Salam Zulhijjah

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
Maksudnya : HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu ."

Salam Zulhijjah buat sahabat-sahabat yang Ana hormati. Rasanya dah lama jari Ana tidak menekan-nekan keyboard laptop ni. Kesibukan harian serta kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan Ana terpaksa mengambil peluang secukupnya dahulu untuk berehat. Inilah Sunnatullah..sihat lawannya sakit, hidup lawannya mati...Allahuakbar..

Rupa-rupanya, sedar tak sedar Zulqaedah telah meninggalkan kita. Tibalah Zulhijjah pula mengambil tempatnya. Subhanallah..betapa pantasnya masa berlalu..Ana sendiri menyambut Zulhijjah yang juga bulan kelahiran Ana kali ini dengan demam yang agak kuat. Sewaktu Ana menaip artikel ini, Ana sedang demam.

Pun begitu, Ana gagahi juga untuk meneruskan kuliah mingguan..gagahkan jugak kaki ni untuk memijak anak tangga masjid. Dan bila tangan mula pegang mic, melihat jemaah-jemaah yang hadir, kuat kembali hati ni. Demam pun dapat diubati dengan penyembuhan jiwa..

Benarlah kata para Ulama Tasauf bahawa kesihatan hati pasti membawa kepada sihatnya fizikal...Allahuakbar..

Sahabat-sahabat sekalian..

Sebenarnya setiap kali Zulhijjah bertamu, ia mengingatkan kita terhadap perhimpunan agung di Tanah Haram. Berjuta-juta manusia dari seluruh pelusuk dunia datang melaungkan Talbiah memuji Allah SWT dan mengagungkan zatNya Yang Maha Sempurna. Mengiringi Talbiah yang diucapkan dengan penuh keinsafan terhadap maksud kalimat-kalimah pujian tersebut.

Sedaya yang mampu ditunaikan rukun Islam yang kelima itu. Dengan kesabaran, kecekalan dan segenap tujuan yang dihimpunkan di dalam dada hanyaah padaNya semata. Berdoalah kita agar mereka yang sedang menjadi tetamu Allah SWT, selamat sejahtera serta diterima ibadat mereka oleh Allah Yang Maha Pengampun lagi Penyayang. Amin..Allahuakbar...

Sebenarnya..Haji merupakan perhimpunan yang tersurat bagi makna terhadap adanya satu perhimpunan yang tersirat iaitu Masyar..

Sebagaimana Haji merupakan perhimpunan yang bertujuan untuk menyahut seruan Allah sebagai tetamuNya di negeri tanah kelahiran junjungan kita Baginda SAW, begitu juga dengan Masyar Allah. Sekali lagi kita dihimpunkan. Tetapi kali ini dengan lebih ramai. Bukan sahaja Muslimin, bahkan Kafirin, Musyrikin. Bukan sahaja manusia, bahkan segala jenis dan bentuk makhluk Allah SWT. Bukan sahaja ummat ini, bahkan ummat-ummat terdahulu..Semuanya dikumpulkan untuk menyaksikan apa yang telah kita laksanakan. Allahuakbar...

Semuanya tersirat di sebalik Zulhijjah, salah satu bulan haram di antara 4 bulan haram di dalam Islam.

Allah SWT telah menegaskan tentang bulan-bulan haram ini sebagaimana FirmanNya :

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram…” (At Taubah:36)

Di dalam Tafsir Al-Jalalain menyebut bahawa yang dimaksudkan firman Allah : "diantaranya empat bulan haram .."itu ialah “Empat bulan Haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.” Inilah yang telah disepakati oleh Ulama' dan umat Islam diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Di dalam bulan ini juga terdapatnya ibadat Haji dan hari Arafah. Selain dari ibadat Haji, pada hari Arafah pula disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji untuk melakukan ibadat puasa. Rasulullah SAW juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura'.

Ibnu Jarir At-Thabari telah meriwayatkan melalui sanadnya, dari Ibnu Abbas Radhiallahu A'nhu terhadap pengagungan Allah terhadap kesucian bulan-bulan ini dengan katanya :

“Allah Ta’ala telah menjadikan bulan-bulan ini sebagai (bulan-bulan yang) suci, mengagungkan kehormatannya dan menjadikan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini menjadi lebih besar dan menjadikan amal shalih serta pahala pada bulan ini juga lebih besar.” (Tafsir ath Thabari)

Ibnu Katsir mengatakan,:

“Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu hanya ada empat. Tiga bulan secara berururtan dan satu bulannya berdiri sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka , ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang letaknya sebelum bulan-bulan Haji, yaitu bulan Dzulqa’dah, karena ketika itu mereka menahan diri dari perang. Sedangkan bulan Dzulhijah diharamkan(disucikan) karena pada bulan ini mereka pergi menunaikan ibadah Haji, dan pada bulan ini mereka menyibukkan diri dengan berbagai ritual manasik Haji. sebulan setelahnya, yaitu bulan Muharram juga disucikan karena pada bulan ini mereka kembali dari Haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai. Adapun bulan Rajab yang terletak di tengah-tengah tahun diharamkan (disucikan) karena orang yang berada di pelosok Jazirah Arabia berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang berkunjung ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.” (Tafsir Ibni Katsir)

Namun begitu, sekiranya kita menyelusuri sejarah dan Sirah, sebenarnya pada bulan Zulhijjah ini pernah berlaku peperangan yang dikenali sebagai peperangan Sawiq. (Tepung)

Peperangan ini berlaku akibat dendam kesumat Musyrikin Makkah yang diketuai oleh Abu Sufiyan akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang berlaku kira-kira 2 bulan sebelum peperangan Sawiq ini.

Kekalahan dan tertewasnya pemuka-pemuka Musyrikin Quraish Makkah dalam peperangan Badar yang lalu, menyemarakkan kesumat Abu Sufiyan sehingga menyebabkan Abu Sufiyan bersiap sedia bersama 200 orang berkenderaan telah bergerak menuju Madinah, bandar Rasulullah SAW untuk melaksanakan api dendamnya.

Ana memetik apa yang disebut di dalam kitab ألرّ حيق المختوم : السيرة النبوية (oleh Syeikh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri ) menyatakan apabila rombongan Abu Sufiyan ini telah sampai di satu kawasan bernama Sadr Qanah iaitu satu laluan yang menuju ke sebuah bukit bernama Nabib yang berdekatan dengan kota suci Madinah, rombongannya itu telah berhenti di situ.

Abu Sufiyan telah merancang strategi untuk menyerang Madinah dengan cara sembunyi kerana pada fikirannya menyerang Madinah secara terbuka umpama menempah maut. Apatah lagi mengingatkan kekalahan dan kehinaan yang telah menimpa mereka ketika tewas di tangan Rasulullah SAW dan Muslimin di dalam peperangan Badar yang lalu.

Melalui strateginya itu, Abu Sufiyan telah menyelusup masuk ke pinggir-pinggir Madinah pada waktu malam secara sembunyi dan berusaha untuk mendapatkan rahsia dan maklumat dari golongan Munafiqin.

Dan ianya berhasil apabila Sallam bin Mishkam iaitu ketua Bani Al-Nadir bersetuju untuk memberi maklumat. Maka berlansunglah perbincangan mereka disaksikan Allah SWT di malam yang gelita itu.

Setelah mendapat maklumat yang secukupnya dari Sallam bin Mishkam, Abu Sufiyan telah mengutus satu kumpulan kecil untuk menyerang satu kawasan di pinggir Madinah Al-Munawwarah yang dikenali sebagai Al-A'rid. Di situ, mereka telah memotong dan membakar pagar-pagar kebun kurma serta membunuh 2 orang penduduk yang terdiri dari kaum Ansar dan sekutunya.

Apabila berita pembunuhan itu sampai kepada Rasulullah SAW, dengan segera Baginda mengejar Abu Sufiyan yang mula melarikan diri setelah dapat menghidu pemburuan Rasulullah SAW terhadapnya. Ketika melarikan diri itu, Abu Sufiyan telah membuang Sawiq (tepung) serta bekalan-bekalan lain semata-mata untuk meringankan bebanan mereka agar pantas dapat meninggalkan Madinah.

Sungguhpun Baginda dan tentera Muslimin telah mengejar mereka sehingga ke Qarqarah Al-Kudr, namun mereka berjaya meloloskan diri setelah melakukan operasi pembunuhan dan kekacauan terhadap penduduk Ansar.

Jika kita menyelusuri Sirah melalui peperangan Sawiq ini, dapat kita fahami bahawa kaum Musyrikin Makkah sebenarnya merasa begitu terhina akibat kekalahan mereka di dalam peperangan Badar yang lalu. Sehinggakan mereka tidak dapat tidur lena dan telah mengucapkan kata-kata nazar yang aneh sebagai bukti kesumat mereka yang tidak pernah terpadam selagi Rasulullah SAW tidak dibunuh.

Abu Sufiyan sendiri pernah menyatakan dalam nazarnya :

" Sesungguhnya aku tidak akan sekali-kali membasahkan kepalaku jika berjunub selagi belum dapat membunuh Muhammad "

Bahkan isterinya Hindun binti U'tbah sendiri ketika menzahirkan kebenciaannya kepada Baginda pernah mencadangkan agar Maqam Bonda Rasulullah SAW digali dan mayatnya dihina.

Ini dinyatakan oleh Hindun kepada Musyrikin Makkah ketika tentera Musyrikin ini sampai di Abwa' iaitu tempat pengkebumian Bonda Baginda SAW ketika perjalanan mereka untuk memerangi Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud.

Namun cadangan ini ditolak kerana pimpinan Quraish kerana bimbang terhadap risiko buruk yang bakal mereka hadapi sekiranya cadangan Hindun Binti U'tbah dilaksanakan.

Betapa buruknya dendam kesumat mereka. Sehinggakan sanggup melaksanakan kebenciaan dan api dendam mereka terhadap Rasulullah SAW walaupun terhadap mayat.

Teringat Ana akan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, di mana ketika Rasulullah SAW mengesat darah yang mengalir dari kepala Baginda akibat terkena panahan musuh dan mengakibatkan 2 manik dari baju besi Baginda tertusuk ke dalam pipinya yang mulia dan patahlah gigi seri Baginda, bersabda Baginda :

" Sesungguhnya Allah sangat murka kepada kaum yang telah mendarahi wajah RasulNya. "

Kemudian Baginda terdiam sebentar lantas berdoa :

" Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui." ( Sahih Muslim :Bab Ghazwah Uhud )

Subhanallah..betapa pemaafnya Baginda SAW terhadap Musyrikin walaupun mereka tidak putus-putus menyakiti Baginda.

Mudah-mudahan Zulhijjah ini menambahkan kecintaan kita kepada Baginda SAW lebih-lebih lagi bagi mereka yang dijemput Allah sebagai tetamuNya tahun ini.

Perbanyakkanlah kita mengingati Allah SWT dan Rasulullah SAW agar Zulhijjah yang datang ini dapat menjernihkan hati dan fikiran sesuai dengan semangat bulan haram yang disucikan dalam erti kata yang sebenarnya. Labbaikallahh...

4 Comments:

  1. Anonymous said...
    Nice article to read,penuh dgn ilmu..Salam Aidiladha..
    Anonymous said...
    Salam Aidil Adha. Semoga para hajah dan haji kita selamat pulang, mendapat haji mabrur semuanya.
    Dr Amad said...
    Salam...mantap article ni ustaz...Mai blog ana pulak...(Amad kwn Ustaz Mahadi)
    Anonymous said...
    Anonymous

    Terima kasih buat ustaz kerana banyak ilmu pengetahuan yg diperolehi selepas membaca artikel ini. Sesungguhnya ia sangat padat dgn ilmu. Cerita tentang keperibadian Rasul SAW, bulan haram, musim haji,perang badar dan perg tepung dapat difahami dgn jelas. Rugilah sesiapa yg tidak membacanya. Bagi saya cerita perang tepung amat menarik minat.Kenapa perang ini dinamakan perg tepung dan bila perang tepung berlansung serta kenapa perg tepung berlaku telah dapat kita mengetahuinya. Sangat dialu2kan kanak2 membaca artikel ini.Ingatan mereka yg sangat kuat serta kegunaan yg besar setelah dewasa kelak sgt membantu dalam membentuk hidup mereka. Saya sangat berpuas hati dengan penulisan ini dan sgt berterima kasih kpd ustaz.Dari mydy untuk ustaz.

Post a Comment



Blogger Template by Blogcrowds