لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
Maksudnya : HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu ."

Salam Zulhijjah buat sahabat-sahabat yang Ana hormati. Rasanya dah lama jari Ana tidak menekan-nekan keyboard laptop ni. Kesibukan harian serta kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan Ana terpaksa mengambil peluang secukupnya dahulu untuk berehat. Inilah Sunnatullah..sihat lawannya sakit, hidup lawannya mati...Allahuakbar..

Rupa-rupanya, sedar tak sedar Zulqaedah telah meninggalkan kita. Tibalah Zulhijjah pula mengambil tempatnya. Subhanallah..betapa pantasnya masa berlalu..Ana sendiri menyambut Zulhijjah yang juga bulan kelahiran Ana kali ini dengan demam yang agak kuat. Sewaktu Ana menaip artikel ini, Ana sedang demam.

Pun begitu, Ana gagahi juga untuk meneruskan kuliah mingguan..gagahkan jugak kaki ni untuk memijak anak tangga masjid. Dan bila tangan mula pegang mic, melihat jemaah-jemaah yang hadir, kuat kembali hati ni. Demam pun dapat diubati dengan penyembuhan jiwa..

Benarlah kata para Ulama Tasauf bahawa kesihatan hati pasti membawa kepada sihatnya fizikal...Allahuakbar..

Sahabat-sahabat sekalian..

Sebenarnya setiap kali Zulhijjah bertamu, ia mengingatkan kita terhadap perhimpunan agung di Tanah Haram. Berjuta-juta manusia dari seluruh pelusuk dunia datang melaungkan Talbiah memuji Allah SWT dan mengagungkan zatNya Yang Maha Sempurna. Mengiringi Talbiah yang diucapkan dengan penuh keinsafan terhadap maksud kalimat-kalimah pujian tersebut.

Sedaya yang mampu ditunaikan rukun Islam yang kelima itu. Dengan kesabaran, kecekalan dan segenap tujuan yang dihimpunkan di dalam dada hanyaah padaNya semata. Berdoalah kita agar mereka yang sedang menjadi tetamu Allah SWT, selamat sejahtera serta diterima ibadat mereka oleh Allah Yang Maha Pengampun lagi Penyayang. Amin..Allahuakbar...

Sebenarnya..Haji merupakan perhimpunan yang tersurat bagi makna terhadap adanya satu perhimpunan yang tersirat iaitu Masyar..

Sebagaimana Haji merupakan perhimpunan yang bertujuan untuk menyahut seruan Allah sebagai tetamuNya di negeri tanah kelahiran junjungan kita Baginda SAW, begitu juga dengan Masyar Allah. Sekali lagi kita dihimpunkan. Tetapi kali ini dengan lebih ramai. Bukan sahaja Muslimin, bahkan Kafirin, Musyrikin. Bukan sahaja manusia, bahkan segala jenis dan bentuk makhluk Allah SWT. Bukan sahaja ummat ini, bahkan ummat-ummat terdahulu..Semuanya dikumpulkan untuk menyaksikan apa yang telah kita laksanakan. Allahuakbar...

Semuanya tersirat di sebalik Zulhijjah, salah satu bulan haram di antara 4 bulan haram di dalam Islam.

Allah SWT telah menegaskan tentang bulan-bulan haram ini sebagaimana FirmanNya :

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram…” (At Taubah:36)

Di dalam Tafsir Al-Jalalain menyebut bahawa yang dimaksudkan firman Allah : "diantaranya empat bulan haram .."itu ialah “Empat bulan Haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.” Inilah yang telah disepakati oleh Ulama' dan umat Islam diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Di dalam bulan ini juga terdapatnya ibadat Haji dan hari Arafah. Selain dari ibadat Haji, pada hari Arafah pula disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji untuk melakukan ibadat puasa. Rasulullah SAW juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura'.

Ibnu Jarir At-Thabari telah meriwayatkan melalui sanadnya, dari Ibnu Abbas Radhiallahu A'nhu terhadap pengagungan Allah terhadap kesucian bulan-bulan ini dengan katanya :

“Allah Ta’ala telah menjadikan bulan-bulan ini sebagai (bulan-bulan yang) suci, mengagungkan kehormatannya dan menjadikan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini menjadi lebih besar dan menjadikan amal shalih serta pahala pada bulan ini juga lebih besar.” (Tafsir ath Thabari)

Ibnu Katsir mengatakan,:

“Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu hanya ada empat. Tiga bulan secara berururtan dan satu bulannya berdiri sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka , ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang letaknya sebelum bulan-bulan Haji, yaitu bulan Dzulqa’dah, karena ketika itu mereka menahan diri dari perang. Sedangkan bulan Dzulhijah diharamkan(disucikan) karena pada bulan ini mereka pergi menunaikan ibadah Haji, dan pada bulan ini mereka menyibukkan diri dengan berbagai ritual manasik Haji. sebulan setelahnya, yaitu bulan Muharram juga disucikan karena pada bulan ini mereka kembali dari Haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai. Adapun bulan Rajab yang terletak di tengah-tengah tahun diharamkan (disucikan) karena orang yang berada di pelosok Jazirah Arabia berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang berkunjung ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.” (Tafsir Ibni Katsir)

Namun begitu, sekiranya kita menyelusuri sejarah dan Sirah, sebenarnya pada bulan Zulhijjah ini pernah berlaku peperangan yang dikenali sebagai peperangan Sawiq. (Tepung)

Peperangan ini berlaku akibat dendam kesumat Musyrikin Makkah yang diketuai oleh Abu Sufiyan akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang berlaku kira-kira 2 bulan sebelum peperangan Sawiq ini.

Kekalahan dan tertewasnya pemuka-pemuka Musyrikin Quraish Makkah dalam peperangan Badar yang lalu, menyemarakkan kesumat Abu Sufiyan sehingga menyebabkan Abu Sufiyan bersiap sedia bersama 200 orang berkenderaan telah bergerak menuju Madinah, bandar Rasulullah SAW untuk melaksanakan api dendamnya.

Ana memetik apa yang disebut di dalam kitab ألرّ حيق المختوم : السيرة النبوية (oleh Syeikh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri ) menyatakan apabila rombongan Abu Sufiyan ini telah sampai di satu kawasan bernama Sadr Qanah iaitu satu laluan yang menuju ke sebuah bukit bernama Nabib yang berdekatan dengan kota suci Madinah, rombongannya itu telah berhenti di situ.

Abu Sufiyan telah merancang strategi untuk menyerang Madinah dengan cara sembunyi kerana pada fikirannya menyerang Madinah secara terbuka umpama menempah maut. Apatah lagi mengingatkan kekalahan dan kehinaan yang telah menimpa mereka ketika tewas di tangan Rasulullah SAW dan Muslimin di dalam peperangan Badar yang lalu.

Melalui strateginya itu, Abu Sufiyan telah menyelusup masuk ke pinggir-pinggir Madinah pada waktu malam secara sembunyi dan berusaha untuk mendapatkan rahsia dan maklumat dari golongan Munafiqin.

Dan ianya berhasil apabila Sallam bin Mishkam iaitu ketua Bani Al-Nadir bersetuju untuk memberi maklumat. Maka berlansunglah perbincangan mereka disaksikan Allah SWT di malam yang gelita itu.

Setelah mendapat maklumat yang secukupnya dari Sallam bin Mishkam, Abu Sufiyan telah mengutus satu kumpulan kecil untuk menyerang satu kawasan di pinggir Madinah Al-Munawwarah yang dikenali sebagai Al-A'rid. Di situ, mereka telah memotong dan membakar pagar-pagar kebun kurma serta membunuh 2 orang penduduk yang terdiri dari kaum Ansar dan sekutunya.

Apabila berita pembunuhan itu sampai kepada Rasulullah SAW, dengan segera Baginda mengejar Abu Sufiyan yang mula melarikan diri setelah dapat menghidu pemburuan Rasulullah SAW terhadapnya. Ketika melarikan diri itu, Abu Sufiyan telah membuang Sawiq (tepung) serta bekalan-bekalan lain semata-mata untuk meringankan bebanan mereka agar pantas dapat meninggalkan Madinah.

Sungguhpun Baginda dan tentera Muslimin telah mengejar mereka sehingga ke Qarqarah Al-Kudr, namun mereka berjaya meloloskan diri setelah melakukan operasi pembunuhan dan kekacauan terhadap penduduk Ansar.

Jika kita menyelusuri Sirah melalui peperangan Sawiq ini, dapat kita fahami bahawa kaum Musyrikin Makkah sebenarnya merasa begitu terhina akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang lalu. Sehinggakan mereka tidak dapat tidur lena dan telah mengucapkan kata-kata nazar yang aneh sebagai bukti kesumat mereka yang tidak pernah terpadam selagi Rasulullah SAW tidak dibunuh.

Abu Sufiyan sendiri pernah menyatakan dalam nazarnya :

" Sesungguhnya aku tidak akan sekali-kali membasahkan kepalaku jika berjunub selagi belum dapat membunuh Muhammad "

Bahkan isterinya Hindun binti U'tbah sendiri ketika menzahirkan kebenciaannya kepada Baginda pernah mencadangkan agar Maqam Bonda Rasulullah SAW digali dan mayatnya dihina.

Ini dinyatakan oleh Hindun kepada Musyrikin Makkah ketika tentera Musyrikin ini sampai di Abwa' iaitu tempat pengkebumian Bonda Baginda SAW ketika perjalanan mereka untuk memerangi Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud.

Namun cadangan ini ditolak kerana pimpinan Quraish kerana bimbang terhadap risiko buruk yang bakal mereka hadapi sekiranya cadangan Hindun Binti U'tbah dilaksanakan.

Betapa buruknya dendam kesumat mereka. Sehinggakan sanggup melaksanakan kebenciaan dan api dendam mereka terhadap Rasulullah SAW walaupun terhadap mayat.

Teringat Ana akan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, di mana ketika Rasulullah SAW mengesat darah yang mengalir dari kepala Baginda akibat terkena panahan musuh dan mengakibatkan 2 manik dari baju besi Baginda tertusuk ke dalam pipinya yang mulia dan patahlah gigi seri Baginda, bersabda Baginda :

" Sesungguhnya Allah sangat murka kepada kaum yang telah mendarahi wajah RasulNya. "

Kemudian Baginda terdiam sebentar lantas berdoa :

" Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui." ( Sahih Muslim :Bab Ghazwah Uhud )

Subhanallah..betapa pemaafnya Baginda SAW terhadap Musyrikin walaupun mereka tidak putus-putus menyakiti Baginda.

Mudah-mudahan Zulhijjah ini menambahkan kecintaan kita kepada Baginda SAW lebih-lebih lagi bagi mereka yang dijemput Allah sebagai tetamuNya tahun ini.

Perbanyakkanlah kita mengingati Allah SWT dan Rasulullah SAW agar Zulhijjah yang datang ini dapat menjernihkan hati dan fikiran sesuai dengan semangat bulan haram yang disucikan dalam erti kata yang sebenarnya. Labbaikallahh...

Kali ini Ana akan tulis satu artikel yang paling pendek. Maklumlah sebelum-sebelum ni kan selalu panjang je Ana taip. Sekali-sekali apa salahnya jika Ana taip pendek sikit dari biasa. Sebab pendek dan panjang bukan ukuran. Pengisian dan keikhlasan yang paling utama.

Kalau nak diikutkan, ramai je orang yang taip panjang-panjang, tapi amalannya sikit-sikit. Ada juga yang taip sikit-sikit tapi amalannya panjang-panjang. Kalau boleh, biarlah kita taip panjang-panjang dan amalan kita pun panjang-panjang. Jangan tergolong kita dalam golongan yang taip sikit-sikit, amalan pun sikit-sikit. Wanau'zubillah.

Apa yang penting dan yang kita mahu agar panjang?

Umur?

Nikmat?

Sihat?

Kuasa?

Banyak kan?

Kalau nak ditaip apa yang kita mahu agar berpanjangan..tentu panjang pulak artikel ni kena taip. Lagipun Ana dah janji tadi nak taip pendek.

Sebenarnya di sebalik yang panjang tu, ada juga yang pendek-pendek kita minta. Apadia?

Sakit, exam, ujian, kesusahan dan lain-lain..

Semuanya kita minta agar pendek-pendek je..

Emm..Sebenarnya cuba bagitahu betul-betul..kita ni nak panjang ke nak pendek?

Jangan main-main dalam hal panjang pendek ni! Silap panjang, murka Allah yang kita dapat. Kalau begitu? Nak pendek?

Jangan main-main tau! Silap pendek..berdosa pulak!

Ya Allah..kalau macam ni..nak minta yang mana satu?

Mudah je. Jangan minta panjang, jangan minta pendek...Tapi mintalah RedhaNya. Kalau tanpa redhaNya, panjang dan pendek tidak berguna..

Pendek kan?

(Di pintu dapur kita, Die sentiasa bersandar di situ, merebahkan belakang di 'belakang Cik'..)

Nenda..
Pagi ini..kicauan burung,
Membawa ku Pulang,
Ke kampung kita..

Pagi di sana tidak seperti ini..
kicauan burung menyapa,
Disini?..deruan kereta..

Nenda..
Aku kan pulang Nenda..
menemani mu lagi,
di Pusara..

Keramat!
Ya Nenda..Keramat sungguh nasihatmu,
Menemani langkah,
Musafir faqirku,

Bagai pelita di rumah kita..
Di teratak mulia..

Nenda!
Jiwaku mejerit..:
"Aku Terlalu Rindu Padamu..!"

Namun jariku beradab,
menulis jeritan
dengan bahasa perasaan..

Nenda,
Apakah ertinya ini?
Terkurung di hutan batu,
sedang hati di hutan hijau..

Dan saat ini Nenda..
Air mataku turun lagi..
umpama tasbihmu..
yang mengikat cinta dalam satu untaian..

menghitung..

menghitung..

menghitung..

dan menghitung..

Sedang hati bertanya :
"Bilakah akan menggengam butir terakhir?"

Nenda,
Aku terlalu cinta padamu..
Sungguh!

Terlalu rindu untuk mengucup,
Dua matamu yang mulia..

Saat ini Nenda,
Dua tapak tangan ini,
menyeka titisan rindu,
Yang sekian lama,
gelora di jiwa..

Dan..
Ia menitis lagi Nenda..

Sedang aku tidak mahu ia berhenti..
Agar Allah menjadikannya saksi,
betapa cinta ku ini,
Sentiasa membara..

Di Suatu waktu itu..pasti,
Tapak tangan memutih ini,
tidak akan lagi sepasang,
untuk berdoa padamu,

Akan ku ajar zuriat berbicara padaNya :

"Ya Allah..Ampunilah Nenda kami..
Rahmatilah ia..
Pertemukanlah kami dengannya..
insan tercinta kami..
Nenda Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al-Yahya..
Amiin.."

Nenda..
Dengarkah doa anak kecil itu Nenda?
Suaranya halus,qudus,suci..
Sesuci tapak tanganmu..
yang sentiasa ingin aku kucupi..
Wangi..bunga tanjung..

Dan tanganmu yang menyuap itu,
Telah jua memeluk dada..
saat engkau menghadap Ilahi..

Nenda,
Untuk kesekian kalinya,
Ku ulangi lagi..
Dengan rendah hati,
Sepuluh jari kecil,
ku susun beradab,
Sedang hati menaruh harap..

Kubisik perlahan:

"Ampunilah dosa dan khilaf anakanda..
Moga Nenda tenang di sana.."

Bukankah Nenda telah mengajar :
"Aliff, Baa, Taa..?"

Lalu ku iringi cinta ini,
bersama firman suci,

Nenda,
kerinduan ini pasti buatmu
Selamanya..
Ia semata Firman Tuhan
Dan pesan Rasul junjungan..

cinta 2

(Kutitipkan kerinduan ini buat Ahlil Bait yang kucintai : Nenda Hajjah Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al Yahya, Nenda Hajjah Tuan Nafisah Binti Syed Abdullah, Bonda Hajjah Tuan Sharifah Akmal Binti Syed Salleh, Bonda Tuan Syarifah Nurhaslina Binti Syed Abu dan seluruh ahli keluarganya serta buat Ummiku tercinta Syarifah Yasmin Binti Idros Al-Idros)

Hati..
Disinilah (telunjukku menekan dada) jatuhnya pandangan Rabb. Kilang janaan cinta pada Pencipta Cinta. Yang dengannya Mahabbah itu dijana sedikit demi sedikit sehingga akhirnya dipenuhi dengan Halawah Iman. Lantas ketika itulah hati akan terfaham terhadap hakikat bagi sebuah kehidupan.

Maka memujilah bibir kering (kerana berpuasa) untuk membasahkan hati (dengan Zikrullah). Tenggelam dalam kemanisan yang berpanjangan selagi Allah di dalam hati...

Kerana Dia telah memberi hidayah kepada hambaNya yang dikehendaki maka memujilah hambaNya itu dengan penuh kehinaan. Berusaha mengalirkan titisan jernih agar ia menjadi saksi ketika diukur sifat makhluk padanya di Yaumul Mahsyar nanti..maka mata itu akan membela :

Ya Rabb..sesungguhnya aku pernah menitis kerana Khauf padaMu!

Tertanam keyakinan pada kalamNya. Dan tiada daya dan upaya bagi hati sehingga untuk mencari hidayah pun hanyalah dengan seizinNya.

Maka ketika itu, Makrifatullah yang telah terhasil dalam hatinya akan mula membentuk disiplin-disiplin anggota badani. Tangannya, kakinya,matanya, pendengarannya bahkan niatnya..semuanya menyungkur sujud pada Allah.

Yang pasti semestinya segala nikmat pinjaman itu, dikembalikan dalam keadaan suci kerana Peminjam dan Pemberinya Maha Suci.

Dan saat ini pun akan ditanya nanti!

Dia akan bertanya : "Wahai yang menulis..apakah niatmu di saat penamu ini membentuk huruf-huruf cantuman lalu ditatap ribuan mata terhadap kemuliaanKu yang engkau nyatakan? Sebagaimana yang engkau harapkan pada mata-mata yang menatap..apakah itu juga yang engkau qosadkan dalam hatimu?"

Bertanya lagi Dia: "Wahai yang membaca..apakah niatmu di saat-saat matamu beralih dari huruf demi huruf, kalimah demi kalimah ini? Adakah Mahabbah padaKu yang engkau harapkan setelah menggunakan nikmat-nikmat pinjamanKu untuk menatap? Atau sekadar memenuhi masa singkatmu yang pasti ada saat memutuskannya dari segalanya ini?"

Subhanallah..! Tunjukkilah kami kepada hakikat cinta yang sebenar-benarnya! CintaMu..

Maka Allah mengabulkan doamu itu..diutuskan seorang Nabi untuk menunjukkan bagaimana gelora dan asyik cinta itu sepatutnya dizahirkan! Iaitu Lelaki Quraish yang mulia dan menyuburkan kemuliaan itu bagi mereka yang menyintainya..

Sehinggakan setiap yang memandang padanya..Demi Allah..akan terpancarlah Nur ketenangan wajahnya itu ke dalam hatimu lantas akan mengikat hatimu itu padanya..!

Ruhmu akan mula merinduinya!

Hatimu akan penuh dengan cinta padanya!

Nafasmu akan bergelora kerana panahan cintanya yang membawa pada cintaNya!

Pun begitu..rindumu itu dan cintamu itu jika hendak dibandingkan dengan rindunya dan cintanya padamu..Demi Allah dia selalu mengatasimu!

Itulah yang mengikatmu wahai insan!

Sungguh dia telah mengikatmu!

Dia pencinta sejati!

Pengemudi haluan cinta bagaimana seharusnya hatimu digali sedalamnya agar semakin lama, semakin lama, semakin lama di gali, makin terkumpullah mata air suci yang pasti membasuh kekaburan pada hatimu..

Cintailah dia..Nabi Muhammad SAW!

Tahukah kamu..di antara 2 kulit Mushaf yang suci itu, Demi Allah tidak pernah pun Allah memanggil Nabimu ini dengan :
!يا محمد

Sedangkan Nabi-Nabi lain diseru dengan namanya :

وما تلك بيمينك يا موسى؟
Maksudnya : "Dan apakah ditangan kananmu Ya Musa? (Surah T0ha: Ayat 17)

يزكرياّ اناّ نبشّرك بغلم اسمه يحي
Maksudnya : "Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira padamu dengan berita kelahiran seorang anak lelaki yang bernama Yahya...(Surah Maryam: Ayat 7)

Sungguh! Kesemua Nabi-Nabi, diseru dengan namanya..

Lalu bagaimana Nabi kami diseru?

Nabi yang mulia ini diseru :

يأيّها الرسول بلّغ ما أنزل اليك من رّبّك
Maksudnya : " Wahai Rasul..sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu..(Surah Al-Maidah: Ayat 67)

Nabi ini diseru lagi :

يأيّها النّبىّ جهد الكفّار والمنفقين واغلظ عليهم
Maksudnya : "Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang Kafir dan Munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka..(Surah At-Taubah:Ayat 73)

Subhanallah! Nabi ini diseru dengan penuh lembut oleh Allah SWT. Sebagai tanda betapa mulianya penghormatan Allah terhadap Baginda.

Dan inilah jua yang disebut oleh Al-A'llamah As-Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sya'rawi (Semoga Allah merahmatinya) , seorang mufassir yang telah kembali ke Rahmatullah dan amat terkenal di abad ini.

Dan betapa Allah melarang ummatnya ini mengangkat suara ketika berbicara dengan Baginda sebagaimana Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لا تَشْعُرُونَ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dgn suara yang keras sebagaimana kerasnya sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, (ia adalah agar) supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedarinya." (Surah Al-Hujurat: Ayat 2)

Betapa Allah telah mengajar manusia agar mencintai dan merendah diri padanya.

Bahkan Sayyidina Abu Bakar turut membuktikan kesopanannya terhadap Baginda. Dimana ketika Sayyidina Abu Bakar R.A menyampaikan khutbah, Abu Bakar tidak pernah berdiri di anak tangga yang biasa Rasulullah SAW berdiri padanya ketika hayatnya di saat menyampaikan khutbah.

Mengapa begitu wahai kekasih Nabi?

Jawabnya : "Semata-mata aku menghormati Baginda..
Bukankah di anak tangga pertama itu tempatnya Baginda berdiri? Maka biarkanlah aku berdiri pada anak tangga yang kedua ini.."

Subhanallah! Tingginya Mahabbahmu kepada kekasihmu itu, Ya Abu Bakar!

Sucinya cintamu kepada kekasihmu itu, Ya Abu Bakar!

Bahkan apabila nama Baginda disebut setiap kali Abu Bakar berkhutbah, pasti dia menundukkan kepalanya seketika lalu berhenti dari khutbahnya!

Mengapa engkau berhenti Ya Abu Quhafah?

Rupanya Abu bakar menangis teresak-esak kerana kerinduan pada Baginda SAW!

Maka bergemalah Masjid Nabawi itu dengan tangisan jemaah yang berkumpul. Mereka turut menangis apabila mendengar betapa pilunya esakan Abu Bakar yang amat merindui kekasihnya..kekasih kita..

Semoga Allah menjadikan hati kita terkumpul di antara hati-hati yang mahabbah padaNya dan RasulNya yang mulia. Cintailah dia sepenuhnya..

Fana dan fana..

Nabi ini telah mengajar kami agar segenap zahir batin yang fana ini hanyalah diserahkan kepada Zat yang tidak sekali-kali fana!

كلّ من عليها فان * ويبقى وجه ربّك ذو الجلل والاكرام
Maksudnya : Semua yang ada di bumi itu pasti binasa * Dan yang tetap kekal hanyalah Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (Surah Al-Rahman : Ayat 26)

Ya Allah..Sungguh dia telah menunjukkan jalan Mahabbah padaMu itu! Dan kami bersaksi dia telah membuktikan kecintaan itu..dengan Mahabbah..Tulus, Qudus..

Sehinggakan kami telah ketahui dari athar-athar yang terjaga bahawa matanya, kakinya,pendengarannya dan seluruhnya itu turut sujud padaMu!

Bahkan mempunyai sifat malu pada anggotanya itu..

Sejak itu..Demi Allah!

Kami menyimpan cita-cita di dalam dada..bahawa kami ingin sekali menyalami tangannya. Menyela-nyela jari kami di celahah jari sucinya..

Bahkan wajah yang mulia itu kami sangat harapkan agar dapat ditatapi. Kerana sekiranya mata-mata ini tidak dapat memandangnya pada hari Kiamat (minta dijauhkan Allah SWT), masakan Syafaatnya kami terima?

Lalu terduduklah kami..!!

Mengerutkan dahi dan mula mengamati setajamnya terhadap apa yang telah dibuat oleh keseluruhan pancaindera kurniaanMu ini Ya Rabb!

Di saat mata hati ini berharap dengan seharap-harapnya untuk menyalami tangan yang mulia itu..tiba-tiba teringat kami akan noda dan dosa yang terpalit padanya..

Benarkah tangan? Tangan pun mengiyakannya!

Bagaimana tangan mengiyakannya?

Dengan izin Allah SWT yang berfirman :

اليوم نختم على أفوههم وتكلّمنا أيديهم وتشهد أرجلهم بما كانوا يكسبون
Maksudnya : Pada hari ini Kami tutup mulut mereka: Dan berkata-katalah tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka turut menjadi saksi kepada Kami di atas apa yang telah dilakukannya. (Surah Yaasin : Ayat 65)

Bukankah tangan ini memegang yang haram ketika ada ruhnya (upayanya)? Sedangkan Tangan Baginda amat terjaga dari yang haram!

Lalu bagaimana?

Sekiranya tangan ini tidak diizinkan menyalami lantas mengucupi tangan mulianya yang terjaga dari yang haram..dengan jalan apa lagi hendak kami kenalkan diri ini pada Baginda di padang Masyar?

Dengan mata?

Pun tidak!

Mengapa wahai mata?

Lalu mata menjawab : Sesungguhnya aku telah melihat yang haram! Sedangkan matanya yang mulia itu amat terjaga dari yang haram..

لا حول لنا ولا قوّة الاّ بالله العليّ العظيم
Tiada daya upaya dan kekuatan sedikitpun bagi kami kecuali seizin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Duhai Allah..

Allah..Allah..Allah..

Yang Maha Menguasai setiap makhlukNya..

lagi Maha Pemurah KeampunanNya..

Ampunkanlah kami serta pandanglah kami ini dengan pandangan RahmatMu..agar dengannya dapat pula kami memandang pada wajahnya yang mulia itu di hari yang tiada Syafaat kecuali SyafaatMu melaluinya..

Hanyalah padaMu lah talqin buat hati..Hanya padaMu lah pengaduan ini..

Petang tadi Ana ke stesen bas Cheneh Baharu. Hantar Wan, Mak dan Mak Nda balik ke Kuala Berang. Balik selepas kami berempat melawat dan bermalam kat rumah Tokwan saudara Ana yang tiba-tiba jatuh sakit.

Sebenarnya selepas dapat sms ringkas dari Acik pagi kelmarin, Ana bergegas pulang ke Cheneh. Katanya Tokwan Ana tu masud wad. Demam takda, pening takda..tiba-tiba je sampai berita ..dah masuk wad?

Emm..beginilah hidup. Ada asam garamnya. Sihat lawannya sakit, hidup lawannya mati. itulah Sunnatullah..

Teringat pula Ana pada Firman Allah menerusi lidah RasulNya yang mulia,Nabi Ibrahim A'laihi As-Salam :

واذا مرضت فهو يشفين

Maksudnya : Dan apabila aku sakit, Dialah Yang Menyembuhkan ku. (Surah As-Syua'raa : 80)

Subhanallah...betapa benarnya kalam Allah ini. Tersurat padanya penyerahan secara total para hamba dengan Rabbnya, makhluk pada Khaliknya..

Sebenarnya ayat Al-Quran yang telah dijadikan doa ini merupakan antara kandungan dakwah Nabi Ibrahim A.S kepada ayahnya yang enggan menerima risalah tauhid yang dibawa ketika itu. Jadi, elok benar kita sama-sama amalkannya dan dapat pula kita sebarkan pada semua.. Amin.

Zikrullah..

Dah terlanjur bicara tentang sakit ni, elok sangatlah kita tinjau-tinjau apakah amalan yang biasa dilakukan oleh kita di waktu sakit walaupun waktu sihat, jarang-jarang sangat kita buat.. ..apa lagi kalau bukan Zikrullah...

Kalimah Zikrullah bukanlah satu kalimah yang asing di telinga kita walaupun mungkin ia asing bagi lidah dan hati kita. Wanau'zubillah!

Seingat Ana la kan..waktu sakit, mulut kita sentiasa menyebut-menyebut Allah. Biasa sangat kita ucap :

" Ya Allah...sakit sangatlah aku ni..."

ataupun kita ucap :

" Aduuhhh..sakitnya Ya Allah..."

dan macam-macam lagilah...

Tak kiralah samaada kita panggil Allah dulu ke di awal keluhan sakit kita tu..atau kita tukar mengaduh dulu...barulah kita sebut nama Allah..

Tapi yang pasti..kita sebut banyak-banyak kali kan?. Maklumlah ketika itu kita baru nak Allah. Baru nak ingat Allah... Itupun setelah puas kita panggil :

" Doctor..Doctorrr..."

Sedihnya! Inikah kita? Yang sentiasa menerima nikmat Allah tanpa batasan tetapi lupa untuk memujiNya? Bukankah Dia-lah yang telah mengizinkan tanganmu setiap hari menyuap rezekiNya dan kemudian dikurniakan pula nikmat kenyang?

Berzikirlah! Bawak-bawaklah berubah..Sampai bila kita nak jadi macam ni? Malulah pada makhluk Allah yang lain. Mereka pun tahu berzikir!

Firman Allah SWT :

تسبح له السموت السبع والارض ومن فيهن وان من شىء الا يسبح بحمده ولكن لا تفقهون تسبيحهم انه كان حليما غفورا

Maksudnya : Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatupun kecuali bertasbih memujiNya tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Dia-lah Allah Yang Maha lembut lagi Maha Pengampun. ( Surah Al-Isra' : 44)

Firman Allah SWT :

ويسبح الرعد بحمده والملئكة من خيفته

Maksudnya : Dan guruh itu bertasbih memuji Allah, ( demikian pula ) para Malaikat kerana semata-mata takut kepada-Nya...( Surah Ar-Ra'du : ayat 13 )

Berzikirlah kita ..berzikirlah..


Sahabat-sahabat sekalian..Agak-agak kitalah..apa maksud Zikrullah ye?

Secara ringkasnya Zikrullah bermaksud menyebut-nyebut nama Allah. Iaitu menyebut-nyebut dan mengulang-ngulang kebesaran, kesempurnaan, kesucian dan segalanya. Puja dan pujian yang hanya kembali pada Zat Yang Maha Sempurna iaitu Allah.

Ia adalah bertujuan untuk mendekatkan diri padaNya semata..

Zikrullah juga merupakan ibadat yang tiada sempadan dan hadnya. Bahkan ketika haid pun, tetap saja digalakkan membasahi lidah dengannya. Ia adalah lambang penghubung makhluk dan Rabbnya dan merupakan penzahiran terhadap penghinaan diri lantas membesarkan Allah SWT..

Di dalam satu Hadis Qudsi, Allah SWT telah berfirman :

انا عند ظن عبدى وانا معه اذا ذكرنى

Maksudnya : Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku terhadap diriku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingati-Ku.


Bahkan Abdullah bin Abbas Radiyallahu A'nhu telah berkata :

Sesungguhnya setiap kewajipan yang telah Allah SWT perintahkan kepada hamba-hambaNya ada batas-batasannya. Bagi yang uzur, dimaafkan olehNya. Namun tidak bagi Zikrullah. Tidak ada batas dan uzur yang dapat diterima untuk keringanan dari Zikir kecualilah apabila aqal itu sudah berubah menjadi gila.


Telah berkata Abu Qasim Al-Qusyairy :

Zikir itu adalah lambang kewalian serta umpama jiwa bagi segala amalan..

Lihatlah! Betapa besarnya keutamaan berzikir memuji Allah SWT ini.

Dengan merintih dan membasahi lidah sebagai pujian yang tidak putus-putus pada-Nya itu, sebenarnya secara tidak lansung kita mengakui kelemahan diri. Mengakui kekerdilan diri lantas menghapuskan riak, takabur dan segala pakaian Allah yang telah kita sarung selama ini!
Bukankah Dia-lah yang tidak putus-putus memberi dan mengurniakan?

Berzikirlah kita..berzikirlah!

Sedaya-upaya mengingatkan diri dan mengasuh hati agar tidak lalai serta alpa pada qudrat-Nya.

Sedangkan dalam zikir pun boleh lalai apatah lagi jika meninggalkannya. Berkata Syeikh Ibnu A'thoillah dalam Al-Hikamnya :

لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه لأن غفلتك عن وجود ذكره أشد من غفلتك فى وجود ذكره

Maksudnya : Jangan meninggalkan Zikrullah! Kerana (bukankah) kamu tidak dapat mengingati Allah sepenuhnya walaupun sedang berzikir. (Oleh itu) lalai bagi orang yang lansung tidak berzikir (adalah) lebih bahaya dari mereka yang lalai ketika (tetapi masih dalam ) berzikir.

Bukankah lalai dan lupa itu adalah sifat Iblis? Ayuh..berzikirlah..

(Kutitipkan kerinduan ini buat Ahlil Bait yang kucintai : Nenda Hajjah Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al Yahya, Nenda Hajjah Tuan Nafisah Binti Syed Abdullah, Bonda Hajjah Tuan Sharifah Akmal Binti Syed Salleh, Bonda Tuan Syarifah Nurhaslina Binti Syed Abu dan seluruh ahli keluarganya serta buat Ummiku tercinta Syarifah Yasmin Binti Idros Al-Idros)

لّقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لّمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya : Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu terdapat contoh tauladan yang amat terpuji bagimu (iaitu) bagi mereka yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat serta sentiasa menyebut nama Allah. (Surah Al-Ahzab : 21)

Berhenti Ana membelek-belek Sirah Nabawiyah. Memberi ruang untuk tangan kanan menyeka air mata yang mula menitis. Bergenang hangat. Menitis perlahan apabila air hening itu mula memenuhi kelopak. Cukup menyentuh hati. Lebih-lebih lagi mengenangkan Rasulullah SAW. Contoh yang terbaik...

Ya Rasulullah..

Dialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib. Satu nama yang tak pernah dilupakan. Anak yatim dan miskin dari Makkah, seorang yang amat terpuji dan pemaaf. Akhlaknya meruntun hati. Yang telah menangiskan mata-mata yang telah merinduinya apabila hati dipenuhi Mahabbah padanya.

Seorang yang sangat sederhana, lemah-lembut, penyambung silaturrahim, penyabar, pembawa cahaya kegembiraan serta pemberi inzar. Terhimpun segala kesempurnaan padanya sejak hari ia diciptakan oleh Allah Yang Maha Sempurna.

Sejak dilahirkan dia telah bersujud pada Allah Yang Menciptakan.Kerana Ia dilahirkan di dalam keadaan bersujud!

Berkata Bondanya Aminah binti Wahab berasal dari Bani Hasyim, satu nasab yang amat dihormati oleh masyarakat Arab :

"Ketika aku mengandungkan Muhammad, aku tidak pernah merasa yang aku sedang hamil. Dan ketika dia mula keluar dari perutku, dia keluar dalam keadaan bersujud di atas bumi. Demi Allah, sejak dia lahir, dia sudah bersujud kepada Allah, Zat Yang Maha Esa."

Subhanallah..

Dan setelah itu juga, dia terus menterjemahkan sujudnya itu ke dalam setiap hembusan dan tarikan nafasnya..selama 63 tahun..

Semoga Allah menjadikan hati ini di antara hati-hati yang sujud padaNya. Seperti dia..lelaki Quraisy yang amat mulia..

RUH MULA MERINDU..

Dia seorang Anak yatim yang tidak sempat menatap wajah mulia ayahandanya. Malah kasih bondanya itu pun tidak lama dikecapi. Dengan demikian..tinggallah dia sebagai seorang miskin lagi yatim piatu..

Berkata Para Ulama ketika menyatakan hikmah terhadap peristiwa ini :

Sesungguhnya dengan yatimnya Rasulullah SAW ini agar dia sentiasa berhubung dengan Allah SWT. Ia merupakan semangat kenabian yang seharusnya disemai sejak kecil lagi.

Maha Suci Allah SWT yang telah mengatur sesuatu. Terkandung kesempurnaan yang tidak pernah diketahui selainNya..

Ketaatannya jua terserlah semenjak kecil..Bukankah Halimah As-Sa'diaah ibu susuannya pernah menyebut :

Ketika anak yang mulia ini masih kecil, aku pernah melihatnya merenung dan menatap langit dan bintang-bintang. Sedangkan ketika itu umurnya baru mencecah 2 tahun.

Laailahaillalah..!

Maha Suci Allah yang mendidiknya dengan segala kemuliaan. Menghubungkan anak yatim ini dengan harapan bagi segala harapan..iaitu Allah SWT..

Maka bermulalah kerinduan padanya!

Dengan kemuliaan akhlaknya, panji-panji kerinduan mula berkibar lantas menghidupkan ruh Mukminin, mukhlisina lahu Addin untuk sentiasa menyatakan kerinduan padanya dengan menghidupkan sunnahnya..

Maka hiduplah kerinduan itu di hati para Muttaqin terhadap lelaki Quraisy ini yang apabila diangkat bajunya (ketika Baginda menggali lubang sebagai persediaan menghadapi peperangan Khandak)..maka terlihat beberapa batu yang diikat kejap pada perutnya yang mulia..

Batu apakah itu?

Kedua bibir suci itu menjawab : " Batu pengikat dan penahan dari kelaparan."

Subhanallah..Wahai Nabi yang Mulia...mengapakah begini Ya Rasulullah? Engkau telah menitiskan air mata kami dengan kerendahan budimu..menjinakkan hati dari dunia dengan kesempurnaan zuhudmu..betapa jauhnya kami denganmu Ya Rasulullah..kejauhan yang sangat terasa..

SABARLAH..SABARLAH..

Bukankah para Sahabat Alaihimussolatuwassalam telah berlumba-lumba menyatakan kecintaan padanya? Mendampingi dan sentiasa melindungi Baginda? Sehinggakan apabila Umar ingin sekali mencederakan Badwi yang telah menarik serban Baginda dengan kasar sehingga kemerahanlah lehernya yang melepak itu..maka Baginda bersabda :

"Sabarlah..sabarlah.."

Dan apabila sekali lagi Umar ingin sekali mencederakan Badwi itu kerana meminta-minta dengan berlebihan pada Baginda, Baginda tetap bersabda :

"Sabarlah..sabarlah.."

Akhirnya dengan sifat pemaafnya itu membuatkan Badwi itu mengaku :

"Demi Allah tidak adalah seorang lelaki yang paling aku benci kecuali Muhammad..dan demi Allah..mulai hari ini tidak ada seorang lelaki pun yang paling aku cintai melainkan Muhammad.."

Maka dia terus mengucapkan dengan yakin : اشهد ان لااله الاّالله وأشهد أن محمد رسول الله

Subhanallah..betapa lembutnya dikau Ya Rasulullah. Pemaafnya dikau Ya Rasulullah..Kesabaranmu itu umpama benih yang ditaburkan lantas ia tumbuh subur dengan mahabbah fillah..

Bukankah penduduk Thoif pernah menolak kerasulan Baginda dengan kekerasan dan ugutan? Sehinggakan apabila Rasulullah SAW menyatakan :

"Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu..maka ucapkanlah لا اله الاّ ألله nescaya kamu akan selamat."

Lantas mereka membalas :

" Tidak ada kah selain engkau yang lebih layak diutus Allah sebagai utusanNya?"

Sekalipun itu yang diterimanya dari Sohib At-Thoif..dia tetap sahaja bersabar!

Sekalipun bumi Thoif menyaksikan semulia-mulia makhluk ini telah diusir dengan penuh kehinaan dengan kedua kakinya berdarah dilontari batu oleh anak-anak kecil dan hamba sahaya..dia tetap sahaja bersabar!

Dan kesabarannya itu berhasil! Di mana pada tahun kesebelas Hijrah Baginda ke Kota Madinah yang suci itu, satu hari ketika Baginda di dalam Masjidnya, Baginda telah didatangi oleh rombongan penduduk Thoif. Mereka datang untuk mengucapkan Syahadah, mengakui kebenaran risalah yang dibawa olehnya. Maka menangis Baginda! Membasahi janggutnya yang mulia. Kerana teringat peristiwa diusir dari Thoif beberapa tahun yang lampau.

Tetapi hari ini, Allah telah membuka hati-hati mereka sehinggakan mereka datang untuk benar-benar menyerahkan diri pada Allah dan RasulNya..

semuanya berkat doa dan kesabaran Baginda SAW..Subhanallah...

Bahkan bukan disitu sahaja kesabaran Baginda..

Di medan Uhud, ketika matanya yang mulia menyaksikan syahidnya Anas bin An-Nadhr, terkulainya Sa'ad bin Ar-Rabi', tewasnya Sayyidina Hamzah bapa saudaranya yang amat dicintainya dengan tubuhnya yang dilapah dan dikeluarkan jantungnya,ketika itu juga tidak tertahan Baginda..

Mengalir air matanya seumpama mutiara putih, menzahirkan dukacita yang bersangatan. Namun, Baginda tetap sahaja bersabar, bersabar, bersabar dan bersabar...
sambil linangan air mata itu Baginda iringi dengan senyuman....

tersenyum?

Kehairanan kami Ya Rasulullah!

Mengapa anda tersenyum Ya Rasulullah?

Jawab Baginda..kerana firman kekasihku yang mengingatkan :

فاصبر صبرا جميلا
Maksudnya : "Maka bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perlakuan golongan kafirin itu) dengan kesabaran yang sebaik-baiknya." ( Surah Al-Ma'arij : 5)

فصبر جميل
Maksudnya : " Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." (Surah Yusuf : 18)

فاصبر انّ وعد الله حقّ
Maksudnya: " Maka bersabarlah kamu kerana sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.." (Surah Al-Mu'min : 55)

فاصبر كما صبر أولو العزم من الرسل
Maksudnya : " Maka bersabarlah kamu seperti mereka yang mempunyai keteguhan hati di kalangan Rasul-Rasul..." (Surah Al-Ahqaf : 35)

Subhanallah..Maka di atas ingatanNya itu..engkau sanggup bersabar Ya Rasulullah SAW. Betapa mulianya dirimu! Betapa kesabaranmu mengatasi kesedihan yang telah engkau tanggung. Sekalipun golongan Musyrikin dan Kafirin itu mengkhianatimu dan menjauhimu..engkau tetap saja bersabar Ya Rasulullah..!

Semuanya kerana sujudmu yang Qudus pada QudratNya Yang Maha Agung..



AKUKAH YA HUZAIFAH..?

Kemuliaan akhlak Baginda SAW telah menjadi contoh yang tidak pernah dilupakan oleh para Muttaqin. Segalanya yang ada pada Rasulullah SAW adalah kemuncak kepada kesempurnaan iman apabila diterjemahkan ke dalam hidup yang singkat ini.



Tidakkah sampai kepadamu kisah Sayyidina Umar dan Huzaifah Al-Yamani? Mereka berdua telah menangisi diri..lantaran Khauf terhadap Allah telah menguasai hati-hati mereka..



Siapakah Huzaifah?



Beliau merupakan penyimpan rahsia Rasulullah SAW. Atau dikenali sebagai سرّ الأمين .

Di antara rahsia-rahsia yang pernah dititipkan Rasulullah SAW padanya, antaranya ialah senarai nama-nama orang Munafiqin di bandar Madinah Al-Munawwarah yang dianggarkan seramai 60 orang ketika itu. Dan Huzaifah menyimpan rahsia tersebut dengan sepenuh hati sebagaimana kepercayaan Rasulullah SAW padanya yang sepenuh hati..



Sedang Sayyidina Umar mengetahui bahawa pada Huzaifah itu, tersimpan senarai nama-nama orang Munafiqin la'natullah a'laihim..



Pernah satu ketika di saat pemerintahan Sayyidina Umar, Umar telah berkata pada Huzaifah penyimpan Rahsia Nabi ini..:

"Ya Huzaifah..Demi Allah, semenjak aku mengetahui padamu terdapat senarai nama-nama para Munafiqin..aku tidak dapat melelapkan mataku kerana sentiasa memikirkan siapakah mereka..siapakah mereka..?



Berkata Umar lagi..: ..يا حذيفه ءأنا منهم؟

Maksudnya : Ya Huzaifah..adakah (entah-entah) aku ini pun tergolongan dari kalangan mereka (Munafiqin)?



Menangis Huzaifah!..

Betapa kerendahan dan ketaqwaan Umar yang masih saja merasakan dirinya jauh dengan Allah SWT. Amat meruntun hatinya..Subhanallah..



Bahkan Umar ini pernah mengucapkan :

لو عسرت بغلة فى العراق لسئلني الله لما لا تصلح الطريق يا عمر

Maksudnya : "Sekiranya tergelincir baghal atau himar di jalan-jalan negeri Iraq ini (sedang aku memerintah negeri ini) nescaya Allah akan bertanya kepada Umar : Ya Umar, mengapa kamu tidak membaiki jalan-jalan ini..?"



Betapa akhlak Rasulullah SAW telah menjadi nur bagi mereka..menyelusuri zaman sehingga disebut-disebut dengan penuh kemuliaan..



Tidakkah juga sampai kepadamu kisah tentang Sayyidina Hussein? Cucunda Baginda yang tidak sekali-kali Rasulullah SAW memanggilnya kecuali dengan perkataan : "Wahai anakku..wahai anakku.."



Tahukah kamu bahawa Ahlil Bait yang mulia ini, yang Rasulullah SAW meletakkan bibirnya yang mulia pada bibir anaknya ini sentiasa mengambil berat terhadap urusan ummat. Berjalan Baginda Sayyidina Hussein setiap malam mengelilingi bandar Datuknya itu, Madinah Al-Munawwarah untuk mencukupi bekalan Fuqaraa' wa Masaakiin..

Dia telah memikul gandum di bahunya yang mulia sepanjang hayatnya...semata-mata berkhidmat untuk ummat yang dikasihi sehingga wafatnya..



Dan di saat cucunda Rasulullah SAW ini dimandikan, maka ternampaklah kesan bebanan pada bahunya...

Bebanan apakah itu?



Bebanan memikul gandum untuk Fuqaraa' dan masaakiin..pada setiap malam...

Subhanallah...

Inilah mereka..yang telah terhasil dari tarbiyah Rasulullah SAW .Yang dengannya jua telah membentuk keperibadian-keperibadian para Muttaqin. Meyakinkan mereka agar selalu menghubungkan hati pada Allah SWT demi meraih redhaNya. Ia juga sebagai bukti kecintaan yang berpanjangan buat Rasulullah SAW.



Maka..hidupkanlah kerinduanmu itu dengan menghidupkan Sunnahnya..Sebagai bukti kecintaan ummat buat kekasih yang mulia..

Perhatian kepada sahabat-sahabat blog Sufifaqir. Ana dengan rendah hati memohon agar pengunjung ruangan chat CBOX tidak meletakkan email anda buat sementara waktu. Ini kerana terdapat virus yang mengunjungi blog ini telah cuba menghubungi sahabat-sahabat yang menyertakan email dan menghalang mereka dari berhubung dengan Sufifaqir. Bagi pengunjung dan sahabat-sahabat yang ingin menghubungi Sufifaqir, anda diminta menghubungi terus melalui email Sufifaqir : rashidy_arrashid@yahoo.com. Manakala bagi mereka yang ingin meninggalkan pesanan dalam ruangan CBOX adalah diingatkan sekali lagi agar tidak menyertakan email buat sementara waktu. Segala kesulitan amatlah dikesali. Bagi pihak Sufifaqir, Ana boleh Ban virus ini tetapi Ana masih bagi peluang terakhir padanya walaupun ini adalah kali kedua virus ini mengganggu keharmonian blog ilmu ini. Ana bagi peluang ini semata-mata beramal dengan Firman Allah SWT yang menyebut :

"Berilah kemaafan, serulah ke arah kebaikan dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil" (Al-A'raf)

Tetapi, Ana juga akan beramal dengan apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya orang Mukmin itu tidak akan disengat dua kali di tempat yang sama"
( Al-Hadith)

Perbanyakkanlah mengingati Allah SWT. Semoga Allah memberi hidayah kepada virus ini. Lebih-lebih lagi di Syawal yang mulia ini.

50 Sen

Pandangan Ana menembusi celah-celah jaringan besi penutup longkang. Mencari-cari duit 50 sen yang terjatuh dari poket kemeja Ana. Pelan-pelan Ana duduk. Membongkok sambil menguis-nguis duit 50 sen tadi. 2 gadis berdekatan tersenyum-senyum memandang Ana. Ana turut tersenyum. Ada bisikan antara mereka. Boleh jadi pelik melihat pemuda berkot hitam di tepi longkang..

Hujung ranting kayu sehasta Ana hulur ke dalam longkang. Menekan-menekan syiling besi. Kemudian pelan-pelan Ana tolak-tolak bawa ke tepi.

". .Alhamdulillah..". Ucap Ana bila ruang tangan untuk menyeluk jaring besi mencukupi. Susah payah Ana seluk. Dari tanah, syiling sederhana besar tadi mula berpindah ke tapak tangan . Pantas syiling besi 50 sen itu Ana gengam dan bawa naik ke atas..Ana cukup sayang padanya..cukup bernostalgia..

MANA SATU PILIHAN?

"..Nak beli nasi ke kuih?..kalau beli nasi..tak dapat beli air..Tapi..kalau nak air..terpaksa beli kuih ajalah.." Fikir Ana. Seakan-akan bermonolog Ana dengan kemahuan yang tersepit. Tersepit antara keinginan dan kemampuan..

Dalam suasana begini, Ana teringat pagi tadi, selepas sarapan, tangan suci Nenda menghulur lagi. Seperti biasa Ana sambut. Sambut seperti pagi kemalrin dan pagi-pagi sebelumnya. Sambut duit belanja sekolah..

"..Jimat-jimat belanja Die.." Kata Nenda sayu. Entah kenapa suara Nenda selalu begitu. Sayu dan mendatar..Mungkin terasa pada Nenda jumlah yang diberi tidak seperti anak-anak sekolah yang lain. Tapi itulah yang termampu. Seperti biasa..Ana anggukkan kepala. Senyum Ana. Sambil duit 50 sen itu Ana gengam kejap-kejap, Ana mula simpan ke dalam poket seluar. Duit keramat...

Sebolehnya Ana taknak menyusahkan Nenda. Ana terlalu sayang padanya. Kalau pun Nenda tak dapat bagi belanja pun, Ana boleh bawak bekal. Ada je kawan-kawan yang bawak bekal. Maklumlah, kami semua anak-anak kampung. Tak mampu nak bermewah-mewah.

Lagipun Ana dah biasa dengan sederhana begini. 50 sen sehari waktu sekolah rendah dan 80 sen waktu sekolah menengah cukup mengajar Ana erti jimat-cermat, erti sederhana. Kesedaran ini Ana guna sebaik mungkin sekarang.

Ada anak nanti, Ana akan didik mereka dengan kesederhanaan dan kesusahan. Mudahan mereka akan menjadi insan-insan yang suka membantu dan menghargai orang-orang tua yang telah banyak berkorban. Amin.

BETAPA PENGORBANAN MEREKA..

Kalau diingat-ingatkan balik, bertapa mulianya pengorbanan Nenda. Macam-macam kerja Nenda buat. Jual kuih, buat kawe, jahit lembek dan lain-lain. Semata-mata nak sekolahkan Ana. Sedih Ana..

Orang-orang tua kita semuanya begitu kan? Berkebun, bertani membanting tulang untuk besarkan anak cucu. Kalau difikirkan, banyak mana sangatlah pendapatan yang mereka perolehi. Tapi Alhamdulillah. Ana rasa semuanya cukup makan, cukup pakai dan paling penting tak sampai berhutang. Dan kalau berhutang pun, kita semua tahu, mereka sanggup! Semuanya kerana kita..Besar benar harapan mereka agar anak cucu menjadi orang yang berguna dan mulia budi pekerti.

Jadi Ana pun sebolehnya..taknak menyusahkan Nenda. Ana ni lelaki. Kuat dan panjang fikiran. Musim duku, Ana boleh ambil upah panjat pokok duku Ingoh Pa. Atau Ana boleh je cabut kacang tanah kat kebun Ingoh Nor. Ana dah biasa buat semua tu..

(Ingoh Pa adalah panggilan hormat pada Guru Al-Quran Ana kat kampung. Ingoh Nor pula panggilan hormat pada Ketua Kampung Ana. Kami kat kampung diajar supaya memanggil orang-orang tua dengan panggilan kekeluargaan seperti Iwe (orang tua), Ingoh (Pak Ngah) dan sebagainya. Sekarang ini Ana perhatikan, jarang orang-orang muda nak bergaul dengan orang-orang tua. Mendengar cerita-cerita dan mengambil nasihat-nasihat mulia mereka. Kalau yang dah kerja pun pelik. Kerja pegawai, gaji beribu-ribu. Tapi hujung bulan selalu telefon ibu bapa kat kampung untuk pinjam duit. Peliknya..)

Bila ingat tentang duit 50 sen Ana yang terjatuh tadi, memori ingatan terhadap pengorbanan Nenda amat kuat. Betapa susahnya Nenda nak dapatkannya. Berapa banyak air mata dan peluh yang tumpah demi membesarkan Ana..Ya Allah, muliakanlah Nenda..

Baiklah..Ana sambung balik memori Ana tadi..:

Syiling 50 sen masih di tapak tangan Ana. Sekejap gengam, sekejap buka..seakan-akan mengikut irama fikiran Ana yang teragak-agak..sama ada nak beli nasi tapi tak dapat beli air atau beli je kuih 30 sen, 10 sen lagi beli air.

Sebenarnya Ana boleh je pilih mana-mana satu antara dua pilihan. Kalau pun Ana beli nasi 50 sen, Ana masih boleh minum air percuma depan kelas Ana tu. Dan kalau Ana buat pilihan kedua pula, tentu duit masih berbaki 10 sen. Sekurangnya 10 sen lagi tu..Ana boleh beli air balik sekolah nanti. Bolehlah minum sambil kayuh basikal..

"...Emmm.."..Akhirnya.."..Pakcik..nasi bungkus se.." (Loghat Terengganu : Se atau Satu)

AIR PERCUMA..

"..Alhamdulillah.."..Licin Ana makan. Bukan selalu dapat makan nasi kat sekolah ni. Kalau kat rumah, memang Nenda Ana masak macam-macam. Menyayur bergulai..memang Nenda mahir sangat. Maklumlah, Nenda dulu tukang masak Istana Terengganu...

Melangkah pelan Ana. Mencari-cari paip yang biasa kami ambil wuduk kat situ. Kemudian, kepala paip itu Ana pulas.."..burr...." laju air jernih mengalir keluar. Ana dekatkan mulut pada muncung paip..pelan-pelan Ana teguk..air percuma..

OZLY KASUTKU..

Sahabat-sahabat sekalian. Sekarang ni..Ana nak cerita pulak tentang kasut sekolah Ana :

Selepas solat zuhur berjemaah (Sekolah Ana mewajibkan pelajar solat Zuhur berjemaah setiap hari sebelum pulang ke rumah) Ana duduk di tepi tangga surau. Tersusun elok Kasut sekolah Ana. Kasut Ozly bertapak hijau. Nampak jelas urat-urat benang keluar dari jahitan. Koyak..

Seingat Ana dah masuk setahun kasut ni Ana pakai. Sejak darjah 5 lagi. Tapi Alhamdulillah, masih tahan. Walaupun harganya cuma rm5 tapi jika nak dibandingkan dengan kasut kawan-kawan Ana kat sekolah, rasanya tahan lagi kasut Ana. Mereka tukar setahun sekali tapi Ana? 2 tahun sekali. Tahannya..!

Sebenarnya Ana rindu pada kenangan sebegini. Ia mampu mengingatkan Ana pada Nenda yang telah pergi. Pada kenangan yang amat berharga dalam hidup Ana. Belajar hidup susah dan bersederhana dalam semua hal dan keadaan.

Saat-saat begini teringat Ana akan kata-kata guru Tasauf termasyur, Syeikh Ibnu A'thoillah. Beliau telah menyebut di dalam Al-Hikamnya :

خير أوقاتك وقت تشهد فيه وجود فأقتك وترد فيه الى وجود ذلتك

Maksudnya : Sebaik-baik saat di dalam hidupmu ialah ketika engkau menyedari kekurangan diri dan engkau kembali kepada kerendahan dirimu.

Subhanallah..betapa benarnya ucapan beliau.

Sesekali, tundukkanlah pandangan kita ke bawah. Berfikir dan merenung sedalam mungkin terhadap nikmat yang telah dikurniakan. Bukankah Dia tidak putus-putus memberi. Agar kita bersyukur selalu.

Oleh itu, buktikanlah kesyukuran itu dengan sujud berpanjangan padanya. Sujud hati terhadap kebesarannya. Menghina diri dan menyedari kekurangan. Dia telah mencukupi segala urusan kita dengan mengurniakan Ibu bapa yang telah mengurus keperluan kita semampu mereka. Kenangilah pengorbanan mereka. Yang menjadi sebab bagi segala asbab sehingga berdirinya kita dengan pelbagai gelaran dan jawatan. Sekarang...

Marilah kita mengangkat tangan tinggi-tingi, berdoa dengan suara yang rendah-rendah memohon padaNya agar membalas sebaiknya pada orang-orang tua kita yang telah kembali. Ingatkanlah diri agar sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Bukankah kita pernah merasai kesusahan satu ketika dahulu?

Walaupun hanya dengan syiling 50 sen..bantulah..

Anda diingatkan agar sentiasa membuat pemeriksaan terhadap kenderaan anda sebelum berlepas ke destinasi yang dituju. Aksi yang akan dipaparkan ini adalah dilarang sama sekali anda menirunya..

18/10/08- Selepas selesai bagi Talk ttg isu-isu Aqidah kepada Ibu-Ibu tunggal kat Jelebu, Ana mula bertolak balik ke Terengganu. Katanya Wan sakit.

19/10/08- Pagi-pagi lagi Ana turun ke kandang kambing. Perah susu. Lama tak minum susu kambing. Hari ni juga Ana bawak Wan ke Klinik kat bandar Kemaman. Doctor cakap Wan ada darah tinggi,batuk-batuk dan kena pakai air mata tiruan (Istilah sebenarnya ialah Artificial Tears. Terima Kasih kepada pembaca yang memberi istilah ini di dalam ruangan komen). Alhamdulillah Wan dah mula makan ubat.

20/10-/08- Ana ingat nak balik KL. Tapi tak jadi. Wan kata after makan ubat,badan jadi ketar-ketar dan tak bermaya. Ana tangguh balik KL. Ana call Afni, suruh check tentang effect ubat-ubat yang Wan makan.

21/10/08- Alhamdulillah, Wan dah sihat. Dah tak ketar-ketar lagi. Bolehlah Ana balik KL. Lagipun, ahli keluarga ada untuk maklumkan apa-apa pada Ana jika berlaku apa-apa kat Wan. (minta dijauhkan). Ana mula bersiap nak balik Kl. Tepat 6.30petang, kereta Ana mula bawak tuan dia ni ke KL...

7.30mlm- Berhenti Solat Jama' Taqdim dan isi minyak kat Gambang. Hujan lebat tak berenti-henti.

9.20mlm- Tiba-tiba aircond tak berfungsi. Kelabu je cermin kereta. Pelan-pelan Ana berenti kat tepi jalan sambil nyalakan emergecy lamp. Dalam hujan lebat tu, Ana mula buka bonet kereta, kemudian check air kat tangki setelah menunggu suhunya sejuk. Tu dia...kering! Ana terlupa periksa tangki air dan lain-lain. Istigfar...istigfar..

Ana bawak beberapa air mineral Ana yang sedia ada kat dalam kereta kemudian Ana mula isi dan isi dan isi..

10.15mlm- Ana masuk semula dalam kereta dengan basah kuyup. (Kebetulan pula baju Ana sehelai je. Ana tanggal baju kemudian perah kuat-kuat bagi kering. Kemudian sarung balik baju tu.) Pelan-pelan Ana hidupkan kereta dan Alhamdulillahh...kereta nampak dah ok. Tak lama kemudian...Ana memandu semula..

10.30mlm- Temperature naik lagi! Baru beberapa minit memandu, Ana terpaksa berenti lagi. Sah..kereta problem..

10.40mlm- Jari Ana menekan-nekan nombor 09-2777277 dan 09-5479111. Tak lama setelah deringan, satu suara lembut menyambut : "..Aduan kerosakannn..." tegas bunyinya. Ana pun ceritalah lebih kurang pada akak yang menyambut panggilan tu. Dari A to Z. Selepas tu, Ana diminta tunggu sekejap (dalam 40 minit) sementara peronda lebuhraya sampai. Ana angguk kepala walaupun Ana yakin akak tu tak nampak.

11.35mlm- Peronda sampai. Alhamdulillah. Barulah berani sikit nak keluar. Ana bukan takut hantu. Cuma saja nak berehat dalam kereta, sandarkan badan yang mula dah nak demam ni ke kusyen. Sebelum tu Ana demam 4 hari. Mimpi pun jumpa orang-orang yang dah meninggal dunia. Peronda lebuhraya, Fandi dan sahabatnya (lupa pulak namanya) mula periksa enjin kereta.tu dia..kipas tak jalan..

After sejam kami bertiga berganding tenaga dan kemahiran membaiki (Walaupun lebih tepatnya Ana hanya tukang suluh lampu ke arah enjin), akhirnya Fandi bersuara : "..Bang..kereta ni kena tarik bang..Nanti saya call pejabat untuk hantar penarik.."

Ana tanya : "..Berapa lama penarik akan sampai?.."

"..Abang tunggulah dalam 40 minit lagi bang.." Katanya gembira. (Mungkin sebab dah dapat buat keputusan setelah abis kerja baiki membaiki).

Mengangguk lemah Ana. Lemah bukan sebab dukacita terhadap ujianNya, tapi lemah sebab memang badan ni dah mula rasa tak sedap. Dalam istilah tepatnya..Ana demam..

5 kon merah berbucu runcing di atur sebagai isyarat bahawa kereta Ana sedang 'demam' di tepi lebuhraya.

12.40mlm- Penarik sampai. Ana sebenarnya dah dibuai mimpi.
Mimpi seorang pemandu malang,
diuji Tuhan,
diserang demam,
di tepi jalan,
tiada berteman...
Hanya DIA-lah peneman..

Dari Temerloh, kereta Ana ditarik ke tol karak..

01.20pagi- Alhamdulillah sampai tol Karak. Selepas Ana park kereta kat tempat yang sesuai, Ana mula menyambung kerja ikhlas tanpa paksa iaitu tidur..

''riingg..riingg..(sebenarnya ringing phone Ana tak bunyi macam ni, tapi Ana nak bayangkan bahawa tu bunyi phone. Jangan sesekali sangka tu bunyi loceng aiskrim..)

Rupanya sahabat Ana dari Bangi telefon.

"..Syeikh.. Ana sekarang ni dari Bangi dengan penarik untuk bawa Anta balik Bangi.." katanya.

"..Subhanallah..Kayanya Allah..." Bisik Ana. Mengirimkan manusia-manusia yang berhati mulia untuk bersama-sama dalam kesusahan. Padahal Bangi dengan Karak...jauuhh.. Alhamdulillah..

03.00pagi- Sahabat Ana sampai. Alhamdulillah selamat sampai dia. After bersalaman dan bertanya khabar, Ana dan sahabat mula tukar status. Kami jadi bos! Sedang pelan-pelan Penarik mula menarik kereta yang mana kami berdua sedang berehat di dalamnya..

05.20pagi- Selepas Penarik menurunkan sahabat Ana kat kawasan rumahnya (Sahabat Ana turun dulu sebab nak ke rumah Ana tu, mesti jumpa rumahnya dulu..),..akhirnya Ana sampai rumah sewa Ana kat Bangi ni..

Ana seluk poket mencari-cari duit yang sedia ada kat poket. Tapi Penarik yang berbangsa India tu cakap.."..Bang..saya taknak ambil duit bang...!"

"..Haa..kenapa.." Tanya Ana kehairanan. Sambil senyum, pemuda India itu menjawab :.." Dah ada orang bayarkan bang.."

"..Subhanallahh.." bisik Ana. Mulianya Sahabat Ana tu. Dah la bersusah payah dari jauh datang jemput Ana, ni siap bayar pula.

Berdoa panjang Ana pada Allah SWT agar mengurniakan balasan yang sebaiknya buat Sahabat. Memuji Ana padaNya bila mengingatkan kembali cerita yang Ana taip kat atas ni. Betapa Allah SWT menguji hamba-hambaNya di mana sahaja. Dalam apa jua keadaan pun. Dan diberi balasan sedikit di atas kesabaran terhadap ujian.

Bila Ana tanya berapa harga kos tarik pada penarik India tu..jawabnya : .." Rm600 tapi semuanya dah bayar Rm1000.."

"..Haa..kenapa pulak kena bayar Rm1000?.." Tanya Ana. Pelik.

Jawab Penarik.."..Rm400 tu..upah baiki kereta esok pagi.."

Subhanallah.! Mengeleng kepala Ana! Syukur padaNya.

Belum sempat Ana bertanya lanjut..Penarik tu kata lagi :.."Upah tarik dah bayar..upah baiki kereta pagi esok pun..dah bayar. Kalau kurang, mekanik akan cakap..".Dan satu lagi...bukan kawan abang yang bayar..."

Haa..Misterinya..Siapa yang bayar ni?

"..Die..kuat lagi Die...kuat lagii...." Kata Mak pada Ana. Kuat-kuat kantung susu kambing Jamnapari setinggi pinggang tu Ana gengam. Jari-jemari mengurut laju kantung susu yang mula kemerahan. Mengembek-ngembek dia. Kegelian agaknya! Maklumlah pagi ni, tangan asing yang memerah. Tangan anak muda..

Burrrr..laju cecair putih bersih keluar dari ujung kantung ke dalam bekas kaca yang siap sedia ditadah..Menelan air liur Ana. Terliur pada susu segar..

"..Barangkali beginilah perasaan Rasulullah SAW setiap kali mengembala dan memerah susu.." Bisik Ana.

Sedaya upaya Ana cuba menyelami perasaan halus itu..Semuanya untuk merasai apa yang mungkin dirasai oleh Baginda SAW.

Di saat-saat begini, teringat Ana kepada pekerjaan mulia Baginda. Memelihara dan menternak kambing. Pekerjaan yang mampu memupuk kesabaran dalam mengurus dan mentadbir ternakan.

Dikatakan semasa Baginda SAW di dalam jagaan bapa saudaranya Abu Thalib, Baginda SAW telah mengambil upah menjaga ternakan di kampung Bani Sa'ad dan juga ternakan penduduk Makkah. Baginda sebolehnya tidak mahu menyusahkan bapa saudaranya itu. Lagipun Abu Thalib sendiri mempunyai tanggungan yang ramai... Betapa berdikarinya Rasulullah SAW.

Teringat pula Ana akan kata para Ulama' terhadap pekerjaan Baginda ini :

Sebenarnya pekerjaan semasa (ketika itu) yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ini adalah satu pekerjaan yang mampu memupuk kesabaran dan disiplin yang tinggi. Sifat amanah, disiplin dan mentadbir dengan baik mampu dihasilkan melalui pekerjaan mulia ini.

Subhanallah...Maha suci Allah Yang Maha Mengatur sesuatu dengan penuh kesempurnaan walaupun manusia tidak sekali-kali memahaminya. Semuanya di dalam ilmuNya..


Doa Minum Susu..

Mata Ana menatap gelas kaca berisi susu yang Ana perah tadi. Bersih dan segar. Perah punya perah, dapatlah setengah jug. Alhamdulillah. Penuh satu gelas Mak tuangkan untuk Ana.

Gelas jernih berisi susu Ana angkat. Sebelum dua bibir menyambut bucu gelas tersebut, pelan-pelan Ana mengucapkan sesuatu. Sesuatu yang diucapkan oleh Rasulullah SAW setiap kali meminum susu :
اللهم بارك لنا فيه وزدنا منه

Maksudnya : "..Ya Allah, berkatilah kami pada minuman ini dan tambahkanlah buat kami kebaikan darinya.." ( Hadis riwayat At-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah )

Laju cecair putih segar itu meluncur melepasi tekak Ana. Menghilangkan dahaga setelah kepenatan memerah susu kambing Jamnapari yang diuruskan oleh Mak dan Bat. Alhamdulillah...Tidak terhitung rezekiNya yang dikurniakan melalui pelbagai cara..

( Mak dan Bat adalah panggilan terhadap satu-satunya Datuk dan Nenek saudara Ana. Selain dari menguruskan ladang kelapa sawit, sekarang ini Bat dan Mak serta Ateh mula menguruskan projek kambing Jamnapari (kambing kacukan India dan Indonesia), pembiakan ikan keli dan juga jualan cendawan. Mudahan usaha ini diberkati Allah. Amen.)


Doa dari Ardul Kinanah..

Setiap kali Ana minum susu, pasti Ana akan teringat peristiwa di Ardul Kinanah. Di sanalah Ana dapat doa minum susu ini dari sahabat sekolej.

"..Syeikh..Ana nak bagi Anta satu doa. Anta nak..?" Tanya sahabat pada Ana. Menoleh Ana padanya. "..Laa..mestilah nak.." Jawab Ana pada sahabat. "..Doa apa Anta nak bagi tu..?" Tanya Ana padanya..."..Emm..Ana nak bagi doa minum susu..ok?".. "..Ayyuwah..Tafaddol Ya Akhi.." Balas Ana.

Senyum sahabat apabila Ana membalasnya dalam bahasa Arab. Sambil sahabat membaca doa ringkas tu perlahan-lahan ..Ana mula menulis huruf-huruf arab yang akhirnya tercantum menjadi sebuah doa yang mulia.. "..Alhamdulillah...Jazakumullah Ya Syaikhi.." Ucap Ana padanya.

Kertas putih berisi tulisan Arab itu Ana lipat dan simpan dalam poket. Walaupun Ana dah selesai memindahkan tulisan tersebut ke dalam kotak memori ingatan Ana, bimbang juga kalau-kalau kertas itu terjatuh. Padanya tertulis doa minum susu yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.

Terdetik di hati : Indahnya Islam..Setiap perkara ada doanya. Tinggal lagi sama ada nak beramal ataupun tidak. Selamat Beramal..

( Pernah satu ketika seorang sahabat memberi satu doa pada Ana. Doa untuk melebatkan lihyah ataupun dalam bahasa melayu nya janggut. Doanya ialah :
ءامنث بالله ءامنث بالقدر
Maksudnya : Aku beriman kepada Allah, aku beriman dengan taqdirnya.

Walaupun sahabat Ana itu sendiri sampai sekarang janggutnya hanya beberapa helai sahaja, namun istiqamahnya mengingatkan Ana agar sentiasa berdoa dalam apa jua keadaan sekalipun. Subhanallah! )

Ke mana?

Dari tiada,
Menjadi ada,
Kemudian ada,
Menuju tiada..

Sesampai tiada,
Akan diada,
Untuk menyaksi,
JanjiNya yang ada..

Kemudian nyata,
Bagi yang diada,
Pahala Dosa,
Gembira Nestapa..

Di sana ada untuk terima,
Kitab amalan yang pasti sedia,
Pasti ada..

Kanan Kiri mula sedia,
Untuk menyambut gembira duka,
Bila membuka diri empunya,
Tahulah nasib kekal dimana..

Menerima nasib yang tiada sama,
Kerana yakin ada dan tiada,
Berlunjur bergalas mula terima,
Umpama menuai padi di huma...

Walau tiada melihat di mata,
Hanya yakin di dalam dada,
Berkat amal kanan sahaja,
Hari ini salam, selamat, sejahtera...

Yang diada sejahtera,
Yang diada menderita,
Akibat dari pahala dosa,
Ukuran yakin pada kalamNya..

Yang tiada,
Setelah diada,
Pasti kan tiada,
Dan kembali ada,
Untuk janjiNya yang Maha Sempurna..

Sementara ada belum tiada,
Amalkan sahaja kanan sentiasa,
Mudahan berkat rahmatNya sejahtera,
Pasti berlunjur memetik di sana..

Dari tiada,
Menjadi ada,
Kemudian ada,
Menuju Tiada,
Kemudian diada,
Untuk janjiNya..semata,
Ke mana..?

"..Abang ambil semua. Ni duitnya dan yang lebih..adik simpan.." Kata Ana padanya. Dua mata anak muda belasan tahun itu merenung Ana. Dalam-dalam. Serba-salah. Mungkin juga keliru.

"..Dulu, abang pun jual kuih.Macam adik jugak.." Kata Ana. Meyakinkan dirinya yang teragak-agak untuk menerima baki duit jualannya itu. Dia masih merenung Ana. Kemerahan mukanya. Ana pasti bukan kerana malu..tapi kemerahan akibat dibakar mentari. Lebih-lebih lagi dalam waktu Zuhur macam ni.

Akhirnya.." Terima Kasih bang..".Perlahan suaranya. Tenggelam."..Sama-sama. Abang pergi dulu eh..". Balas Ana padanya.

Pintu kereta Ana tutup perlahan. Perlahan-lahan pedal minyak Ana tekan. Ana mula meninggalkannya..Sempat pula Ana lihat cermin sisi. Dia masih di situ!

"..Beradab sungguh budak ni.." Bisik Ana. Menunggu sehingga kelibat Ana hilang!

Adabnya mengingatkan Ana pada ajaran Nenda. Meminta lalu bila melintas, menunggu sehingga kelibat tetamu hilang dan banyak lagi..

Beberapa bulan lepas pun, ana bertemu juga anak muda yang menjual. Karipap dan popiah segera. Dari meja ke meja anak muda tu membibit jualannya. Sambil menyapa :.." Assalamualaikum kak, abang..popiah kak? Karipap pun ada..Belilah bang.." Manis mukanya. Senyum..

Semuanya mengingatkan Ana pada 'kerja tetap' Ana 20 tahun lalu. Kerja jual cendol dan lompat tikam..

Keliling kampung Ana membimbit raga berisi jualan. Kalau Nenda dan Wan isi banyak-banyak kat dalam raga..masam muka Ana. Kenapa?

Ana takut berat...

Subhanallah..sewaktu Ana menaip ni, tersenyum Ana..senyum bila teringatkan karenah keanakan Ana yang lalu...dan dalam diam Ana bangga! Bangga dapat berdikari dan belajar hidup susah..

Kesannya..sehingga sekarang ni pun Ana cepat tersentuh apabila melihat penjual kuih dan orang-orang tua..

Bukankah Rasulullah SAW selalu menangis apabila melihat orang-orang tua?

Teringat Ana kata-kata Imam Syafie :

" Kejayaan itu biasanya terhasil dari kemiskinan.."

Mungkin saja ada yang bertanya : "Kalau begitu Anta dah berjayakah? Berapa simpanan anta sekarang? Kereta apa yang Anta pakai? Dah beristerikah? Jika dah..dah tambah berapa? Berjayanya anta..."

Subhanallah..Ana tak bercakap berjaya dari sudut itu. Lagipun material bukanlah ukuran bagi sebuah kejayaan!

Ana maksudkan dari sudut spiritual. Bukankah berjaya menghayati kesusahan dan tak lupa pada masa silam itu adalah sebuah kejayaan? Pasti timbul rasa ingin membantu sekadar mampu..ketika ada. Itupun seizinNya. Itu yang Ana maksudkan.

Bukannya berjaya menjadi kaya dari sudut material semata tetapi seharusnya juga kaya dengan budi. Semuanya bermodalkan kesedaran dan ajaran orang-orang tua kita. Suburkanlah cinta pada orang-orang tua kita yang telah pergi dengan melaksanakan nasihat-nasihat mulia mereka..

Kemana Hatimu?

Firman Allah SWT :

وقضى ربّك ألا تعبدوا الا ايّاه وبالولدين احسانا امّايبلغنّ عندك الكبر أحدهما أو كلا هما فلا تقل لّهما أفّ ولا تنهرهما وقل لّهما قولا كريما * واخفض لهما جناح الذّلّ من الرّحمة وقل رّبّ ارحمهما كما ربّيانى صغيرا

Maksudnya : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali padaNya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah sampai kepada umur tua dan di dalam peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu berkata kepada mereka (dengan perkataan yang kasar) sekalipun dengan 'AH' dan janganlah kamu menengking mereka dan ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia(bersopan santun) * Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh belas kasihan dan kasih sayangmu serta ucapkanlah :" Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihiku serta mendidik ku sewaktu kecil.." ( Surah Al-Isra' : Ayat 23 dan 24 )

Ana tak tahu bagaimana nak gambarkan sifat penyayang ibu bapa dan orang tua kita. Terlalu mendalam. Dalam yang bagaimana ye? Entahla..Ana pun tak tahu..tak tahu untuk gambarkan.

Tapi..sesekali cubalah kita lihat mata mereka..Bukankah ada bulatan biru pudar di sekeliling anak mata hitam? Mengapa mata itu begitu? Rupanya ia dah terlalu lama digunakan untuk berkhidmat padamu..sejak kecil lagi..

Lihatlah juga tangan mereka..kasar dan kesat! Mengapa begitu? Pasti bukan kerana sepertimu yang memegang kayu golf dan memukul sekuat hati..

Kayu golf mereka adalah sebatang cangkul untuk menyangkul, membuat batas kemudian menabur benih..semata untuk menukar keletihan dengan beras..kemudian perlahan tangan kesat itu menyuapmu..

Subhanallah...Inikah mereka?

Yang kita herdik bila mereka lupa kerana nyanyuk? Atau kita tengking apabila mereka bertanya yang sama berulang kali? Atau mungkin saja kita tidak pernah bersuara..cuma merasa kesal di dalam hati kerana dikurniakan seorang tua yang terpaksa kita cuci najisnya yang dibuang merata..!

Ke mana hatimu wahai anak? Mengapa begitu? Bukankah mereka telah mengajarmu alif, ba, ta.. walaupun mereka tidak bisa membaca sepertimu. Menghantarmu ke sekolah tadika, rendah, menengah, IPTA...walaupun mereka bukan bergelar Doctor atau Lawyer seperti mu sekarang..

Inilah Sunnatullah..Allah-lah yang telah menentukan mereka begitu supaya kamu sentiasa ingat pada kemuliaan mereka..membesarkanmu saat demi saat dengan penuh kecintaan...

Bahkan ia jua sebagai ingatan bahawa kamu nanti akan begitu juga..pasti..

Allah SWT telah berfirman : و من نّعمّره ننكّسه فى الخلق أفلا يعقلون

Maksudnya : Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, akan Kami kembalikan kejadiannya (kepada keadaan serba lemah). Mengapa mereka tidak memikirkannya?
( Surah Yaasin : Ayat 68 )


Melututlah duhai anak! Raihlah tangannya ke kedua matamu..serta kucuplah! Sesungguhnya tangan suci itu pernah menyuapmu...

Cinta..

و من ءايته أن خلق لكم من أنفسكم أزوجا لتسكنوا اليها وجعل بينكم مودّة ورحمة انّ فى ذلك لأيت لقوم يتفكّرون

Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia telah menciptakan untukmu dari dirimu pasangan-pasanganmu supaya kamu merasa tenteram dan cenderung padanya. Dan Dia telah menciptakan antara kamu perasaan kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ( Surah Ar-Ruum : Ayat 21 )

..صدق الله العظيم... ( Maha Benarlah Allah Yang Maha Agung..)

2 kulit Mashaf suci itu Ana rapatkan. Pelan-pelan Ana kucup dan junjung. Kemudian Ana bawa rapat ke dada..Tenang.. "

"..Alhamdulillah...Dah masuk Surah Ar-Ruum malam ni.." Bisik Ana. Terasa seakan getaran memenuhi jiwa. Getaran ketenangan Kalamullah..

Benarlah Firman Allah yang bermaksud : ......ألا بذكر الله تطمئِنّ القلوب

....Ingatlah, sesungguhnya dengan mengingati Allah itu, hati-hati menjadi tenang.. ( Surah Ar-Ra'du : Ayat 28 )

Tenang sekali..namun tenang kali ini seakan tenang yang tidak berkesudahan..tenang yang semestinya ditenangkan...

Apatah lagi bila mengingati ayat terakhir yang Ana sudahi tadi...

Bilal Mencari Cinta..

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Miskin, miskin, miskin. Seorang lelaki yang tidak beristeri. Miskin, miskin, miskin. Seorang perempuan yang tidak bersuami.

Lancar Hadis tu ana bacakan di depan Guru Ana. Syeikh Dr. Abdul Latif Soleh Al-Farfur. Ketua Majma' Ulama' Syria. Mengangguk-angguk beliau membenarkan. Kemudian beliau menyatakan sesuatu pada Ana. Sesuatu yang membuatkan Ana terfikir hingga sekarang. Sesuatu yang rahsia..

Ana pujuk hati dengan mengingatkan diri pada kata-kata Syeikh Ibnu A'thoillah di dalam Al-Hikam :

أرح نفسك من التدبير. فما قام به غيرك عنك لا تقم به لنفسك

Maksudnya : Istirehatkanlah fikiranmu dari kerisauan mengatur keperluan dunia, kerana apa yang sudah dijamin diselesaikan oleh selainmu, tidak perlu sibuk untuk memikirkannya.

Biarlah Allah yang menentukan segalanya. Bukankah semua itu di dalam ilmuNya?

Teringat pula Ana kisah Bilal bin Rabah yang meminang seorang gadis. Ketika Bilal menyatakan hajatnya kepada wali gadis tersebut, berkata Bilal : .." Sesungguhnya saya ini adalah Bilal bin Rabah. Seorang yang berkulit hitam lagi bekas hamba sahaya.."

Ketika saya bertanya kepada guru saya mengapa Sayyidina Bilal menyebut-nyebut status lampaunya kepada wali anak gadis itu, Guru saya menjawab : .." Supaya mereka tahu bahawa Bilal tidak pernah melupakan asalnya dan terkandung pada kalam Bilal ini akan sifat rendah dirinya.."

Tepat sekali! Lebih-lebih lagi dalam urusan kafaah ( sekufu ). Tentu wajar berterus-terang agar kedua pihak dapat menilai dan membuat pertimbangan sebaik-baiknya. Bahkan Rasulullah SAW pun pada awalnya menolak pinangan Sayyidatina Khadijah RadiyAllahu A'nha kerana merasakan kefakiran pada diri Baginda..Subhanallah.

Ana sambung lagi kisah Bilal tadi..Berkata Bilal lagi :.." Jika sekiranya saya diterima (walaupun inilah saya seadanya)..Alhamdulillah. Dan jika saya ditolak ( kerana inilah saya seadanya ) maka saya akan ucapkan..Subhanallah..

Tersenyum Ana ketika mengingatkan kisah Bilal ini. Padanya terdapat 2 ucapan berbeza bagi 2 jawapan berbeza yang mungkin akan diterimanya! Lantas sahabat-sahabat bertanya pada Ana..mengapa demikian?

Ana naqalkan apa yang disebut oleh Guru Ana : "..Jika saya diterima walaupun begini saya seadanya maka Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang Maha Sempurna yang telah menciptakan makhlukNya sebaik-baik kejadian walaupun mungkin saja pada pandangan manusia, Bilal ini hanyalah hamba sahaya berkulit hitam! Dan jika saya ditolak semata kekurangan saya ini maka ketahuilah bahawa tiadalah yang lebih sempurna dan hanya layak dipuji kecuali Allah. Maka segala yang suci itu hanyalah kembali pada Allah..Subhanallah."

Betapa dalam makrifatnya..Terpamer kalam yang lahir dari hati taqarrub padaNya. Itulah Bilal bin Rabah, bekas hamba sahaya berkulit hitam..

Cinta Manusia..

Ana merenung-renung isi kitab Kifayatul Akhyar di tangan. Dah hampir sejam mata Ana tertumpu ke kertas-kertas kuning kitab tersebut. Berulang kali Ana membaca : "...Pertama..Taaiq..ataupun dalam bahasa melayu, kita panggil berhajat. Yang keduanya pula ialah Ghoiru Taaiq..iaitu tidak berhajat..samaada Taaiq atau pun Ghoiru Taaiq ini, semuanya.......

Ana mula hilang tumpuan..Dari anak mata yang meniti dari satu kalimah ke satu kalimah yang terpahat di perut Kifayatul Akhyar ni..lama-lama mata Ana mula mengecil..dan mengecil..dan men...g...ec.....il......

Mata kami berbicara..

Perlahan-lahan tangan Ana terasa dikucup. Kemudian matanya yang jernih mula memandang. Jernih dan tenang..

Ana balas renungannya...Senyum. Kami mula berbicara. Berbicara cinta dengan bahasa mata. Sungguh! Hanya dengan mata. Subhanallah..

Ana tak dapat gambarkan bagaimana indahnya di saat kali pertama menatap Zaujah Ana. Ada nur pada wajahnya..nur sujud di sepertiga malam..

Tapi sejujurnya Ana nyatakan..kalau tidak kerana parasnya pun, Ana akur sebenarnya. Akhlaknya lah yang membuatkan Ana jatuh hati. Solehah, cerdik, dan cukup untuk memenuhi apa yang kurang pada Ana. Alhamdulillah..Syukur sangat Ana. Syukur pada anugerahNya..

Selepas sama-sama bersujud pada Allah yang menemukan, Ana mula pimpin tangan Zaujah ke balkoni. Udara malam pasti baik buat penenang degupan kencang di dada. Degupan cinta.!Demi Allah, kami sebenarnya tak pernah bersua sebelum ini. Hanya baru di malam ini..

Mata Ana yang mengecil tadi..mula membesar dan membesar dan membesar...Astarfirullah Al-Aziim..khayalan rupanya! Miskin..miskin..

Cinta Rasulullah SAW dan Ummatul Mukminin..

"..Selimutilah aku..Selimutilah aku.." Minta Rasulullah SAW kepada Ummatul Mukminin, Sayyidatina Khadijah RadiyAllahu A'nha (Allah telah meredhainya). Maka Khadijah pun mula menyelimuti Baginda. Dengan penuh Cinta dan kasih.

"..Ya Khadijah..sesungguhnya aku bimbang terhadap diriku.." Sambung Baginda. Mendengar kebimbangan suaminya yang tercinta, pantas Khadijah menjawab : .." Sekali-kali tidak wahai suamiku..Demi Allah engkau seorang yang amat baik, penyambung Silaturrahim, sentiasa membantu orang yang memerlukan dan membantu mereka yang membela kebenaran. Dia pasti akan membalas dengan kebaikan buatmu selamanya.."

Dengan itu...maka tenanglah Rasulullah SAW. Tenang di dalam dakapan isteri yang cerdik dan solehah. Yang menjadi kekuatan diri ketika lemah, peneman ketika keseorangan..

Betapa pandainya Khadijah menenangkan..persis embun yang menambah elok daunan yang hijau...segar..suci..

Cinta Khadijah pada Rasulullah SAW sejak dahulu lagi. Lihatlah bagaimana kejujuran Baginda telah menambat hati Hartawan Makkah ini...sehingga Ummatul Mukminin ini menawarkan dirinya untuk menjadi pendamping setia Baginda.

Ketika beliau mula mengutuskan utusan untuk menyampaikan rasa cintanya sebagaimana katanya :" Wahai anak bapa saudara, sungguh aku amat suka padamu kerana kemuliaanmu, sifat amanahmu, akhlakmu serta kebenaran kata-katamu,

Dengan rendah hati Baginda menolaknya kerana kefakirannya...

Namun Khadijah tidak berputus asa. Diutusnya surat kepada Baginda menyatakan bahawa kefakiran bukanlah satu keaiban tetapi harga diri sebagai lelaki yang mulia itulah yang didambakan olehnya.

Tersentuh Baginda! Betapa sucinya cinta Khadijah..lalu Baginda meminta pandangan dari bapa-bapa saudaranya..Abu Talib, Abbas dan Hamzah. Dan..mereka menyetujuinya..!

Maka bersatulah cinta mereka dengan 20 ekor unta yang masih muda sebagai maharnya Rasulullah SAW buat Isteri tercinta Sayyidatina Khadijah RadiyAllahu A'nha. Penyatuan yang membawa ketenangan sejati kepada Baginda SAW.

Telah berkata para Ulama terhadap kecerdikan Ummatul Mukminin menenangkan Baginda ketika peristiwa turunnya wahyu pertama :

"..Perhatikanlah Isteri yang cerdik dan cerdas ini ( Sayyidatina Khadijah ). Ketika Suaminya dilanda kebimbangan, dengan bijak dia menyatakan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana suaminya adalah orang yang baik.!"

Inilah Isteri cerdik yang Solehah. Yang menjadi kekuatan dalam berjuang.Yang pastinya didambakan oleh Muslim sejati!

Sebenarnya kesucian dan kekudusan cinta itu hanya akan terserlah apabila semuanya lahir keranaNya. Baik di saat bertemu mahupun ketika berpisah. Semuanya di dalam ilmuNya. Keyakinan itulah yang harus dibina. Ia pasti membuahkan tawakkal sejati. Bukankah pertemuan cinta keranaNya akan bersemi lagi di sana..?...Di Syurga Allah.. Di sana tiada lagi perpisahan. Ia kekal abadi. Oleh itu..tuntutlah cintaNya terlebih dahulu...

( Ummatul Mukminin Sayyidatina Khadijah telah menemui Allah pada Tahun ke-10 kenabian. Tahun ini dikenali sebagai A'amul Huzni iaitu Tahun kesedihan. Ia dinamakan tahun kesedihan kerana pada tahun ini, Rasulullah SAW telah mengalami 2 kehilangan akibat kematian. Kematian bapa saudaranya Abu Thalib yang meninggal ketika usianya mencecah 87 tahun dan tidak lama kemudian isteri Baginda yang tercinta turut dijemput Ilahi. )

Ummati..Ummati..

Dari Aisyah RadiyAllahu Anha berkata bahawa : Pada satu malam Rasulullah SAW berdoa dan aku mencuri-curi dengar doa yang dibacakan oleh Baginda tersebut. Berdoa Baginda :

"..Ya Allah, Ampunilah Aisyah RadiyAllahu A'nha, apa yang telah lepas, apa yang akan datang. apa yang zahir padanya, dan apa yang batin yang tersembunyi padanya..."

Mendengar doa tersebut, Berkata Aisyah : Perasaanku seperti ingin terbang kegembiraan apabila mendengar doa yang diucapkan oleh Baginda itu.

Lalu terpandang Baginda SAW padanya..dan didapati ada kesan kegembiraan pada wajahnya Ummatul Mukminin itu..

Bersabda Rasulullah SAW : "..Gembirakah Anti Ya A'isyah..?"

Maka jawab Ummatul Mukminin :.." Sudah tentu Ya Rasulullah..Engkau mendoakan dengan penuh kudus padaNya untuk keampunan terhadap dosa-dosaku yang telah lepas mahupun akan datang. Yang zahir mahupun yang batin. Demi Allah aku sangat gembira dengannya.."

Maka bersabda Rasulullah SAW setelah mendengar jawapan itu :.."..Ya A'isyah..Demi Allah ! beginilah doaku pada seluruh ummatku pada setiap malam..beginilah doaku pada seluruh ummatku pada setiap malam.."

Subhanallah! Betapa agungnya cinta Baginda pada ummat ini. Kudus dan tulus.Betapa cinta Baginda itu telah mengikat hati orang-orang yang beriman agar sentiasa menyebut-nyebut dan mengulang-ulang kecintaannya, duhai Nabi Allah...tidak terbalas kami..

Ya Rasulullah! Kasihmu meratai segenap penjuru. Untuk si kaya mahupun miskin. Si yatim mahupun yang terbela, tua mahupun yang muda. Kesemuanya merasai cinta hakikimu. Bukankah engkau sentiasa menangis apabila melihat orang-orang tua? Memeluk serta mengasihi anak-anak kecil? Membela nasib perempuan, janda dan kaum yang lemah? Sucinya cintamu Ya Rasulullah..Cinta seorang Nabi pada ummatnya.

Bahkan telah zahirnya kecintaanmu pada golongan fakir dan yatim ketika sabdamu:

.." Jangan sekali kamu mengkhianati anak yatim kerana aku ini anak yatim..dan jangan pula kamu mengkhianati golongan fakir miskin kerana aku ini adalah fakir dan miskin.."

Sahabat..Semailah kembali cinta kita kepada Nabi.. ikatlah kembali hubungan hati dengan sentiasa berselawat padanya. Ketahuilah, jika dihimpunkan cinta seluruhnya ummat pada Baginda, demi Allah cintanya sentiasa melebihi..

Begitu juga dengan Para Sahabat RadiyAllahu A'nhum.Mereka telah bergembira dengan kecintaan pada Rasulullah SAW. Kegembiraan yang melupakan mereka pada kegembiraan yang lain. Dan kedukaan yang menimpa mereka apabila kehilangan Rasulullah SAW juga membuatkan mereka melupakan kedukaan-kedukaan lain.

Berkata Sayyidina Ali KarramAllahu Wajhah ketika mendengar berita kematian Baginda :

.." Ya Rasulullah SAW..Sesungguhnya kesedihan berpisah denganmu membuatkan kesedihan lain dilupakan. Demi Allah aku amat menyintaimu melebihi ibu bapaku.."

Dialah jalan bagi cinta sejati. Yang akan menghidupkan hatimu dengan manisan Mahabbah bil Mahabbah. Kerana fitrah cinta hanyalah padaNya dan pada RasulNya SAW, Seorang Yatim lagi Fakir dari Makkah Al-Mukarramah..Carilah cintanya..

( 3 bulan setelah mengerjakan Haji Wada' , Baginda jatuh demam selama beberapa hari sehingga Baginda tidak lagi mampu untuk mengimami solat seperti biasa. Baginda telah meminta Sayyidina Abu Bakar RadiyAllahu A'nhu menggantikannya. Pada hari-hari terakhir sebelum kewafatan Baginda, para Sahabat telah melihat Baginda SAW tersenyum dari tingkap rumah Baginda. Dikatakan Sahabat bergembira kerana menyangkakan Baginda telah sembuh dan berada di dalam kondisi yang amat baik. Sedangkan Rasulullah SAW tersenyum kerana melihat para Sahabat dan ummat Islam telah berjaya dibentuk dan bersatu dalam penyatuan silaturrahim. Tepat pada 12 Rabiu'l Awwal tahun ke-11 Hijriah, bersamaan 8 Jun tahun 632 Masehi, wafatlah Baginda dijemput Allah SWT. Ketika itu, usia Baginda mencecah 63 tahun. Baginda tidak meninggalkan harta kecuali dua pusaka sebagai pegangan. Sebagaimana Sabda Baginda SAW :

تركت فيكم أمرين ما ان تمسكتم بهما لن تضلّوا أبدا كتاب الله وسنّة رسوله

Maksudnya : "Kutinggalkan untukmu dua perkara (pusaka) yang mana tidak akan sekali kamu sesat selagi kamu berpegang dengan keduanya. Iatu Kitabullah dan Sunnah RasulNya.." )

Takbir Bicara Cinta..

اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر اللّهُ أكبر

لا إلَهَ الا اللّه هو اللّهُ أكبراللّهُ اكبر و لِلّه الحمدَ

اللّهُ أكبرُ كَبيِرَا وَالحَمدُ لِلّهِ كَثِيراوَ سُبحَان اللّهِ بُكرَةً وَأصْيِلا

لا إلَهَ الا اللّه ولا نعبد الا اياه مخلصين له الدّين ولو كره الكافرون

لا اله الا الله وحده صَدَقَ وَعدَه وَنَصَرَ عبده وأعزَ جُنَده وَهزم الأحْزَابَ وحْدَه

لا إلَهَ الا اللّه هو الله أكبرالله أكبر ولله الحمد

Kejap-kejap pembesar suara Ana pegang. Mengalunkan Takbir bicara Cinta di pagi Syawal ini. Bertakbir, Bertahmid dan Bertaqdis memuji Zat Yang Maha Sempurna. Tenggelam Ana di dalam alunan syahdu jemaah yang turut memujiNya. Menzahirkan kebesaranNya dan mengakui kekerdilan diri..


Betapa benarnya pujian ini Ya Allah. Terhimpun kesempurnaanMu walaupun kalau tidak kami memuji. Kerana Engkau sedia sempurna. Hanya padaMu-lah pujian ini

"Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Dialah Allah Maha Besar.Hanya Pada Allah-lah segala pujian.


Allah Maha Besar dan Segala pujian yang sebanyaknya hanya pada Allah. Dan Maha Suci Allah ( yang kami puji ) pada waktu pagi dan petang.


Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan Kafirin.


Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa, Yang benar janji-Nya, Yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin), Yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya.


Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, dan untuk Allah-lah segala puji-pujian."..


Embun Aidilfitri..


Cuaca sejuk menyelimuti tubuh. Embun-embun pagi masih setia di dedaun hijau. Jernih sekali. Nesan-nesan memutih umpama berpakaian baru menyambut Aidilfitri..Suci...

Sesekali alunan Kalamullah meniti-niti di bibir telinga. Mendayu-dayu. Seakan merayu-rayu agar keberkatannya turut dirasai oleh sanak saudara yang telah abadi. Sayu..

Dua tangan Ana raupkan ke muka. Mengaminkan doa qudus untuk Nenda dan sanak saudara yang telah pergi. Pelan-pelan kendi kecil yang berisi air Ana angkat. Kemudian Ana cucurkan ke perut tanah. Bisikan selawat Ana iringkan..untuk Nenda tercinta.

Pagi ini sangat istimewa sekali. Pagi yang menyaksikan Ana menangis pilu di hadapan dua nesan yang sudah biasa menyambut Ana sebagai tetamu. Seperti sebelum-sebelum ini juga, Ana datang lagi menyatakan kerinduan pada Nenda tercinta. Teresak-esak Ana. Meratapi seorang Tua suci yang cukup bermakna buat Ana..di pagi Aidilfitri.

Tahun ni dah masuk tahun kedua Nenda pergi..bermakna dah dua kali raya lah kami merasai kehilangannya. Sayangnya Allah pada Nenda, sayangnya Allah pada Ana.

Pelan-pelan Ana dongak ke langit. Kirmizi kekuningan..mempamerkan keindahannya di pagi suci ini. Tersenyum dia.Tersenyum pada mata yang bergenang air hening..

Tersenyum demi menyambut hari kemenangan. Kemenangan buat mereka yang bermujahadah..

"..Subhanallah..Maha suci Allah yang menciptakan.." bisik Ana. Akur dengan kudratNya. Yang tidak putus-putus memberi dan mengurniakan..


Berkatnya Teratak Nenda..

"..Waa'laikumsalam..haa..naiklah..jemput semua sekali.." sahut Ana pada tetamu yang berkunjung. Bersalam-salaman Ana dengan mereka. Sambil berbual, Ana hidangkan apa yang patut.

"..Masuk yang ini, agaknya dah 50 puluh orang yang datang.." Bisik Ana perlahan.

Sungguh! Berkatnya rumah pusaka Nenda ni. Tak putus-putus tetamu berkunjung. Membawa berkat silaturrahim.

Seingat Ana, sejak dulu lagi rumah ni sentiasa dikunjungi. Dah biasa sangat salam bersahut-sahutan. Dari sanak-saudara dan sahabat handai. Jika tidak kerana mengunjungi Nenda ketika itu pun, sahabat-sahabat Ana sendiri yang datang. Seperti biasalah, tak naik ke atas pun..hanya berbual di dapur. Bersandar pada pintu dapur yang telah uzur.. (Sekarang ini pun, setiap kali balik kampung, Ana akan bersandar di pintu dapur tu..betul-betul tempat Nenda selalu bersandar. Kat situlah kami selalu makan nasi sejuk lauk kuah ikan singgang, telur mata lembu,cicah budu.)

Kadang-kadang, ada juga mereka yang singgah sekejap semata-mata untuk meminta air sekendi buat menyiram pusara sanak-saudara mereka. Subhanallah.. Rumah Nenda jugalah tempat mereka tuju dahulu sebelum ke kubur..

Terfikir Ana. Mungkin juga disebabkan rumah berkat ini bersebelahan kubur dan masjid, maka tumpuan dan kunjungan tu, tak putus-putus. Tapi yang pasti Ana gembira dengan keadaan ini. Suasana ini. Keberkatan tak putus-putus. Rumah Nenda sentiasa berkhidmat pada tetamu. Paling tidak, amalan Nenda yang menghidangkan kawe (kopi) pada tetamu dan memberi air sekendi pada orang berziarah kubur, masih Ana teruskan. Alhamdulillah. Syukur Ana. InsyaAllah ia akan jadi amalan yang berpanjangan oleh anak cucu Ana nanti..Amen.


Nendaku..

Dia terlalu istimewa. Sentiasa di hati. Seorang yang sangat sederhana. Merendah diri serta mengambil berat. Penyayang serta pemaaf. Cintanya Qudus, selalu segar, menghijau. Umpama embun yang sentiasa di dambakan buat penyambung nyawa daunan kekeringan. Hidupnya untuk berkorban. Suci nasihatnya. Dalam makrifatnya. Dia terlalu istimewa..

Pusakanya hanya Nasihat, perjalanan hidupnya adalah panduan hidup, sentiasa sederhana, memberi sekadar mampu agar menjadi insan yang berbudi..

Nenda..

Sesekali ku menoleh ke belakang, ternampak anak kecil berpakaian lusuh, dipimpin Tua suci kedut seribu, menjunjung cendol dan lompat tikam..

Mereka beradu di atas lembek kekabu, bersantapan nasi sejuk lada hitam dan kawe buatan tangan..

Kini..

Si Tua Mulia abadi di dalam kenangan, menghadap Rabb sifatNya Rahman..Maka..Berpanjanganlah kerinduan..

Ya Allah duhai Tuhan Yang Maha Kasihan Belas, Belas kasihanlah kepada kami ini..dan saksikanlah kemuliaannya serta pertemukanlah kami di SyurgaMu. Amen..


Dari Tingkap ini..

Mata Ana merenung keluar..mencari-cari maqam putih Nenda..

Dari tingkap ini..nampak jelas di mata, 2 nesan berdiri kukuh, menyambut mata yang bertamu..mata yang terlalu merindui wajah tua kedut seribu. Dialah Ibu, Dialah Bapa. Dialah yang telah menjadi lilin bagi sebuah penghidupan....si yatim piatu ini..

Al-Fatihah buat ahlil Bait : Hajjah Tuan Sharifah Binti Tuan Tengah Bin Syed Abdul Qadir Al-Yahya

Jazakumullah.

Blogger Template by Blogcrowds