Hidup hanya ujian diri..

"..Nak pergi ke tak pergi..?..Kalau pergi, mesti jam teruk waktu ni..". Bisik Ana. Bermonolog sendirian Ana dalam keadaan jam sebegini. Antara nak balik terus ke Terengganu atau melawat sahabat yang sakit kat KJMC.

Bukannya taknak melawat sahabat tapi kesesakan lalu lintas menyebabkan Ana berfikir banyak kali. Ana ingat, kalau tak sempat melawat hari ni, Ana nak call dulu sahabat tu, kemudian pulang dari bercuti raya nanti, barulah melawat. Lagipun, Mak minta Ana sampai ke Terengganu sebelum Maghrib. Nak berbuka sama-sama kata Mak. Fikir punya fikir, akhirnya Ana bulatkan tekad.. Ana terus ambil roundabout seksyen 4, belok arah pukul 3 (istilah pemandu ketika di roundabout), Ana memecut laju ke KJMC..


KJMC, BILIK RAWATAN..

"..Ni semua ujian dariNya..Ujian yang menimpa kita ni..adalah kerana Allah nak menaikkan maqam kita. Nak tengok kita redha dan sabar ke tidak atas ujian ini." Kata Ana pada sahabat. Mata sahabat dan Ana bertemu. Nampak mata putihnya agak kekuningan. Sakit kuning katanya. Kesian Ana pada sahabat. Baik orangnya dan taat pada orang tua. Mudahan sahabat selamat. Amin.


UJIANNYA UNTUK TAQARRUB..

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا ءامنا وهم لا يفتنون
Maksudnya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : " Kami beriman." Sedangkan mereka tidak diuji. (dengan sesuatu cubaan)?.(Al-Ankabut :2)

Bercakap tentang ujian, masing-masing kita ni, diuji sesuai dengan kemampuan diri. Allah berfirman lagi di dalam Al-Quran :

لايكلف الله نفسا الا وسعها
Maksudnya : Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.. (Al-Baqarah : 286)

Sebenarnya sama ada kita sedar atau tidak, sekarang ni pun kita sedang diuji. Macam-macam ujian yang telah kita hadapi, sedang dan akan hadapi. Ana yang sedang menaip ni pun Allah uji. Uji nak taip sesuatu yang boleh datangkan manfaat ataupun sebaliknya. Di sinilah peranan akal manusia dalam menerima dan menghadapi ujianNya. Kita padu akal dan Syariat agar setiap ujianNya menambahkan taqarrub kita kepada Allah SWT.


KETAHUILAH..2 UMAR SUDAH DIUJI..

Pernah satu ketika Gabenor Azerbaijan yang bernama Utbah bin Farqad menghadiahkan habishh (sejenis makanan lazat yang diperbuat dari kurma dan minyak sapi) kepada Amirul Mukminin.

Di saat Umar mengecap makanan lazat tersebut, bertanya Umar kepada utusan Gabenor tersebut : " Apakah makanan ini juga dimakan oleh rakyat biasa di negara kamu.."

Jawab utusan Utbah : .." Tidak Ya Amirul Mukminin. Ini adalah makanan para bangsawan.."

Serta merta Umar berkata : " Bawalah kembali makanan ini dan serahkan suratku pada Utbah bin Farqad!"....


Isi kandungan Surat Umar buat Utbah bin Farqad :

Dari Umar Al-Khattab Hamba Allah:
Wahai Utbah bin Farqad..Ketahuilah wang yang ada padamu yang dengannya kamu membeli keperluanmu, bukanlah milik ibu bapamu! Demi Allah aku lebih suka menjadi orang yang terakhir mengecapi makanan lazat setelah semua rakyat merasainya dan aku juga ingin menjadi orang pertama yang merasai kelaparan di saat musim kemarau sebelum rakyat merasainya.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan Umar sebagai pemimpin! Pemimpin yang menyedari hisab Allah itu amat sempurna..!

Teringat pula Ana kisah Cicit Sayyidina Umar iaitu Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz.

Tahukah sahabat-sahabat sekalian, setelah rakyat membai'ah Umar bin Abdul Aziz sebagai Amirul Mukminin, berkata seseorang padanya : " Ya Amirul Mukminin. Inilah kenderaan bagi Amirul Mukminin." Sambil mengisyaratkan pada seekor kuda yang bagus. Sambil berjalan menuju keldainya, berkata Umar : " Demi Allah aku lebih suka menaiki kenderaanku yang sedia ada!"

Subhanallah! Bukankah 2 Umar ini merupakan Amirul Mukminin? Yang mampu memiliki segala yang diingini? Bermewahan, bermegah-megah..agar disebut-sebut Amirul Mukminin!
Tetapi mereka tidak begitu! Mereka bukan seperti kebanyakan pemimpin yang tenggelam dalam tipu daya kuasa, kaya, glamour,pujian...sebaliknya mereka menyedari bahawa mereka hanya hamba Allah yang sedang diuji dan mereka telah berjaya dalam ujianNya..

Takutlah padaNya. Dekatilah DIA. Bukankah DIA telah berfirman : Sesungguhnya DIA lebih dekat daripada urat lehermu..(Maksud Surah Qaaf : 16)


DAH SAMPAI?
Tepat-tepat 3.30ptg, bertambah sorang lagi rakyat Terengganu yang balik kampung. Aduh..laju jugak Ana bawak kereta..

Ana hulur tangan mencari-cari penyelak pintu pagar besi..tarik engsel yang terkunci rapat..kemudian pelan-pelan Ana tolak pintu pagar. Berkeriut bunyi karat-karat yang bergesel sesama sendiri..

" Assalamualaikum Ya Ahla Dar Qaum Al-Mukimin. Antum Saabiquun, Wa Nahnu Laahiquun.." (Salam sejahtera Wahai Ahli perkampungan orang-orang Mukmin, Kamu telah mendahului dan kami akan mengikuti) .

Ucap Ana pada Ahli Kubur. Ana singgah kubur jap sebelum masuk umah. Seperti selalu, Ana jumpa Nenda dulu..

Nesan-nesan seakan memutih bertaburan menyambut kedatangan Ana. Wangian kemboja dan bunga tanjung menusuk-nusuk ke hidung. Ana tengok nesan-nesan sekeliling... Ada yang terjaga rapi tapi kebanyakannya..terbiar...Lalang lebih tinggi dari nesan yang terpacak..!

"...Emm..beginilah kalau dah pergi..jarang sanak-saudara nak menjenguk.." Bisik Ana.


BERZIARAHLAH..
Ada benarnya kan? Kadang-kadang sedih bila melihat kubur-kubur yang terbiar. Lalang semakin meninggi. Rumput liar mula memanjang. Semalu seakan tidak malu membelit batu-batu mati...

Terfikir Ana.. "Kemanalah agaknya sanak-saudara mereka?"..

Nak kata takda masa..lama mana sangatlah waktu yang diambil untuk menjeguk mereka yang dah dijemput Ilahi? Apatah lagi orang-orang tua kita yang dah pergi..Tapi..sesekali bila difikirkan balik, betul juga takda masa. Maklumlah masing-masing sibuk..Nak ke masjid pun tak sempat, apatah lagi nak ke kubur!


BIASAKANLAH DENGAN BAU TANAH..
Teringat Ana satu Hadis Qudsi yang dinaqalkan oleh Imam Al-Ghazali : "..Hati -hati yang mati itu umpama kubur. Indah di luar, di dalamnya mengerikan."

Wanau'zubillah min zaalik!

Sahabat-sahabat yang Ana dikasihi, entah-entah hati kita ni..sedang mati? Mati sebelum mati!Sebab tu kita pun payah nak ingat pada mati..Logiknya, jika kita sendiri tak ingat pada mati, nak ingat pada kematian orang lain..lagilah jauh..

Cuba kita renung balik..sejujurnya, pernahkah kita bertanya pada diri kita ni..." Agak-agaknya bilalah aku akan diusung ke sini?" Pernahkah?

Jika pernah, apakah kita mengambil peringatan di atas kematian demi kematian yang telah berlalu? Jangan sampai saat orang menyebut.." Ustaz Rashidy takde dah pagi tadi.." baru kita nak sedar!

Sedarlah. Hidup ini hanyalah ujian buat kita. Ujian kehidupan yang berakhir di Dar Qaum Al-Mukminin (Perkampungan Orang-orang Muminin). Ziarahlah kubur selalu. Lebih-lebih lagi di bulan yang penuh keberkatan ini. Perbanyakkanlah kita mengingati ibu-bapa, nenek moyang dan sanak saudara kita yang telah pergi. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

" Sesungguhnya saya teringat sangatlah pada Bonda saya yang telah dimaqamkan di Abwa."..

Betapa sucinya kasih sayang Rasulullah SAW. Pada Bonda yang telah melahirkan, membesarkan. Inilah fitrah hati. Lurus dan tulus. Buktikanlah ingatan yang berpanjangan dan kasih sayang kita pada mereka..Ambillah keinsafan dengan menatap nesan-nesan yang terpacak. Biasa-biasakanlah diri dengan pacat, cengkerik dan bau-bau tanah yang akan sebati dengan diri. Hayatilah kesunyian di sana..mereka sudah kembali..kita pula akan mengikuti...Bukankah kita juga pasti ke sana?-Salam Penghujung Ramadhan.

Assalamualaikum Sahabat-sahabat sekalian. Harapnya sentiasa tenang dalam Zikrullah. Lebih-lebih lagi di bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Ramadhan Al-Mubarak.

Kali ini ringkas je Ana menulis. Nak berkongsi dengan sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian satu doa yang amat elok kita baca waktu kita menunaikan Zakat pada 8 asnaf yang telah kita sedia maklum tu. Sebenarnya doa ini dinaqalkan dari hadith Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah (Allah merahmatinya).

Bersabda Rasulullah SAW :


أذا أعطيتم الزكاة فلا تنسوا ثوابها أن تقولوا : أللهم اجعلها مغنما ولا تجعلها مغرما

Maksudnya : "Apabila kamu menunaikan Zakat, janganlah kamu lupa ganjarannya dengan mengucapkan : Ya Allah, jadikanlah ia (Zakat) bertambah dan jangan jadikan ia berkurangan." (Riwayat Ibnu Majah)

Di dalam kitab Fiqh الدقائق لأولى النهى menyebut, perkataan مغنما di atas adalah bermasud مثمرة (bertambah atau bercambah) manakala perkataan مغرما pula membawa maksud منقصة (berkurangan).

Bagi penerima Zakat pula hendaklah turut sama mendoakan agar pemberi Zakat tersebut sentiasa di dalam keberkatan dan Redha Allah SWT.

Antara doa yang dianjurkan oleh para Ulama' seperti yang telah disebut di dalam kitab-kitab Fiqh antaranya المغني oleh Ibnu Qudamah ialah :


أجرك الله فيما أعطيت وبارك الله قيما أبقيت وجعله لك طهورا

Maksudnya : " Semoga Allah mengurniakan kebaikan kepadamu di atas apa yang telah engkau berikan, dan semoga Allah mengurniakan keberkatan terhadap apa yang tinggal padamu, dan semoga pemberianmu itu menjadi sebagai penyucian buat dirimu."

Selamat Beramal. Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Firman Allah SWT : "Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang faqir dan orang-orang miskin, para a'mil yang menguruskannya, orang-orang yang mua'llaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan di) jalan Allah dan untuk orang-orang musafir (yang terputus perbelanjaan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum tersebut ialah) Sebagai satu ketetapan yang diwajibkan dari Allah. Dan (ingatlah), Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah : 60)

Sahabat-sahabat sekalian. Hari ni dah masuk 24 Ramadhan. Rasanya macam pantas sangat masa berlalu. Sedar tak sedar..24 hari dah Ramadhan kita lalui. Berbuka, bersahur, tadarus, terawih, qiyamullail dan sebagainya. Semuanya untuk bekalan kita ke sana..mati..

Kita ikat perut sepanjang hari dengan berlapar dan dahaga. Kita jaga anggota dan pancaindera supaya turut berpuasa bersungguh-sungguh. Bukan itu saja, syahwat (keinginan) pun kita kawal serapi mungkin. Semuanya kerana taatkan perintah Allah dan Rasulullah SAW. Tapi pesan Ana buat diri dan sahabat-sahabat sekalian, ibadat zakat jangan dilupakan..

Kita semua tahu zakat merupakan rukun Islam yang keempat. Ia adalah kewajiban bagi yang mampu. Sebenarnya, dari segi bahasa perkataan Zakat itu bermaksud membersihkan dan mengembangkan. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud Sejumlah harta tertentu yang diwajibkan Allah untuk diserahkan kepada orang-orang yang berhak..

Hampir 5 tahun berlalu..

Pagi tadi Ana ke Al-Rajhi bank untuk sedikit urusan. Kebetulan orang tak ramai pula waktu tu. Lega Ana. Jadi sementara menunggu urusan Ana tu diselesaikan oleh pihak bank, Ana belek-belek pamplet yang sedia ada kat kaunter depan tu. Tiba-tiba mata Ana tertumpu pada satu kalendar yang berada di sebelah kiri Ana.

Ana amat-amati kalimah arab yang tertulis pada kalendar tersebut. Semakin lama Ana amati, semakin Ana mengingati sesuatu...Sesuatu yang berlaku 5 tahun lepas...

Ramadhan, Masjid Muhammadi, Kota Bharu..

"..Assalamualaikum tokk..ni zakat saya tahun ni..sudilah tok terima sekadarnya.." ucap Ana..Sejumlah wang di tangan Ana tadi mula berpindah milik. Dua belah tangan seorang tua yang usianya hampir seabad mula menyambut. Terketar-ketar tangannya. Uzur benar dia. Ana memandang wajahnya. Berkedut. Tak jauh beza dengan arwah Nenda Ana. Kecil molek..cuma bezanya dia lelaki, arwah Nenda Ana perempuan.

Ana memandang lagi padanya. Ana tengok ada air jernih pada kelopak matanya. Mula bergenang keluar dari anak matanya yang nampak agak pudar kebiruan. Mata seorang tua yang lebih dulu melihat dunia...

Pelan-pelan beliau mengucup pemberian Ana tadi. Lama-lama.. Kemudian sambil mata basahnya melihat anak mata Ana, dia mula membaca :

أجرك الله فيما أعطيت وبارك الله فيما أبقيت وجعله لك طهورا

"..Amin.." katanya. Ana sambut pula .."Amin Ya Allah..". Terharu Ana..terharu dengan doa yang diucapkan oleh seorang tua pemilik mata yang basah..

Sebenarnya, Ana bukan sahaja terharu dengan nasibnya, tetapi terharu dalam tidak tahu..tak tahu doa apa yang diucapkannya untuk Ana itu...Sungguh! Lagipun doanya itu seakan-akan bisikan sahaja..kurang jelas didengar..

Mencari-cari bisikannya..

Hampir 5 tahun setelah perjumpaan Ana dengannya di Masjid Muhammadi itu, Ana mencari-cari apakah doa yang diucapkan olehnya setiap kali zakat dihulurkan padanya. Ana pula ketika itu tidak pula bertanya padanya. Bimbang kalau-kalau mengganggu masanya yang asyik membaca Al-Quran.

Tapi pagi tadi...Ana yakin sangat, doa itulah yang selalu diucapkannya pada Ana selama ini...Doa ketika menerima zakat!

Subhanallah..mata Ana mengamati setiap baris-baris doa tersebut. Sangat mulia dan benar.. Doa kudus dari seorang yang amat mengharapkan kepada Ana untuk memberi ketika ada. Itupun dengan seizinNya..Di saat itu juga Ana dapat rasakan beliau membalas lebih dari apa yang Ana telah laksanakan untuk hajatnya..padahal Ana hanya memberi kertas-kertas yang tidak bermakna (jika tidak diinfaqkan pada jalanNya) padanya..

Doanya untuk Ana : " Semoga Allah mengurniakan kebaikan yang tidak putus-putus kepadamu di atas apa yang telah engkau berikan, dan semoga Allah mengurniakan keberkatan yang tidak putus-putus terhadap apa yang tinggal padamu, dan semoga pemberianmu itu menjadi sebagai penyucian buat dirimu.."

Subhanallah..Kabulkanlah doanya Ya Allah..Amin.

Qanaah.

Pagi-pagi lagi Ana dapat panggilan dari seorang sahabat. Selalu juga Ana dapat panggilan darinya. Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan seperti biasa. Mulanya persoalan Ramadhan dan Aidilfitri yang kami bualkan, akhirnya sedikit demi sedikit perbualan kami mula terarah ke soal hati..

"..Dulu..setiap kali Ana solat Tahajjud dan Taubat..mudah sangat menangis..Tapi sekarang bukan main payah lagi!"..Katanya membuka bicara.

Terdiam Ana..terkedu dengan kata-katanya..Bukan terkedu kerana seakan tak percaya padanya (sahabat Ana ni memang seorang yang suka bangun malam) apatah lagi nak memperlekehkan imannya. Tidak terfikir pun!

Sebenarnya Ana terkedu kerana mengakui kebenaran kata-katanya tu..Dalam diam hati kecil Ana berkata : "Kalau Anta pun macam tu..Ana lagi lah.."

Ingat Allah bila ditimpa Musibah..

Terfikir-fikir juga Ana tentang hal ni..Kadang-kadang kita hanya mengingati Allah ketika kita ditimpa kesusahan sahaja. Masa itulah kita betul-betul berhajat pada Allah. Waktu kita sakit, waktu nak imtihan (exam), waktu solat hajat nak dapatkan barang kemas yang hilang dan lain-lain. Tetapi di saat senang, Allah kita letak tepi..

Ketika berhajat pada Allah, panjang-panjang doa kita panjatkan. Sempat pulak kita ziarah masjid (Ana guna perkataan ziarah sebab jarang-jarang sangat datang masjid) untuk minta jemaah solat hajat sama-sama agar hajat kita tu tercapai. Nampak macam penting diri sangat kita ni..

Mengapa ini yang terjadi? Jangan-jangan penyakit Munafik semakin menghampiri..(minta dijauhkan Allah SWT). Tidak terasakah kita ni lupa diri? Memilih-milih waktu untuk mengingati Allah SWT? Sedangkan Dia memberi tidak mengira waktu dan saat. Setiap yang dikurniakan pun tidak diungkit-ungkit.

Ada baiknya kita memerhatikan apa yang telah difirmankan oleh Allah : " Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, maka merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan) sama ada dia sedang berbaring, duduk atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan kesusahan itu darinya, maka dia kembali seperti asal (derhaka) seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami akan kesusahan yang telah Kami hilangkan darinya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik terhadap apa yang mereka lakukan." (Surah Yunus : 12)

Begitulah manusia..selalu menipu diri sendiri..

Hakikatnya..

Kita selalu berdoa. Kadang-kadang sambil berdiri, duduk, baring. Ramai orang menyangka doa tu mesti lepas sembahyang, bersimpuh, pakai ketayap, baru panggil doa. Tak sebenarnya. Doa tu mudah. Waktu nak masuk tandas kita cakap : " Ya Allah, janganlah ada orang tolak pintu ni sebab engsel dah rosak.!"..tu pun doa jugak.

Amat mudah untuk berdoa. Di mana-mana pun. Besar benar harapan kita agar dikabulkan. Dalam pengharapan tu kita iringi pula dengan tawakkal. Bimbang sangat kita kalau-kalau doa kita tak termakbul..

Tapi, sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah sentiasa dimakbulkan!

Pernah Ana ditanya : " Betul ke macam tu? Ana doa nak kaya tapi tak kaya-kaya jugak tu macam mana pulak?" Dengan ringkas Ana jawab : " Allah pasti akan kabulkan di Akhirat tapi dengan lebih baik dari apa yang saudara minta."

Bukankah di Akhirat nanti kekayaan bukan lagi tujuan. Hanya redhaNya semata-mata. Maka apa yang diminta di dunia dan dikabulkan di Akhirat sudah tentu jauh lebih baik.

Firman Allah SWT : " Diwajibkan ke atas kamu untuk berperang (menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu adalah perkara yang kamu tidak sukai. Boleh jadi perkara yang kamu tidak sukai itu baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara tetapi ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah Yang Maha Mengetahui (hakikat) segala sesuatu sedangkan kamu tiada mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah : 216)

Cuba kita renung-renung balik, setiap kali berdoa, banyak yang kita minta..maklumlah kita ni serba kekurangan. Tapi malangnya tanpa kita sedar, kadang-kadang yang kita minta tu bukan satu keperluan pun sebaliknya kemahuan yang tidak pernah padam!

Bukankah Penyair Arab telah menyebut : نغدو ونروح لحاجاتنا وحاجات من عا شا لا تنقضى
Maksudnya : Kita disibukkan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita.Sedangkan hajat bagi orang yang hidup itu tidak pernah habis-habis.

Itulah hakikat bagi sesuatu hajat. Ia tidak pernah padam. Akan sentiasa ada jika tidak disemai dengan sifat Qanaah (memadai). Sebetulnya, bila tidak dapat bukan beerti Allah tidak memberi. Tetapi Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Mendekatkan kita pada redhaNya.

Syeikh Ibnu A'thoillah telah menyebut : ربما أعطا ك فمنعك وربما منعك فأعطا ك
Maksudnya : Boleh jadi Allah mengurniakan satu nikmat kepadamu tetapi Dia menghalangmu padaNya dan boleh jadi dia menghalang satu nikmat kepadamu tetapi mengurniakan taufik dan hidayat padaNya.

Berkata Al-mutanabbi : ما كل ما يتمنى المرء يدركه تأت الرياح بلا تشتهي السفن
Tidak semua apa yang dihajati oleh seseorang itu akan tercapai olehnya(terkadang), datang angin ketika perahu-perahu sudah tidak berselera padanya.

Subhanallah! Alangkah baiknya jika sangkaan baik itu sentiasa dalam diri. Menyerahkan segalanya pada Allah setelah berusaha dan bertawakkal padaNya. Kerana hanya Dia Maha Mengetahui hakikat segala sesuatu.

Mohonlah Agar Allah mengurniakan sifat redha dan Qanaah (memadai) terhadap segala yang ditakdirkanNya kerana hanya Dialah yang Maha Mengetahui hakikat segala yang telah ditentukan. Salam Ramadhan dari Ana.

Kisah Ana..

Celik je ,mata masih basah. Menangis dalam mimpi. Sebenarnya mimpi jumpa Nenda seakan dah jadi rutin bagi Ana semenjak Nenda pergi 2 tahun lepas. Dulu mimpi jumpa Nenda kat Mekah. Ada sekali tu mimpi Nenda bercucuk tanam di kawasan bukit tinggi. Tapi yang pasti, setiap kali mimpi Nenda, pasti rindu semakin menebal. Rindu pada yang dah pergi!

Teringat Ana pada kata-kata Muhammad Ibnu Sirin di dalam kitabnya Tafsir Al-Ahlam Al-Kabir ketika menafsirkan jenis-jenis mimpi. Katanya : " Sesungguhnya mimpi itu terbahagi kepada 3 jenis ; Pertama : Busyro min Allah (satu khabar gembira dari Allah.) Kedua : Takhwif Min As-Syaiton (mimpi yang terhasil akibat gangguan Syaitan.) Ketiga : Hadith An-Nafsi (mimpi yang terhasil akibat terlalu memikirkan sesuatu sehingga terbawa di dalam mimpi.) - Sebenarnya pembahagian kategori mimpi oleh Muhammad Ibnu Sirin ini adalah berdasarkan Hadis Nabi SAW yang menyatakan secara jelas bahawa mimpi itu terbahagi kepada 3 jenis.

Bangkit je dari katil, Ana siapkan diri dan kemaskan apa-apa yang patut kat bilik. Hari minggu macam ni lah. Lebih-lebih lagi Ramadhan. Selesai mengemas, Ana rebahkan belakang ke kerusi rotan yang baru seminggu Ana beli. Sambil rehat atas kerusi rotan yang boleh ulik tidur tu, (Tak pasti istilah tepatnya) ana mula ulik diri sendiri. Pelan-pelan. Ana mula balik kampung...


Satu hari di bulan Ramadhan..

Bunyi mesin pengisar beras pulut memenuhi gegendang telinga. Mengisar-mengisar dan terus mengisar. Sesekali Wan dan Cik menambah-nambah beras pulut melalui muncung penadah pengisar. Nak buat cendol dan lompat tikam.

Saudara-mara yang lain pulak sibuk membungkus. Letak cendol dalam plastik kemudian masukkan air bersih. Berebut-rebut cendol naik ke atas.Terapung-apung kehijauan..Sedap..Lompat tikam pun macam tu.

Cik pastikan ia dibungkus dengan elok, cermat dan bersih sangat-sangat. Memang Cik seorang cermat dan sangat bersih. Dulu Ana masih ingat lagi waktu Cik buat tepung bungkus. Bila tepung bungkus dah masak, Cik akan buka satu-satu dan buang 'kerak' tepung disekeliling tepung bungkus yang bentuk macam pyramid tu, kemudian lapkan bersih-bersih. Sangat cermat!

Jadi, cendol dan lompat tikam pun macam tu lah jugak. Buat bersih-bersih dan elok-elok. Orang yang beli pun puas hati, kita pun senang. Halal sehalal-halalnya.

Biasanya Cik upah Van untuk bawak cendol dan lompat tikam ke pekan Kuala Berang. Kat pasar tu, Cik hamparkan tikar dan bersila di depan besen kuih-kuih. Sebungkus sekitar 30 sen je. Balik sekolah je, Ana tak terus balik rumah. Terus je ke pasar untuk jual kuih. Bersila macam Cik. Setiap kali dapat duit, ana masukkan dalam bekas plastik bertudung oren. Lama betul bekas tu berkhidmat. Seingat Ana, berbelas tahun jugaklah. Saat Ana menulis ni pun, ana ternampak-nampak bekas tu.

Masa sekolah rendah dulu, Cik jual cendol keliling kampung. Cik akan lipat kain batik atau 'kain lepas' kemudian gulung rapat-rapat. Cik letakkan gulungan tu atas kepala sebagai lapik besen. Kemudian bangun pelan-pelan mengimbangi beban cendol tadi, Cik mula keliling kampung..

Ana pun macam Cik juga. Selepas Wan letak cendol dan lompat tikam dalam raga, Ana akan keliling kampung menjual sambil melaung..cendol..cendoooolll...lompat tikam..lompat tikaaammm.. (Ana saja menaip perkataan cendol dan lompat tikam itu dengan huruf yang berlainan untuk gambarkan yang cara sebut tu ada nada sendiri).

Dapatlah rm5. Kadang-kadang Rm 10. Suku darinya Ana punya. Dapatlah beli air lamned (air botol macam-macam perisa, ada oren, sarsi dan aiskrim soda). Air lamned cuma 40 sen je. Ana paling suka yang oren. Kadang-kadang beli air gas. Tapi Cik dan Wan tak bagi sangat minum...sakit dada nanti. (Ana memang ada Athma waktu kecil dulu).

Sebenarnya, Cik banyak kepandaian. Selain cendol dan lompat tikam, Cik buat Kawe (kopi), sos cili, kuih-muih dan buat lembek kabu (tilam kekabu). Ana masih ingat semua tu.. Kalu malam namat (17 Ramadhan), Cik akan buat kuih Tepung Bunga dan Ana lah akan bawak ke Masjid. Kalu buat kopi, Ana yang tumbuk lesung. Cik potong-potong kawe yang menghitam pekat. Kemudian baru kisar. Kami Jual. Sebungkus rm2 hingga rm5.


Lembek Kabu..

Lembek kabu pulak, bila Cik buat, Cik akan guna ranting kayu sepanjang sejengkal sebagai pengukur empuk tilam. Kemudian Cik akan jahit berkembar dengan benang tebal warna putih. Masa tu, Cik akan duduk kat lambur sepanjang hari. Masukkan kekabu, tolak-tolak dengan kayu bagi sampai kat hujung-hujung bucu tilam. Sesekali Cik menoleh pada Ana. Nampaklah Cik pakai penutup muka macam Doctor. Biar kekabu tak masuk mulut. Walaupun tak tau Cik senyum atau tak di sebalik penutup tu, tapi Ana tahu, Cik senang hati. Cik buat tu semua untuk Ana dan anak cucu lain...Mulianya Cik..

Kadang-kadang bila difikirkan tak berbaloi dengan tenaga yang tercurah. Tapi itulah Cik. Tak mahal, cermat, bersih. Duit-duit sekolah, pakaian raya dan seragam..hasil duit tu lah. Kadang-kadang ambil dulu kat kedai..cukup duit baru bayar..

Selain Itik Sekati, Cik ada pokok duku. Setiap kali berbuah, Ana akan panjat. Asingkan jadi 3 bahagian. Satu untuk Mami, satu untuk Busu dan satu bahagian untuk Tengku Aini. Semuanya anak cucu Cik. Pokok Duku yang empat batang ni sebenarnya warisan Nyang Lijah mak Cik. Nyang lijah sangat istimewa pada Cik. Masa kecil-kecil bahkan bila dah umur 20 an pun Ana selalu dengar Cik cerita tentang Nyang Lijah. Nyang Lijah jual minyak sapi. Cik yang rindu kat maknya ni, mudik dengan perahu kajangan untuk cari maknya. Pakai kain sehelai je. Orang-orang dulu memang susah nak dapat makan minum. Apatah lagi pakaian. Menangis Cik setiap kali bercerita...

Sebab tu Ana tengok setiap kali Cik dapat kain, Cik akan susun elok-elok dalam almari kayu sederhana besar kat rumah Ana. (almari ni dah berusia 50 tahun. Nyang Lijah beli dengan hasil jual minyak sapi. Harganya rm15 ketika itu. Ana cat semula dan simpan kat bilik ana). Berulang-ulang Cik susun. Seakan-akan mujur benar Cik dapat kain-kain tu..


Ke Makkatul Mukarramah..

Duit hasil jual cendol dan tanah terkawal tu dapatlah Cik ke Mekah. Tahun 1996 Cik berangkat ke Tanah Suci. Masa tu Ana tingkatan 6. Lama juga terpisah dengan Cik. Akhirnya dapat juga Cik jejak kaki ke Tanah kelahiran Baginda Nabi SAW. Sedaya upaya Cik tunaikan Haji. Sempurnakan rukun Islam yang kelima tu. Allah bantu Cik..Maha suci Allah..

Cik juga simpan duit untuk buat Badal Haji (upah haji) untuk mak dan bah nya. Bah Tuan Tengah bin Syed Abdul Qadir dan Nyang Halijah binti cik siah. Sayang sangat Cik pada mereka. Menunaikan kewajipan pada orang tua yang dah pergi..Selalu juga Ana dengar Cik bercerita tentang Bah nya. Garang orangnya.

Masa kecil-kecil dulu, selepas sarapan pagi roti paun dan air milo, Ana ikut Cik tanam timun batang kat tanjung. (tanjung ni satu kawasan tanah terbiar dekat dengan sungai. Sebelah tu ada pokok binjai tempat kami beramai-ramai tunggu binjai luruh. Kat sini jugaklah Ana main Wau masa musim kemarau). Kalau gatal-gatal badan, Cik akan cari daun sukar, letak dalam periuk kemudian Cik rebus. Bila dah masak dan biarkan sejuk sikit, Cik mandikan sambil gosok-gosok seluruh badan Ana. .."..Biar hilang gatal..". katanya. Sampai sekarang ni pun, tiap kali Ana balik kampung, Ana petik daun sukar, gosok-gosok dan cium baunya. Nak ulang-ulang kenangan tu..memang Ana amat sayang pada Cik..

Mak cakap masa umur 3 tahun, Ana tinggal kat Melaka dengan mak. Kata mak..Ana selalu menangis-nangis ingat kat Cik..tak makan tak minum.. Bila mak dah bawak balik Terengganu pun macam tu juga. Setiap pagi Cik pimpin hantar ke sekolah TADIKA kat padang (250 meter je dari rumah) tapi Cik tak balik semula macam orang-orang lain yang hantar anak cucu. Cik tunggu je tepi pintu TADIKA sampai abis kelas. Semuanya kerana Ana tak bagi Cik balik...Sayangnya Cik pada Ana..

Dulu waktu nak ke Ardul Kinanah, Cik sedih sangat nak berpisah dengan Ana. Ana pun. Tapi Cik izinkan jugak ana berangkat. Masa kat airport..Ana salam cium kucup Cik. Ana tengok Cik menangis..Ana sebak tapi dapat sembunyikan air mata. Taknak Cik lagi pilu. Tapi bila Kapal terbang mula meluncur laju dan terasa mula naik...perlahan-lahan air mata Ana jatuh juga..mengalir hangat..Ana menangis..lama-lama..

Sebenarnya, Cik sangat penyayang. Ana masih ingat lagi waktu ana mula karang kitab kecil-kecilan dan letak nama Cik kat situ. Gembira benar Cik sampai bawak tidur buku tu.Walaupun Cik tak pandai membaca tapi Cik tahu, ni hasil cicitnya.

Masa Ana sambung belajar lagi kat Kuala Lumpur, Ana kerja sementara sebagai Imam surau . Tapi hampir tiap minggu Ana balik kampung juga jenguk keluarga. Satu petang, Ana dapat call dari mak Ana. Mak bagitahu Cik tengah sakit dada. Ana terus call hospital Hulu Terengganu minta bawakan Ambulan. Waktu tu Ana masih ingat lagi, Ana ada kat bawah pokok berdekatan dengan surau tempat Ana bertugas. Ana telefon mak Ana sekali lagi. Kali ni sepupu Ana yang angkat. Pelan-pelan dia bagitahu .." Cik dah takde..". (Dengan rendah hati Ana pohon kita hadiahkan Alfatihah)

Kelu Ana. Rasa yang tak tahu apa yang dirasa.

Bahkan waktu Ana taip ni pun..sebetulnya Ana tak tahu apa yang Ana rasa. Benarlah kata-kata Imam Syafie (Allah merahmatinya) : Kedukaan yang paling besar ialah kamu menyukai sesuatu tetapi ia tidak menyukai kamu.

Ingin benar Ana agar berita ini tidak terjadi. Tetapi sebaliknya yang Ana hadapi..


Wahai saudari..Dialah penemanmu..

2 bulan lepas seorang pemudi menceritakan kepada Ana betapa sengsaranya dia apabila ibunya meninggal dunia. Bila beliau menggunakan perkataan 'sengsara', Ana yakin, beliau di dalam kondisi yang sangat tertekan. Dan kebetulan Ana pernah melaluinya walaupun mungkin tidak sampai sengsara.

Setelah mendengar ceritanya yang tersekat-sekat apabila dia menangis dan ambil masa pula untuk ditenangkan, Ana membiarkan dia mengatur sebak seketika sebelum Ana membuka mulut. Tak lama kemudian, Ana berkata : " Tiada seorang pun yang dapat mengubati saudari kecuali sifat sabar saudari terhadap ujianNya. Saya yakin jika ibu saudari ada bersama kita sekarang ni pun, pasti beliau tidak sanggup anaknya bersedih hingga macam ni. Pasti dia akan menasihati dan memujuk saudari." Sebaik saja itu yang Ana ucapkan..Makin kuat sendunya! Risau pulak Ana..

Ana teruskan lagi padanya : "Jika saudari tidak ingin mendengar apa yang saya nyatakan ini pun, paling tidak tunaikanlah harapan ibu saudari yang pasti tidak sanggup melihat anaknya berduka lagi."

Alhamdulillah. Ia telah berhasil menjadi ubat untuknya. Tapi bukan kerana nasihat Ana. Sebaliknya dirinya sendiri. lantaran dia tak mahu Ibunya berduka.

Ana yakin sahabat-sahabat sekalian pasti pernah melalui saat-saat duka. Kehilangan mereka yang tercinta dan sebagainya. Merasai kegembiraan di saat bersama dan kedukaan bila terpisah. Ia adalah sunnah. Sunnah bagi sebuah kehidupan. Sememangnya sebuah pertemuan itu adalah untuk perpisahan! Namun bukankah perpisahan itu sebenarnya untuk sebuah pertemuan di alam yang kekal nanti?

Sehingga kini setiap kali balik kampung, bila Wan dan Mak Ana tengok kemuncup melekat di kaki seluar Ana, Wan dan Mak faham. Ana ziarah Cik dulu sebelum datang mengucup tangan-tangan mereka di rumah!

Waktu ziarah, Ana berdiri tegak sambil ucap salam buat Cik. Kemudian pelan-pelan Ana duduk di tepi Maqam sambil tangan Ana menguis-nguis tanah bersihkan daun-daun yang gugur atas kubur Cik. Terbayang jelas kat mata Ana saat-saat Cik masih ada. Pelan-pelan Ana ucap pada Cik : " Cik..Die mari (datang) ni Cik..".

Kemudian Ana baca ayat-ayat suci dan doa panjang-panjang buat Cik.. "...Ya Allah Ampunkanlah dosa Cik, Rahmatilah dia, kurniakanlah RedhaMu yang berpanjangan buatnya, Muliakanlah tempatnya di sana, luaskanlah kuburnya dan kumpulkanlah serta pertemukanlah kami di dalam SyurgaMu Ya Allah.. Amin."

Teringat pesan Cik : " Jangan baloh (gaduh) dengan orang."... " Orang tak malu pada kita sebab kita banyak pitih (duit) tapi orang malu kalau kita baik budi."..." Hidup ni..kena jimat-cermat.."..

Perpisahan telah mengajar manusia agar mengharapkan Tuhan sebagai Peneman Abadi. Dialah Wali dan Dialah tempat mengadu segalanya apatah lagi di saat meratapi kesedihan terhadap sebuah kehilangan. Mohonlah padaNya agar insan-insan tercinta sentiasa di bawah Maghfirahnya. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Dan Cintailah Dia. Dia tidak pernah menghampakan.-Salam Ramadhan.

Hari ni masuk hari ke 18 Ramadhan. Bermakna telah 18 hari jugalah Ramadhan meninggalkan kita. Lebih kurang 12 hari saja lagi Ramadhan akan memberi laluan kepada Syawal. Hari kemenangan selepas bermujahadah. Kita akan bertakbir, bertahmid dan bertaqdis memuji Allah Zat Yang Maha Sempurna. Pujian di atas hidayah Allah berupa ketaatan sehingga Ramadhan dapat kita lalui dengan penuh keinsafan. Masih ada 12 hari lagi...Masih sempat untuk menambahi apa-apa yang masih kurang. Baik sebelah siang mahu pun malamnya. Semuanya untuk memperbaiki hati. Agar hati menjadi baik lantas jasad pun akan baik..

Ketika menaip kali ni, hati Ana agak terganggu. Entah kenapa Ana pun tak pasti..Saat ini..mungkin Ana tak dapat nak menaip dengan hati sebagaimana lazimnya. Itulah hati. Berbolak balik. Tenangnya sekejap, runsingnya lama-lama...

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

Sahabat-sahabat yang mulia, terasa benar lemahnya hati ini...Bukankah ia tempat jatuh pandangan Allah A'zza Wa Jalla. Tempat ukuran Taqarrub padaNya. Pun begitu tanpa malu kita masih ingin bertanya tentang kedudukan kita di sisiNya!

Wahai hati! Usah ditanya kedudukanmu di sisiNya. Tapi bertanyalah: "Sejauhmana DIA berada di dalam ronggamu!"

Sebaiknya dan semestinya..kita berusaha mencari nurNya. Dengan taaruf akan sifat JabbarNya. Bukankah di sebalik Jabbar ada RahimNya. Kerana Dia Maha segala apa yang diharapkan oleh hati ketika hati mula terusik dengan sendu taubat. Taubatlah wahai diri kerana ia adalah ubat yang mula mengubati..

Rukuk dan Sujudlah hati kita padaNya..kerana hati yang sujud akan mengikhlaskan jasad untuk menyungkur. Di sana pasti kemanisan menjadi 'Abd Allah itu akan meresap. Kemanisan yang akan membuatkan diri mengulangi rukuk dan sujud itu lantas memadamkan sifat-sifatNya yang menjadi pakaianmu yang selama ini!

Sujudlah dalam Tahajjudmu padaNya. Merintih, merayu, mengadu kelemahanmu yang sedia diketahuiNya jikalau sekalipun kamu tidak mengakuinya..

Firman Allah SWT : " Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajjud padanya sebagai solat tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari Akhirat di tempat yang terpuji." ( Al-Isra' : 79 )

Rasulullah SAW telah bersabda : " Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari Kiamat lalu kedengaranlah satu suara yang menyeru : Siapakah dia orang-orang ( di dunia dahulu yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka dengan berqiyamullail? ) Lalu bangun sekumpulan kecil orang-orang yang bangun malam itu lalu dimasukkan ke dalam Syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab pada semua manusia." ( Riwayat Al-Baihaqi )

Telah berkata Abu Sulaiman Al-Darani : "Sesungguhnya jika tidak kerana adanya Tahajjud, pasti aku tidak suka untuk hidup di dunia ini."

Ketika Hassan Al-Basri ditanya : " Mengapakah ahli Tahajjud itu sangat bersih wajahnya?" Jawabnya : " Sesungguhnya mereka berkhalwat dengan Tuhan yang bersifat Rahman lantas dipakaikan kepada mereka nur daripada cahayaNya."

Malu Uwais Al-Qarni..

Ketahuilah para Sahabat yang Ana cintai, ketika Uwais Al-Qarni diminta oleh ibunya untuk mempersiapkan kenderaan untuk perjalanan ke tanah suci, Uwais hanya mampu membeli seekor anak lembu yang setiap hari didukungnya berulang kali agar ia menjadi biasa memikul sesuatu yang berat.

Mengapa begitu duhai Uwais? Jawabnya : " Untuk membiasakan diri supaya nanti dapat mendukung ibunya sepanjang rukun Haji dilaksanakan...Subhanallah!

Hati yang bagaimanakah dimilikinya Ya Allah? Sehingga kami dapat menyangkakan ia dilahirkan untuk berkhidmat pada Ibunya semata-mata..Bukankah ketaatan pada Ibunya itu juga bererti dia mentaatiMu..

Maha suci Allah yang memegang hati-hati makhluk..Mengurniakan hidayah berupa ketaatan..

Berkata Syeikh Ibnu Atho'illah di dalam Alhikam : Jangan merasa gembira di atas perbuatan taat kerana engkau merasakan ia telah dapat dilaksanakan, tetapi gembiralah kerana Allah telah mengurniakan hidayah dan petunjuk sehingga engkau dapat melaksanakan ketaatan itu.

Ketika Uwais ditanya lagi oleh ibunya : " Apakah yang kamu doakan di hadapan Baitullah ya Uwais?" Jawab Uwais : " Saya telah mendoakan agar Allah mengampunkan dosa-dosamu wahai Ibu." Lantas Ibunya bertanya lagi : " Lalu apakah yang telah kamu doakan untuk dirimu?" Jawab Uwais lagi : " Saya hanya mendoakanmu wahai Ibu! Sesungguhnya jika Allah mengizinkan JannahNya padamu,maka tentu Dia turut meredhaiku." Lalu Ibunya berkata kepadanya : " Wahai anakku, berdoalah pada Allah agar dihilangkan penyakit kulit yang ada padamu." Jawab Uwais dengan rendah hati : " Wahai Ibuku yang mulia, sesungguhnya saya malu untuk berdoa begitu. Terasa benar hatiku ini seolah-olah tidak redha dengan pemberianNya."

Inilah Qanaah dan ketaatan.! Ia lahir dari hati-hati yang sentiasa sujud pada penciptanya. Oleh itu..pesanku padamu wahai Hati...Hati-hatilah! Mudah-mudahan dengan hati-hatimu itu, akan membuahkan Khauf yang berpanjangan lebih-lebih lagi pada Ramadhan yang sedang kita lalui ini. Amin.

Firman Allah SWT : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka dan menggantikannya) sebanyak hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain.(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. ( Al-Baqarah : 185 )

Ramadhan dah mula masuk ke sesi kedua.Sesi Margfirah ataupun keampunan.Walaupun di sana terdapat para Muhaddith yang mendhaifkan Hadith ini, Ana tidak mahu membahaskannya dari sudut kedudukan Hadith.Cuma mahu mengingatkan diri tentang Ramadhan yang hampir meninggalkan kita..

Ia akan berlalu.Seperti saat Ana menaip maksud Firman Allah di atas.Bukankah ia berlalu bila ana mula menaip perkataan yang sahabat-sahabat sedang baca sekarang. Sangat pantas.

Begitulah Ramadhan. Telah 17 hari meninggalkan manusia. Padanya menjanjikan emas-emas yang tak terkutipan.Pelbagai nasib yang telah terhasil dan terkumpul bagi setiap diri. Ada yang meraih keuntungan berganda dan tak kurang yang sebaliknya.

Tundukkanlah kepala dan hitunglah..

Sahur kita,puasa kita,tadarus kita,tazkirah kita,berbuka kita,terawih kita,witir kita dan lain-lain lagi yang dah kita isi..firdauskah?atau dar-assalam kah? Mudah-mudahan itulah yang dikurniakan hasil penyertaan kita dalam Ramadhan walaupun ia bukan qasad bagi hati..kerana tiada tujuan yang utama dalam pengabdian makhluk melainkan untuk mendapat RedhaNya.

Hanya sebelah matamu wahai Ulama'..

Ketika di Ardul Kinanah, Ana pernah terbaca satu kisah Ulama Bani Israel yang beribadat tanpa henti hatinya mengingati Allah. Lantas Allah mengurniakan Jannah kepadanya dengan Redha.Tapi Ulama itu menolaknya! Mengapa?

Sebenarnya Ia ingin ke Jannah dengan titisan jerih payah ibadahnya!

Lantas Allah mengizinkan Ibadahnya dikira. Setelah dikira dan diperhalusi amalannya, maka Allah memerintahkan Malaikat mencampakkannya ke Jahannam!

Tertanya-tanya kita! Mengapa begitu nasib yang diterimanya? Bukankah dia termasuk di dalam ahli sujud? Bermakna dia juga ahli rukuk (patuh)! Kerana sujud itu lebih rendah daripada rukuk..Sujud yang bertaut antara jasad dan hati. Bukan sujud jasad sedangkan hati berdiri..ujub dan riak. Tapi mengapa demikian nasibnya?

Ketahuilah..Jannah bukan sebab amalanmu tapi kerana RedhaNya!

Hanya untuk membalas nikmat sebelah matamu pun belum mampu...oleh itu, mintalah dikasihaniNya.Setiap detik.

Sibuk dan sibuk..

Ana seluk poket mencari-cari qirsh untuk tiket metro ke Mar Girgish (di mana terletaknya masjid Amr Ibn Al-As). Seperti biasa..berdiri! Terlalu ramai yang menggunakan Metro.Ke sana-sini. Ia adalah rutin.Setiap hari metro menjadi wasilah menyampaikan hajat-hajat mereka.

Jika ada sejuta manusia bermakna paling kurang sejutalah hajat mereka.Belum lagi dicampur hajat yang kedua dan ketiga. Subhanallah!Berapa agaknya jumlah hajat yang naik ke langit setiap detik ketika doa dibisikkan dengan suara yang rendah-rendah dengan tangan yang diangkat tinggi-tinggi? Tak terkira banyaknya...Sempurnanya Allah..

Teringat akan satu Syair Arab yang menyebut : نغدو ونروح لحاجاتنا وحاجات من عا شا لا تنقضى

Maksudnya : " Kita disibukkan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita.Sedangkan hajat bagi orang yang hidup itu tidak pernah habis-habis."

Begitulah makhluk.Sentiasa berkehendak.Memerlukan kepada Allah Yang Maha Mengurniakan terhadap hajat-hajat yang tak pernah habis-habis.

Tahun 80-an dulu orang sanggup jual tanah getah pusaka untuk beli kereta Proton Saga. Sambil dia berjanji pada dirinya sendiri yang dia takkan tukar kereta lagi. Janji yang sungguh-sungguh..Tapi awal 90-an Proton Iswara mula menghantui tidurnya. Bukankah hajat itu tak pernah hilang.Ia akan sentiasa ada selagi kita bernyawa!

Tinggal lagi bagaimana hajat itu dipandu dengan Syariah. Dikawal Wasatiyyah dan disemai Zuhud agar hajat-hajat kita menjadi pahala. Allah lah yang menentukan segalanya. Kita terima dariNya dan bersangka baik sentiasa.Pasti Dia mengetahui apa yang terbaik.

Berkata Syeikh Ibnu Ato'illah dalam kitabnya Al-Hikam : عبدى اطعنى فيما امرتك ولا تعلمني بما يصلحك

Maksudnya : " Wahai HambaKu, taatilah semua perintahku dan janganlah kamu mengajar kepadaKu apa yang baik bagimu."

Semalam Umi bagitahu kereta adik Abu kena langgar.Teruk juga katanya.Kalau hantar bengkel, dekat beribu juga yang abis.Innalillahi wa inna ilahi raajiun..

Bila dapat tahu je berita ni Ana terfikir sesuatu.Sesuatu yang jauh.Sesuatu ketetapan yang telah dirancang dan pasti dilaksanakanNya.

Sebenarnya pagi Jumaat sebelum berlakunya kejadian tu,adik Abu ada call Ana bagitahu cermin keretanya sebelah bahagian pemandu pecah dibaling batu.Ana minta adik buat report.Kalau perlu,Ana boleh je ke Kuala Kubu Bharu untuk bantu.Tapi adik Ana tu cakap :"Takpe bang,saya selesaikan."

Pagi-pagi Jumaat tu juga ana dapat message dari Umi. :" Kami dalam perjalanan ke KL untuk tengok Abu." Cepatnya Umi bertindak!Maklumlah risaukan anak-anak yang semuanya jauh di perantauan.(kecuali adik bongsu Ana,masih kat umah).

Akhirnya kami berkumpul kat Bangi ni.Solat Terawih dan makan bersama-sama.Sekeluarga.Jauh di fikiran Ana,Ana mula terfikir.."Maha suci Allah yang mengatur sesuatu untuk kami berkumpul di sini." Atau dalam bahasa mudahnya.."setiap yang berlaku,pasti ada hikmahnya."

Yang pasti,ujian ini terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan nikmat Allah yang menggunung pada hamba-hambaNya!

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya setiap kesukaran itu akan pasti ada kesenangannya.Sesungguhnya setiap kesukaran itu pasti ada kesenangannya."

Ambillah pengajaran dari kisah Nabi Yusuf Alaihissalam..

Ana yakin sahabat-sahabat tentu mengetahui kisah Nabi Yusuf Alaihissalam.Seorang Nabi Bani Israel yang terkenal kisahnya digoda oleh Zulaikha.Al-Quran menutup tirai kisah tersebut dengan menyempurnakan janjiNya sebagaimana FirmanNya: "Demikianlah KAMI membalas orang yang berbuat baik" ( Surah Yusuf:22 )
Setelah mengalami ujian demi ujian,kesukaran demi kepayahan akhirnya Baginda menjadi pemerintah Mesir!Sudah pasti tidak sekejap masa yang diambil untuk sampai ke kemuncak cerita ini.Terlalu lama.Berpuluh-puluh tahun.Terlalu banyak episod dan babak yang perlu dilalui dan dilakonkan.Semuanya dalam pengetahuan Allah walaupun kita yang membaca kisah ini hingga ke akhirnya hanya mengambil masa sedetik cuma.

12 kali JIKALAU..

Alangkah baiknya kita menoleh ke belakang.Melihat kronologi episod-episod kisah Nabi Allah Yusuf ini.Bagaimana kebaikan dan Hikmah itu datang setelah ujian dariNya datang silih berganti:

"Jikalau saudara-saudara Yusuf tidak mengkhianatinya sudah pasti Yusuf tidak akan dibuang ke dalam Jubb (telaga).Jikalau Yusuf tidak dibuang ke dalam Jubb,pasti musafir tidak akan menjumpainya.Jikalau Musafir tidak menjumpainya,pasti Yusuf tidak akan dibawa ke Mesir.Jikalau Yusuf tidak dibawa ke Mesir,pasti Yusuf tidak akan dibeli oleh Qithfir.Jikalau Qithfir tidak membeli Yusuf,pasti Yusuf tidak akan bertemu dengan Zulaikha.Jikalau Yusuf tidak bertemu dengan Zulaikha,pasti Yusuf tidak akan digoda olehnya.Jikalau Yusuf tidak digoda Zulaikha,pasti Yusuf tidak akan difitnah oleh Zulaikha.Jikalau Yusuf tidak difitnah,pasti Yusuf tidak akan dimasukkan ke dalam penjara.Jikalau Yusuf tidak masuk penjara,pasti yusuf tidak akan bertemu dengan 2 orang pelayan Raja Mesir.Jikalau Yusuf tidak bertemu dengan pelayan Raja Mesir, pasti Yusuf takkan bertemu dengan Raja Mesir lalu mentafsirkan mimpi 7 ekor lembu gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu kurus dan 7 tangkai tanaman hijau dan yang selebihnya adalah kekeringan dan kekuningan.Jikalau Yusuf tidak mentafsirkan mimpi raja dan menyelamatkan Mesir dari kemarau,pasti Mesir tidak akan terhutang budi pada Yusuf.Jikalau Mesir tidak terhutang budi,pasti Yusuf tidak akan dilantik menjadi Pemerintah Mesir."

Ya Allah.cukup penat menaipnya!Tetapi yakinlah,lagi penat melakonkannya! Bukankah terserlah keindahan demi keindahan setelah melalui kesukaran demi kesukaran? Semuanya dari Allah.Miliknya.Mutlak.Kita hanya Hamba yang tak berdaya..

Air mata Ramadhan.

Mengapa mata ini terlalu sukar untuk mengalirkan air hening? Lebih lebih lagi di bulan yang barakah ini. Adakah kerana ia sudah lama tersaji dengan noda?

Ketika itu yang ditanya kepada mata, jawab mata..tanyalah hatimu!

Ye hati! Hatilah tempat bermulanya gerakan jasad.Dosa,pahala,taat,maksiat.Silih berganti dilakukan oleh anggota yang sama.Kalaulah tidak kerana Rahmat Allah yang Maha Pemberi Rahmat,nescaya hatimu telah kekeringan dengan noda-noda yang menggunung. Kuning-kekeringan dan rapuh menunggu saat diterbangkan angin.

Berkata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah : "Sesungguhnya di dalam hati itu ada satu kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan Allah.Dan di dalamnya ada satu kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali Allah dan taat padaNya.Dan di dalamnya ada satu kesepian yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengan rasa cinta padaNya dan selalu mengingatiNya.Dan jika seorang hamba diberi seluruh dunia beserta segala isinya pun masih belum dapat mengisi rasa kekosongan ini."

Menangislah duhai mata!persis sungai Nil yang tak pernah henti-henti mengalir. Berkhidmat pada Mesir Ardul Kinanah. Bukankah dengan mengalirnya air hening akan membersihkan dosa dan noda! Persis air yang mengalir menghanyutkan kekotoran berupa zindiq,nifaq dan sifat-sifat tercela.

Berkata Imam As-Syafie (Allah merahmatinya)di dalam Syairnya yang meruntun hati : " Berhijrahlah! Sesungguhnya aku melihat air yang tidak mengalir (berhijrah) diliputi kekotoran,kekeruhan.Bukankah celak di mata para bangsawan itu adalah berasal dari batu di tepi jalan?"

Menangislah duhai mata lantas bertaubatlah! Mengalirkan air hening yang akan membasuh dosa dan noda. Lebih-lebih lagi di bulan yang menawarkan racun pada bulan-bulan yang lainnya. Ibnu Abbas telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : "Ketika bertaubatnya seorang hamba, Allah terus menerimanya dan melupakan Malaikat Hafazah akan keburukan yang telah ditulis,melupakan anggota badannya dari kesalahan yang telah dibuat serta melupakan bumi dan langit sebagai pentas dosanya agar dia datang di hari Kiamat nanti TANPA ADA SEORANG MAKHLUK PUN YANG MENYAKSIKAN APA YANG TELAH DILAKUKANNYA."

Berusahalah untuk memperbaiki hati agar dosa-dosa yang memenjarakannya dari Rabbnya mengalir bersama air mata Taubat,penuh keinsafan.

Hargailah detik yang telah direzekikan Allah kepadamu. Taatilah Dia yang Maha Memberi segalanya.Dari tiada kepada ada dan pasti akan kembali tiada. Imam Ibnu Qayyim berkata : "Sesungguhnya tahun bagaikan sebatang pohon.Bulan-bulan pula umpama cabang-cabangnya.Hari-hari pula umpama dahan-dahannya.Jam umpama daun-daunnya dan saat tarikan dan hembusan nafasmu bagaikan buahnya. Maka barangsiapa yang setiap nafasnya digunakan dalam ketaatan terhadap Allah,maka buahnya akan bagus." Salam Ramadhan Al Mubarak.

Mati!

Firman Allah SWT : "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.Dan sesungguhnya pada hari kiamat nanti segala pahalamu akan disempurnakan. Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya dia telah mendapat kejayaan yang sebenarnya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan" ( Al-Imran 185 )

Sahabat-sahabat sekalian.Rasanya sudah lama tidak menulis begini.Panjang-panjang dan lama-lama.Kesibukan harian di samping travel ke sana-sini membataskan penulisan baru untuk tatapan bersama.Minggu depan pun Travel lagi.Ke Algeria InsyaAllah.Doakanlah segala urusan ini di bawah RedhaNya.

Kali ini, marilah kita sama-sama menghayati apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT tentang penghujung bagi satu kehidupan iatu Mati.

Mati adalah wajib bagi yang bermula dari tiada kepada ada.kalau dihimpunkan kematian yang berlaku dalam kehidupan kita,entah berapa banyak kematian yang telah kita saksikan. Ibu,ayah,nenek,moyang,sahabat,jiran,anak dan sebagainya.Terlalu banyak.Seolah-olah kematian itu membesar bersama babak-babak setiap kehidupan kita.Terlalu matang kita untuk mendengar dan menghadapi satu kematian.Cuma yang belum kita rasai ialah kematian itu sendiri.

Bila kematian itu datang? Bagaimana sifatnya? Bentuknya dan rasanya?

Pasti persoalan di atas menjadi satu bebanan yang tak pernah terhurai.Ia satu rahsia Allah SWT terhadap urusan makhluk ciptaanNya yang bernama Ruh. Rasulullah SAW pernah ditanya : Bagimanakan Ruh itu? Sifatnya? Rupanya? Maka Baginda menjawab dengan wahyu yang diturunkan padanya : "Mereka bertanya kepadamu Wahai Muhammad tentang Ruh. Katakanlah bahawa : Ruh itu termasuk di dalam urusan Tuhanku. Dan tiadalah kamu diberi ilmu tentang Ruh itu kecuali sedikit." ( Al-Isra' 85 )

Seolah-olah kematian itu adalah satu rahsia yang sangat rahsia,terpendam dalam tanpa satu hakikat yang jelas. Ia milik Allah SWT.Namun ia bersifat wajib,bertempoh,mengunjungi,menyelinap masuk ke dalam makhluk untuk keluar kembali samaada dalam keadaan "wahai jiwa yang tenang,kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya,masuklah kamu ke dalam jemaah hamba-hambaKu,dan masuklah ke dalam SyurgaKU" ( Al-Fajr 27-30 ) " atau sebaliknya.

Yang paling menjadi keutamaan bagi kita ialah apakah kita telah bersedia untuk merasainya serta menghadapinya? Hidupkah hati kita untuk sebuah kematian atau masih matikah hati kita untuk menghadapi sebuah kematian yang akan mendatang? Berkata Sayyidina Ali Kwj : Ramai yang tidur (mati) ketika hidup tetapi mereka jaga (hidup) setelah mati!Seolah-olah Ruh yang tidak berdaya tanpa jasad dan jasad yang tidak bermakna tanpa Ruh.

Marilah kita sama-sama mengingati tetamu yang akan menziarahi kita ini.Yang akan berkirim salam berupa kesakitan dan keuzuran,bertamu dengan kenazakan dan pulang dengan meninggalkan tangisan dan ratapan. Satu Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi yang bermaksud : "Perbanyakkanlah kamu mengingati satu saat yang memutuskan segala kelazatan" - iaitu mati.

Perbanyakkanlah kita mengingati saat itu.Bersedialah kita dengan mula menghitung butir-butir dosa yang menggunung untuk disucikan dengan istigfar sepanjang hayat.Mudah-mudahan diampunkan oleh Allah yang Maha Pengampun.Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Aduhai Sufyan Athauri..

Seorang Tabiin yang merupakan murid kepada Abdullah bin Mas'ud iaitu Sufyan Athauri (Semoga Allah melimpahkan Rahmat kepada keduanya)telah menghitung-hitung butiran dosanya sepanjang ingatannya maka terhasillah padanya jumlah dosa yang pernah dilakukan olehnya ialah sebanyak 21 ribu dosa. Maka bercucuran air matanya sambil berbisik : "Ini adalah pada hitunganku.Apatah lagi yang aku terlupa untuk menghitungnya tetapi dihitung oleh Allah yang Maha Menghitung". Berazamlah Sufyan Atthauri untuk beristigfar bagi setiap dosanya itu.Lantas apabila beliau mula beristigfar bagi setiap dosanya tersebut,maka teringatlah pula ia terhadap dosa-dosa lain yang pernah dilakukan. Subhanallah!

Apakah kita mempunyai mata hati sebegini?Atau kelopaknya masih tertutup dengan pasir-pasir dosa yang mengeraskan jiwa.Menangislah!

Kata Ulama' : "Menangislah!Menangislah mengenangkan dosa-dosamu dan sekiranya kamu tidak mampu untuk meratapi dosa-dosamu itu, menangislah KERANA KAMU TIDAK MAMPU MENANGIS TERHADAP DOSAMU..

Blogger Template by Blogcrowds