Warkah buat Anakanda I

Segala puji bagi Allah Zat Yang Maha Sempurna, Yang Menciptakan kehidupan dan kematian sebagai ujian. Jua Dialah yang Maha Menghidupkan bagi penyempurnaan janjiNya pada hari yang tiada perlindungan kecuali lindungaNya.

Selawat serta salam yang sebanyak-banyaknya buat sebaik-baik ciptaan, semulia-mulia utusan dalam siri perutusan para Nabi dan Rasul, yang dengannya kita mendapat rahmat sebaik-baik nikmat iaitu Iman dan Islam,dan melaluinya jualah kita diangkat sehingga menjadi sebaik-baik ummat.Selawat dan salam buatmu Ya Rasulallah, kekasih hati, pemberi Syafaat al-u’zma.

(Allahumma Solli a’la Sayyidina Muhammad Wa A’la Alihi Wa Sohbihi Ajmai’n.)
…………………………………………

Anakndaku yang dikasihi,

Di saat Walid menulis warkah ini, Walid baru sahaja menepuk-nepuk belakang Anakanda setelah Anakanda seperti terganggu dari beradu. Seketika Walid agak bimbang kalau-kalau Anakanda tak dapat beradu dengan nyenyak seperti selalu. Maklumlah Anakanda kurang sihat sehari dua ni.

Dan sekarang, Walid masih di sisi Anakanda. Menjaga dan mengusap-ngusap kepala Anakanda.

Anakanda,

Tiadalah kebaikan seorang bapa melainkan dia selalu menjaga amanahnya ini dengan pesanan-pesanan agama. Begitu juga dengan Walid. Ingin sekali Walid menyampaikan pesan-pesan agama buat Anakanda Agar Allah menyaksikan ketulusan Walid terhadap amanah yang dianugerahkan Allah  ini.

Walid ingin berpesan tentang zuhud. Dengar ya..

Anakanda,

Ketika Syeikh Ibrahim bin Adham ditanya tentang bagaimana jalan untuk memperolehi zuhud, beliau telah menjawab :

بثلاثة اشياء : رأيت القبر موحشا وليس معي مؤنس ورأيت طريقا طويلا وليس معي زاد ورأيت الجبّار قاضي وليس لي حجّة

Maksudnya : “Melalui tiga perkara : (iaitu) aku melihat kubur itu mengerikan namun aku belum mempunyai penolong (dari kengeriannya), aku melihat jalan yang panjang (menuju ke akhirat ) namun aku belum memiliki apa-apa bekalan untk ke sana, aku melihat Allah Yang Maha Perkasa akan membicarakan aku (atas apa yang aku usahakan) padahal aku masih belum mempunyai hujjah (untuk menghadapi perbicaraanNya).

Inilah jalan-jalan zuhud menurut ulama sufi ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Nasaihul I’bad.

Syeikh Abul Qasim Karim Hawazin Al-Qusyairi di dalam risalah Al-Qusyairiah menyebut bahawa Allah SWT telah memberikan gambaran tentang kesempurnaan zuhud menerusi firmanNya :

قل متاع الدّنيا قليل والآخرة لمن التّقى

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah An-Nisa : 77)

Begitu juga Sabda Rasul junjungan kita:
عَن أبِي العَبَّاسِ سَهلِ بنِ سَعدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنهُ ، قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِي (ص)، فَقَالَ :يَا رَسُولَ اللهِ! دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ ، إذا عَمِلتُهُ أحَبَّنِي اللهُ ، وَأحَبَّنِي النَّاسُ . فَقَالَ : اِزهَد فِي الدُّنيَا يُحِبَّكَ اللهُ ، وَازهَد فِيهَا عِندَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسِ .

Maksudnya : “Daripada Abu Abbas, Sahl bin Sa’ad As-Sa’idy telah berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw lalu berkata: “Ya Rasulullah. Tunjukkanlah padaku satu amalan yang sekiranya aku laksanakannya nescaya aku akan dicintai Allah dan dicintai manusia. Lantas Rasulullah saw menjawab: “Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada ditangan manusia, niscaya engkau dicintai manusia.”                                                   (Riwayat oleh Ibnu Majah )

Anakanda,

Sewaktu Walid meriba Anakanda ketika menyampaikan kuliah-kuliah agama pada jemaah, ramai jemaah kita yang tertanya-tanya apakah erti sebenar zuhud? Kata mereka :

“ Apakah meninggalkan dunia secara keseluruhan dan menumpukan tujuan pada akhirat semata itulah zuhud?”

Sewaktu tu..Walid diam seketika.
Sambil mengusap-ngusap kepala Anakanda, Walid menyatakan kepada mereka dan juga sekali lagi Walid nyatakan kepada Anakanda pada malam ini :

Di dalam menjawab persoalan ini, ketahuilah para ulama’ menyatakan :

لَيسَ الزُهدُ بِتَحرِيمِ الحَلاَلِ وَلا بِإِضَاعَةِ المَالِ ، إنَّمَا الزُهدُ أن تكُونَ بِمَا فِي يَدِ اللهِ أو ثَقُ مِنكَ بِمَا فِي يَدِكَ.

Maksudnya: “Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta tetapi sesungguhnya zuhud itu ialah kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah berbanding dengan apa yang ada pada kamu.”

Benarlah apa yang dinyatakan oleh imam Malik r.a :

“ Zuhud itu bukanlah tidak berharta tetapi mengosongkan hati darinya. (Secara berlebihan)”.

Abdullah bin A’bbas r.a juga berkata :

الزّاهد ثلاثة أحرف : زاي وهاؤ ودالز فالزّى زاد للمعآد والهاء هدى للدّين والدّال دوام على الطّاعة

Maksudnya : “ Perkataan zuhud itu terdiri dari tiga huruf iaitu Zay, Haa’ dan huruf Dal. Zay bermaksud : Bekalan menuju akhirat. Haa’ bermaksud : Hidayah menuju agama. Dal bermaksud : Istiqamah di dalam melaksanakan ketaatan.”

Anakanda,

Menerusi definisi yang dinyatakan oleh ulama’ berdasarkan kefahaman mereka terhadap firman Allah SWT dan hadis Baginda yang mulia tersebut, Islam telah menggambarkan bahawa zuhud ialah meninggalkan dunia secara berlebihan kerana ia akan ditinggalkan serta menumpukan akhirat kerana itulah perkampungan yang lebih baik dan lebih kekal.

Dr. Aidh Abdullah Al-qarni menerusi kitabnya ila allazina asrafu a’la anfusihim menukilkan sifat zuhud di kalangan para sahabat antaranya Salman Al-Farisi.

Gabenor Kufah ini telah menghairankan manusia yang menziarahinya pada hari-hari terakhirnya di dunia ini dengan tangisannya . Ketika ditanya mengapa beliau menangis, Salman menjawab :

“Sesungguhnya aku teringat kepada sabda kekasihku :

ليكن زاد أحدكم من الدّنيا كزاد الرّاكب

Maksudnya : Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang-orang yang bermusafir. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

(Selepas mengucapkan sabda Rasulullah saw yang mulia ini, Salman menyambung kembali ucapannya ) :

"Sedang kita telah mengambil seluruh dunia ini beserta isinya!"

Bertanya penduduk Kufah padanya setelah melihat tiada satu pun dari dunia ini dimiliki oleh seorang Gabenor seperti Salman kecuali :

1-Sebatang Tongkat untuk berjalan.

2-Sehelai kain serban yang besar untuk hamparan bagi tetamu dan untuk kegunaan ketika menghakimi.

3-Sebiji cawan besar untuk minum, berwuduk dan keperluan harian.

Tanya mereka : "Wahai Gabenor, sesungguhnya kami tidak melihat apa-apa dunia pun darimu kecuali keperluanmu terhadap 3 benda ini sahaja."

Sambil memandang, Salman menjawab : " Itulah yang aku fikirkan! Bagaimana akan aku jawab pada Allah terhadap 3 benda yang aku miliki ini.!"

Subhanallah. Inilah kesempurnaan zuhud wahai Anakanda.

Kesempurnaan yang hanya mampu dicapai oleh mata hati yang sentiasa muraqabah terhadap penciptanya. Ia akan terbentuk apabila insan melihat dunia ini dengan pandangan hakiki. Itulah jua yang Walid harapkan dari Anakanda. Agar Anaknda sentiasa menjadikan zuhud sebagai hiasan diri. Ketahuilah, hidup kita ini hanya sementara. Mudah-mudahan dengan memahami maksud hidup yang sementara ini, kita akan sentiasa berzuhud di dunia yang sementara ini.

Semoga Anakanda sentiasa sematkan pesan agama ini di dalam sanubari Anakanda tercinta. Dan ingatlah selalu pesanan Walid, jagalah Allah, pasti Allah menjaga dirimu.

Salam Cinta Kasih dari Walid buat Anakanda.


4 Julai 2010.
12:30 malam.
Bait As-Sharifah.

1 Comment:

  1. ndyna8 said...
    Zuhud adalah perbuatan hati (af'al al-qulub). Seorang zahid, dalam hatinya tumbuh keyakinan bahwa apa yang ada dalam genggaman Allah lebih bernilai daripada yang ada dalam genggaman manusia.Imam Husain bin Ali berkata, ''Salah satu ciri lemahnya iman seseorang adalah menganggap bahwa yang ada pada manusia lebih bernilai daripada yang ada pada Allah.''

    "ya Allah jadikanlah dunia di tangan kami bukan di hati kami"

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds