Biasa sahaja..

Semalam Ana berkesempatan minum, berbicara panjang dengan guru Ana. Mendengar bicaranya disamping mengutip mutiara-mutiara ilmu dan hikmah yang melaut luasnya. Subhanallah.

"..Ana sedayanya ingin menterjemahkan, mensyarahkan karya-karya agung Islam yang meliputi pelbagai disiplin ilmu untuk rujukan dan kegunaan umat Islam di masa akan datang. Kita berdoa agar semuanya dapat disempurnakan sebelum mati.." Ujar Guru Ana.

"..Subhanallah.." Hanya itu yang termampu Ana ucapkan.

Kagum!

Betapa kesungguhan dan khidmatnya pada Islam benar-benar diterjemahkan. Benar-benar beliau menjadi khadim di dalam menyebarkan ilmu Allah yang luas ini.

Dan yang selebihnya Ana kagum dengan sifatnya.

Zuhud.

Wara'.

Beradab di dalam khilaf.

Sentiasa merendah diri dan..

seorang yang sangat biasa..

Dan sifat biasanya itu telah menyembunyikan luar biasa yang dimilikinya.

Subhanallah...
..........................

Bagaimana ingin menjadi luar biasa?

Pernah Ana dihubungi menerusi email oleh warga blog yang bertanya dan ingin meminta pandangan dari Ana bagaimana caranya untuk menjadi insan yang luar biasa dan dapat memberi manfaat pada saudara kita yang lain?

Sejujurnya Ana merasa insaf dengan pertanyaan beliau.
Dengan segera Ana mendoakan kebaikan padanya sebagaimana doa Baginda Rasulullah SAW buat At-Thufail Ibnu Amr Ad-Dausi. Doa Rasulullah SAW :

أللهمّ اجعل له آية تعينه على ما ينوي من الخير

Maksudnya : "..Ya Allah, jadikanlah baginya tanda yang akan membantunya mengerjakan apa yang dia niatkan.."

Besar harapan Ana agar beliau dikurniakan hikmah yang dapat membantunya dalam menyebarkan manfaat pada saudara Islam yang lain.

Ana balas emailnya dengan menyatakan pandangan Ana yang faqir ini :

Pada pandangan Ana seseorang yang biasa yang tetap nampak biasa tanpa bercita-cita ingin luar biasa adalah insan yang luar biasa sebenarnya.

Ia sentiasa mengingati Rabbnya dan mentaatiNya dengan segenap upaya.Itulah orang biasa yang sentiasa meletakkan Allah dan RasulNya di dalam kehidupannya.Ia membiasakan diri menjadi orang biasa agar luar biasanya tidak disebut. Ia tahu dan sedar kalaulah keperibadiaannya dianggap luar biasa oleh manusia, maka itu semua adalah hasil hidayah Allah semata dan bukan usahanya yang luar biasa.

Di dalam hal ini, Guru Tasauf yang masyur menyebut :

لا تفرحك الطاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك

Maksudnya : Jangan kamu merasa gembira kerana kamu merasakan telah berjaya membuat taat, tetapi gembiralah kerana Allah mengurniakan hidayah sehingga kamu dapat membuat taat.

Apabila orang biasa sentiasa di dalam ketaatan maka ia dianggap luar biasa bagi mereka yang tidak biasa dengan ketaatan.

Oleh itu, mohonlah pada Allah agar kita menjadi orang-orang yang sentiasa diampunkanNya dan dibimbingNya kepada RedhaNya..

...................................

Pernah Junaid Al-Baghdadi ditanya oleh seorang Guru Tasauf yang terkenal di zamannya iaitu Assariy Assaqothi sedang Junaid ketika itu baru berusia 7 tahun.

Bertanya Assary : "...Apakah erti syukur wahai Junaid?.."

Maka Junaid Al-Baghdadi menjawab : "..Syukur itu ialah tidak menggunakan nikmat yang diberi ke arah maksiat pada Allah!.."

Mendengar jawapan tersebut, Assaray Assaqothi menyatakan kebimbangannya dengan berkata :

"..Wahai Junaid..sesungguhnya aku khuatir dan bimbang sekiranya apa yang kamu ucapkan itu hanyalah sekadar di lidahmu sahaja.."

Sejak itu kata Junaid..:

"..Aku selalu mengalirkan air mata mengingatkan kata-kata Assary kerana bimbang kalau-kalau benar apa yang telah diucapkannya kepadaku.."

Subhanallah!

Betapa biasanya Junaid.
Sentiasa membiasakan diri dengan ingatan-ingatan agama demi mengharapkan redhaNya semata. Dan berusaha menghilangkan pandangan makhluk padanya kerana mengutamakan pandangan Allah SWT semata. Dan kerana kebiasaan inilah akhirnya Junaid Al-Baghdadi diingati sepanjang zaman secara luar biasa.

Bukankah Ibnu Athaillah telah menyebut :

غيّب نظر ألخلق اليك بنظر الله اليك وغب عن اقبالهم عليك بشهود اقباله عليك

Maksudnya : Hilangkanlah pandangan makhluk kepadamu ( kerana merasai memadai) dengan pandangan Allah dan lupakanlah perhatian (tumpuan) manusia kepadamu sebaliknya melihat (menyedari) bahawa cukuplah Allah memerhatikanmu.

Oleh itu..jadilah yang biasa-biasa sahaja..- Sufifaqir.

9 Comments:

  1. Jasmin said...
    Keinginan menjadi insan luar biasa adalah lumrah setiap insan.Menjadi insan biasa yang meletakkan Allah dan Islam sebagai pegangannya mampu untuk melahirkan aura luar biasa. Kesederhanaan,ketaatan,merendah diri antara makhluk dengan Pencipta-nya, sesama manusia dapat membantu mencapai apa yang diingini,tertakluk atas hidayah dan ketentuan Ilahi. Insya-Allah.
    'Abid Sakina said...
    "..Ya Allah, jadikanlah baginya tanda yang akan membantunya mengerjakan apa yang dia niatkan.."

    moga segala kebaikan yg dilakukan hanya keranaNYA..
    kita hanya hamba yg faqir..bermusafir mencari redhaNya..
    semoga biasa dipandangan manusia..luar biasa(special) di pandangan Allah..
    Rashidy Jamil said...
    Wassalam Jasmin.Terima kasih di atas pandangan dan respon Jasmin. Kesederhanaan mampu menjana hati agar sentiasa berjaga-jaga dengan dunia yang sementara. Mohon email sufifaqir untuk buku-buku dakwah buat Jasmin. Terima kasih.
    Rashidy Jamil said...
    Terima Kasih doa dari adik nurul.Semoga Allah mengurniakan kebaikan yang tidak putus buat adik sekeluarga. Jazakillah.
    Anonymous said...
    Orang yang paling rugi adalah orang yang menentang hikmah dan tidak menyimpan tiket itu untuk dirinya..
    Hikmah menjadi orang yang biasa lebih hebat di'mata' Allah..aminn ya rabb.
    Rashidy Jamil said...
    Pandangan Allah Yang Maha Pengasih adalah pandangan hakiki.
    Anonymous said...
    Salam..
    Saya baru je membaca blog ustaz ..alhamdulillah, dpt jugak ilmu..
    Disebabkan blog ni juga tempat kita bertukar- tukar pendapat..saya nak tanya sikit dgn ustaz..saya ada masalah..dan ingin minta pendapat ustaz. antara 2 org wanita..yg mana satu kita patut pilih : wanita hanya cantik paras rupa,tapi tidak cerdik atau wanita yg cerdik tapi punya paras rupa yg sederhana..kadang2..hati hanya nak pilih yg cantik je..
    Tolong lah ustaz..berikan pendapat.
    Rashidy Jamil said...
    Waalaikumsalam. " sebaik-baik urusan adalah yang sederhana." Istikharahlah.
    Anonymous said...
    Sedap baca karangan ustaz. Ana kalau baca kisah nabi kita ana memang senang mengalir air mata sikit..

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds