Berkata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam Al-Hikamnya :

من أكرمك انّما اكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس الحمد لمن أكرمك وشكرك
Maksudnya : " (Ketahuilah) Sesungguhnya sesiapa yang memujimu, itu hanyalah kerana betapa pandainya Allah menyembunyikan keburukan yang ada padamu. Maka hendaklah kamu memuji Allah yang telah menyerlahkan kebaikanmu.."

Selepas Ana mendapat beberapa komen dan kunjungan seorang pembaca Tribute Buat Nenda yang menangis di hadapan Ana, Ana cukup terkesan dengan keadaan tersebut.

Jari Ana pantas menekan pencarian Google terhadap komen-komen lain tentang novel kecil ini. Satu persatu Ana teliti dan membacanya dengan penuh minat. Tekun!

Alhamdulillah..semuanya menyatakan rasa terharu dan gembira memiliki novel kecil ini. Sempat Ana copy semua sekali komen-komen pembaca. Dan Ana akan kongsikan komen-komen tanpa edit ini bersama sahabat-sahabat Ana yang Ana cintai :

.." Katanya ust rashidy, satu kepuasan di dalam diri bila kita melihat hasil tulisan kita dibukukan. Kita hadiahkan kepada insan yang tersayang, kita bagi mak, ayah, nenek dan rakan-rakan. Itulah satu keseronokan dan kepuasan buat diri yang suka menulis. 'Tribute buat nenda' adalah salah satu dari novel yang telah diberikan pada aku oleh beliau di antara 5 dan 6 novelnya yang lain. Termasuklah kutaib (buku kecil) 'isu penggunaan kalimah Allah' yang telah dikarangnya bersama dr. zulkifly albakri." - Lutfi ( na5wa.blogspot.com)

.."Ni salah satu buku karangan beliau yang menambat ati untuk dibeli...knape sebab time dia tunjuk tu trus nampak yang wane ijau trus jatuh cinta dengan cover buku....isi tak tahu...beli memang rajin dah tiga minggu simpan kat opis. minggu lepas balik kg bawa atas sebab ....time dalam train bace atas alsan nak hindar boring...yelah dari seremban ke serdang 1jam tau....144 muka surat yeee dapat diabiskan membacaanyee tanpa penghayatan...yelah bace dengan dikelilingi orang ramai tak pat nak xpresi memek muka n monolog dalaman tak brape nak feel....dasyatnyeee...sok nyee bace smulaaa ...untuk pengetahuan umum bace dengan penuh emosi siap menitik air mate lagi tu...time kasih ustaz banyak perkara yang saya blaja dari buku ni...doa minum susu...satu g memandang kan belum kawin so ayat ni menjadi peringatan. Sabda Rasullah SAW yang bermaksud; Miskin, miskin, miskin. Seseorang lelaki yang tidak beristeri. Miskin, miskin, miskin. Seseorang perempuan yang tidak bersuami...arap sangat kalau ade sambungannyee novel ni...dah jatuh cinta dengan novel ni.... patut laa cover novel ade tertulis bukan sekadar novel..." - Noor Baizura (noornarul.blogspot.com)

.." Tribute buat nenda saya akui sebagai novel motivasi kepada kita semua. Gaya bahasa yang bersahaja dan menarik. Seperti cerita filem yang dilihat dengan mata di kaca televisyen. Ada kala saya tertawa dan ada kali hati ini sebak. Diselitkan dengan Sirah Nabi, kata ulama, serta pelbagai lagi yang dapat diambil pengajaran. Setiap manusia ada kisah hidupnya tersendiri. Suka dan duka, gelak tawa riang gembira dirasai. Namun ada juga insan di sisi kita yang air matanya bagaikan sudah kering kerana tidak henti-henti menangis. Sesungguhnya novel ‘Tribute Buat Nenda’ harus dijadikan bacaan kepada yang meminati dunia novel. Bukan sekadar novel yang kadang-kadang ada kisah khayalan semata-mata tapi ini novel yang memberikan motivasi agama dan ruh Islam dapat dirasai..Tahniah buat Ustaz Rashidy Jamil Muhammad al-Rasyid…" - (firdauskhalil.wordpress.com)
Terima kasihlah buat sahabat-sahabat yang memberi pandangan dan teguran. Terharu dan berbesar hati sebenarnya..
Sejujurnya Ana merasa rendah diri untuk mengiklankan novel ini. Inilah kali pertama Ana mengiklankan buku terbitan Tuan Sharifah Islamic Foundation kepada umum menerusi medan blog tercinta ini. Sedangkan sebelum ini Tuan Sharifah Islamic Foundation sendiri telah pun menerbitkan 5 buah buku yang merangkumi Comparative Religion dan Al-Quran.

Terlalu kerdil di sisi nama-nama besar dalam penulisan. Namun itulah yang termampu bagi Tuan Sharifah Islamic Foundation. Semuanya semata menyahut seruan dakwah yang suci ini.

Bercakap tentang Tribute Buat Nenda, ia merupakan kenangan terindah Ana bersama Nenda yang amat Ana cintai iaitu Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al-Yahya.

Novel ini memuatkan kembali kisah-kisah didikan Nenda pada Ana, cicit sulungnya. Sejak kecil lagi Ana dibesarkan, diasuh oleh Nenda Ana. Wan, Mami, Busu, dan adik-adik Ana serta keseluruhan ahli keluarga Ana, kesemuanya turut diasuh oleh Nenda kami di teratak kecil yang telah Ana namakan Bait As-Sharifah.

Bukan Sekadar Novel merupakan satu trademark bagi novel kecil berwarna hijau muda ini. Dan Ana sedaya mungkin cuba menyerlahkan kelainannya dengan menfokuskan tujuan dan matlamat utama novel ini ditulis. Ia semata untuk dakwah. Selain dari ayat-ayat Al-Quran, Hadis Rasulullah SAW, Ana turut menyertakan matan-matan kitab antaranya Al-Hikam oleh Syeikh Ibnu Athoillah, syair-syair Arab serta kata-kata para hukama' ketika menggambarkan sesuatu kisah buat pembaca.
Ana akui dengan sejujurnya, Ana bukanlah seorang ahli bahasa apatah lagi sasterawan yang mendalami ilmu metafora dan kelunakan gaya penyampaian. Ana hanyalah seorang yang cuba sedaya mungkin menulis dengan hati setiap kali ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian. Mudahan ia turut sampai ke hati dengan izinNya.

Sekali lagi Ana dengan rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih buat sahabat-sahabat sekalian di atas sokongan yang berterusan buat Ana yang faqir ini. Anda semua Ana sifatkan sebagai sahabat yang memimpin Ana ke arah kemuliaan. Inilah yang telah digambarkan oleh penyair Arab :

من عاشر الأشرأف عاش مشرّفا ومعاشر الأنذال غير مشرّف
Maksudnya : Sesiapa yang bergaul dengan orang-orang yang baik akan hidup mulia. Dan sesiapa yang bergaul dengan orang-orang yang rendah akhlaknya pasti tiada kemuliaan padanya.

Segala pandangan dan teguran tersebut amat Ana hargai dan akan Ana jadikan panduan demi menambah baik apa yang kurang dalam diri.

Jazakumullah buat anda dari Ana - Cicit Tuan Sharifah.

Berkata Penyair Arab : فتشبّهوا ان لم تكونوا مثلهم ان تشبّه بالكرام فلاح

Maksudnya : " Contohilah (mereka yang berjaya) sekalipun tidak sampai sepertinya. Sesungguhnya dengan mencontohi orang yang mulia (dengan kejayaan) akan membawa kejayaan (buatmu)."

Setelah membaca buku ' Catatan Hati Nik Nur Madihah' pelajar terbaik Malaysia SPM 2008, Ana akui cukup tersentuh dengan kisahnya. Kesusahan dan kemiskinan diri yang menimpa, tidak sekali menghalang beliau menempa sejarah kejayaan cemerlang di negara tercinta ini.

Di saat ini pun Ana masih tak lupa apa yang tertulis pada buku beliau :

Nur Madihah puasa sebab miskin..

Subhanallah..Cukup menyentuh hati Ana! Terkesan sehingga mata ini berkaca-kaca. Betapa bangganya Ana membaca bait-bait yang tertulis sebegitu. Dan Ibu bapanya..tentu lebih bangga dikurniakan anak yang solehah sepertinya..

Ana capai handset di bucu katil. Ana hantar mesej pada sepupu Ana, Haji Din di dungun :

" Salam Syeikh. Ana terkesan dengan buku pelajar cemerlang SPM seluruh Malaysia ni. Dia puasa sebab miskin Syeikh..!"

Ibu jari Ana menekan SEND.

Tiitt..Tiitt.. bunyi handset kembali.

Cepat-cepat Ana cek.

Rupanya delivery Report! Bukan balasan dari sepupu.

Akhirnya kami berbalas mesej. Rancak. Tentang Pelajar cemerlang ini.

Kemudian Ana sekali lagi taip mesej buat sepupu Ana tersebut. Ana taip macam ni :

" Syeikh, Ana rasa nak email adik ni, nak bagi ucapan tahniah dan salam buat ibu bapanya.."

Ibu jari Ana menekan SEND.

Tiit..Tiit..bunyi handset kembali.

Kali ni, Ana tak cek pun handset Ana. Ana dah tahu..tentu bunyi delivery report lagi!

Tak lama kemudian, sepupu Ana balas :

" Hantar Syeikh. Tanya kabor.."

Ana pun mula bersila depan laptop kecil Ana ni..
Pelan-pelan Ana mula menaip email buat adik Nik Nur Madihah :


Salam Buat Adik

Assalamualaikum Wbr. Adik Nik Nur madihah.

Tahniah diiringi Syukur pada Allah yang sentiasa mengurniakan. Mudah-mudahan ia menambah rasa cinta padaNya lantas mendekatkan diri padaNya agar sentiasa jaga dan tidak alpa. Syukur juga akan mengasuh hati agar sentiasa mengembalikan setiap pujian yang diterima pada Zat Yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT.

Berkata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam AlHikamnya :

من أكرمك انّما اكرم فيك جميل ستره فالحمد لمن سترك ليس الحمد لمن أكرمك وشكرك

Maksudnya : " (Ketahuilah) Sesungguhnya sesiapa yang memujimu, itu hanyalah kerana betapa pandainya Allah menyembunyikan keburukan yang ada padamu. Maka hendaklah kamu memuji Allah yang telah menyerlahkan kebaikanmu.."

Saya benar-benar merasa terpanggil untuk menulis sesuatu kepada Adik Nik Nur Madihah. Biarlah di sebalik hadiah atau cenderahati yang dikirimkan pada adik tak putus-putus lantaran kejayaan yang telah dicapai, saya di sini juga ingin sekali menghadiahkan cenderahati seperti yang lain. Cenderahati saya berupa nasihat dan penyataan rasa kegembiraan saya ini buat kecemerlangan yang telah dicapai.

Adik Nik Nur Madihah,

Saya kagum dengan ketabahan Adik. Ketaatan Adik pada Ibu Bapa yang juga merupakan penzahiran terhadap ketaatan pada Allah dan Rasulullah SAW.Adik bertuah dikurniakan hati yang dipenuhi syarat dalam perlaksanaan cinta. Syarat-syarat yang tulus dan Qudus :

Pertama : Cinta Pada Allah.
Kedua : Cinta Pada Rasulullah SAW.
Ketiga : Cinta Pada Ibu Bapa.
Keempat: Cinta Pada Diri yang dijaga dari kealpaan dan kebinasaan.

Membicarakan tentang Syarat Cinta di atas, mengingatkan saya kepada kisah seorang Al-Arif Billah, Hatim Al-Asom yang telah bertanya kepada muridnya, Al-Balkhi tentang manfaat yang telah dicapainya sepanjang Al-Balkhi menuntut ilmu dengannya.

Kata Hatim Al-Asom :"Wahai Al-Balkhi, sudah berapa tahunkah kamu bersamaku menuntut ilmuNya dari ku?"

Maka Jawab Al-Balkhi : " 33 tahun wahai guruku."

Bertanya lagi Hatim pada Al-Balkhi : " Lalu apa yang telah kamu perolehi sepanjang 33 tahun bersamaku?"

Jawab Al-Balkhi : " Aku telah mendapat 6 perkara darimu."

Terkejut Hatim!

Lantas ia berkata : " Subhanallah! 33 Tahun kamu bersamaku..hanya 6 perkara yang kamu dapat wahai Al-Balkhi?". "Baiklah, kita lupakan soal masa yang panjang itu tapi ingin sekali aku mengetahui darimu, apakah 6 perkara yang telah engkau dapati itu?"

( Saya ringkaskan di sini ) .... Antara yang disebut oleh Al-Balkhi ialah : " Aku melihat manusia yang berkasih sayang dan bercinta itu, mereka pada akhirnya akan berpisah dengan kematian. Maka di saat itu mereka akan saling melupakan. Sedang aku mengetahui bahawa kekasih dan peneman setiaku di alam barzah ialah amalanku. Maka aku menjaga amalanku itu sebaik mungkin dengan mentaati Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa dan menjaga diriku dari alpa."

Syarat-syarat inilah yang menjadi asbab kejayaan bagi setiap insan.
Dan seperti yang kita (mereka yang memiliki hati yang jernih dengan Nur Taqwa) tahu, kejayaan yang hakiki ialah kejayaan mentaati Allah dalam setiap hembusan dan tarikan nafas kurniaanNya ini.

Sekali lagi saya nukilkan apa yang dinyatakan oleh Ahli Tasauf yang terkenal ini menerusi AlHikamnya :

لا تفرحك الطّاعة لأنّها برزت منك وفرح بها لأنّها برزت من الله اليك

Maksudnya : " Janganlah merasa gembira di atas perbuatan taat kerana engkau merasakan ia telah dapat dilaksanakan, tetapi gembiralah kerana Allah telah mengurniakan hidayah dan petunjuk sehingga engkau dapat melaksanakan ketaatan itu."

Mudah-mudahan dengan memahami hakikat pujian dan kejayaan yang hakiki ini, akan menambah baik buat keimanan kita yang sentiasa diuji dan teruja dengan hawaa' (perasaan). Apatah lagi dalam meniti dunia yang sementara ini.

Adik Nik Nur Madihah,

Saya ingin sekali mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat Adik sekali lagi. Mudah-mudahan dengan nikmat kebijaksanaan dan kepandaian yang telah direzekikan pada Adik, dapatlah Adik menjadi seorang pemikir dan pelaksana dakwah yang suci ini demi Islam yang tercinta di masa akan datang. Saya dengan rendah hati, bersama umat Islam yang lain akan sentiasa mengangkat tangan tinggi-tinggi kepada Zat Yang Maha Tinggi (kesempurnaan) agar mendengar doa yang diucapkan dengan suara yang rendah-rendah (lantaran kusyuk dan penuh harapan) agar Adik sentiasa berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di Ahirat, alam yang kekal lagi baik buat mereka yang sentiasa mengharapkan pertemuan dengan Allah SWT yang Maha Kekal.

والأخرة خير وابقى

Maksudnya : " Dan Akhirat jualah yang lebih baik dan lebih kekal.." (Al-A'la : 17)


Salam hormat dari saya,

Rashidy Jamil Ar Rashid.
(http://rashidyjamil.blogspot.com/)

إن الله عنده علم الساعة وينزل الغيث ويعلم ما في الأرحام وما تدري نفس ماذا تكسب غدا وما تدري نفس بأي أرض تموت إن الله عليم خبير

Maksudnya : Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang Kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan. Dan Dialah Yang Maha Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang dikandungkan oleh rahim. Dan tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan dikerjakan hari esok (samaada kebaikan atau keburukan), dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya hanya Allah Maha Mengetahui lagi amat meliputi pengetahuanNya.(segala sesuatu)
(Surah Luqman : 34)

Prof. Dr. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawi Rahimahullah, seorang Mufassir terkenal di abad ini (meninggal dunia sekitar tahun 1998) menyatakan :

" Inilah 5 perkara ghaib yang tidak akan sama sekali manusia mengetahuinya di dunia ini kecuali Allah membuka sesetengah pengetahuan tentangnya kepada manusia. "

Subhanallah..Maha Benarlah Zat yang Maha Sempurna. Dan tiada sesuatu pun yang terkeluar dari Qudrat dan IradatNya.

Terkesan

Ana sedang terkesan dengan kematian. Selepas membaca beberapa penulisan dan diikuti siri-siri kematian yang melibatkan saudara dan kenalan, Ana seakan terfana sebelum fana. Persoalan yang besar di sisi makhluk ini sebenarnya hanyalah kecil di sisi Allah.

Apatah lagi Ana sendiri hampir menemui kematian di Madinah!

Subuh 19 April itu, beberapa minit sebelum sampai ke Madinah Al Munawwarah :

" Allaaaaaaaaaaaaaahhhhu Akbarrrrr! Yaaa AAAllaaaaaaaaaaaahhh!! Astarrfirullaaaaaaahhhh!!!

Jeritan bersahutan. Melaung-laung!
Bersahutan dan hiruk!
Laungan yang mengeraskan lelangit.
Panas dan mengerikan!

Melambung!
Berguling!
Berpusing beberapa kali!
Hampir gaung maut yang menyambut!
Tersadai...
Di tepi gaung kematian......

Diam..

Sunyi......

Hening......

2 Malaikat mendudukkan!
Seakan hening maghrib meliputi kelopak yang melekat dengan kapas haruman barus!
Dicengkam!

"Siapa lelaki ini?" Suara menggutur!
Melemahkan tubuh yang sedia tiada berdaya!

Sakit kepala Ana. Gelap!
Mata seakan melihat ketakutan,ngeri..
Itu yang paling jauh Ana ingat.

Dan Ana tidak mahu mencampurkan apa yang Ana fikir dari pembacaan dengan kenyataan yang Ana hadapi di pagi maut itu. Ana buka mata lagi. Dan lagi! Besarkan luas-luas. Agar yakin Ana masih hidup. Walaupun sakit..biarlah! Ana ingin hidup lagi! Masih banyak dosa yang belum diistigfarkan!

Ana cuba bangun..pelan-pelan.

"Ya Allahhh.." sakit.." keluh Ana.
"Ya Allaahhh..sakiittt Ya Allahhh.." Sahut yang lain. Berbisik-bisik..perlahan.

Ana mencari-cari suara sahutan itu dalam kegelapan bas.. Bergelimpangan jemaah Umrah kami!
Ada yang terperosok di bawah kerusi...
Yang terbelah mulut..
Yang terpejam dalam berpelukan..
Menangis Ana.

Sayu dengan jemaah..sungguh!
Mereka adalah orang-orang tua yang tidak berdaya..
Sedang Ana sendiri tiada daya untuk membantu..

"Haji Rosdiiiiiiiiii.."..".. Ustaz Mahaiiiiiii..".. Panggil Ana pada Mutawif..

..Senyap..

..Sunyi..

Ana panggil lagi dengan lebih kuat :

"Haji Rosdiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii..." .. "Ustaz Mahaiiiiiiiiiiiiiiiiiii.."

..Senyap..

..Sunyii..


Pelan-pelan Ana ke pintu bas. Ana tolak pintu yang remuk itu sekuat tenaga.
Ana terjun di atas kaca yang berkecai..

Kemudian, Ana berjalan laju sekuat hati. Jauh-jauh..
Apatah lagi melihat minyak bersimbahan di sana-sini. Laju keluar dari bawah enjin.
Ana takut meletup!Ana takut mengorbankan jemaah kami yang 90 peratus orang-orang tua.

Ana cuba berlari. Sakit!..
Ana cuba lagi..berlari-lari anak sambil melaung :

"Haji Rosdiiiiiiii..." .." Ustaz Mahaiiiiiiii.." Jerit Ana.

2 Mutawif itu Ana laungkan namanya beberapa kali. Diam..tiada jawapan!
Ana ke belakang bas. Mencari-cari lagi..

"Ya Allahh..!"

Pemandangan sedih dan ngeri menyambut mata.
Ana lemah sambil mengurut dada..

"Tolongg..tolonggg isteri saya..."..
"Yaannggg..bangunnn yangg.." Ya Allaaahhh...hukhukhukk.."

Pakcik itu menangis..! Meratapi isterinya yang terkopak kulit kepala. Mereka bergelimpangan!Terbaring di atas jalan raya selepas tercampak keluar dari bas!Sedang dia sendiri pun terbaring..

Ana urut dada.
Urut-urut..!
Memandang ke langit sambil berbisik :

"Ya Allah..kami tetamuMU yang lemah..
Sedang Engkau terkaya dari segala kelemahan..

Wahai Zat Yang Maha Sempurna..
Yang menjadikan sesuatu tanpa sia-sia..

Yang Maha Belas Kasihan pada HambaNya..
Yang Telah memberi janji dengan KalamNya :

الله لطيف بعبا ده يرزق من يشاء وهو القويّ العزيز

Maksudnya : Allah Yang Maha Lembut ( serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNYA ) terhadap hamba-hambaNya. Dia mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakkiNya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa.
(Surah As-Syura : 19)

Selamatkanlah kami Ya Allah..

Menangis Ana. Membasahi celahan jari yang sedang menekup wajah. Teresak-esak di subuh maut itu..

Tiba-tiba Haji Rosdi datang!
Ustaz Mahai datang!
Haji Wahid bangun!
Haji Alias selamat..
Haji, Hajah, adik, kakak..semua selamat di bawa turun..
Mereka selamat!
Mereka selamat!

Air mata laju meluncur turun.
Seakan bertasbih memujiNya yang tidak lalai mengawasi hambaNya..

Allah telah makbulkan!
Allah mendengar doa orang yang dhaif!
Allah membangkitkan mereka dari 'kematian'!
Dan Tanah Haram bakal menyambut orang-orang tua yang tidak berdaya.
Sedang Ana hanya menumpang keberkatan orang-orang tua kita yang mulia,
di Tanah Haram yang mulia.

Kampung

Dua tiga kali Ana taip perkataan dan susun ayat-ayat untuk artikel ni. Tapi kejap-kejap Ana padam semula. Ana taip lagi. Pun padam jugak.

"..Aduuhh, nape ni.." Bisik Ana.

Macam serba tak kena nak menaip kali ni. Padahal Ana bukannya tak biasa menaip. Dah hampir 40 artikel dah Ana kongsi dengan sahabat-sahabat blog. Dah dibukukan pun.

Tapi kali ni macam tak kena banyak benda.

Ana berhenti jap menaip..

.......................................................................................... (lama-lama).

"..Okey! Kali ni Ana taip betul-betul. "

Ana nak menaip tentang perasaan Ana yang sedang rindu pada kampung halaman..:

Ana anak kampung..besar dan belajar cara kampung. Hidup suasana kampung dan bermain cara kampung. Kalau nak susun cerita tentang hidup Ana kat kampung, Ana hampir tak dapat menyusun dengan tersusun di saat ni. Semuanya kerana hati Ana sedang merindui kampung. Otak lebih laju dari jari untuk merakam semua yang tergambar kat kampung. Tapi Ana akan cuba susun dalam bentuk tajuk kecil..

Begini ceritanya..

Masa kecil-kecil dulu, Ana akan bangun pagi-pagi lagi. Nenda kejutkan solat subuh. Terkebil-kebil Ana berjalan sambil mata buka sebelah, tutup sebelah. Pelan-pelan turun 3 anak tangga kayu kat dapur. Ambil wuduk dan tunaikan solat. Lepas dengar Nenda berzikir :

"..Subhanallah...Walhamdulillah... Alahuakbar .."

33 kali kat sejadah warna biru tua, barulah telinga Ana sayup-sayup menangkap doa Nenda :

"Ya Allah Ya Tuhanku, Ampunkanlah dosa hambamu ning..
Dosa kedua ibu bapa hamba...
Dosa anak cucu hamba..
D..o...s...aaa........

...........................

" Dieeee...bangung makanggg...."

Ruh terus masuk ke jasad!

Ana terkejut (terbangun). Nenda kejutkan sekali lagi rupanya selepas Ana tertidur waktu Nenda baca doa tadi.

Cepat-cepat Ana basuh muka sekali lagi. Kemaskan ikatan kain pelikat. Kemudian bersila depan Nenda. Kami sarapan pagi kat lambur (beranda). Macam biasa, air milo o dan roti paun cik ngoh delima. Sambil makan..sambil Nenda cerita. Cerita-cerita lama dan cerita-cerita baru.

Kadang-kadang telinga kat Nenda tapi hati kat bawah rumah.

Nape bawah rumah?

Ana simpan ikan sekila (pelaga) dalam botol yang tersusun kat bawah rumah. Nenda tak tahu. Kalau Nenda tahu Ana igak (tangkap) ikan sekila, pasti Nenda suruh lepaskan kat sungai.

Kami anak-anak kampung macam ni lah. Takde Flower Horn, takde game Mario. Kalau nak catatkan permainan kampung yang Ana sempat main dengan saing-saing (kawan-kawan) kampung..terlalu banyak. Ni antaranya :

Bela Ikang Sekila : Ikang Sekila atau ikan pelaga ni warnanya bermacam-macam. Hidup kawasan paya, air tawar dan lopak-lopak tanah berpaya. Ana ambil bakul kat dapur, kemudian campak ke tanah melalui tingkap. Bila dah dapat turun ke tanah, Ana ambil bakul tadi dan susup (sembunyi) dalam baju. Kateh (kayuh) basikal laju-laju..kami menuju ke paya pok abas. Biasanya ikan sekila ni membuat buih. Bila buka atau selak je pohon-pohon keladi dan lalang air, kita akan nampak buih memutih je terapung. Tu tandanya, ikan sekila tu ada. kalau yang buih berkarat tu biasanya dah lama la dia betapa kat situ.

Bedil Buluh : Buluh kecil dan penjoloknya kami buat dari buluh. Penjoloknya agak halus untuk ditekan ke dalam lubang ruas buluh. Bentuknya macam gobek sireh. Peluru bedil ni pula, kami gunakan surat khabar. Rendam surat khabar ke dalam besen berisi air. Bila dah basah kuyup, koyakkan sedikit dan gentel-gentel jadi bulat.Masukkan dalam ruas buluh pembedil tadi kemudian tolak (tembak) dengan penjolok. Macam senapang jugak bunyinya, Tapi tak kuat lah.

Tin 21 : Tin susu pekat manis kami susun macam piramid. Jumlahnya 21 tin. wujudkan 2 kumpulan untuk bertading runtuhkan dan susun semula tin tadi.

Main Game (Ana pun tak tahu macam mana istilah ni tercipta. Game tu sendiri kan memang dah maksudnya main) : Kami lukis atas tanah beberapa kotak untuk dijadikan tempat kaki bergerak mengikut syarat2 kotak. Gunakan juga serpihan tempayan atau bata yang pecah sebagai kor (tak tahu nak terjemah tapi macam wakil diri la)

Ziropin : Permainan utama budak-budak perempuan. Kami guna getah yang dipegang oleh 2 orang. Yang lain akan lompat getah tu dari paras tapak kaki,buku lali, lutut,pinggang,bahu dan kepala.Yang mencabarnya bila 2 orang yang pegang tu akan goyang-goyang getah tu sekuat hati untuk lompatan yang seterusnya.

Ton Nusup (sembunyi-sembunyi) : Ana memang hero main ton nusup. Sebab Ana biasanya sembunyi kat rumah sambil makan nasi. (Maaf kawan-kawan).

Senapang Buah Trobanggo : Sekeping kayu di lukis bentuk senapang dengan menggunakan arang. Kemudian dipotong mengikut lukisan tadi. Sebatang paku yang dipotong kepalanya (yang tempat kita ketuk tu) dipaku pada papan iaitu di kawasan bidikan. Kemudian hujung berus gigi yang berlubang tu, dijadikan pemetik. Ana tak nak detailkan cara nak buat senapang ni, nanti bahaya pula. Pelurunya ialah buah trobanggo ( Tak taulah kat kampung Antum panggil apa..tapi kat kampung Ana pohon ni banyak tumbuh kat kawasn kubur).

Menyelor (menyelam) : Pakai sprong dan guna pemanah yang diikat dengn getah lastik sebagai penarik panah. Biasanya menyelam kat sungai kampung, banyaklah ikan sungai yang kami dapat. Ikan baung, keli, haruan,kawang,sebarau, kise dan lain-lain.Kadang-kadang udang galah.

Ngawe (menjala pakai kelambu) : Ana biasanya mengawe dengan tokwan sepupu Ana. Namanya Mak Mandak. Kelambu tidur digunakan untuk mengawe.Dua orang akan memegang bucu kelambu dan mula rapatkan kelambu ke dasar paya. Mula bergerak perlahan dari tengah paya ke tebing.Dapatlah ikan-ikan kecil antaranya ikan seluang,ikan botok,ikan tilam,dan lain-lain.

Dan banyak lagi..

Ana tak dapat nak senaraikan semua sebab hati Ana sekarang sedang rindu kat kampung. Fikiran lebih laju dari jari..

Salam dari Ana.

Blogger Template by Blogcrowds