilah kematian
Untuk sebuah kehidupan.

Kenangan

Jernih air yang terapung di permukaan pasir,
Mendinginkan tubuh,
Meski aku hanya di tepian,
Di persisiran.

Saat memandang relok air,
Yang berarus ditongkah kasim gila*
Ditemani Sibur* merah dan hijau,
Segera hati berkata :

"Alangkah indahnya
jika dua tangan menekup
bucu ruas buluh di dasar sungai.
Sambil menikmati cemas ikan yang terperangkap,
Atau sepit udang yang mengcengkam."

Di situ..
Pohon buluh.

Tempat kami bersila atas hamparan
Surat khabar lama atau daun kelembang*
Membuka bekalan :

" Oohh mak bekalkan udang..

atau..

Telur kicap banyak bawang.."

Bocong*?

Berisi air mati* atau lamned
yang dikongsi nanti dengan kawan-kawan.

Pasti ada yang mengelat.
Meneguk lebih dari rakan.
Menikmati lamned yang dapatnya jarang-jarang..

Dulu..
Di sini..
Mak mandak selalu mencari rebung,
Buat menyayur sebagai peneman,
Nasi di pinggan.

Berlari di sini,
tidak seperti sekarang,

Dulu berkejaran,
Sekarang berseorangan.

Mereka sekarang tak kenal sungai,
Selesa lagi di bawah pancuran (paip).

Petang-petang :
bermain, berlari laki dan perempuan.
Sembunyi-sembunyi di bawah rumah.

Kadang-kadang cari botol,
Jual pada Van kayu yang datang.
5 botol = 20 sen.
Jadilah..
Buat beli air poli dan coklat gam.

Tumpang makan di rumah jiran,
Jadi kebiasaan.
Anak orang anak mereka,
Anak mereka anak orang.

Dunia Sekarang?
Jangan nak samakan!

Kalau hujan..
Berteduh di rumah orang,
Maklumlah rumah sendiri banyak besen teratur,
Buat menadah titisan hujan.

Ya Allah,
Kerinduan apakah ini?

Sehingga ternampak-nampak di mata,
yang berbekas di dalam dada.

Sungguh cintakan kenangan,
Terkandung hikmah budi kerendahan,
Jernih asuhan dari kesusahan.

Pasanku padamu anak :

" Pelajarilah kesusahan..nescaya timbul hikmah dan kebijaksanaan.."


-Sufifaqir,
9 Syawal 1430H-
..........................

* Kasim Gila - sejenis hidupan sungai yang terapung-apung di permukaan dan pergerakannya laju.
*Sibur - Loghat Terengganu yang bermaksud pepatung
*Daun Kelembang - Loghat Terengganu yang bermaksud daun keladi.
*Lamned - Sejenis air botol yang mengandungi pelbagai perisa. Ada oren, Sarsi, Aiskrim Soda, Sarsaparila dan sebagainya. Kat bandar dikenali sebagai Long Cham.
*Air Mati - Loghat Terengganu lama yang bermaksud air sejuk.
*Bocong - Loghat Terengganu yang bermaksud bekas berisi air.
*Coklat Gam - Loghat Terengganu lama bermaksud Chewing Gum.

Ada 2 orang.

Satu baik.
Satu Jahat.

Yang baik tenang.
Yang jahat kelam.

Yang baik cakap : " Ya Tuhan, Ya Tuhan!
Yang Jahat cakap : " Ya Syaitan, Ya Syaitan!

Yang Baik disahut : " Ya HambaKU"
Yang Jahat pun disahut : " Ya Hambaku.! (Jawab Syaitan)
.................

Yang Baik ada tangan, ada badan.
Yang Jahat pun ada tangan, ada badan.

Tapi tangan mereka tak sama.
Badan mereka pun tak sama.

Tangan Yang Baik - Dingin di sana.
Tangan Yang Jahat - Azab membara.
....................

Ya Allah, pemilik Yang Baik,
Ya Allah, pemilik Yang Jahat.

Anugerahkanlah diriku kebaikan,
Bencikanlah daku terhadap kejahatan.

Nikmatkanlah daku martabat Makrifat,
Pandangkanlah daku dengan pandangan hakikat,
Agar keluarku dari dunia yang sesat,
Pada Akhirat, kekal beserta Nikmat.

Berkata Sayyidina Abu Bakar : " Barangsiapa mencari kematian, nescaya betemu dengan kehidupan."

-9 Syawal 1430H-

Assalamualaikum Wbr.
Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Sabda Rasulullah SAW :

Fitnah adalah barang yang sedang tidur dan Allah melaknat sesiapa yang membangunkannya.

Sahabat-sahabat sekalian.
Ana ingin menarik perhatian sahabat terhadap beberapa perkara penting.

1- Ruangan bersila di lambur terpaksa di KIV sementara atau selama-lamanya kerana terdapat beberapa aduan dari pengunjung-pengunjung yang diganggu oleh mereka yang tidak dikenali. Antaranya mereka dilarang menghubungi sufifaqir.

2- Sufifaqir tidak pernah mempunyai sebarang Hi5, Facebook, Friendster dan lain-lain selain dari blog ini. Ana berkesempatan melihat laman-laman yang dinyatakan di atas dan terkejut apabila didaftarkan atas nama Ana.

3-Sekiranya sahabat-sahabat ( termasuk yang menghubungkan blog mereka dengan blog sufifaqir ) ingin berkongsi ilmu,maklumat dan lain-lain, bolehlah terus menghubungi Ana menerusi email ana aiatu : - rashidy_jamil@yahoo.com atau rashidy_arrashid@yahoo.com atau sufifaqir@yahoo.com. Selain dari 3 email yang dinyatakan di atas, Ana tidak mempunyai sebarang email lain.

4- Ini kali ketiga perkara sebegini berlaku. Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari fitnah yang telah diamarankan oleh Rasulullah SAW tercinta.

5- Ana berlindung diri dari perkara-perkara sebegini dan hanya Allah sahajalah memberi petunjuk kepada yang berkenaan. Syukran di atas sokongan anda selama ini.

Jazakumullah.

-Sufifaqir-

Sabda Rasulullah SAW :

"Bagi orang yang memelihara anak yatim maka aku dan dia seperti dua jari di syurga."
(Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah)

(Riwayat Muslim)

Dua mata anak kecil itu merenung Ana. Lama-lama.
Merenung tanpa mengerti.

Ana mula senyum padanya.Sesekali kening diangkat. Untuk mengagah*.
Dan macam tadi juga..dia hanya membalas senyuman Ana dengan pandangan.

Sungguh terik mentari yang tegak di atas kepala tidak sedikit pun menghalang pandangan Ana pada matanya.

Comel!

Putih!

Hitam!

Mata putihnya tersangat putih. Dan anak mata hitamnya..tersangat hitam.

Mengingatkan Ana pada sifat mata Baginda Rasulullah SAW tercinta.

Ada rasa kasih padanya.
Apatah lagi bila mengenangkan anak kecil ini baru kehilangan bapanya beberapa bulan yang lalu.
............................

A'lia Solehah diarak.
Dari satu tangan ke satu tangan.
Sesekali alunan selawat yang bergema mengejutkan anak comel itu.

Terbuka kelopak matanya..dan kemudian..
Pejam semula..

Menatap matanya yang comel membuatkan Ana dilanda :

Sayu!

Sedih!

Pilu!

Bukan sahaja pada Ana. Tapi pada semua yang hadir dalam majlis bercukur * tersebut.

Mata anak yatim : A'liya Solehah Binti Azman.
..........................

Pagi itu..

"..Hello.. Assalamualaikum Diee..
"..Diee.. Abang Man Takdok doohhh.."
"..Huuhuk hukkk..."

Tergaman Ana!
Dari berdiri..Pelan-pelan Ana terduduk..
Sedaya Ana cuba mencari kekuatan dengan firmanNya :

الذين اذا اصا بتهم مصيبة قالوا انّا لله وانّا اليه رجعون

Maksudnya : Orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka bersegera mengucapkan : Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali.

(Al-Baqarah : 156)

Ye..abang Man Ana dah takde.
Kembali dijemput Allah.
Bertemu A'liya Solehah..
Di SyurgaNya nanti. Amin.
...................................

2 anak yatim ini mengingatkan Ana pada Rasulullah SAW.
Anak yatim dari kota Makkah yang mulia.
Yang dilindungi Rabbnya dengan firmanNya :

الم يجدك يتيما فئاوى

Maksudnya : Bukankah Dia mendapati kamu seorang yatim, maka Dia telah memberi perlindungan padamu.
(Ad-Duha : 6)

Seorang yang tulus dan qudus.
Bicaranya terpelihara.
Anggotanya terjaga.
Bahkan niatnya..
Subhanallah..hanya pada Pengukur Niat!

Hatinya hidup.
Tidak seperti kami..
Tidur dan mati..
Baik Jasad..
Baik batin.

Kemuliaannya tiada keraguan,
kehinaannya? hanyalah fitnah!

Setiap yang memandangnya,
Pasti memancar Mahabbah padanya,
sesejuk kauthar,
Buat penghilang dahaga Muttaqin,
Pada hati yang tandus dan kering,
Dengan noda dan dosa.

Sungguh engkau Ya Rasulullah,
Anak Yatim yang mulia*
Dari kota kering dan tandus,
Yang kini subur dengan taqwa dan iman,
Para Muttaqin dan Mukhlisin.

Cintailah anak-anak yatim.
Dengan sepenuh kecintaan,

Sebagai bukti..
Cinta ummat,
Pada anak yatim Makkah.
.................................
*Mengagah - Loghat Terengganu yang bermaksud mengusik agar bayi ketawa dan gembira.

*Majlis Bercukur rambut yang diiringi selawat.

*Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.

Kereta rosak lagi..

Dah cuba start berkali-kali..
berkali-kali jugalah hampa..

"..."
Ada helaan panjang dari Ana.
Helaan dalam keletihan.

Seingat Ana selepas hantar kitab-kitab ke Usj 4 pagi tadi, tiada masalah yang berlaku. Lancar je perjalanan Ana. Tapi sekarang tak mahu hidup dia.

Pelan-pelan Ana bermonolog :

" Bateri ke?"

" Minyak Abis kot.."

" Dalam gear agaknya..patut tak hidup.."

Dan macam-macam telahan Ana buat.
Namun tiada sebarang kesimpulan..

Menapak Ana ke sana sini mencari bantuan.
Dalam diam Ana akur..

"..Ni ujian pembuka Ramadhan agaknya .."

Ye..Ujian dariNya.

Sesekali kereta rosak akan mengajar kita menghargai kesusaha orang yang menapak ke sana-sini.

Menahan bas dan teksi di bawah terik mentari.

Bak kata sepupu Ana, Haji Din :

" Anta diuji kereta rosak..orang lain diuji takde kereta pun Syeikh.."

Benar sungguh kata beliau. Mengingatkan agar kita sentiasa bersyukur dalam semua keadaan. Alhamdulillah..

Akhirnya :

" Bang..boleh tumpangkan saya ke Bangi?"

Angguk!

Alhamdulillah..
...........................

" Beza Syurga pertama dengan Syurga kedua umpama sebentuk cincin di padang pasir. Jauh benar beza antara keduanya tu kan?.." Tanya Mejar Jamil pada kami.

Mengangguk-angguk kami. Membenarkan cakapnya.

Seronok mendengar mereka berbual.
Apatah lagi bila topik Syurga yang dibincangkan malam ni.

Ni lah rutinnya kami kat Bangi ni. Hampir setiap malam dari 10.30 malam sampai 11.30 (kadang-kadang terlajak ke 12.00 malam) kami membincangkan hal-hal kematian, Syurga, Neraka dan apa-apa peringatan agama yang boleh membantu memotivasikan hati. Tempatnya bukan kat surau. Tapi kat kedai Haji Zahrim, tauke restoran Roti Puri. Alhamdulillah.

Sesekali Ana terganggu dengan asap rokok yang dihembus ke udara.
Berkepul-kepul racun itu di udara yang akhirnya menjunam menyerang dada.
Bayangkan dalam 4 orang semeja, Ana menghadapi 3 perokok yang menyesakkan dada Ana.
3 lawan 1! sekaligus!

Sungguh Ana cuba menahan nafas.
Cuba mencari-cari ruang sedutan udara sedalamnya sebelum asap yang berkepul itu menerjah muka lagi.

Ana memang anti rokok!
Dan Alhamdulillah tidak pernah merokok.

Dan jika ditanya pada Ana apa pandangan Ana pada rokok?
Jawabnya : Haram.
....................

Sekarang Ana di atas katil.
Menghadap laptop kesayangan Ana.
Menaip-naip huruf cantuman membentuk kalimah lantas menjadi ayat-ayat yang sahabat-sahabt dapat baca sekarang.

Sebenarnya..menulis ni..memerlukan masa yang cukup dengan disertai perasaan halus yang mendalam. Penulisan yang datang dari hati akan memberi kesan yang berbeza dengan penulisan yang sekadar memenuhi masa terluang.
Namun Ana sekarang ini benar-benar dihimpit masa. Kewajipan menuntut agar masa mohon dilebihkan.

Benarlah seperti kata pepatah arab :

"Waktu itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia pasti memotong kamu."

Ana dah banyak dipotong.
Yang akhirnya Ana tidak mampu lagi membuat apa yang Ana suka seperti menulis dan membaca. Namun Ana yakin, ia akan selesai sedikit masa lagi.

Doa qudus dari sahabat Ana pohonkan.
Doakanlah agar kita semua mendapat keberkatan dan ketenangan.
Apatah lagi dalam menyambut Ramadhan Al Mubarak yang berkat ini.
Sebelum Ramadhan bertamu,
Izinkan Ana yang faqir ini menyusun sepuluh jari,
memohon ampun dan maaf dari sahabat-sahabat semua atas silap dan khilaf Ana di sepanjang kita berhubung di sini. Ana berbangga mempunyai sahabat-sahabat tercinta yang sentiasa mengambil berat pada perkembangan Ana di sini. Hanya Allah SWT sahajalah yang dapat membalasnya dengan sebaik balasan.

Jazakumullah dan Salam Ramadhan dari Ana buat anda yang tercinta.

- Sufifaqir-

Lelap

Buat sahabat-sahabat tercinta.
Dah lama Ana tak menulis.
Hampir sebulan lamanya.

Inbox email penuh.
Rata-rata bertanya :
"Ustaz sihat?"

Ana jawab dengan senyuman.
Senyum bersulam sihat.
" Alhamdulillah.." Bisik Ana.

Sejak seketika meninggalkan penulisan,
Macam-macam yang berlaku.

Mewarnai pentas episod,
Babak-babak hidup manusia,
Di alam fana ini..

-Berita H1N1.
-Ustaz Asri Rabbani pergi tak kembali.
-Adik Konvo.
-Mini Maktabah dah bertambah kitab-kitab baru.
-Tunaikan janji yang Nenek pesan.
-Taip kisah naik Flight pakai selipar jepun.
-Dan lain-lain yang tak dapat Ana taip.

Banyak rupanya.
Tak sempat.

Mengapa Tka sempat?
Mana nak sempat..nak betulkan perkataan Tka (Tak) kat atas tu pun tak sempat..

Dan Ana terlelap jap waktu menulis ni.

Ana bangun sambung semula.
Ana ingin menulis apa yang dibaca untuk dikongsikan bersama.
Doakanlah Ana.
Agar dapat menulis dalam keadaan sempat.

Ana lelap sekejap.
Syukran.

اذا تحدّث عبدي بـأن يعمل حسنة فأنا أكتبها له حسنة
Maksudnya : Jika seorang hambaKu bercita-cita untuk melakukan sesuatu kebaikan maka Aku akan mencatitkan baginya satu kebajikan.

Alhamdulillah. Setelah hampir 2 tahun mengulang cetak buku Benarkah Nabi Isa Disalib? yang juga merupakan buku kedua Ana, semalam merupakan hari bersejarah apabila kali pertama buku tersebut dijadikan mata pelajaran Muqaranah Al-Adyan* bagi kuliah bulanan Ana di surau tercinta. Di Bangi ni juga.

Sejujurnya Ana merasa malu dan rendah hati. Di celahan pelbagai kitab yang dijadikan asas pengisian bagi kuliah-kuliah maghrib di sini, buku kecil Ana ini dipersetujui oleh jemaah untuk dijadikan bahan kuliah yang mana Ana diminta mengisinya selama 2 kali sebulan. Satu kuliah Tafsir dan satu lagi Muqaranah Al-Adyan.

Berkali-kali Ana baca kembali buku susunan Ana tersebut. Alhamdulillah dah diulangcetak sebanyak 11 kali termasuk sekali dicetak di Egypt oleh PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir). Dalam diam Ana bersyukur apabila buku tersebut sedikit sebanyak memberi manfaat buat saudara Muslim tercinta.

Dan malam tadi pun selepas kembali dari surau, Ana belek kembali buku-buku yang pernah Ana susun. Semuanya mempunyai kenangannya tersendiri.
.................................

Tribute Buat Nenda



Semalam pun Ana belek kembali setelah mendapat email yang panjang dari seorang kenalan. Respon dan pandangan dari sahabat-sahabat yang berkesempatan memiliki novel kecil tersebut Ana semat kukuh di hati. Dan semalam Ana tercari-cari apa yang istimewanya pada novel itu..

Dari satu halaman ke satu halaman..
Ana belek..
Dan belek..
Dan belek..
.....

Dalam diam Ana tersenyum..

Membaca cerita yang disusun.
Puisi yang didendang.
Luahan yang benar.
Terkadang malu juga apabila menatap sendiri. Karya yang tak seberapa dari orang yang tak seberapa.

Semestinya novel kecil ini tidak terbanding dengan keasyikan menatap ribuan karya-karya agung Islam namun cukuplah ia menjadi kenangan manis buat Ana dan pusaka kenang-kenangan buat zuriat di masa akan datang. Amin..
...................

Buya HAMKA

Di celah ratusan kitab-kitab dan buku-buku di mini maktabah* Ana ini, Ana keluarkan satu buku sederhana tebal karangan Buya HAMKA ataupun nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Tasauf moden tajuknya..






Pak HAMKA pernah menyatakan bahawa beliau sendiri ketika terlantar di hospital, beliau asyik membaca kembali bukunya itu. Dan seketika itu juga mereka yang menziarahinya bertanya :

" Apa bapak sendiri membaca kembali buku Tasauf Moden ini? Bukankah bapak yang mengarangnya?"*

Sambil tersenyum Buya HAMKA menjawab :

" Yaa..benar..pengarangnya sendiri kembali mengambil manfaat dan mengubati hatinya dengan karangannya ini. Bukan semata untuk orang lain yang membacanya.."*

Sungguh Buya HAMKA seorang yang pintar. Bukan sahaja menyusun ilmu untuk dimanfaatkan, tetapi jua buat peringatan diri sendiri. Agar tidak nanti dikatakan sebagaimana peringatan Allah SWT yang bermaksud :

Patutkah kamu menyeru manusia kepada kebaikan sedangkan kamu lupa terhadap dirimu sedangkan kamu diberikan kitab? Apakah kamu tidak berfikir? ( Al-Baqarah : 44 )

Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan bukan saja buat ummah, jua buat diri yang sentiasa lalai
..........
Semua yang kita usahakan di dunia ini hanyalah untuk mendapatkan keredhaanNya semata di sana. Kebaikan walaupun kecil pasti ia dinilai oleh Allah Yang Maha Pengasih. Syaratnya, ikhlas.

Bukankah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan :

Hidup jasad kerana ruh,
Hidup ruh kerana akal,
Hidup akan kerana ilmu,
Hidup ilmu kerana amal,
Hidup amal kerana Ikhlas..
Ana akan ingat itu..
Apatah lagi bila dipadankan dengan pesanan Nenda tercinta :
"Kena buat baik sokmoo..Kita ni kan matii.."*

Oleh itu..walaupun sedikit..buat baiklah..
............................
*Muqaranah Adyan - Kalimah Arab bermaksud Perbandingan Agama
*Maktabah - Kalimah Arab bermaksud Perpustakaan
* (Dialog Buya HAMKA semestinya dibaca di dalam dialek Indonesia agar terasa keberkesanan cerita yang disampaikan)
* Loghat Terengganu yang bermaksud - Kena sentiasa berbuat baik kerana kita semua pasti akan mati ( membawa pahala kebaikan dan kebajikan)

Blogger Template by Blogcrowds